ASSALAMUALAIKUM
MEMPERKASA BAHASA MELAYU
.
Bahasa ialah keperibadian bangsa dan citra sesebuah negara.
Untuk mengenali sesuatu bangsa dan negara, kita dapat melihatnya melalui bahasa
yang digunakan oleh majoriti rakyat serta bahasa yang termaktub dalam
perlembagaan negara tersebut. Selaras dengan ungkapan “Bahasa Jiwa Bangsa”
dan “Bahasa Budaya Bangsa”, bahasa bukan sekadar alat komunikasi, bahkan
menjadi lambang identiti, pemikiran dan kebudayaan sesuatu masyarakat.
Negara kita memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
berasaskan sejarah dan kedudukannya yang telah bertapak sejak berabad-abad
lamanya. Bahasa Melayu juga pernah menjadi lingua franca dalam kegiatan
perdagangan di rantau ini, khususnya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Penggunaannya yang luas menjadikan bahasa Melayu sebahagian daripada khazanah
bangsa yang amat bernilai. Oleh itu, kewajarannya sebagai bahasa kebangsaan
tidak seharusnya dipertikaikan kerana sejarah telah mengukuhkan kedudukannya.
Namun begitu, masa mampu mengubah banyak perkara. Kini,
penggunaan bahasa Melayu semakin memperlihatkan kecelaruan dan campur aduk,
khususnya dalam ruang komunikasi moden. Atas alasan untuk mewujudkan
keharmonian dalam masyarakat majmuk Malaysia, istilah Bahasa Malaysia
pernah digunakan secara meluas dalam sistem pendidikan pada tahun 1970-an. Apa
pun istilah yang digunakan, bahasa Melayu tetap memainkan peranan penting
sebagai wahana penyatuan rakyat negara yang mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos
1957.
Bahasa Melayu juga semakin dipengaruhi oleh kosa kata bahasa
asing, khususnya bahasa Inggeris. Ada perkataan yang diubah suai dengan
penambahan akhiran tertentu seperti -si dan -tif, misalnya situasi
dan perspektif. Penggunaannya mungkin bertujuan untuk menjelaskan
sesuatu maksud atau menyesuaikannya dengan penggunaan semasa. Namun, penggunaan
yang berlebihan tanpa memahami padanan atau istilah yang telah tersedia dalam
bahasa Melayu boleh memperlihatkan kelemahan penguasaan kosa kata sendiri.
Kita sebenarnya mempunyai ribuan kosa kata dalam
perbendaharaan bahasa Melayu yang boleh dirujuk melalui kamus terbitan Dewan
Bahasa dan Pustaka, khususnya Kamus Dewan Edisi Keempat. Oleh itu,
sewajarnya kita memperkayakan penguasaan bahasa sendiri sebelum terlalu mudah
menerima istilah asing sebagai sesuatu yang lebih tinggi, moden atau
berprestij.
Ada kalanya sesebuah tulisan dianggap lebih menarik atau
berwibawa apabila diselitkan istilah bahasa Inggeris, walaupun terdapat
perkataan bahasa Melayu yang tepat untuk menyampaikan maksud yang sama. Keadaan
ini secara tidak langsung memperlihatkan kecenderungan sesetengah pengguna
bahasa yang menganggap bahasa Inggeris lebih tinggi nilai dan ilmunya.
Menurut sesetengah pengamalnya, bahasa Melayu terlalu
panjang, meleret dan lunak sehingga dianggap kurang sesuai dengan tuntutan
dunia moden yang mementingkan ringkas, padat dan tepat. Segala sesuatu mahu
disampaikan dengan sesingkat mungkin supaya mudah difahami dan tidak membuang
masa.
Ringkas dan padat memang penting dalam komunikasi. Namun,
keindahan bahasa tidak seharusnya dikorbankan semata-mata untuk mengejar
kepantasan. Bahasa yang baik bukan sahaja menyampaikan maklumat, malah dapat
menggambarkan ketepatan pemikiran, kehalusan budi dan kekayaan budaya penuturnya.
Tidak salah meminjam perkataan daripada bahasa asing
sekiranya istilah yang tepat belum terdapat dalam bahasa Melayu atau istilah
tersebut telah diterima penggunaannya. Bahasa bukan sesuatu yang beku. Bahasa
sentiasa berkembang dan bertambah kosa katanya seiring dengan perubahan zaman,
ilmu pengetahuan dan keperluan masyarakat.
Kesalahan berbahasa pula merupakan perkara yang boleh
berlaku kepada sesiapa sahaja. Corder (1981), seperti yang dipetik dalam Juriah
Long (1990), menjelaskan bahawa kesalahan bahasa merangkumi bentuk pertuturan
yang menyimpang daripada bentuk pertuturan penutur jati. Kesalahan tersebut
boleh meliputi tatabahasa, ejaan, sebutan, penggunaan perkataan dan istilah.
Hal ini menunjukkan bahawa penguasaan bahasa merupakan proses yang berkembang
sepanjang hayat.
Kecelaruan penggunaan bahasa juga jelas kelihatan dalam
dunia perniagaan. Ada pengusaha yang mahu menampilkan nama perniagaan mereka
agar kelihatan moden dan menarik, tetapi pada masa yang sama mencampuradukkan
bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris sehingga menghilangkan kejelasan dan
keseragaman bahasa. Antaranya dapat dilihat pada nama seperti Best Trade,
Elite Com, Zaman Communication Centre, Halal Ayam Proses, Azrina Restoran,
Mewah Café, Nurul Aida Enterprise dll.
Pemilihan nama perniagaan sememangnya hak pemiliknya. Namun,
jika kita benar-benar mahu mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
yang bermartabat, penggunaan bahasa yang baik dan sesuai dalam ruang awam wajar
diberi perhatian. Bahasa yang kita gunakan merupakan sebahagian daripada citra
diri dan masyarakat kita.
Kecelaruan dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri juga
sering berlaku. Menurut Dr. Hassan Ahmad dalam bukunya Bahasa dan Pemikiran
Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (2016), ramai manusia tidak pernah
mempelajari bahasa secara formal. Namun, mereka mampu menggunakan tatabahasa
dengan baik dalam pepatah, peribahasa dan rangkap-rangkap pantun yang
disampaikan secara lisan. Hal ini membuktikan bahawa penguasaan bahasa bukan
semata-mata bergantung pada pendidikan formal, tetapi turut berkembang melalui
budaya dan pengalaman hidup masyarakat.
Era alaf baharu dengan perkembangan media sosial pula
menyaksikan perubahan besar dalam cara kita berkomunikasi. Bahasa Melayu sering
diringkaskan sehingga menjadi sukar difahami. Hal ini bukan sahaja berlaku
antara rakan dengan rakan, bahkan antara anak dengan ibu bapa dan murid dengan
guru.
Sebagai contoh, terdapat pesanan yang ditulis begini:
“Slm sis. Sy d g rmh sis, tp sis xde. Skunk sy kat cafe. Mai
sni klu nk jmpa sy.”
Jika dibaca sepintas lalu, mesej seperti ini mungkin sukar
difahami. Penerima terpaksa mengambil masa untuk menafsir setiap singkatan
sebelum memahami maksud sebenar. Persoalannya, adakah cara sedemikian
benar-benar menjimatkan masa sedangkan penerima pula perlu berusaha meneka
maksud yang hendak disampaikan?
Fenomena ini semakin ketara melalui media sosial seperti
Facebook, Instagram, Twitter, WhatsApp, WeChat, Tik Tok, Instagram, Threads
yang banyak mempengaruhi cara generasi muda berkomunikasi dan mengolah bahasa.
Dalam bidang kesusasteraan pula, penggunaan bahasa Melayu
yang tidak begitu terikat pada tatabahasa dan gaya bahasa baku semakin mendapat
tempat, khususnya melalui penerbitan novel indie yang mempunyai kelompok
pembaca tersendiri. Dari satu sudut, kebebasan berkarya sedemikian memang dapat
menyemarakkan perkembangan sastera dan membuka ruang kepada kreativiti penulis.
Namun, kebebasan berkarya tidak seharusnya menyebabkan
penguasaan bahasa Melayu yang betul dipandang ringan. Penguasaan tatabahasa
tetap penting, khususnya dalam bidang pendidikan, kerana kemampuan menggunakan
bahasa dengan tepat turut mempengaruhi pencapaian seseorang dalam peperiksaan,
dari peringkat sekolah hingga ke universiti.
Justeru, perkembangan karya kreatif hendaklah bergerak
seiring dengan usaha memperkukuh penguasaan bahasa. Populariti sesebuah karya
tidak semestinya menjadi ukuran bahawa penggunaan bahasanya wajar dijadikan
contoh. Penilaian dan bimbingan daripada mereka yang arif dalam bidang bahasa
dan sastera tetap diperlukan supaya perkembangan kesusasteraan tidak terpisah
daripada asas bahasa yang baik.
Mutakhir ini, ketika negara terus mengalami perubahan dalam
landskap politik dan pentadbiran, kita berharap agar turut berlaku perubahan
yang positif dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu. Setiap dasar dan tindakan
yang berkaitan dengan bahasa sewajarnya mengambil kira pandangan pakar bahasa,
sarjana, pendidik dan mereka yang telah lama berkecimpung dalam bidang
tersebut.
Semoga segala harapan untuk memperkukuh bahasa Melayu dapat
direalisasikan. Bahasa Melayu ialah wahana ilmu, bahasa kesusasteraan dan
tonggak budaya bangsa. Oleh itu, bahasa ini hendaklah dipelihara, dimartabatkan
dan dimanfaatkan dalam segenap bidang kehidupan.
Bahasa Melayu pasti terus berkembang dan semarak sekiranya
kegiatan kesusasteraan sentiasa mendapat sokongan. Usaha memasyarakatkan
sastera, menggalakkan penerbitan buku serta memupuk budaya membaca perlu
diteruskan. Dengan membaca, kita bukan sahaja menambah ilmu, malah memperkaya
kosa kata dan mengasah keupayaan berbahasa.
Akhirnya, bahasa yang baik bermula daripada pengguna yang
menghargainya. Jika kita mahu bahasa Melayu terus menjadi bahasa ilmu, bahasa
budaya dan bahasa yang bermartabat, kita sendiri perlu membacanya,
menggunakannya dan menjaganya dengan penuh rasa bangga.
Bahasa Melayu bukan sekadar bahasa yang kita tuturkan,
tetapi cermin jati diri dan warisan bangsa yang perlu dipelihara sepanjang
zaman.

No comments:
Post a Comment
Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”