Thursday, 11 March 2021

SALAM ISRAK MIKRAJ

 ASSALAMUALAIKUM


PIC GOOGLE IMAGES(C)


ISRAK MIKRAJ

 

Nabi yang mulia berdukacita

Ummul mukminin wafatlah sudah

Siti Khadijah suri tercinta

hibanya sungguh berladung gundah

 

Nabi Muhammad terkenang-kenang

walang hatinya dilitup mendung

wajah terbayang senantiasa

ngilunya kalbu perih terluka

 

27 Rejab tahun ke 12

Allah turunkan Jibril ke bumi fana

membawa nabi jauh kembara

mengubat luka menyapu lara

mengadap Allah Yang Maha Esa

 

Bersama buraq terbang ke langit lazuardi

malam gelita cerlang gemilang

tujuh petala berlapis-lapis

lintasi bulan bintang gentayang

Cakerawala sarat cerita

Surah Al-Israa’ ayat 1

Surah An-Najm: 53;13-18

selak dan baca satu persatu

beriman teguh umat Muhammad

kembara jiwa rohani murni

 

PARIDAH ISHAK

DMS

1103/021


Wednesday, 10 March 2021

RAMBUTAN JARUM EMAS

 ASSALAMUALAIKUM


 


 

anggerik desa –

rekahan dahan tua

tumpangan kekal

 

gelas tembikar –

air kelapa muda

bahang mendingin

 

Melayu Cocos

keropok kerak nasi –

kudapan pulau

 

gugusan bunga

rambutan jarum emas -

rezeki musim

 

pucuk keledek

sayur bening bertumis -

selera desa


Tuesday, 9 March 2021

MARHAEN

 ASSALAMUALAIKUM


 


 

MARHAEN

 

Rakyat jelata desa dan kota

diberi janji pasti di kota

hidup teratur

giat dicatur

diabai kata lelah derita

 

Pilihan penting jadi penentu

bukannya dua hanyalah satu

takut tersalah

tersilap olah

tanggung akibat resah menghantu

 

Apa terjadi sudah berlaku

hasil pilihan sudah diaku

mesti terima

bersabar cuma

termenung pula dagu dipangku


Sunday, 7 March 2021

WAYANG

 ASSALAMUALAIKUM







WAYANG - Antologi Cerpen

Tahniah kepada semua cerpenis yang terpilih dalam penerbitan antologi cerpen berjudul "WAYANG - Antologi Cerpen" ini.

Antologi ini memuatkan 18 buah cerpen daripada 18 orang cerpenis. Antologi ini merupakan terbitan SPTA yang kelima bagi tahun 2021, alhamdulillah. Senarai penulis terlibat;


  1. Aloy Indra
  2. Amatara
  3. Amir Hamzah
  4. Bayu Pagi
  5. Faiziah Shamsudin
  6. Faridah Idarasul
  7. Hamimah Ibrahim
  8. Issey Miyaki
  9. Jalimah Jaudin
  10. M.S. Rindu
  11. Noorlaila Ghafar
  12. Paridah Ishak
  13. Russ Asan
  14. Salmah Amir
  15. Seti Zaleha
  16. Syidah Ida
  17. Yahti Hayati
  18. Zuraida Dewi


PI MENULIS CERPEN PESONA COVID 19 MENGANGANGKAT PENGALAMAN BLOGGER WARISAN PETANI UNTUK DIJADIKAN KARYA...IZINKAN YA WP...TERIMA KASIH....MAAF TULIS DULU BARU MINTA IZIN HEH..HEH..NAMPAKNYA SIFU TA MENYUKAI TULISAN PI DAN MEMBERI KOMENTAR POSITIF....ALHAMDULILLAH.

Thursday, 4 March 2021

POTENSI DIRI

 ASSALAMUALAIKUM


MENGGILAP POTENSI DIRI

 

Maksud potensi ialah kemampuan mencapai sesuatu menurut rujukan PRPM. Tajuknya bagai hendak memperkatakan isu motivasi pula. Sedangkan yang menulisnya bukanlah motivator atau sesiapa pun. Tapi menulis lantaran teruja mengikuti kemajuan penulis grup GRAHA yang menyerlah namanya dalam arena penulisan berkat rajin berkarya sastera dalam pelbagai genre.

Antaranya penulis Sujata Wee, Nizam Mohd Subari, Gabriel Kim Juan, Addyra Azzahra, Aloy Indera, Noorizam, Anamatara, Faridah Ida Rasul, Annur, Qurniaan Jiwa, Abd Aziz, Amir Hamzah, Sarji  dll. Karya penulis-penulis ini sering saja disiar menghiasi akhbar dan majalah tempatan. Dan kerap pula memenangi sayembara penulisan anjuran penganjur. Tahniah!

Yahti Hayati, Zuraida Dewi, Syidah Ida Sabariah Nur Salleh  antaranya pemenang sayembara. Saniah Masri, Ustazah Ana, Russ Asan, Wahidah Ahmad sering disiar karyanya di Radio Klasik dalam slot pantun, ADILA dll karya kreatif. Tahniah!

Salmah Amir  Jamal A Majid, Pak Ngah, Hamimah, Iris Suzanis,Oui Sai, penulis-penulis berketrampilan dengan cara karya berbeza namun sangat berkualiti tinggi. Tahniah!

Bayu Pagi dan Pak Engku dalam kluster istimewa kerana kedua-duanya miliki pesona tersendiri dalam penghasilan karya.

Bakat yang ada anugerah Ilahi digilap sebaiknya dengan gigih berkarya dan menghantar setiap karya yang dihasilkan kepada penerbit. Sikap penulis-penulis ini memang terbaik dicontohi. Seperti kata sifu TA mesti berani mencuba. Selagi tidak berani mencuba masakan tahu hasilnya. Lalu kita terpegun memandang tiga cerpen karya seorang penulis ini disiar tiga akhbar arus perdana; Mingguan Malaysia, Berita Harian, Harian Ekspress Sabah, Ahad 28 Feb semalam. Hebat sungguh NURIMAS ini. Tahniah! Nurimas SN atau Samiron Rahmat pernah menulis cerpen dalam antologi SENJAKALA terbitan SPTA. Beliau baru saja bersara sebagai guru kanan pada tahun lalu. Pada pemerhatianku secara peribadi beliau ini seorang yang sangat rajin berkarya sejak lama. Jika ingin berjaya dalam bidang penulisan ini paling utama mesti rajin berkarya pelbagai genre sastera. Terasa jemu berpuisi, menulis esei atau cerpen pula. Sebelum hendak menulis apa pun kenalah cari serba sedikit info berkenaannya.

SPTA kendalian admin sifu Tabir Alam tidak lokek berkongsi ilmu sastera kepada yang berminat menyantuninya tidak mengira siapa. Tahap pengajian standard tertinggi tidak mampu dipertikai. Alhamdulillah merasa juga menuntut ilmu sastera secara lebih sempurna walau semata dalam talian secara santai mengisi luang masa.

Semoga potensi diri PUJANGGA SPTA memancar-mancar sinarnya justeru sifu TA telah menggilap kesuramannya. Terima kasih banyak sifu. Budi dan jasa sifu tidak ternilai harganya. Dikenang abadi selamanya. Semoga tiasa dilindungi Allah sihat sejahtera dengan rezeki melimpah sukses dunia akhirat amiin.





Wednesday, 3 March 2021

VAKSIN

 ASSALAMUALAIKU,M


Pantun D’Klasik
Radio Klasik RTM
Isnin , 1/3/ 2021
Pantun dibaca
Bubur bersagu nampak berseri,
sayangnya masin tidaklah sihat;
janganlah ragu mendinding diri,
suntikan vaksin demi maslahat..
Alhamdulillah terima kasih Puan Dj
Aniesma Klasik
sudi bacakan pantun PI @ Radio Klasik dengan sedikit komen positif.
pic Radio Klasik (c)



Tuesday, 2 March 2021

DESA TERCINTA

 ASSALAMUALAIKUM




DESA TERCINTA

 

Kata guruku di dalam kelas

tulis olehmu akan karangan

biar coretan ternyata jelas

tentang desamu tanah sanjungan

 

Aku melukis wajah desaku

jauh letaknya di hulu sana

Indah dan permai pandang terpaku

bendang terhampar luas saujana

 

Bayu  berhembus lembut menyapa

dedaun nyiur melambai-lambai

mengiring langkah berdepa-depa

perhati padi tidak terabai

 

Desaku indah dalam karangan

kini yang tinggal hanya kenangan



PARIDAH ISHAK

DMS

2/3/021

Monday, 1 March 2021

BAWANG PUTIH BAWANG MERAH

 ASSALAMUALAIKUM


ANGGERIK DESA



Apa dipandang kepada anggerik,

tumbuhnya liar di dalam hutan,

mekar sehari besok binasa,

sebelum layu sudahpun mati,

bukan memandang kepada cantik;

pokok pangkalnya hati berkenan,

kalau sesuai budi bahasa,

sampai ke kubur bersatu hati,

 

*Bunga anggerik yang permai,

Memang molek dipakai, 2X

 

Banyaklah bunga di dalam taman,

apalah guna anggerik di desa,

molek pun tidak, wangipun bukan,

tidak sesuai untuk disunting,

sungguhlah puan bunga idaman,

indah kerana budi bahasa,

bukanlah cantik di tengah pekan,

cantik berbuai di hujung ranting,

 

Bunga berseri disinar malam,

kumbang menari dengan cahaya,

alam kekasih bunga dikarang,

anggerik tak mungkin menukar ganti,

Sudah menjadi aturan alam,

bunga penyeri taman bahgia,

kumbang memilih bukan sebarang,

anggerik di desa pujaan hati,

 

Bunga Anggerik di desa,

indah budi bahasa.

 

Stanza puisi ini terdapat dalam lagu Anggerik Desa yang melatari filem Melayu klasik Bawang Putih Bawang Merah.

 

Lagu bunga anggerik - nyanyian Bawang Merah dan dayang-dayangnya

Suara utama nyanyian Kamariah Noor..

 

 

Penyanyi latar filem ini Kamariah Nor, Norma Man, Mustafa Osman.

Lagu gubahan Zubir Said.

Senikata lagu Anggerik Desa dicipta berasaskan genre pantun talibun iaitu pantun yang dikarang 6, 8 atau 10 baris seperti stanza satu dan  diakhiri dua baris puisi seakan karmina tapi hanya digandingkan dengan sampiran dan maksud hanya tiga perkataan sahaja tidak seperti karmina biasa dengan 4 perkataan melengkapi kadensa lunak 10 sukukata.

 

GRAFIK SPTA (C)

Talibun merupakan puisi Melayu tradisi menggunakan bahasa berima aaa bbb untuk stanza 6 baris. Senikata lagu Anggerik Desa berima aaaa dan bbbb dihujung kerana dari genre talibun lapan baris. Bahasa untuk puisi talibun berima mengandungi pola rima tertentu dipenuhi dengan penyataan kodi menjadi selingan dan hiasan cerita menyerlahkan keindahannya mengikut tema sesuatu cerita pilihan. Jelas metafora menjadikan kiasan dan perbandingan memfokuskan kepada unsur alam iaitu bunga anggerik. Bunga anggerik walau sangat cantik namun cuma tumbuh di hutan. Habitat asalnya begitu.

Senikata yang amat indah bersesuaian selari dengan cerita filem Bawang Putih Bawang Merah.

Filem Bawang Putih Bawang Merah diarah oleh pengarah S.Roomai Noor pada 1959. Filem ini diadaptasikan dari novel Bawang Putih Bawang Merah hasil karya oleh Salleh Ghani yang diterbitkan pada tahun 1955 melalui Syarikat Geliga Press. Beliau juga bertindak sebagai penolong pengarah dan dibantu oleh Hussain Haniff

Rujukan Wikipedia

Filem ini lakonan Latifah Omar, Umi Kalsom, Mustafa Maarof, Aminah Yem, Siti Tanjung Perak sebagai pelakon utama.

 

 

 

SINOPSIS BAWANG MERAH BAWANG PUTIH

 

Pak Ali mempunyai dua orang isteri iaitu ‘Mak Labu’ dan ‘Mak Kundur’. Mak Labu telah melahirkan seorang anak perempuan yang bernama Bawang Putih. Pak Ali menjaga anaknya Bawang Putih dan Bawang Merah dengan penuh kasih sayang tetapi malangnya, bak kata pepatah Melayu ‘jangan disangka air yang tenang tiada buaya’ akibat perbezaan tingkah laku antara Bawang Merah dan Bawang Putih. Bawang Merah mempunyai rupa paras yang cantic dan berhati mulia manakala Bawang Putih pla mempunyai sikap iri hati kepada Bwang Merah. Pak Ali mati apabila terkena sengat ikan sembilang. Setelah kematian Pak Ali, kehidupan Bawang Merah dan ibunya penuh dengan kesengsaraan dan penderitaan kerana semua kerja di bendang harus dilakukan oleh Mak Labu. Akhirnya dendam kesumat Mak Labu telah menjelma kepada rupa seekor ikan kaloi. Pada suatu hari, Mak Kundur telah menangkap ikan kaloi

kemudian digulai dan dihidangkan kepada Bawang Merah. Setelah Bawang Merah tahu bahawa makanan yang dihidangkan oleh Mak Kundur dan Bawang Putih itu adalah ibunya, Bawang Merah terus mennagis dan pada malamnya dia bermimpi bertemu seorang perempuan tua dan menyuruh Bawang Merah memungut tulang-tulang ikan itu kemudian ditanam. Tempat tulang yang ditanam itu telah ditumbuhi pokok beringin. Di sinilah tempat Bawang Merah bermain buaian sambal menyanyi. Seorang raja telah terpikat kepada Bawang Merah walaupun pada mulanya Bawang Putih cuba menyamar sebagai Bawang Merah. Akhirnya raja dan Bawang Merah berkahwin. Mak Kundur dan Bawang Putih pula telah diusir dari istana setelah perbuatan jahat mereka dapat dihidu oleh raja.

 

Filem ini karya sastera rakyat dimana kisahnya telah berlaku suatu ketika dahulu. Dan sudah sekian lama diwarisi juga sebahagian darpada budaya melipur lara masyarakat pada ketika dahulu.

 


 

 

 

 

 

 

 


MyBloglist