Thursday, 23 July 2026

BAHTERA NABI NUH A.S

 ASSALAMUALAIKUM



BAHTERA BESAR

.

Ilustrasi memaparkan sekumpulan orang sedang bekerja membina sebuah bahtera besar. Di dalam al-Quran menceritakan kisah Nabi Nuh a.s diperintahkan Allah SWT mempersiapkan bahtera untuk menyelamatkan diri dan kaumnya daripada banjir besar.

Nabi Nuh a.s diutus oleh Allah SWT kepada kaumnya yang menyembah berhala. Baginda berdakwah selama kira-kira 950 tahun sebagaimana dinyatakan dalam surah al-'Ankabut ayat 14. Namun segelintir sahaja  beriman.

Setelah sekian lama berdakwah, Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Nuh a.s. bahawa tiada lagi daripada kaumnya akan beriman. Lalu Allah memerintahkan baginda membina sebuah bahtera sebagai persediaan menghadapi banjir besar.

Bahtera itu dibina di bawah pengawasan dan petunjuk Allah SWT. Firman-Nya dalam surah Hud ayat 37,

"Dan buatlah bahtera itu dengan pengawasan serta wahyu Kami, dan janganlah engkau merayu kepada-Ku tentang orang-orang yang zalim itu. Sesungguhnya mereka pasti akan ditenggelamkan."

Kaumnya  mentertawakan baginda. Mereka berkata, "Dahulu engkau mengaku nabi, sekarang menjadi tukang kayu pula." Nabi Nuh a.s. menjawab bahawa suatu hari nanti merekalah yang akan mengetahui siapa sebenarnya yang akan ditimpa azab yang menghinakan.

Apabila bahtera siap dibina, Allah memerintahkan Nabi Nuh a.s. membawa kaumnya yang beriman, bekalan makanan, keperluan untuk menghadapi banjir  serta sepasang daripada setiap jenis haiwan ke dalam bahtera.

Allah menurunkan hujan sangat lebat sehingga menenggelamkan seluruh kawasan.  Baginda meminta anaknya supaya menaiki bahtera.

Namun anaknya menjawab bahawa akan berlindung di atas gunung. Nabi Nuh a.s. mengingatkannya bahawa tiada tempat  selamat daripada banjir ini. Anak dan isteri Nabi Nuh a.s akhirnya tenggelam bersama kaumnya yang kufur.

Setelah beberapa lama, Allah memerintahkan hujan berhenti. Air pun surut dan bahtera berlabuh di Gunung Judi, sebagaimana disebut dalam surah Hud ayat 44.

Firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 49,

"Itulah antara berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu. Sebelum ini engkau tidak mengetahuinya, dan kaummu juga tidak mengetahuinya. Maka bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa."


1 comment:

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist