ASSALAMUALIKUM
FAJAR
DI BUMI PERMATA
Drama radio nasional RTM Fajar Di Bumi Permata
amat popular dan diminati pendengarnya seluruh negara sejak disiarkan pada
tahun 72. Tajuknya pun begitu indah dan puitis. Peminat setia ternanti-nanti
siarannya ke udara kerana teruja hendak mendengar celoteh mencuit hati lontaran
suara watak-wataknya yang bertutur dalam loghat berbeza mengikut negeri tertentu.
Olahan kisahnya amat menarik minat pendengar radio RTM. Terutama mereka yang tinggal di skim tanah rancangan
FELDA di Pahang kerana peserta di sini selain rakyat tempatan juga
kebanyakannya berasal dari negeri berlainan di semenanjung. Tetapi tetap
bersama menjalin ukhuwah harmoni. Seperti kata pepatah “tidak kenal maka tak
cinta”.
Aku sering
juga mengikuti siaran drama Fajar Di Bumi Permata kala berkesempatan. Maklum tika itu aku bersekolah dan tinggal di asrama.
Di asrama tidak dibenarkan membawa radio bersama. Kala pulang ke rumah pada
cuti sekolah, aku tidak melepaskan peluang mengikutinya. Watak-watak yang
kuingati ialah Pak Chat dan isterinya, Pak Alang, Mak Lipah. Melakonkan
peranannya di samping beberapa watak tetap dan undangan bersilih ganti.
Penulis
skripnya memang ramai. Antaranya MZ Halim Hassan, Jamil Hashim dll. Paparan
cerita setiap minggu amat menarik olahan karya kreatif penulis skrip sesuai
situasi semasa. Dramatis Ahmadi Hassan membawa watak sebagai Pak Chat seorang peneroka
di Bukit Putera berasal dari utara. Beliau dan semua pelakon terlibat
menghidupkan watak yang dibawa dengan jaya.
Kemasyhuran
drama ini mengujakan peneroka sebenar di kampungku ingin bertemu muka dengan
saudara peneroka di Bukit Putera.
Hajat itu tertunai pada tarikh bermakna angka selari 7777. 7
Julai tahun 77 adalah tarikh kerajaan isytiharkan Hari Peneroka di Malaysia.
Agensi FELDA diwujudkan kerajaan pada 1958 dengan pemugaran tanah yang pertama
di Lembah Bilut di Pahang oleh peneroka yang menyertainya dengan daya usaha
sendiri. Cogan kata FELDA, BAKTI DISEMAI BUKTI DI TUAI seolah
meniup semangat juang mengatasi cabaran kehidupan sebagai peneroka..
Pihak
pengurusan pentadbiran FELDA berusaha mengundang artis drama RTM itu ke
kampungku untuk meriahkan lagi acara sambutan Hari Peneroka. Para peneroka Bukit
Putera iaitu dramatis Fajar Di Bumi Permata akan berada di pentas yang
disediakan mengadakan persembahan drama, tarian budaya dan nyanyian dirancangkan
akan diadakan pada malam tersebut.
Pihak pentadbiran felda Ulu Jempol terdiri daripada pengurus,
pegawai luar, SDA (w) kakitangan umum, para peneroka dan keluarganya saling
membantu melaksanakan acara bersejarah yang sangat bermakna ini. Aku pun turut
membantu.
Maklumlah masing-masing teruja hendak meraikan sambutan Hari
Peneroka merupakan pertama kali. Persiapannya dilakukan dengan sangat teliti.
Aku sebagai salah seorang penyelenggara bersama kawan-kawanku beliawanis
persatuan belia turut berperanan membantu apa yang mampu dilakukan sedaya boleh
di beberapa lokasi ditetapkan pihak pengurusan. Sangat meriah sekali sambutan
Hari Peneroka pada tarikh tersebut di Felda Ulu Jempol tempat tinggalku.
Pada sebelah siangnya diadakan pameran kraftangan, masakan
kuih-muih, lauk-pauk, kek, gubahan bunga dll oleh wanita perkumpulan GPW
rancangan. Bahan-bahan itu dipertandingkan pula. Maknanya yang dipilih
juri dan diletakkan nombor 1, 2 atau 3 akan ada hadiah yang menantinya. Aku pun
menyertainya dengan menghantar sulaman silang pangkah sampul bantal dan kaitan
selendang benang bulu hasil kerjatanganku. Aku memang suka buat kerjatangan
mengisi masa terluang. Pemilihan pemenang dibuat oleh ASDO (W) Wilayah Pahang
Tengah.
Hadiah-hadiahnya disampaikan YB ADUN TAJAU untuk pelbagai kartegori
yang dipertandingkan pada acara tersebut. Aku pula ditugaskan membawa dulang berisi
hadiah yang akan disampaikan YB kepada penerimanya. Walau merasa agak malu
melakukan tugasan itu, kusisihkan keresahannya.
Alhamdulillah beroleh rezeki tidak pernah kuduga. Kedua-dua
kraftanganku menang hadiah pertama. Aku tersipu membawa hadiah kepada YB untuk
di sampaikan padaku. Tetapi tetap kulakukan tugasan itu sebaiknya. Ironis pula
situasinya.
Banyak gambar- gambar menarik dirakamkan sempena
insiden bersejarah tersebut oleh seorang sahabat juga pegawai FELDA di sini.
Beliau menjualnya pada yang berminat menyimpannya sebagai koleksi kenangan.
Aku membeli juga. Tapi sekeping saja dan bercadang menjadikannya
kembaran pada catatan berita yang akan kutulis mengenainya. Sekadar mencuba
nasib sebagai penulis berita secara suka-suka. Dalam foto itu terselit juga
keberadaanku sisi YB. Tapi tidak ketara sangat. Acara diadakan pada sebelah
siang berakhir sempurna kelancarannya. Tidak sabar pula aku menanti kejadian yang akan berlangsung seterusnya.
Insya-Allah.
Pada sebelah malamnya aku dan kawan-kawan, beliawanis kampungku
bersibuk pula di gerai menjual laksa GPW. Membantu menjualnya pada pengunjung yang ramai datang menyaksikan
pementasan drama Fajar Di Bumi Permata. Kami jugalah yang memasak laksa,
kuahnya dan sediakan ulamannya pada sebelah petangnya. Memang kalut sungguh
kami menyiapkan segalanya. Dan dibawa semuanya ke gerai yang terletak di suatu
sudut.
Aku hanya mampu memandang dari jauh gelagat artis di pentas
menggayakan persembahannya sambil melayan pelanggan yang memesan laksa. Langsung
tidak berpeluang menemui dramatis Fajar Di Bumi Permata dan artis yang
menjayakan persembahan di pentas. Kalau ikut kehendak hati memang teringin
sangat hendak bersua artis tersohor itu.
“Eh kenapa orang berkerumun di tepi bawah pentas tu?” Tanya
Nurizan kawanku mengejutkanku.
“Yala. Kenapa agaknya ya?” aku membalas soalannya dengan soalan
juga. Aku meninjau pandang ke arah itu.
“Pergilah kau tengok.” Nurizan menggesaku.
“Malaslah. Sibuk nak siapkan laksa, ramai yang tengah tunggu nak
makan ni. Biarlah Izan kita tak payah campur soal tak sangkut dengan kita. Kita
buat kerja kita saja.” Balasku sambil lewa. Selesai sudah kerjaku dan kawan-kawanku
berjualan laksa di gerai pada malam itu.
Malam dingin yang sarat dengan pelbagai cerita kehidupan realiti
sebenar berakhir kisahnya. Desas-desus tersebar merata pada keesokannya bahawa berlaku
pergaduhan antara seorang pemuda yang mempertahankan tunangannya daripada diganggu
seorang pemuda nakal. Pemuda itu memang dikenali di kampungku, tingkahnya tidak
disenangi masyarakat setempat. Pada pandangan mataku beliau ini sangat segak
wajahnya. Kulitnya putih melepak. Cuma perilakunya menjengkelkan kerana sering
mengganggu dengan tutur sapanya mengusik gadis-gadis cantik di kampungku. Tapi
dia tidak pernah menegur atau menggangguku. Mungkinlah aku tidak cantik. Dia
tidak tertarik denganku. Dan membuang masa saja menggangguku yang hodoh ini.
Aku mengagak saja.
Aku mulai menaip artikel tentang peristiwa yang berlaku
menggunakan mesin taip pejabat JKKR. Kebetulan aku bekerja di situ sebagai
kerani. Berhati-hati sungguh menekan
abjad agar tidak tersilap bukan mudah. Kalau tersilap taipan menjadi tidak
kemas kerana terpaksa gunakan liquid paper untuk memadam ejaan yang salah. Menaip
guna mesin taip tidak sama dengan menaip di computer. Kalau tersalah boleh
segera padam dan mudah mengubah susunan ayat. Aku terpaksa merenung lama
sebelum menulis ilham yang tumpah. Akhirnya siap juga. Segera kumasukkan dalam
sampul surat bersetem dan kuposkan pada alamatnya.
Wah! Sungguh tidak terduga tulisanku itu disiarkan dalam Utusan
Malaysia terbitan July tahun 77. Tarikhnya aku dah lupa.
Ekoran berita disiarkan Utusan Malaysia itu ada pula
yang merungut, kononnya aku tidak masukkan fakta sebenar siapa yang terlibat.
Aku tidak pernah pula terfikir bahawa tulisan kecilku itu memberi impak besar
pada keharmonian suasana kampungku. Merasa bersalah menghantuiku. Sedang aku
teruja kerana tulisanku disiar akhbar arus perdana ada pihak lain pula kecewa.
Menyesal pula aku menulisnya.
Aku
diam saja. Mengakui kesilapan yang tidak
tersengaja kulakukan. Lagipun aku pun baru belajar menulis di akhbar dalam
ruangan berita semasa tanpa mengikuti sebarang kursus penulisan berkenaan
dengannya. Menulis semata-mata aku suka menulis.
Dan kini setiap kali sambutan HARI PENEROKA
pada 7 July berulang, terimbau kembali peristiwa 7777. Kala aku menonton filem Man
Laksa arahan almarhum Mohamad Khalid itu di TV 1 setelah lama bergulir masa, aku
tersenyum mengenangkan malam pementasan drama Fajar Di Bumi Permata 7777.
Seakan-akan begitulah gambarannya. Selamat ulang tahun RTM ke 80 Teman Setia
Anda. Tahniah sekian lama menabur bakti menyeri sunyi ruang udara nusa dengan
pelbagai genre siaran berkualiti.
Lagu pilihan;
1. Godaan Dunia – Ahmadi Hassan
2. Mimpi Yang Tak Sudah – Ibnor Riza
3. Kenangan Mengusik Jiwa – A.Ramli
Zaman saya kecik-kecik dulu pernah de gar siaran Fajar di Bumi Permata.
ReplyDeletetksh amie yaka lama betul siri drama tu disiarkan masa kak dgr dh sekolah menengah
Delete