ASSALAMUALAIKUM
SEMUT KERENGGA
Gambar paparan ialah semut kerengga, sejenis semut yang memiliki kebolehan membina sarangnya sendiri dengan mencantumkan helaian daun. Semut ini dikenali dalam bidang sains sebagai Oecophylla smaragdina atau Asian weaver ant. Ia banyak ditemui di kawasan tropika termasuk di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Australia.
Ciri-ciri semut kerengga ialah berwarna hijau keperangan atau jingga kemerahan. Koloni semut kerengga terdiri daripada ratu dan semut pekerja. Semut pekerja akan menarik daun sehingga bercantum untuk membentuk sarang dengan menggunakan larva yang menghasilkan benang sutera bagi “menjahit” daun-daun tersebut.
Hasilnya terbentuklah sarang yang tergantung pada dahan pokok. Ratu semut bertugas bertelur, manakala semut pekerja mencari makanan, menjaga sarang dan melindungi koloninya. Semut kerengga hidup secara berkumpulan di atas pokok serta mempertahankan sarang dan wilayahnya daripada ancaman. Rahangnya yang kuat membolehkannya menggigit musuh yang mengganggu.
Bagi kelangsungan hidup, semut kerengga memakan ulat, belalang, cecair manis yang dihasilkan oleh serangga tertentu, buah-buahan dan nektar tumbuhan. Semut ini juga berupaya mengawal populasi serangga perosak secara semula jadi. Oleh itu, peranannya amat penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem hutan dan kebun.
Telur semut kerengga turut digunakan sebagai umpan memancing ikan. Namun begitu, pengambilannya perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana semut kerengga akan menggigit sesiapa yang cuba mengambilnya.
Semut merupakan makhluk ciptaan Allah SWT yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaan-Nya. Dalam al-Quran terdapat surah khusus tentang semut, iaitu Surah an-Naml, surah ke-27 yang mengandungi 93 ayat dan diturunkan di Mekah. Surah ini mendapat namanya daripada kisah seekor raja semut yang memberi amaran kepada kaumnya agar masuk ke dalam sarang supaya tidak dipijak oleh tentera Nabi Sulaiman a.s.
Nabi Sulaiman a.s. tersenyum mendengar kata-kata semut tersebut lalu bersyukur kepada Allah SWT atas segala nikmat yang dikurniakan kepadanya. Kisah ini menggambarkan sifat prihatin dan kerjasama dalam kalangan semut. Al-Quran juga membuktikan bahawa semut berkomunikasi dengan cara tersendiri, jauh sebelum sains moden menemui kaedah komunikasi mereka melalui getaran akustik dan feromon.
Pepatah Melayu turut menyebut “bagai semut beriring” yang menggambarkan semangat bekerjasama dan hidup bermuafakat.
Semut termasuk dalam senarai haiwan yang dilarang dibunuh tanpa sebab yang dibenarkan syarak, sebagaimana dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud.

No comments:
Post a Comment
Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”