ASSALAMUALAIKUM
SECEBIS KENANGAN - ADILA RADIO KLASIK
.
Aku mengepit separuh daripada buku-buku sekolah di celah ketiak. Separuh lagi terisi di dalam beg pelastik yang agak tebal dijinjing. Panas terik mentari memanggang kulit tubuhku langsung tidak kuhiraukan. Tetapi tetap dirasakan bahang memijarkan itu. Perutku pun sudah berkeriut dan berkeroncong minta diisi.
.
Memang pun tidak diisi sejak awal pagi melainkan hanya dialas dengan segelas air sejuk dan sekeping biskut kering. Begitulah kebiasaan yang sering dilalui kerana nenekku mengangap sarapan pagi itu tidak penting Dan tidak pernah menyediakannya untuk dirinya, apa lagi untukku cucunya. Nenekku mungkin sibuk sekali menguruskan gerai jualan hasilan tani kampung di pinggir jalan besar. Aku tinggal bersama nenekku di pinggir Bandar KB setelah ibu bapaku berpindah ke alam abadi.
.
Kedua-duanya telah menyahut panggilan Ilahi dalam tragedi bot karam tika berusaha menyelamatkan diri dan kami sekeluarga dari bencana banjir. Hanya aku berjaya diselamatkan. Ibu bapa dan dua orang adikku hilang dibawa arus entah ke mana. Walau pasukan penyelamat berusaha mencarinya namun tidak ditemui. Tinggallah aku sebatang kara menumpang hidup dan ihsan nenekku. Tika itu aku masih menyambung persekolahan peringkat menengah rendah.
.
Sepanjang masa di sekolah tidak ada pula duit diberikan nenek kepadaku buat berbelanja di kantin. Dan juga tidak ada bekalan makanan dibawa. Aku terpaksa mengikat perut menahan kelaparan yang amat mengganggu penumpuan terhadap pembelajaran sehingga masa belajar tamat. Tetapi tetap dilakukan demi minatku yang utuh terhadap pelajaran.
.
Begitulah keadaanku sehari-harian sehingga mangli dengan suasana dilalui. Aku sudah tidak kisah lagi tentang itu semua. ‘Jika lapar pun tanggunglah, kalau penat pun, penatlah. Kulupakan semua kemusykilannya.
.
Langkah diatur perlahan. Kakiku pula merenyut sakit dan gatal kerana telah tumbuh kudis yang menjijikan. Seksa sungguh. Bila sampai di rumah pastinya belum boleh terus menyuap nasi ke mulut. Aku perlu memasaknya terlebih dahulu. Aku akan memasak apa saja yang ada di dapur rumah nenek.
.
Biasanya aku akan memasak nasi, menggoreng ikan asin, menumbuk sambal belacan dan menumis sayur kangkung, asin-asin atau betik muda. Sayur-sayur kampung itu memang tumbuh subur di sekitar belakang dapur rumah nenek.
.
Proses hendak menyediakan masakan yang serba sederhana itu pun tidak mudah. Api dapur bertungku tiga perlu dinyalakan. Kadangkala tidak ada kayu kering yang telah tersedia.Terpaksa pula aku terbongkok-bongkok mengutip kayu di pelenggar dan membawanya naik ke rumah. Hendak menghidupkan api dari kayu pun satu hal juga. Api yang dinyalakan tidak boleh terlalu besar.
.
Takut pula akan menyambar dinding rumah. Dan menyebabkan kebakaran yang akan memusnahkan segala-galanya. Aku perlu sangat berhati-hati.
Hendak menjamah sepinggan nasi pun aku terpaksa basah berpeluh terlebih dahulu. Aku menjamu selera seadanya tanpa banyak tingkah. Tidak peduli langsung dengan nutrisi makanan yang diambil akan memberi impak baik atau sebaliknya terhadap tubuhku. Asal kelaparanku terhindar sudah memadai. Alhamdulillah.
.
Sebuah kereta berhenti di sisiku. Derunya menghambat lamunanku bercempera merata. Aku terkejut. Bergemuruh dadaku. Berdebar-debar kencang.
“Hai baru balik sekolah?,” abang Zaini tiba-tiba muncul dari kereta yang berhenti di pinggir jalan menyapaku. Aku kalut pada mulanya. Bimbang juga kalau-kalau ada orang yang datang itu berniat tidak baik dan hendak menggangguku.
.
Orang-orang di kampungku selalu bercerita berkenaan budak-budak perempuan yang pulang dari sekolah sendirian sering diperangkap dan dilarikan ke bandar-bandar besar untuk dijual. Dan dijadikan santapan manusia bernafsu serakah. Bimbang sungguh hatiku. Bukan begitu nasib kuingini. Doaku semoga diselisihkan malaikat 44 maslahah malang itu menimpaku.
.
“Naiklah. Abang pun hendak balik ke rumah ni. Janganlah segan. Abang pun menumpang kereta orang. Naiklah cepat.” Pelawa abang Zaini. Lelaki yang berada di belakang stereng kereta itu memandang sekilas wajahku. Dia tersenyum polos. Pintu kereta dingangakannya luas. Abang Zaini ialah jiran nenekku. Dia tinggal bersama ibunya. Aku juga sering bertandang ke rumahnya untuk bersembang dengan makcik Lina ibunya, menghilangkan rasa sunyiku sendirian. Nenekku sering memarahiku kerana suka bertandang ke rumah orang. Tapi kalau nenek tiada di rumah aku akan ke situ.
.
“Tidak mengapalah abang Zaini. bukannya jauh sangat. Sekejap lagi sampailah.”
“Jauh ko! Dekat ko! Naik…,” balas abang Zaini. Tona suaranya tegas. Alasanku tidak mahu diterimanya. Dia menarik tanganku. Memaksaku mengisi perut kereta.
Aku akur dengan kehendak abang Zaini walaupun merasa malu dan serba tidak kena kala terpandang lelaki yang memegang stereng dan tidak pernah kukenali sebelum ini. Merasa pula gerak-geriku sentiasa mencuri perhatian lelaki itu.
.
Meluncur deras kereta yang dipandu anak muda berpakaian kemas dan berkaca-mata hitam itu. Kereta Moris Minor itu lalu melepasi rumah nenekku tetapi tidak pula berhenti.
“Rumah nenek saya dah lepas tadi. Kenapa tak berhenti?” tanyaku kalut kehairanan. Hatiku mulai risau dan menggelabah.
.
“Mu jangan risau sangat. Kita berdua ni bukannya nak makanmu. Muikut ja,” ujar abang Zaini separuh berlucu. Namun hatiku tetap dilambung kerisauan.
“Tapi kita ni nak gi mana?”
“Tak payahlahmu nak tanya, ikut ja…semeta ja pun.”Aku keliru.
.
“Depan klinik Ravi nantimu tolong berhenti ya Amar. Aku hendak ambil ubat sakit perut...” Abang Zaini mengerutkan dahinya. Wajahnya menjadi herot-petot seakan menanggung kesakitan teramat sangat. Amar memandangnya dengan hairan.
Telatah abang Zaini membuatnya tersenyum sumbing.
.
“Lepas pergi klinik nanti, kita baliklah. Tolong temankan abang yang sakit ni. Lambat sikit sampai ke rumah takkan nenekmu nak marah kot. Lagipun nenekmu itu sibuk berjualan di gerainya. Bilamu sampai di rumah sekejap lagi dia belum tentu dah balik. Setahu abang selagi hari tidak senja nenekmu itu tidak akan menutup gerainya…”
.
Aku bimbang kala pulang nanti akan dimarahi nenekku kerana kelewatan yang tidak kusengajakan. Bukan kemahuanku melakukannya.
Kelak akan berderailah air mata membasahi pipiku entah buat kali keberapa kerana menerima cemuhan dan nista yang menyakiti hatiku hamburan dari mulut nenekku yang garang itu.
.
“Masam sajamu! Senyumlah sikit.” Usik Zaini. Aku mencebek. Kedongkolan hatiku tidak mampu menerbitkan senyuman di bibirku.
Lebih kurang lima belas minit berkereta sampailah sudah ke destinasi yang ditentukan.
Amar mencari-cari tempat memakir keretanya. Dan dia menemui petak yang sesuai. Enjin keretanya segera dimatikan di situ.
.
“Abang Zaini pergilah. Biar saya tunggu di dalam kereta ja.” Kataku lirih.
“Mu tak boleh duduk seorang diri di sini. Di sini ramai orang yang tidak kita ketahui hati-budinya. Entahkan ada yang berniat jahat. Jika dibawanyamu lari kami juga yang susah.Jom lah kita masuk. Cepat!” abang Zaini menggesa.
“Betul tu!” Amar mengiyakan cakap kawannya dengan pameran wajah serius.
.
Aku terdesak dengan kata-kata itu. Hatiku tidak langsung berbelah-bahagi menanggapi kebenarannya. Bersarang difikiranku kebenaran yang merungsingkan.
“Jom lah. Nanti kalau lambat ramai pula orang lain yang mendahului.” Abang Zaini mendesak. Aku mengekori langkah Zaini yang berjalan beriringan dengan Amar.
.
Tidak ramai yang mengunjungi klinik Ravi untuk mendapatkan rawatan kesihatan daripada doktor Ravi hari ini. Hanya kelihatan seorang lelaki tua Melayu dan dua orang wanita Cina di ruang menunggu.
“Namamu misi dah panggil tu. Pergilah masuk jumpa doktor!”
Aku terpana mendengar arahan itu. Baruku sedari bahawa abang Zaini hendak mengubatkan sakit kudisku di klinik ini. Bukan abang Zaini yang sakit perut sebenarnya.
.
Aku kehairanan memikirkan bagaimana jiranku itu tahu bahawa aku sedang menderita sakit kudis di kakiku tapi tidak mampu mengubatinya lantaran nenekku berkira sangat..hendak melantingkan duitnya buat membeli ubat sakit kudisku. Mungkin mak cik Lina ibunya memberitahunya kerana aku pernah mengadu masalahku kepadanya. Aku terharu baik budi abang Zaini dan Amar padaku. Kisah ini berlaku ketika aku dalam tingkatan satu di awal 70-an.
.
Abang Zaini selamanya sebagai abang angkatku. Justeru aku anak angkat makcik Lina ibunya. Dan Amar pula meninggal dunia di London. Dia menderita sakit jantung tika sedang menyambung pengajian jurusan perubatan di sana. Aku sayu kehilangan seorang insan yang tiasa membantu persekolahan dan menyelesaikan masalah kehidupanku.
.
Dalam diam aku dan Amar menjalin cinta. Namun jodoh tidak kesampaian dihalang perpisahan. Sebenarnya percintaan yang terjadi itu tidak direstui ibu bapa Amar lantaran kami tidak sekufu dan berbeza status kehidupan. Macam cerita klise dalam drama dan filem itu. Keluarga Amar dalam kalangan berada sedangkan aku dan nenek amat miskin kehidupannya. Allah makbulkan hasrat ibu bapa Amar agar kami tidak bersama selamanya. Perpisahan abadi. Kuiringkan doa tiasa semoga arwah insan yang tulus mencintaiku itu dalam reda rahmat kasih sayang-Nya.
.
Lagu pilihan;
1. Memburu Impian - Kazar
2. Joget Kelantan - Nora
3. Salam Terakhir - Sudirman
No comments:
Post a Comment
Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”