ASSALAMUALAIKUM
DIRGAHAYU TUANKU
Genre : Puisi
Penulis : 46 orang
Penerbit : PEMUISI
Nombor ISBN : 978-629-7788-7-08 (Sastera Puisi)
Bilangan muka surat : 115
Harga : RM25.00
Tahun terbitan : 2026
Pengulas : Paridah Ishak
.
Antologi DIRGAHAYU TUANKU terbitan PEMUISI dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA ini menghimpunkan 100 buah sajak hasil karya 46 penulis tanah air bersempena Majlis Dirgahayu Tuanku anjuran Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA dan PEMUISI. Antologi ini diselenggarakan oleh Wanrazuhar dan Pandian V, manakala kata pengantar ditulis secara naratif oleh Senator Dato’ Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA.
Naskhah ini amat istimewa kerana menghimpunkan ramai figura sastera terkenal tanah air dengan mengangkat tema takzim dan dirgahayu kepada institusi raja sebagai payung negara yang menaungi rakyat jelata. Pelbagai dimensi perasaan diketengahkan melalui pengolahan emosi, imaginasi dan kreativiti para penulis yang memperlihatkan manifestasi kesetiaan, kasih serta sanjungan terhadap sultan sebagai tonggak pemerintahan negeri dan negara. Setiap pemuisi menyumbangkan jumlah karya yang berbeza; ada yang menampilkan sebuah sajak, manakala ada juga yang menyertakan tiga hingga empat buah sajak.
Kesemua sajak dalam antologi ini tampil puitis dengan nilai estetik tersendiri serta sarat makna berdasarkan tajuk pilihan masing-masing. Antara penulis yang terlibat termasuklah SN Dato’ Zurinah Hassan, Wanrazuhar, Awang Sariyan, SN Rahman Shaari, SN Anwar Ridhwan, Pandian V, Oui Bin Sal, Salmah Amir, Sabariah Eda, Abd. Aziz Ali, Eziz Shukman dan Dewi Ku Yah Senapi serta ramai lagi.
Para pemuisi berkarya tanpa terikat pada bentuk sajak tertentu. Walau bagaimanapun, keindahan bahasa tetap terserlah melalui pemilihan diksi yang indah dan tersusun, membentuk luahan rasa hormat serta kesetiaan menjunjung kasih kepada Tuanku. Kebanyakan sajak digarap dalam bentuk berangkap, menjadikan penyampaiannya lebih teratur, lunak dan berkesan.
Sebagai contoh, berikut merupakan petikan daripada sajak karya Salmah Amir yang menggambarkan perasaan tulus dan penuh penghormatan terhadap institusi diraja:
NAUNGAN KASIH
.
Dirgahayu Tuanku payung rakyat,
teguh memayungi bumi keramat,
sinar kebijaksanaan terpancar jelas
dalam naungan kasih yang tidak terlepas.
.
Duli yang mulia, lambang penyatu,
dalam adil, bijak dan bersatu,
bahtera negara dipandu rapi,
menuju sejahtera damai abadi.
………seterusnya………
Secara keseluruhannya, antologi DIRGAHAYU TUANKU bukan sahaja memperlihatkan keindahan seni puisi tanah air, malah turut menjadi wadah memperkukuh rasa cinta, hormat dan kesetiaan terhadap institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi lambang kedaulatan negara. Naskhah ini sesuai dijadikan bahan bacaan pencinta sastera, pengkaji budaya serta generasi muda agar lebih memahami peranan institusi diraja dalam sejarah dan pembinaan jati diri bangsa.
Tahniah PI dapat mengulas antologi puisi hebat.
ReplyDelete