ASSALAMUALAIKUM
Kadang-kadang hidup aku lebih banyak masa dalam kereta dari kat kandang.
Dari Perlis sampai Johor, dari kampung ke kebun sawit, dari tepi highway sampai pinggir hutan, aku pusing cari kambing
Biasanya aku tak bergerak sorang. Aku bawa staff.
Bukan sebab dia orang pandai borak pun, tapi sebab aku ni jenis kalau drive jauh sorang-sorang, nanti rasa macam ada jin duduk belakang.
Sekurang-kurangnya bila ada orang kat sebelah, aku tahu yang batuk tu manusia, bukan makhluk halus.
Ada sorang staff aku ni, perangai dia pelik sikit.
Dalam kereta, dia tak borak. Dia tak scroll TikTok. Dia tak tidur berdengkur. Dia baca Al-Quran. 24 jam macam tu.
Aku pun hairan. Aku reply WhatsApp pun boleh rasa nak muntah dalam kereta.
Ni dia boleh baca Quran sambil lalu selekoh, lalu lubang, lalu lembu melintas
Steady ja
Kadang aku suruh,
“Kau baca kuat sikit boleh? Aku nak buat background audio. Tak payah pasang radio zikir.”
Lagipun kita ni selalu lalu tempat pelik-pelik. Masuk kebun sawit. Masuk jalan tanah merah. Masuk kawasan sunyi.
Aku ni bukan takut jin, aku cuma risau kalau jin tumpang kereta aku, kereta jadi berat, aku kena tekan minyak lebih sikit. Kau tau lah, harga diesel sekarang ni mahal
Satu benda aku perasan, setiap kali singgah masjid, dia tak ambil wuduk macam kita.
Dia basuh kaki ja.
Dalam hati aku,
“Oh… ni mesti mazhab Hanafi. Versi jimat air.”
Aku pun tanya staff lain yang pandai Melayu. Baru aku tau, rupa-rupanya diorang ni semua jenis jaga air sembahyang 24 jam.
Bukan sebab malas ambil wuduk. Tapi sebab memang sentiasa dalam wuduk.
Terus otak aku pergi jauh. Aku tanya
“Eh… korang ni tak kentut ke?”
Sebab jujur cakap, kita ni manusia. Kentut ni bukan hobi, tapi takdir.
Dia senyum ja.
Kawan dia explain, bila batal, diorang terus ambil wuduk balik. Sebab diorang dah biasakan hidup dalam keadaan suci.
Dia cakap satu ayat yang buat aku diam lama dalam kereta.
“Bila kita sentiasa berwuduk, malaikat suka dekat dengan kita.”
Dan bila malaikat dekat. Doa lebih mudah naik. Hati lebih mudah tenang.
Masa tu baru aku faham kenapa sepanjang aku pusing Malaysia cari kambing, masuk hutan tengah malam, masuk kebun sawit gelap, tak pernah jadi benda pelik-pelik.
Rupanya bukan sebab aku berani, tapi sebab ada malaikat duduk sekali dengan kami.
Aku respek benda ni.
Ramai orang boleh solat. Ramai orang boleh zikir. Tapi tak ramai yang konsisten jaga wuduk walau di luar waktu solat.
Ni belum cerita kalau singgah masjid. Aku solat 5 waktu, lepas tu aku keluar tunggu.
Dia?
Masuk masjid macam check-in hotel. Lama.
Rupa-rupanya dalam mazhab Hanafi, solat sunat diorang banyak.
Subuh – 2 rakaat sunat dulu, baru 2 fardu.
Zohor – 4 sunat sebelum, 4 fardu, 2 sunat lepas (kadang tambah lagi 2).
Asar – 4 sunat sebelum, baru 4 fardu.
Maghrib – 3 fardu, 2 sunat lepas.
Isyak – 4 sunat sebelum, 4 fardu, 2 sunat lepas, lepas tu Witir wajib bagi mereka.
Aku kira-kira dalam kepala. Ni belum masuk solat sunat wuduk, sunat masuk masjid, solat taubat, solat hajat.
Kalau campur semua, waktu biasa pun boleh cecah 20–24 rakaat sunat sehari.
Masa tu aku terus rasa bersyukur jadi mazhab Syafie. Kita ni versi “user friendly”.
Wajib settle, sunat buat mampu, lepas tu boleh balik minum kopi. Diorang ni kalau singgah R&R, bukan setakat isi minyak, iman pun diorang top-up sekali.
Tapi aku tak kisah tunggu. Sebab aku tau, orang yang solat lama, orang yang jaga wuduk, orang yang hidup dengan Quran, pahala dia bukan jatuh atas kepala dia sorang.
Tempias dia kena sekeliling.
Kadang aku duduk dalam kereta, dengar dia baca Quran, aku pandang stereng, aku pandang jalan, aku fikir
“Patutlah hidup aku ni walaupun kasar, walaupun kotor dengan najis kambing, hati aku Allah masih bagi tenang.”
Rupanya dalam hidup ni bukan siapa paling kuat yang Allah jaga.
Tapi siapa yang paling lama duduk dalam keadaan suci. Dan sejak hari tu, setiap kali aku ambil wuduk, aku tak rasa aku tengah basuh muka.
Aku rasa aku tengah jemput malaikat duduk dekat dengan hidup aku.
Dan bila malaikat dekat, jalan jauh pun rasa dekat, malam gelap pun rasa cerah, dan hidup yang penat pun rasa berbaloi

No comments:
Post a Comment
Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”