Tuesday, 7 October 2025

WANGIAN CINTA BUAT PERTIWI

 Assalamualaikum

.



Alhamdulillah tiga naskhah selamat kepenerimaan kakpidah kiriman Cikgu Nazim Mohd Subari. Terima kasih banyak cikgu sudi hadiahkan kak karya istimewa. Baik budi cikgu moga Allah membalasnya dengan ganjaran sempurna. Kak doakan tiasa afiat sejahtera, murah rezeki dan sukses dunia akhirat, rajin berkarya.
Naskhah tersebut ialah GURINDAM NURANI INSAN, RAHSIA SAHABAT, WANGIAN CINTA BUAT PERTIWI.
GURINDAM INSANI merupakan himpunan 88 puisi tradisi genre gurindam karya penulis pemula dan sahabat penulis antaranya, Yahti Hayati, Pak Ngah, Salmah Amir Hamimah Ibrahim Sabarah Nor Salleh, Pena Permai, Nazrey Nazim, Mustafa Siraj.
Dan gurindam kakpidah berjudul Budi Bahasa juga turut terselit. Tahniah Cikgu Nazim Mohd Subari dan Ustazah Aida Norjumilah Abdullah selaku penyelenggara dan penerbitnya SYFE.
WANGIAN CINTA BUAT PERTIWI naskhah genre puisi sajak himpunan70 sajak indah bermakna karya Nazim MS. Penulis ini telah menerima hadiah Tokoh Puisi Negeri Johor 2025. Sajak Cikgu Nazim MS juga tiasa jadi pilihan deklamator untuk deklamasi dalam pelbagai acara puisi. Tahniah Cikgu Nazim Mohd Subari dan penerbitnya PENA PADU.
Naskhah RAHSIA SAHABAT genre sastera kanak-kanak merupakan kumpulan empat belas cerpen pelbagai tema. Amat menarik kisahnya ditelusuri hingga usai. Mengandungi ibrah santunan minda karya Cikgu Nazim Mohd Subari. Tahniah cikgu dan penerbitnya SNE.
Sekiranya ingin memiliki naskhah sastera istimewa ini sila hubungi penulisnya @facebook. Harganya sederhana dan mampu milik.

WANGIAN CINTA BUAT PERTIWI

Genre: Puisi Moden
Penulis: Nazim Mohd Subari
Penerbit: PENA PADU
ISBN: 789672 994588 (Sastera Puisi)
Bilangan Muka Surat: 86
Harga: RM25
Tahun Terbitan: 2025
Pengulas: Paridah Ishak

WANGIAN CINTA BUAT PERTIWI ialah sebuah antologi puisi moden yang menghimpunkan 70 sajak indah dan sarat makna karya penulis yang menggunakan nama pena Nazim MS. Beliau merupakan seorang pesara guru yang berpengalaman luas dalam penulisan pelbagai genre sastera. Pada tahun 2025, beliau telah menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Puisi Negeri Johor. Sajak-sajak beliau turut menjadi pilihan para deklamator dalam pelbagai majlis dan acara puisi.

Keseluruhan sajak dalam naskhah ini berteraskan tema patriotik. Penulis berjaya menyemarakkan semangat kecintaan kepada tanah air melalui pemilihan diksi yang jelas dan mudah difahami. Struktur rangkapnya tidak seragam; kebanyakannya panjang dan berbentuk prosa sajak. Walaupun tidak sarat dengan metafora atau simbolisme yang kompleks, keindahan bahasa tetap menyerlah dan mesej yang ingin disampaikan sampai dengan berkesan sesuai dengan tajuk dan intipatinya.

Berikut petikan daripada sebuah sajak berjudul “Cinta Tanah Air” dalam naskhah ini:

CINTA TANAH AIR
Tanah airku, bumimu yang permai
sedamai wajah kasihku
berlagu cinta padu
janji teguh hanya untukmu

Tanah airku, budimu yang harum
sewangi rela jiwaku
berbunga bakti jitu
di dada waktu bersemi selalu

Tanah airku, setiap musim berganti
akanku selusuri jejak berliku
di situ ada kerlipan lampu
sejarah silam menyinari kalbu

Tanah airku, makmur dan syukur
seiring langkah citaku
membenteng dada menghampar rindu
demi kasihku padamu

Syabas diucapkan kepada Cikgu Nazim Mohd Subari dan penerbitnya, PENA PADU, atas penerbitan naskhah bermakna ini.


1 comment:

  1. selamat sampai ke tangan pencinta puisi , alhamdulillah menjadi koleksi berharga pastinya..

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist