Assalamualaikum
WANGIAN CINTA BUAT PERTIWI
Genre: Puisi Moden
Penulis: Nazim Mohd Subari
Penerbit: PENA PADU
ISBN: 789672 994588 (Sastera Puisi)
Bilangan Muka Surat: 86
Harga: RM25
Tahun Terbitan: 2025
Pengulas: Paridah Ishak
WANGIAN CINTA BUAT PERTIWI ialah sebuah antologi puisi moden yang menghimpunkan 70 sajak indah dan sarat makna karya penulis yang menggunakan nama pena Nazim MS. Beliau merupakan seorang pesara guru yang berpengalaman luas dalam penulisan pelbagai genre sastera. Pada tahun 2025, beliau telah menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Puisi Negeri Johor. Sajak-sajak beliau turut menjadi pilihan para deklamator dalam pelbagai majlis dan acara puisi.
Keseluruhan sajak dalam naskhah ini berteraskan tema patriotik. Penulis berjaya menyemarakkan semangat kecintaan kepada tanah air melalui pemilihan diksi yang jelas dan mudah difahami. Struktur rangkapnya tidak seragam; kebanyakannya panjang dan berbentuk prosa sajak. Walaupun tidak sarat dengan metafora atau simbolisme yang kompleks, keindahan bahasa tetap menyerlah dan mesej yang ingin disampaikan sampai dengan berkesan sesuai dengan tajuk dan intipatinya.
Berikut petikan daripada sebuah sajak berjudul “Cinta Tanah Air” dalam naskhah ini:
CINTA TANAH AIR
Tanah airku, bumimu yang permai
sedamai wajah kasihku
berlagu cinta padu
janji teguh hanya untukmu
Tanah airku, budimu yang harum
sewangi rela jiwaku
berbunga bakti jitu
di dada waktu bersemi selalu
Tanah airku, setiap musim berganti
akanku selusuri jejak berliku
di situ ada kerlipan lampu
sejarah silam menyinari kalbu
Tanah airku, makmur dan syukur
seiring langkah citaku
membenteng dada menghampar rindu
demi kasihku padamu
Syabas diucapkan kepada Cikgu Nazim Mohd Subari dan penerbitnya, PENA PADU, atas penerbitan naskhah bermakna ini.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”