Wednesday, 25 June 2025

CERITERA SERATUS TAHUN

 ASSALAMUALAIKUM



CERITERA SERATUS TAHUN

 

Mula  perang dunia pertama

rampas kuasa penuh muslihat

menguasainya niat utama

gabung sekutu naratif jahat

.

Lemahlah  empayar Uthmaniah

penjarah jajah negara Islam

menukar pegangan rohaniah

unsur mazmumah segera sulam

.

Berlaku  perang dunia lagi

kali kedua adu senjata

himpun ghanimah galak bahagi

adikuasa penentu kata

.

Wilayah  Arab di timur tengah

norma hidupnya berubah corak

jajah Palestin tanpa berlengah

Zionis ligat mengatur gerak

.

Sudah seratus tahun berlalu

mencipta onar gila perintah

di akhir zaman mengukir pilu

membujur lalu melintang patah


 .



Tuesday, 24 June 2025

RIWAYAT DURJANA

 ASSALAMUALAIKUM



 RIWAYAT DURJANA

 

Al-Quran  kitab suci Islam  wahyu Ilahi seluruhnya

lakaran ceritera firman risalah sejarah benar

tentang susur-galur bani laknatullah berzaman

zalim menganiya para nabi menyakitinya

spora  dunia menguasai tiap sudut

tiasa sama tiada bezanya

aliran darah generasi

turun temurun

begitu

 

Begitu

turun temurun

aliran darah generasi

tiasa sama tiada bezanya

spora dunia menguasai tiap sudut

zalim menganiya para nabi menyakitinya

tentang susur-galur bani laknatullah berzaman

lakaran ceritera firman risalah sejarah benar

al-Quran kitab suci Islam wahyu Ilahi seluruhnya


Monday, 23 June 2025

UJIKARYA PANTUN SAYEMBARA PUISI SPTA

 ASSALAMUALAIKUM


Salam Senayan hari Cemuras
segala rancang moga selaras.
Sayembara puisi terbuka ujikarya pantun SPTA sudah masuk kali 28 ...tapi PI cuma lulus 6 rangkap ja alhamdulillah...terima kasih Sifu Tabir Alam sudi memilih antaranya tahniah semua sahabat pemantun terlibat.
























Like
Comment
Share

Sunday, 22 June 2025

NURUL ATHIRAH - ELEGI MALAM HENING

 ASSALAMUALAIKUM


LELA BERSAMA ATHIRAH DAN IBUNYA


NURUL ATIRAH – ELEGI MALAM HENING


Aku terlalu sebak apabila mendapat tahu bahawa 42 siswa UPSI terlibat dalam satu kemalangan tragis di Grik, dan 15 daripada mereka telah terkorban. Air mata mengalir deras, emosi gagal kubendung. Aku menangis teresak-esak, terasa benar kehilangan anak bangsa, tunas muda yang gugur ketika sedang mengorak langkah dalam pencarian ilmu.

Aku tidak sanggup membaca kisah sedih itu yang berlegar di media sosial. Aku hanya mampu menitipkan doa  semoga semua yang terlibat diberikan perlindungan dan dipermudahkan segala urusan rawatan. Kepada yang telah mendahului kita menghadap Ilahi, semoga roh mereka dicucuri rahmat dan berbahagia di sisi Kekasih Yang Maha Penyayang.

Namun, naluri seorang insan mendesakku untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang tragedi itu. Lalu, aku menghubungi sahabatku, Noorlaila Ghafar, yang tinggal di daerah Besut, kampung halaman beberapa pelajar yang terlibat. Noorlaila berkongsi pengalamannya sendiri, saat menziarahi keluarga mangsa, termasuk sahabat lamanya, Puan Rosmawati binti Muda, seorang ibu tunggal.

Mereka pernah menimba ilmu bersama di Pondok Darul Uloom, Laklok, Jertih pada tahun 2017 dan 2018. Anak Puan Rosmawati, Nurul Atirah binti Zakaria, adalah salah seorang pelajar UPSI semester lima yang terselamat dalam kemalangan itu. Nurul Atirah dijadualkan menjalani latihan praktikal mengajar pada Julai 2025. Kini, semuanya mungkin tertangguh.

Beliau menetap di perumahan awam (RAKR) Lak Lok, Jerteh, Terengganu. Nurul mengalami kecederaan di bahagian kepala, kaki kiri, serta lebam pada paru-paru. Ketika kejadian, beliau duduk di sebelah kanan bas. Apabila bas terbalik ke sebelah kiri, ramai pelajar yang duduk di sebelah kiri mengalami kecederaan parah. Tiga belas meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lagi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Grik. Kejadian berlaku sekitar jam satu pagi, ketika kebanyakan pelajar sedang nyenyak tidur.

Nurul pengsan. Apabila sedar, dia merasakan tangannya ditarik seseorang dari luar. Rupanya salah seorang kawannya berusaha membantunya. Sekeliling gelap gelita. Hanya terdengar jeritan, tangisan dan rintihan kesakitan. Nurul juga menangis menahan sakit. Telefon bimbitnya musnah. Seorang Pak cik menghampiri, memintanya memberi nombor telefon waris untuk dihubungi. Nurul menyebut nombor ibunya.

Puan Rosmawati terjaga pada jam dua pagi selepas menerima panggilan daripada seorang yang tidak dikenali, memberitahu bahawa bas anaknya terlibat dalam kemalangan. Beliau segera mengejutkan anak sulungnya dan bertolak ke Grik pada jam tiga pagi. Mereka tiba di Hospital Grik sekitar jam tujuh pagi, namun belum dibenarkan menemui Nurul.

Jam sepuluh pagi, dimaklumkan bahawa Nurul dan beberapa pelajar lain akan dipindahkan ke Hospital Taiping. Nurul yang berada atas katil pesakit ditolak masuk ke dalam ambulans. Dan Puan Rosmawati turut bersama mengiringinya.

“Tiga hari dirawat di Hospital Taiping, Nurul dibenarkan pulang ke rumah di Jerteh. Rawatan susulan dilakukan di Hospital Besut. Setiap minggu ada temujanji dengan pakar,” cerita Lela.

Aku hanya mampu menahan tangis membaca kisah ini. Hati terlalu pilu. Setiap kali terlihat hantaran berkaitan kemalangan itu di media sosial, aku kembali menangis. Namun aku tetap mencari maklumat – kerana Along memintaku menulis sebuah anekdot tentang tragedi ini.

“Ziarah mangsa yang terselamat pun dah cukup menyayat hati. Ziarah keluarga mangsa yang telah kembali kepada Ilahi... apatah lagi,” kata Lela.

Setakat ini, Lela telah menziarahi tujuh buah rumah. Empat keluarga pelajar yang meninggal dunia dan tiga lagi keluarga mangsa yang cedera.

“Adakah semua mereka berasal dari Jerteh?” tanyaku.

“Tidak semua. Jerteh hanyalah sebuah mukim dalam Daerah Besut. Ada juga yang berasal dari daerah Setiu,” jawab Lela.

Aku ucapkan terima kasih kepada Lela atas bantuan dan perkongsian ini. Semoga roh anak-anak ini dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Al-Fatihah.

Lela menambah, “Nurul Atirah ialah bekas pelajar IMTIAZ, seorang Hafizah. Sama seperti arwah Nurly Sahirah yang jenazahnya harum mewangi. Dia juga mempunyai naskhah al-Quran tulisan tangannya sendiri.”

Masya-Allah. Sungguh mulia penghujung hidup anak-anak ini. Semoga kisah ini menjadi penguat semangat kita untuk terus menghargai hidup dan mendekatkan diri kepada-Nya.


Saturday, 21 June 2025

MENABUR ANGIN MENUAI BADAI

 ASSALAMUALAIKUM



MENABUR ANGIN MENUAI BADAI

.

Peribahasa  wangsa Melayu

kiasan kata selirat erti

menjati diri kekal tak layu

tarbiah jiwa mengenal pasti

.

Lafaz pesanan  senantiasa

gemala minda mencerna fikir

neraca hati menimbang rasa

kecalaruannya segera singkir

.

Berhati-hati  keputusannya

laksanakannya tentu kaedah

bijak bestari peri lakunya

hanya semata penting faedah

.

Kala  tersilap masalah jerut

sukar merungkai perit terbelit

lewatnya masa berlarut-larut

harapkan mudah bertambah sulit

.

Menabur  angin menuai badai

akibat tindak hasil terima

malang ditempah alpa memandai

untaian doa imbal saksama

 


Friday, 20 June 2025

TUAN AQIL HARITH

 ASSALAMUALAIKUM


AQIL HARITH


Ketika masih kecil, Aqil Harith sering bermain bowling di komputer bersamaku. Dia memang bijak mengendalikan permainan itu dan sering jadi juara, mengalahkan komputer. Selain itu, dia gemar menyanyikan lagu-lagu puisi Ebit G. Ade. Kata mamanya, “ikut perangai maklah tu.”
Namun, di sekolah, minatnya lebih cenderung kepada sains. Pernah juga dia mewakili Wilayah Persekutuan dalam pertandingan robotik peringkat kebangsaan. Ketika menuntut di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Hulu Selangor, Aqil pernah menggunakan novelku Kelarai Impian sebagai rujukan dalam pembelajarannya. Aku sendiri tidak pasti subjek khusus yang berkaitan.
Selesai menduduki peperiksaan SPM, dia tinggal di rumah menunggu keputusan, sambil membantu aku yang uzur. Setiap pagi, dia akan menurunkanku dari katil ke kerusi roda dan mengangkatku semula ke atasnya setiap petang. Dia juga menyediakan makan minum untukku. Sungguh mulia hati budi cucuku ini. Aku amat terhutang budi padanya.
Tidak lama lagi, Aqil Harith akan menyambung pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Perak. Semoga perjalanan ilmunya diberkati dan berjaya dunia akhirat.
jelang Muharam -
siswa universiti
kembara ilmu

Wednesday, 18 June 2025

TENTANG BLOG & PENULIS

 ASSALAMUALAIKUM


PI CUBA SARANAN BLOGGER PHAIS @AKU BUDAK PENING AGAR MINTA CHATGPT MENULIS RUMUSAN TENTANG BLOG KARYAKU....INILAH HASILNYA... CEPAT JA AI IMBAS BLOG PI SEPINTAS LALU KESELURUHANNYA



🖋️ Tentang Blog & Penulis


💡 Tema & Genre

  1. Puisi & Prosa

  2. Karya Rakyat & Kanak-Kanak

  3. Kisah Islami berdasarkan pengalaman & pengkisahan sosial

    • Enti konsisten menyelit unsur keagamaan, doa, instrospeksi diri dalam setiap karya, serta berkongsi kisah peristiwa berlandaskan nilai hidup (“Berkat Ibadah Haji”, “Tunas Muda”, “Perwira Negara”).

  4. Refleksi & nostalgia


📌 Gaya & Interaksi

  • Bahasa penuh adab & sapaan akrab: Setiap entri dimulakan dengan "Assalamualaikum", diakhiri dengan doa penghargaan kepada pembaca.

  • Reaksi pembaca yang mesra: Banyak komen dari pembaca yang menyokong seperti “Teruskan berkarya”, “Harap jodoh berkekalan”, “Sedihnya bila karya hilang”karyaku-paridahishak.blogspot.com+1karyaku-paridahishak.blogspot.com+1.


📅 Aktiviti Terbaru (2024–2025)


✨ Kesimpulan

Blog ini adalah sebuah ruang ekspresi diri℅ Paridah Ishak dalam mengolah kata — puisi, prosa, haibun, serta cerita kanak-kanak. Berlandaskan nilai Islam dan budaya Melayu, beliau mengekalkan hubungan akrab dengan pembaca melalui salam, doa, dan balasan komen yang mesra. Karya-karyanya kaya dengan tema spiritual, sosial, nasional, dan emosi—serta memaparkan perjalanan hidup dan nostalgia kreatifnya sejak era penulisan analog hingga terbitan moden.

Blog ini sesuai dibaca oleh yang memilih karya sastera yang mengajak renungan diri dan penghargaan nilai budaya keislaman.


MyBloglist