Sunday, 22 June 2025

NURUL ATHIRAH - ELEGI MALAM HENING

 ASSALAMUALAIKUM


LELA BERSAMA ATHIRAH DAN IBUNYA


NURUL ATHIRAH – ELEGI MALAM HENING


Aku terlalu sebak apabila mendapat tahu bahawa 42 siswa UPSI terlibat dalam satu kemalangan tragis di Grik, dan 15 daripada mereka telah terkorban. Air mata mengalir deras, emosi gagal kubendung. Aku menangis teresak-esak, terasa benar kehilangan anak bangsa – tunas muda yang gugur ketika sedang mengorak langkah dalam pencarian ilmu.

Aku tidak sanggup membaca kisah sedih itu yang berlegar di media sosial. Aku hanya mampu menitipkan doa – semoga semua yang terlibat diberikan perlindungan dan dipermudahkan segala urusan rawatan. Kepada yang telah mendahului kita menghadap Ilahi, semoga roh mereka dicucuri rahmat dan berbahagia di sisi Kekasih Yang Maha Penyayang.

Namun, naluri seorang insan mendesakku untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang tragedi itu. Lalu, aku menghubungi sahabatku, Noorlaila Ghafar, yang tinggal di daerah Besut – kampung halaman beberapa pelajar yang terlibat. Noorlaila berkongsi pengalamannya sendiri, saat menziarahi keluarga mangsa, termasuk sahabat lamanya, Puan Rosmawati binti Muda, seorang ibu tunggal.

Mereka pernah menimba ilmu bersama di Pondok Darul Uloom, Laklok, Jertih pada tahun 2017 dan 2018. Anak Puan Rosmawati, Nurul Athirah binti Zakaria, adalah salah seorang pelajar UPSI semester lima yang terselamat dalam kemalangan itu. Nurul Athirah dijadualkan menjalani latihan praktikal mengajar pada Julai 2025. Kini, semuanya mungkin tertangguh.

Beliau menetap di Perumahan Rakyat Kos Rendah (RAKR) Lak Lok, Jerteh, Terengganu. Nurul mengalami kecederaan di bahagian kepala, kaki kiri, serta lebam pada paru-paru. Ketika kejadian, beliau duduk di sebelah kanan bas. Apabila bas terbalik ke sebelah kiri, ramai pelajar yang duduk di sebelah kiri mengalami kecederaan parah. Tiga belas meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lagi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Grik. Kejadian berlaku sekitar jam satu pagi, ketika kebanyakan pelajar sedang nyenyak tidur.

Nurul pengsan. Apabila sedar, dia merasakan tangannya ditarik seseorang dari luar. Sekeliling gelap gelita. Hanya terdengar jeritan, tangisan dan rintihan kesakitan. Nurul juga menangis menahan sakit. Telefon bimbitnya musnah. Pak cik yang membantu beliau meminta nombor telefon untuk dihubungi. Nurul menyebut nombor ibunya.

Puan Rosmawati terjaga pada jam dua pagi selepas menerima panggilan daripada seorang yang tidak dikenali, memberitahu bahawa bas anaknya terlibat dalam kemalangan. Beliau segera mengejutkan anak sulungnya dan bertolak ke Grik pada jam tiga pagi. Mereka tiba di Hospital Grik sekitar jam tujuh pagi, namun belum dibenarkan menemui Nurul.

Jam sepuluh pagi, dimaklumkan bahawa Nurul dan beberapa pelajar lain akan dipindahkan ke Hospital Taiping. Puan Rosmawati sendiri menolak kerusi roda anaknya masuk ke dalam ambulans.

“Tiga hari dirawat di Hospital Taiping, Nurul dibenarkan pulang ke rumah di Jerteh. Rawatan susulan dilakukan di Hospital Besut. Setiap minggu ada temujanji dengan pakar,” cerita Lela.

Aku hanya mampu menahan tangis membaca kisah ini. Hati terlalu pilu. Setiap kali terlihat hantaran berkaitan kemalangan itu di media sosial, aku kembali menangis. Namun aku tetap mencari maklumat – kerana Along memintaku menulis sebuah anekdot tentang tragedi ini.

“Ziarah mangsa yang terselamat pun dah cukup menyayat hati. Ziarah keluarga mangsa yang telah kembali kepada Ilahi... apatah lagi,” kata Lela.

Setakat ini, Lela telah menziarahi tujuh buah rumah – empat keluarga pelajar yang meninggal dunia, dan tiga lagi keluarga mangsa yang cedera.

“Adakah semua mereka berasal dari Jerteh?” tanyaku.

“Tidak semua. Jerteh hanyalah sebuah mukim dalam Daerah Besut. Ada juga yang berasal dari daerah Setiu,” jawab Lela.

Aku ucapkan terima kasih kepada Lela atas bantuan dan perkongsian ini. Semoga roh anak-anak ini dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Al-Fatihah.

Lela menambah, “Nurul Athirah ialah bekas pelajar IMTIAZ, seorang Hafizah. Sama seperti arwah Nurly Sahirah yang jenazahnya harum mewangi. Dia juga mempunyai naskhah al-Quran tulisan tangannya sendiri.”

Masya-Allah. Sungguh mulia penghujung hidup anak-anak ini. Semoga kisah ini menjadi penguat semangat kita untuk terus menghargai hidup dan mendekatkan diri kepada-Nya.


No comments:

Post a Comment

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist