Friday, 28 February 2025

JUADAH RAMADAN

 ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA



JUADAH RAMADAN

Jiran-jiranku di kampung berasal dari negeri yang berlainan. Ketika Ramadan, mereka akan menyediakan juadah kegemaran masing-masing.

Imah, jiranku di sebelah kanan, berasal dari Selangor. Beliau gemar memasak pecal dan pelbagai hidangan lain. Aku berpeluang merasai keenakan masakannya apabila dia menghantarnya kepadaku menjelang waktu berbuka puasa.

Jiranku di sebelah kiri pula berasal dari Kelantan. Kak Idah sering menyediakan nasi kerabu, kuih lompat tikam, dan pelbagai kuih-muih manis. Ada sahaja rezeki untukku menikmati juadah masakannya.

Sementara itu, Kak Fauziah, jiranku di hadapan rumah, berasal dari Kedah sesekali akan membuat tepung bungkus. Beliau jarang memasak lauk-pauk kerana suaminya menyediakan lauk berbuka di masjid. Namun, sedikit daripada masakan itu akan dibawa pulang ke rumah. Kak Fauziah juga tidak lupa menghantar sedikit juadah kepadaku.

Sebagai tanda penghargaan, aku membalas setiap pemberian juadah daripada jiran-jiranku dengan kuih-muih yang kubeli. Terima kasih banyak, jiran-jiranku yang baik budi!

 

menu Ramadan –

juadah beraneka

rahmah budaya


Thursday, 27 February 2025

BERTEMU DAN BERPISAH

 ASSALAMALAIKUM





BERTEMU DAN BERPISAH

Padat kemumu sebasah mati,
ganti mengkudu, berangan tua,
adat bertemu berpisah pasti,
ubati rindu dengan berdoa.
.
Bergerak rusa rata merewang,
menyisih jati sengkal di situ;
jarak dan masa semata ruang,
kasih sejati kekal bersatu.
.
Lilau menyesah pauh terkena,
galah dilunjur masih tergoyang;
walau berpisah jauh di sana,
biarlah jujur berkasih sayang.
.
Basah selasih lusuh seperdu,
mula meramu buah bidara;
berpisah kasih merusuh rindu,
kala bertemu luah bicara.
.
Serak sebasah gunakan tangan,
suguh keranji abrar mulia;
jarak pemisah bukan halangan,

berteguh janji ikrar setia.

Wednesday, 26 February 2025

AHLAN WASAHLAN RAMADAN AL-MUBARAK

 ASSALAMUALAIKUM






AHLAN WASAHLAN RAMADAN AL-MUABARAK (Akrostik) A-bidin setia menanti hadirmu H-ari berganti mendakap sabar L-ambat-laun sinarmu menyerlah A-daptasi reda berpasrah membaca surat-Nya N-an telah terlipat di Loh-Mahfuz W-alakian demikian A-anggapan tidak pernah pesimis S-ilang-silang rapat sulam kelarai A-sa biar tegar teguh H-adapi ujian getir Ramadan L-orong yang ditentukan untuk dilalui A-gar jiwa kersani diduga puasa segala N-yaman rasai nikmat bahagia rahmat-Nya R-aup syukur berwirid tasbih tahlil A-lhamdulliah hamba bersujud takwa M-ohon ampunan dosa yang lalu A-tau tersembunyi tidak tersedari D-alam kealpaan merentak langkah hayat A-sbab walau semata alasan N-amun doa berulang tiasa A-llah Yang Esa L-ailahaillallah M-asih mengalung untaian harap U-ntuk bertemu Ramadan indah B-ersatu siang malam salam ibadah A-tma menyerap murni cinta R-ahman Rahim Ilahi A-smanya memaknai menyeluruhi K-eperluan jiwa raga hamba sesungguhnya PARIDAH ISHAK Desa Melor Serendah 26/2/025

Tuesday, 25 February 2025

BERHATI-HATI

 ASSALAMUALAIKUM


Salam Selasa moga bahagia afiah sentosa.
Alhamdulillah puisi gurindam; BERHATI-HATI karya PI disiar majalah DEWAN BUDAYA DBP edisi Mac 2025 ....terima kasih banyak kesudian Editor...terima kasih banyak dik Cikgu Sarah berkongsi info....jom dapatkan DEWAN BUDAYA sebagai tanda sokongan pada karyawan sastera seraya peroleh ilmu bermanfaat pelbagai input perkongsian penerbit.





Monday, 24 February 2025

MENANTI NUR RAMADAN

 ASSALAMUALAIKUM


MENANTI NUR RAMADAN





Ramadan jelang menegur sapa

hadir cahaya ternanti-nanti

penjuru waktu hanya sedepa

herlalu detik silih berganti

.

Hamba sahaya serata alam

beriman yakin demi Pencipta

gigih beramal siang dan malam

damba reda-Nya semata-mata

.

Harap kasih-Nya memohon restu

tegakkan iman pasak bersungguh

sujud bertakwa pada Yang Satu

jitu sejati berdiri teguh

.

Madrasah Ramadan bakal buka

tarbiah jiwa murni insani

puasa wajib tentu ketika

hulur sedekah sana dan sini

.

Janji Ilahi semat di kalbu

erat mendakap kemas genggaman

ganjar pahala berderu-deru

lailatul-qadar rahmat idaman

Sunday, 23 February 2025

MENITI SYAABAN MENANTI RAMADAN

 ASSALAMUALAIKUM





MENITI SYAABAN MENANTI RAMADAN

,

Ramadan  mulia jelang tiba

meniti Syaaban amal ibadah

siang dan malam atas sejadah

bersujud takwa selayak hamba

 

.

Berulit  sayu terasa hiba

kenangan lalu merusuh gundah

Ramadan  mulia jelang tiba

meniti Syaaban amal ibadah

.

Merenung  masa telah berlalu

membawa pergi insan tersayang

senyuman manis masih terbayang

mengenangkannya direnggut pilu

Ramadan  mulia jelang tiba

meniti syaaban  amal ibadah


Saturday, 22 February 2025

DOA HAMBA

 ASSALAMUALAIKUM




DOA 




Demi Allah Subhanahuwataala,

moga ampuni dosa hamba segala .


Bermula bismillah nazam kukarang,

apa yang tersurat dinyatakan terang.


Hanya kepada-Mu hamba-Mu beriman,

dunia dan akhirat mengharapkan nyaman.


Harapan semoga tiasa selesa,

sehingga akhirnya harmoni sentosa.


Demi Muhammad Rasul junjungan umat,

selawat dan salam lafaz tiada tamat.


Tiada terlupa di dalam kenangan,

siang dan malam tidak berhujungan,


Berdoalah hamba di atas sejadah,

segala urusan agar dipermudah.


AIlahu Rabbi nyata Maha Mendengar,

walaupun terdetik sembunyikan hingar.


Tiada apapun aral yang menggundah,

berdoa bersungguh tangan nan ditadah.


Hindarkanlah segala bahaya petaka,

yang menyeret hamba ke dalam neraka.



Allah hamba mohon doa diperkenan,

semua ujian berupa pesanan.


Berakhirlah sudah karangan nazamku.

sekadar luahan rasa kalbu terbuku


Demi Allah Subhanahuwataala,

moga ampuni  dosa hamba segala .

Friday, 21 February 2025

SANTAN KELAPA

 ASSALAMUALAIKUM



SANTAN KELAPA


Harga santan kelapa kini semakin mahal, seiring dengan peningkatan kos sara hidup. Walaupun santan bukanlah bahan masakan harian bagi kebanyakan orang, permintaannya meningkat terutama menjelang Ramadan dan musim perayaan.

Aku juga tidak terkecuali daripada membeli santan bagi memudahkan urusan memasak, meskipun di sekeliling rumahku terdapat banyak pokok kelapa. Dahulu, aku sering menggunakan kelapa sendiri, malah mesin pemarut kelapa tersedia di sudut dapur. Namun, itu hanyalah kenangan. Kini, aku terpaksa meninggalkan rumah di kampung kerana keuzuranku.

Pokok kelapa yang kutanam masih berbuah, tetapi hasilnya kini menjadi rezeki jiran-jiranku. Aku rela dan menghalalkannya buat sesiapa sahaja yang mengambilnya. Bagiku, rezeki adalah anugerah Allah yang melimpah-ruah. Mustahil  untuk kita cempung semuanya.

 

buah kelapa

pohon keliling rumah –

amal rohani


Wednesday, 19 February 2025

KEMURUNGAN

 ASSALAMUALAIKUM


Salam Rabu meniti Syaaban menanti Ramadan
Alhamdulillah sajak; KEMURUNGAN karya PI disiar SUARA SARAWAK 16 Feb 2025 ....terima kasih banyak kesudian Editor...terima kasih banyak dik Eiza Nashwa @GRUP ALUMNI ASN berkongsi info....tahniah dik Rozeline Vitalis n Solihin Osman turut berkongsi ruang karya.


KEMURUNGAN

 

Kujemu mengejar kemahuan,
kutermengah dalam kelelahan. Kusut kemelut yang kukirai,kadangkala kecewa menyapa,
Kumengadu  perih gelisah  menghimpit.

Kepada Khalik kubermohon, Kau  kurniakanku kekuatan, keceriaan  hilang kembali. Kuasa dan keupayaan,
kemurungan ini ingin kuatasi—
katarsis kupohon.

Kelainan terasa kini,
keberdayaanku berbeza sudah.
Kuterima kehendak Kekasihku,
kuteruskan kehidupan,
meski kian kuhampiri kesudahannya.

 

PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah

2/2/025

 

 



Tuesday, 18 February 2025

KARYA KREATIF

 ASSALAMUALAIKUM



KARYA KREATIF
Aku terkenangkan sahabatku yang aktif menulis suatu ketika dulu. Tapi kini telah mendiamkan diri daripada menghasilkan sebarang karya penulisan setelah bersara. Suatu ketika dulu beliau telah menulis cerpen yang menimbulkan kontroversi. Dan beliau dipersalahkan kerana kononnya mengisahkan kejadian yang beraku persekitaran kerjanya. Dan maksudnya dituju pada seseorang berkepentingan sehingga beliau terpaksa ditukarkan ke sekolah lain justeru beliau seorang guru. Pihak pentadbiran tidak menerima alasan beliau bahawa cerpen tulisannya hanya karya kreatif. Mungkin itu sebabnya beliau tidak mahu menulis lagi lantaran terpaksa berhadapan dengan risiko yang tidak diduga walau hanya berkarya kreatif. Situasi beliau pernah aku alami tika karyaku disiar akhbar kerana ada yang komen kononnya aku tidak menulis perkara sebenar. Tapi aku buat bodoh saja.

Hari Penulis –
karya coretan pena
interpretasi

Monday, 17 February 2025

KEMBOJA PUTIH

 ASSALAMUALAIKUM




KEMBOJA PUTIH


Pohonnya rendah mekar bunganya

aroma harum seluruh ruang

kelopak gugur layu indahnya

tatkala malam berganti siang


Kemboja putih ambil sekuntum

selit di rambut seorang gadis

manis jelita senyum menguntum

semata riang berakhir   sadis


Teleku daku sepi sendiri

bahtera hayat membongkar sauh

kemboja putih meluntur seri

sahabat akrab melangkah jauh


Dikau tinggalkan daku di sini

semadi bawah kemboja putih

hanya memori kekal begini

kelak bersama tidak merintih

Sunday, 16 February 2025

ILHAM KARYA

 ASSALAMUALAIKUM



 ILHAM KARYA


“Lama tak menulis di Graha Karya, kenapa?”

“Ilham tiada.”

“Ilham ada ja kat rumah Yahti, Sifu kata. Cari ja kat sana.”

“Ish Kak Pidah ni! Itu Ilham anak Kak Yahti mestilah ada rumah Kak Yahti.”

“Carilah ilham tempat lain. Sambil memasak, sambil mengemas, sambil cabut rumpu di halaman rumah ka.”

“Ish Kak Pidah ni macam menteri pulak suruh cabut rumput dalam petak bendang.”

“Ya la, betullah tu sambil cabut rumput tentu otak ligat fikir, kenapalah rumput panjang sangat. Bolehlah tulis puisi baru ubah sikit-sikit tentu dah jadi.”

“Kak Pidah cakap senanglah. Saya n kalau ilham kering memang buntu. Tak tau dah nak tulis apa. Saya pun rehat dulu. Tunggu ilham turun dari langit.”

“Rugi tau hang tak tulis kat Graha. Sebab Sifu akan terbitkan antologi tiap bulan. Kalau karya kita Sifu pilih tentu tersenarai nama kita dalam antologi. Dan semua antologi terbitan SPTA tersimpan kemas dalam Perpustakaan Negara Malaysia. Jadi karya khazanah sastera warisan kita pada Negara. “

“Yaka?”

“Ya la. Kata Ruslina masa di ke Perpustakaan Negara dia jumpa banyak buku SPTA kat rak buku di sana. Agaknya rak Perpustakaan Negara penuh dengan buku SPTA karya kita ja heh..heh..”

“Amboih! Melampau tu heh..heh..”


Friday, 14 February 2025

SUSAH JUGA JADI ORANG

 ASSALAMUALAIKUM





SUSAH JUGA JADI ORANG

(Seloka)


Susah  juga jadi orang

selalu dibelek selalu dipandang

ada saja yang dibayang-bayang

sekujur diri jadi wayang


Kalau cantik paras rupa

dikata berjampi bermentera

cantik saja buat apa

sedang solat selalu alpa.

 

Pabila dilihat berbahagia

rumah tangga aman sempurna

suami/isteri gembira bersama

eh..eh ..katanya suami tu dah diguna-guna.


Fakir miskin dihina nista

konon sengaja meminta-minta

kederat tenaga disimpan saja

malas berusaha itulah akibatnya.

 

Mahakaya  pun tak terkecuali

dipandang sinis harta yang dimiliki

daripada manalah sumber itu ini

korupsi kot atau harta curi.


Heh...heh susah juga jadi orang

jangan fikir nak senang lenang

apa dibuat semua dipandang

yang diatas tu sedang menulis sedang menimbang.


Kita ni hanyalah hamba

tidak sesempurna mana

tidak layak menjuri sesiapa

buang prasangka bersihkan jiwa.



PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah

14/2/025

Thursday, 13 February 2025

ANTOLOGI SAJAK PERTAMA

 ASSALAMUALAIKUM





ANTOLOGI SAJAK PERTAMA

 

Sajakku yang pertama disiar media massa hilang entah ke mana. Jadi tidaklah dapat aku sertai antologi Sajak Pertama yang sedang diusahakan penerbitannya oleh penyair mapan Tuan Nawawee Mohamad.  Walau sahabatku penulis Noorlaila Ghafar berusaha mencarinya dalam perpustakaan kecil di rumahnya. Aku mulai menulis setelah tamat persekolahan. Beberapa karyaku disiar media massa. Tapi semuanya hilang. Mungkin aku tidak menjaga sebaiknya kerana menganggapnya bukan penting pun. Aku bercerita tentang itu pada Noorlaila. Dan beliau berusaha menjejak sajakku pernah disiar majalah Dewan Sastera edisi Disember 1978. Beliau menemuinya dan memberiku salinannya.  Ketika banjir melanda dihanyutkan pula. Kebetulan aku berada di rumah anakku di KL, tak dapatlah aku menyelamatkannya. Sekali Noorlaila memberitahuku suaminya iaitu Penyair Nawawee Mohamad telah menemui karyaku dalam  INDEKS PUISI MALAYSIA 1967-1987 terbitan DBP. Alhamdulillah. Teruja sungguh aku bagai menerima khazanah berharga. Rupanya karya sajakku berjudul “Perkahwinan” juga telah didokumentasi. Terima kasih banyak sahabatku Norlaila dan suaminya. Baik budinya disanjung tinggi. Tiada daya membalasnya. Ganjaran terbaik semoga Allah sempurnakannya. Aamiin.

 

Hari Puisi –

naskhah Dewan Sastera

santunan budi


Wednesday, 12 February 2025

GELOMBANG

 ASSALAMUALAIKUM



GELOMBANG





Laut

pasang surut

ombak landa pantai

desah pergi pulang pasti

tenang

.

Badai

sisih bayu

gelombang meninggi

gejolak jantung nelayan

gerun

..

Rusuh

galau tambah

renung suasana

mungkin berulang tsunami

lagi

.

Ribut

deru taufan

lambung biduk tinggi

bergantung talian hayat

doa 

Tuesday, 11 February 2025

LIZA AZIZ

 ASSALAMUALAIKUM


LUKISAN AI


LIZA AZIZ

 

Seleberiti   Liza Aziz dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza Astro 2025.  Aku  tiba-tiba terkenangkan ayahandanya seniman Aziz Jaafar. Kenapa pula? Sebabnya pada suatu ketika aku pernah bertemu seniman terkenal itu.  Suatu malam pihak pengurusan FELDA mengadakan pementasan kebudayaan di kampungku. Seniman Aziz Jaafar antara artis tterlibat. Aku melihat beliau berada sisi jendela  pentas merenung persekitarannya. Aku teruja menghampirinya. Lalu menghulurkan sesuatu pada seniman itu. Sesuatu  yang kecil dan amat sedikit nilainya. Beliau menerimanya sambil tersenyum. Mungkin beliau menerimanya sebagai menghargai pengagumnya. Mengenangkan insiden itu aku tersipu malu. Menyesal pun ada. Al fatihah. Didoakan semoga Allahyarham seniman Aziz Jaafar dan isterinya Normadiah berbahagia di sisi-Nya. Tahniah pada Liza Aziz terpilih juara Gegar Vaganza ternyata mewarisi darah seni  ibubapanya.

 

semilir dingin -

Seniman Aziz Jaafar

gemilang bintang


Monday, 10 February 2025

SESAT

 ASSALAMUALAIKUM


 

 


SESAT

 

“Lama kau tiada, ke mana?”

“Aku ke Indonesia.”

“Jalan-jalan tengok tempat orang ya?”

“Tak! Aku dengan kawan-kawan pergi kejar hantu.”

“Hah? Pelik tu. Tapi kau memang pelik pun. Suka buat kerja yang pelik-pelik.”

“Memang dah hobi aku gitu. Hobi kita masing-masing kan berbeza.”

“Ya aku tau. Tapi dapat tangkapkah hantu yang dikejar?”

“Tak dapat. Hutan di Indonesia tebal. Kawan-kawan aku ada yang sesat. Aku pula terpaksa cari mereka.  Hilanh cerita nak kejar hantu.”

“Hmm gitu pulak! Tapi kau nak buat apa dengan hantu? Lebih baik kau duduk rumah tanam sayur, bela ayam atau buat kerja yang berfaedah daripada kau buang duit keluar Negara cari hantu. Masa ni harga barang semua mahal. Tariff letrik naik. Kau pun bukan mahakaya. Marhaen macam aku juga."

“Itulah kau tak tau. Kejar hantu dah jadi kerjaya aku untuk cari duit nak bayar segala kos hidup kini. Sebagai penggiat media video.”

“Jangan sebab nak cari duit dengan kejar hantu kau makin tersesat jauh hingga tak jumpa  pulang sudah. Hantu syaitan ni kerjanya memang menyesatkan kita,”  


Sunday, 9 February 2025

UJIKARYA PANTUN

 ASSALAMUALAIKUM

PI MENYERTAI UJIKARYA PANTUN @GRAHA KARYA BARU-BARU INI TAPI HANYA BEBERAPA RANGKAP SAJA YANG LULUS...PANTUN RIMA SEMPURNA MEMANG INDAH DAN SEMPURNA BENTUKNYA...TAPI MEMANG SUKAR MEMBINANYA DENGAN SAMPIRAN RIMA SEMPURNA,

GRAFIK SIFU TABIR ALAM...TERIMA KASIH















Saturday, 8 February 2025

ISLAM

 ASSALAMUALAIKUM





ISLAM

(Rondel)



Agama  Islam akidah Muslim

umat Muhammad takwa beriman

amal ibadah sejak berzaman

sempurna akhlak ilmunya alim

.

Disanggah  jua hamba yang zalim

cetus angkara memang idaman

agama Islam akidah Muslim

umat Muhammad takwa beriman


.

Sesuka  hati campur urusan

pelbagai cara digunakannya

bicara megah dengan angkuhnya

Allah  melihat tentu balasan 

agama Islam akidah Muslim

umat Muhammad takwa beriman



PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah

8/2/025

Friday, 7 February 2025

RUANG SUNYI

 ASSALAMUALAIKUM



RUANG SUNYI


Dalam  ruang sunyi wujud diri

tanpa jeriji  tapi  penjara

sekian lama meniti hari

selimut duka kasurnya lara

.

Fikiran  jauh melayang-layang

singgah merata pohon memori

pengalamannya terbayang-bayang

bersulam rasa terdiam geri

.

Detik  berlalu begitu lambat

pagi   beransur menuju senja

terdesak gusar mahu menghambat

tetaplah jua begitu saja

.

Menanti  esok segera jelang

membuka kamar kuak jendela

terpadam sudah cerita malang

perih merusuh hapus segala

.

Masih  keliru berbaur rasa

simpang-perenang berliku-liku

tertanya-tanya senantiasa

ajaib cita damba berlaku


Thursday, 6 February 2025

PESANAN DATUK

 ASSALAMUALAIKUM




PESANAN DATUK

 

Datuk berpesan dia tak dengar

kata sengaja berbuat hingar

terlalu leka

bersuka-suka

terjatuh dalam danur yang bangar

.

Masih berlagak dengan angkuhnya

tidak peduli pesan datuknya

dari dahulu

langkah melulu

ditipu kawan hilang hartanya

.

Masalah dera salahkan datuk

berbakul-bakul hina mengutuk

sumpah seranah

bagai memanah

padah terima datuk mengetuk

.

Datuk memanglah tersangat tua

Hanya seorang bukannya dua

mendengar pesan

katanya bosan

akibat lewa lara bersua


Wednesday, 5 February 2025

PADAN MUKA

 ASSALAMUALAIKUM



PADAN MUKA

 

“Kau mahakaya kan?”

“Insya-Allah!”

“Tak lama lagi tariff letrik akan naik. Katanya untuk golongan mahakat macam kau. Padan muka.”

“Padan muka aku saja ka? Atau kita sama-sama padan muka?”

“Aku tentulah tak kena-mengena.”

“Kau yakin sangat ka? Aku kan pengilang makanan. Kalau tariff letrik naik tentulah kos produksi meningkat.  Rugilah aku.”

“Kesian kau!”

“Aku kan peniaga. Sentiasa ada strategi untuk mengelak rugi.”

“Oh! Apa caranya?”

“Tentulah aku akan naikkan harga barang yang kilang aku keluarkan.”

“Gitu pulak?”

“Takkan mahakaya saja nak padan muka. Sama-sama;ah kita padan muka.”

 


MyBloglist