Monday 27 May 2024

RERAMA HIJAU

 ASSALAMUALAIKUM



RERAMA HIJAU.
IA hinggap dibahuku sambil mengepak sayap tipisnya yang kecil. Hijau warnanya. Keseluruhannya hijau yang berkemilau. Seakan sebati ronanya dengan kehijauan alam yang sedang melingkungiku nuansanya yang terlalu luas mandalanya. Inginku sentuhinya lunak agar tidak mengejutkannya namun pantas pula ia berterbangan meninggalkanku dan hinggap pula di dedaunan hijau gelap yang rantingnya melempai menyentuhi kali yang mengalir jernih mencelahi batu-batu besar kecil yang tidak sekata rupa bentuknya dan tidak tersusun. Lanskap alam semula jadi yang indah lagi damai persekitarannya.
Ke mana pula hilangmu rerama hijau? Kau yang membawa aku mengikutimu hingga ke sini dan kini kau meninggalkan aku pula. Janganlah begitu! Janganlah tinggalkan aku sendirian di rimba belantara yang asing ini. Temanilah aku aduhai rerama hijau! Walau sebenarnya kau langsung tidak ada kaitan dengan langkahku atur untuk mengikutimu hingga ke sini. Barangkali juga kerana hatiku ralit sekali mengarang puisi tentang rimba ini. Puisi yang belum sempat kufikirkan tajuknya ini.
Indah taman rimbaku
menghantar lelah, bermain perah
mengutip merah saga
sesekali terlena, di bawah rendang tembusu.
Aku sering ke rimba ini,
mencari dedaun herba
kembang semangkuk, tongkat ali
menyusuri banir jejawi
bersirat akarnya hingga ke tepian paya.
Keruing, halban, tualang menjulang
nektar bunga, tumpuan lebah dan kelulut
menghimpun manis madu
riang tempua terbang kembali ke sarang.
Pesona flora aneka warna
melayut kemboja, kenanga
harum tanjung menyebar wangi
anggerik menumpang di dahan
meliuk-lambai dalam senyum
beralun membelai bayu.
Denai dan lorong meniti rimba
laluan fauna, kecil dan besar
kembara kehidupan penghuninya
harus kita lestarikan
kerana kita juga
ingin mengongsi rezeki milik-Nya.
Dan rerama mengepak sayap kecilnya mengiringi langkah kuatur dan tidak kutahu kemana hala destinasinya
rerama terbang membawa indah
warna-warni kepaknya
ke rimbun hutan dara
“Taman herba ini bersambung dengan hutan simpan bersebelahan, jadi kamu semua jangan dibawa langkah dan tidak sedar hingga lepas ke sana. Mesti sentiasa bersama kumpulan mencari sepsis herba yang ditentukan kepada kamu semua untuk dibuat ujikaji di makmal bila kita pulang ke kampus nanti.” Pesan Prof Madya Dr. Azmir itu kepada semua bakal pharmasis yang mengikuti rombongan untuk melakukan tugasan pharmacognosy mengkaji ubatan herba yang akan menambah kredit dalam cgpa ini memang sangatku ingati.
Tapi entah kenapa kakiku boleh menyasar jauh mengikuti rerama hijau hingga di tempat keberadaanku kini.
Setelah aku tidak mendengar lagi suara rakan-rakanku yang rabung bertanya itu ini kepada Pak Mahat yang menjadi penjaga kepada taman herba ini mengenai maklumat sepsis herba yang ditemui barulah aku menyedari bahawa aku telah terpisah jauh daripada mereka. Mungkinkah aku telah tersesat? Mungkin rerama hijau ini yang menyesatkan aku kerana aku teruja melihat keindahannya di samping aku taksub mencari tumbuhan herba yang aneka jenisnya yang sudah berada di dalam genggaman tanganku.
Terngiang-ngiang di deria dengarku penerangan Pak Mahat tentang kegunaan ubatan secara tradisi tumbuhan ekor tupai, ekor tikus,embun tengahari, ganda suli, geli-geli,gelenggang pasir, gelenggang nasi, gelenggang padang, gepur batu, getam guri dan berjenis-jenis lagi. Ada yang tumbuh merenek. Ada yang tumbuh melata dan menjalar. Ada juga yang merimbun menjadi pohon tinggi berdaun, berbunga cantik seperti siantan, hari ini esok dan semalam, gadis lompat dan pelbagai namanya yang sangat unik, indah dan baru kuketahui hari ini. Begitu kayanya perbendaharaan bahasa Melayu yang meliputi penggunaannya mencakupi seluruh keperluan kita tanpa perlu ada pengulangan kata untuk menjelaskan maksudnya yang berbeza.
“Pokok herba ni apa pula nilai perubatannya?”
“Eh! Ini pokok gandarusa. Gandarusa ni orang dulu-dulu kita gunakannya untuk menghalau hantu?” yakin sekali pak Mahat menuturkan kalimatnya. Khalid, Syafiq, Ariff, Jagjit, Tony, Nathan dan Swee Lin, masing-masing tersenyum sedikit. Mungkin memikirkan bagaimana hendak menulisnya tentang herba gandarusa putih, gandarusa kuning dan gandarusa hijau di dalam kertas tugasan ujikaji yang akan dihantar kepada penyelia tugasan kelak.
“Nampaknya dah banyak contoh sepsis herba untuk kita gunakan di makmal yang dah kita dapatkan. Bolehlah kita berehat sekejap sementara menunggu Dr. Azmir yang dah hilang entah ke mana tu!” Syafiq mulai melabuh punggungnya di banir pohon jejawi yang merimbun dan akarnya menyelirat hingga ke alur air kecil. Di pohon jejawi ini tempat kediaman sepsis alam halus yang tidak nampak dengan mata kasar; aku teringat cerita Atok kepadaku. Melangut ke atas terlihat kepadaku betapa daun-daunnya yang sangat rapat bertautan antaranya sehingga tidak ada jalur cahaya yang mampu menembusinya. Di bawahnya redup sekali dan selesa duduk berehat melepaskan kepenatan yang meresapi tubuh. Rasanya usia pohon jejawi ini sudah sangat tua dan melebihi ratusan tahun.
“Kau nak ke mana pula tu? Duduk saja di sini berkumpul sekali. Tak payah nak berpecah. Bimbang tersesat risau pula. Kita pun bukan biasa dengan tempat ni. Pak Mahat pun dah pergi menyusul Dr. Azmir tu.”
“Aku nak ke belakang pokok ni saja. Mana tahu mungkin terjumpa daun herba yang lebih hebat nilai perubatannya daripada yang kita ada ni. Kau tak dengar kata Swee Lin tadi bahawa herba-herba Melayu ni tidaklah setanding herba-herba daripada negara China seperti ginseng, ganoderma dan yang lain-lain. Hanya biasa-biasa saja. Jadi aku nak cubalah tengok di sebelah sini mungkin terjumpa apa yang aku cari. Pasti hebat penemuanku dan ujikaji yang kita akan buat nanti.”
“Ikut suka kaulah. Tapi jangan pergi jauh.”
‘Iyalah Syafiq.’
Syafiq sudah pasti tidak mendengar suara hati yang menggema dalam ruang kalbuku ini tapi aku yakin kawan rapatku itu memahamiku. Kami memang saling kenal sejak mula mendaftar untuk memasuiki universiti di Serdang ini dan kebetulan jurusan yang dipilih pun serupa. Ditambah lagi dengan kebetulan yang mengeratkan hubungan kami adalah kami sebilik pula. Sikap dan keinginanku terhadap sesuatu yang kuputuskan sangat diketahuinya.
Sikap kemahuan tegar kini menjerat kakiku di sini. Hanya berpusing-pusing di sini. Tersesat jauhkah aku? Sedangku rasa aku hanya berada di sebalik pohon jejawi ini saja. Dan rerama hijau itu masih mengepak sayap kembali kapadaku entah dari mana. Hinggap pula di dedaunan rimbun yang menjalar membentuk semak samun. Seakan ada yang menggerakkan kakiku untuk menghampiri semak samun itu.
Wah! Inilah yangku cari. Daun rerama hijau yang tumbuh asli secara semula jadi dan sering diperkatakan khasiat dan nilai perubatannya yang tinggi sehingga mampu menyembuhi penyakit kronik Aids, SLE dan kanser. Beruntungnya aku menemuinya. Inilah yang sebenarnya inginku dapatkan untuk kujadikan bahan ujikaji di makmal farmasi Serdang.
Tapi? Bagaimana mahuku bawa pulang daun-daun rerama hijau yang sudah kukutip ini berserta anak pokoknya yang telahku cabut ini sedang aku hanya mengelitari sini? Jalan pulangnya tidak kutemui. Sesia saja penemuan sepsis herba yang dikatakan sangat mahal harganya kepada yang berminat menjual dan membelinya. Niat hatiku tidaklah begitu. Hanya sekadar mahu mengkajinya. Dan jikalau terbukti akan nilai perubatannya yang maksima tentu bermanfaat digunakan sebagai produk kesihatan buat membantu mereka yang memerlukan untuk memulihkan kesihatan terjejas.
Buntu sungguh aku memikirkan bagaimana mahu kucari jalan pulang dengan membawa dedaun rerama hijau dan pelbagai jenis dedaun herba yang kemas berada digenggamanku ini. Aku tidak berani lagi melangkah ke mana-mana kerana di hadapanku adalah hutan rimba yang diselirati tumbuhan menjalar yang sukar dimasuki.
Dan sebenarnya aku sangat yakin bahawa aku berada tidak jauh daripada tempat kawan-kawan kutinggalkan sebentar saja tadi. Masih kelihatan kepadaku pokok jejawi yang disandari Syafiq sambil duduk di perdunya. Tapi puas aku mengelilinginya tidakku temui sesiapa pun. Tidak ada kelibat Syafiq, Nathan, Jagjit, Swee Lin, Arif atau Tony. Pada pengamatanku seolahnya langsung tiada kesan bahawa di bawah pohon jejawi ini ada kehadiran kawan-kawanku. Mungkin ini pohon jejawi lain dan bukan pohon jejawi ku tinggalkan tadi. Fikiranku mencongak kira. Masya-Allah! Tersesatkah aku?
“Kalau kita berniat memasuki hutan rimba kita mesti lengkapkan diri dengan ilmu kehutanan sebelum kita berada di dalamnya. Maklum hutan rimba itu bukannya kampung laman kita. Tempat yang kita ketahui menjadi kediaman aneka tumbuhan, haiwan yang nyata kelihatan. Tapi penghuninya bersifat halus tidak ketara. Hutan rimba, laut, gunung ganang sudah Allah tentukan sebagai penempatan makhluk Allah begini. Kau jangan berani tanpa ilmu di dada untuk cuba-cuba masuk ke sana. Jaga pertuturan, jaga kelakuan sebab yang sedang memerhatikan kamu tu kamu tak sedar dan tahu. Bacalah ayat-ayat Quran yang lazim dihafal dalam solat tu dengan betul tajwidnya sebagai pendinding diri daripada sebarang gangguan tidak diingini. ”
Aku mulai membaca ayat-ayat al-Quran setelah kotak fikirku teringat pesanan Atukku.
Tekakku terasa kering pula dan amat dahaga. Kali yang mengalir jernih kudekati lalu meraup airnya dengan kedua telapak tanganku.
“Jangan minum air yang kelihatan jernih sebab dibimbangi mengandungi kuman malaria.” Menggema pesanan Atok kepadaku membuatkan membatalkan hasrat itu walau tekakku perit kekontangan.
“Kalau terasa haus makan umbut pokok-pokok yang kau kenali tidak beracun.”
Di manalah hendakku cari umbut-umbut itu alahai Atukku sedang aku sudah amat keletihan kini. Aku juga kepenatan menyusuri anak air berpandukan pesanan Atukku kalau aku ingin mencari jalan pulang kala tersesat. Tapi anak air itu kulihat menghala ke dalam hutan tebal itu dan aku tidak berani untuk memasukinya.
Kakiku yang pegal uratnya memaksa aku duduk untuk melegakannya. Daun-daun termasuk gandarusa kuletakan di riba sambil mata kupejamkan.
“Eh! Haziq bangun kau tertidur di sini rupanya.”
Aku terkapa-kapa membuka mata sebab terasa wajahku dilibas dengan daun yang tengik baunya. Tangan Pak Mahat mencengkam kepalaku sambil mulutnya terkumat-kamit. Dan daun gandarusa di tangannya sekali lagi dilibaskan ke seluruh tubuhku. Aku kehairanan diperlakukan Pak Mahat begitu. Tapi tidak menyoal apa-apa.
“ Puas kami berkeriau memanggil kau. Rupanya kau bersembunyi di sini.”
Aku yang bersembunyikah atau aku disembunyikan? Entahlah Syafiq. Aku tak tahu bagaimana nak jelaskannya.
“Kau membawa daun gandarusa ke mana saja bersama?”
“Mestilah takku tinggalkan termasuk daun-daun herba yang lain.”
Pak Mahat tersenyum mendengar penjelasanku kepada Syafiq. Senyumannya membuatku terfikir tentang daun gandarusa dan kegunaannya.
TAMAT
All reac

6 comments:

  1. Nice one Kak PI! Happy birthday!

    ReplyDelete
  2. boleh sembuhkan penyakit kronik? wow!

    ReplyDelete
  3. Waaah Agak seram juga baca cerita nya kak 😅. Jadi sebenarnya haziq di sembunyikan dengan makhluk halus hutan kah 😊. Tapi memang banyak sangat cerita ttg hutan yg sebaiknya tidak dianggab enteng. Jaga adab, jaga perkataan tiap kali masuk ke kawasan yg kita tak tahu ada apa di dalam.

    Saya banyak punya teman pendaki gunung. Dari mereka saya tahu terkadang hal2 mistis banyak terjadi di sana.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist