Thursday, 30 April 2020

BAPA DAN ANAK BERPISAH TIADA

ASSALAMUALAIKUM

Turn off for: Malay
Ini cerita dua orang rakan Facebook saya.
Apabila diberitahu tuan Mohd Noordin, ayahanda kepada tuan Ali Imran sudah pun meninggal dunia, ia mendorong saya menghubungi anaknya pada petang itu.
Saya pernah bertemu arwah dalam acara perbukuan.
Perjalanan Imran menjadi seorang penulis buku mengambil masa beberapa tahun, tetap ayahnya setia menunggu.
Sehinggalah pada hari di mana foto anak berkongsi hasil penulisannya dibukukan naik dalam Facebook, iaitu kompilasi kisah dalam buku Kapsul Nurani, itu adalah kesaksian yang tak dapat saya lupakan.
Seperti kata Imran, "Sempena buku pertama yang ada nama saya padanya, penghormatan diberi kepada beliau, mengatasi mana-mana insan lain. Sokongan, dorongan, kepercayaan dan kasih sayang beliau tiada had, takkan mampu di balas."
Sekali-sekala Tuan Noordin akan meninggalkan komen-komen nakal mengenai anaknya di Facebook saya setiap kali saya menulis mengenai anaknya.
Itu kenang-kenangan yang saya hargai selepas pemergian beliau.
Kemuncak pada peristiwa pencapaian seorang penulis yang dilihat oleh bapa ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.
Si ayah tekun mendengar pembentangan anaknya di atas pentas utama.
Ia berlaku dalam acara yang menghimpunkan hampir satu juta manusia sepanjang sepuluh hari acara.
Si ayah melihat si anak yang gembira memberi kepada masyarakat melalui penulisan.
Kisah ayah dan anak ini selalu mendorong kekuatan jiwa saya menyusun perkataan untuk menjemput, memujuk dan mengajak orang lain agar, "Tulislah satu buku dan letakkan penghormatan nama ayah kita pada kulit buku depan."
Buat sekali, ia akan menjadi penghargaan abadi.
Buku yang mengandungi pengetahuan, pengalaman, kerjaya, kehidupan kita dibuka dengan nama anda berbin dan berbintikan nama ayah sebagai pembuka.
Itu satu lagi kebahagiaan yang diusahakan seorang anak melalui kerja-kerja menulis.
Hari ini saya meneruskan lagi semangat hidup dengan terus mengajak orang lain agar, "Tulislah satu buku dan letakkan penghormatan nama ayah kita pada kulit buku depan," melalui cara #dudukrumah dan tulis buku pertama.
Mahukah saudara berusaha melakukan perkara yang sama?
Kepada yang sudah memiliki sebelum ini, sekarang masa kita menulis dan menghidupkan perjuangan ayah melalui perkataan kita.

Wednesday, 29 April 2020

JUADAH BUKA PUASA..

ASSALAMUALAIKUM

SELAMAT MERENCANA JUADAH BERBUKA PUASA SAHABAT SEMUA..MASAKNYA SORE NANTI





Tuesday, 28 April 2020

RAMADAN MUBARAK

ASSALAMUALAIKUM


AHLAN RAMADAN MUBARAK

A-llah anugerahi Ramadan mulia
H-amba muslimin sambut ceria
L-alu bersyukur segala cara
A-mpun dipohon dosa tercipta
N-iat di hati  tertera lara

R-asai nikmat kala diuji
A-nggap dugaan petanda cinta
M-asih mengharap akan kasih-Nya
A-llahu Akbar yang maha Esa
D-an janji-Nya tidak mungkiri
A-ndai beriman seluruh jiwa
N-ur sinari atma yang suram

M-aghfirah rasi serata alam
U-nggul terpuji amalan murni
B-erpuasa sebulan lama
A-kur turuti wajib dan sunat
R-ela setia setulus hati
A-kan nikmati rahmat terindah
K-elak temui ‘lailatul-qadar’

PARIDAH ISHAK
DMS
26/4/020

Monday, 27 April 2020

TAFSIR: SURAH 21. AL ANBIYA (PARA RASUL). Ayat 58 - 63.

ASSALAMUALAIKUM

PERKONGSIAN ILMU: SURAH 21. AL ANBIYA (PARA RASUL). Ayat 58 - 63.
"Jom ke Taman Raudhah." Ujarku usai mengerjakan solat terawih dan witir.
Syukur Alhamdulillah anakku, Amiru mengimami solat Isyak dan solat terawih keluarga besar kami. Anak kelimaku itu, bekas pelajar Ma'had Tahfiz Terengganu.
"Eh, Taman Raudhah?" Balqis cucu sulungku kehairanan.
"Berada dalam majlis ilmu, bagaikan berada di Raudhah, iaitu Taman Syurga. Beribu-ribu malaikat menaungi majlis ilmu kita ini." Aku menjelaskan.
Afyan, ayah Balqis memimpin bacaan quran kami secara bertalaqqi.
Kemudian aku mulai menyambung tafsir.
"Ayat 58: Merupakan sambungan Kisah Nabi Ibrahim as. Baginda telah menghancur-leburkan patung-patung yang terdapat di dalam kuil itu kecuali satu. Iaitu sebuah patung yang paling besar."
Aku juga menjelaskan, harapan Nabi Ibrahim as supaya kaumnya mendatangi patung yang besar itu. Patung-patung lain dihancurkan supaya tidak dapat dibaiki lagi.
"Ayat 59. Apabila kaum Nabi Ibrahim datang semula ke kuil mereka sangat terkejut dan berkata; Siapakah yang tergamak melakukan perbuatan ini terhadap illah-illah kita?"
"Illah-illah tu apa?" Cucuku Aqila, bertanya.
"Illah-illah tu maknanya tuhan-tuhan." Azya, anak keenamku memberi jawapan.
"Mereka sebut illah-illah, tak sebut patung-patung." Aku menjelaskan.
"Ayat 60: Salah seorang daripada mereka berkata; Aku dengar ada seorang pemuda pernah mencela illah-illah kita. Sebut kelemahan illah-illah kita. Namanya Ibrahim."
"Ayat 61: Lalu mereka mencari Nabi Ibrahim as, supaya datang ke kuil. Baginda bersedia datang tanpa paksaan."
"Ayat 62: Mereka bertanya kepada Nabi Ibrahim as. Apakah kamu yang menghancurkan illah-illah kami?"
"Ayat 63: Nabi Ibrahim as menjawab; Memang ada seseorang yang telah hancurkan patung-patung itu. Patung yang paling besar ini masih ada. Kamu tanyalah dia, sekiranya dia dapat bercakap atau menjawab."
"Ada tafsir yang menyatakan Nabi Ibrahim as menjawab; Patung yang besar ini yang melakukannya. Kamu tanyalah dia."
"Patung besar tu boleh jawab tak?" Aku melontar tanya.


"Tak boleh...!" Mereka menjawab serentak.

Sunday, 26 April 2020

ILHAM SURI...

ASSALAMUALAIKUM

pic Saniah Masri (c)


SEORANG ILHAM SURI
Syair biasa melontar peri,
kisah penulis seorang suri,
wajahnya manis cantik berseri,
tertera nama Saniah Masri.
Rajin bertani suka berkarya,
masa diisi tidak tersia,
puisi pantun direka daya,
hasil karyanya indah bergaya.
Halaman rumah penuh tanaman,
bunga-bungaan menyeri taman,
hanya suami sebaik teman,
meniti hari berganti zaman.
Penerokawati Selancar Dua,
aktif segala kerja disua,
Felda mengatur rencana jua,
tiasa muda tinggal berdua.
Anak yang jauh terbayang-bayang,
apalah lagi cucu tersayang.
rindu terlalu wajah gentayang,
andai berkepak terbang melayang.
Tempoh PKP ditambah lagi,
mengelak wabak jumlahnya tinggi,
rindu mencengkam bak sakit gigi,
menyekat langkah pulang dan pergi.
Seorang suri tegar bersabar,
sinar Ramadan kini bertebar,
walau semata merenung gambar,
hendak bertemu dada berdebar.
Hiduplah dengan norma baharu,
walau mulanya jadi keliru,
agar corona tidak memburu,
jenuh berlari terburu-buru.
Syair berserta sedikit pesan,
wabak bahaya ramai terkesan,
patuh PKP tanpa alasan
segera tamat hujung garisan.


PARIDAH ISHAK
DMS
26/4/2020

Saturday, 25 April 2020

NORMA BAHARU...

ASSALAMUALAIKUM


Makan juadah mengkelan sudah,
tersedak pizza telan kuini;
Ramadan indah bulan ibadah,
tidak berbeza amalan murni


Tersedak pizza telan kuini,
berhenti kumat lama selaru;
tidak berbeza amalan kini,
nikmati rahmat norma baharu.


Berhenti kumat lama selaru,
kuih setalam dijamah senja;
nikmati rahmat norma baharu,
tarawih malam di rumah saja.

Kuih se talam dijamah senja,
termasuk lalat mengarut gamam;
tarawih malam di rumah saja,
kusyuk bersolat menurut  imam.

Termasuk lalat mengarut gamam,
leca sandaran diselang seli;
kusyuk bersolat menurut imam,
baca al-Quran berulang kali.

Leca sandaran diselang seli.
jiran menanti gundi di laman;
baca Al-Quran berulang kali,
tafsiran erti jadi pedoman.

Jiran menanti gundi di laman,
sedari padan segera tempah;
tafsiran erti jadi pedoman,
seri Ramadan aura melimpah.

Sedari padan segera tempah,
ambal terindah di pasar Iran;
seri Ramadan aura melmpah,
amal ibadah besar ganjaran.

Ambal terindah di pasar Iran,
gelinya selah kehendak suri;
amal ibadah besar ganjaran,
janjinya Allah tidak mungkiri.

Gelinya selah kehendak suri,
 ganda belian bercanda teman;
janjinya Allah tidak mungkiri,
reda ujian tanda beriman,


Friday, 24 April 2020

TAFSIR SURAH 21: AL ANBIYA (PARA NABI). Ayat 45 - 50) 51 -57

ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA


PERKONGSIAN ILMU. SURAH 21: AL ANBIYA (PARA NABI). Ayat 45 - 50)
DUA DALAM SATU, begitu majlis ilmu kami malam ini. Iaitu Majlis Khatam Al-Quran dan KelasTafsir .
Sejak stay at home suamiku telah khatam Quran dua kali. Aku hanya sekali. Mengadakan Majlis khatam Al-Quran merupakan sunnah Rasulullah saw. Untuk kita berkongsi kegembiraan dan kesyukuran. Juga sebagai motivasi supaya keluarga kita berusaha membaca dan mentaddabur al Quran.
Selepas suamiku memimpin bacaan, aku memulakan tafsir.
"Ayat 45: Jawapan Allah SWT kepada orang-orang Musyrikin Mekah yang marah kepada Nabi Muhammad saw kerana berdakwah."
"Allah hina mereka. Sebenarnya telinga kamu pekak asli. Tidak dengar seruan. Hati kamu buta asli, tertutup pintu hati. Tidak mahu menerima kebenaran."
"Ayat 46: TAKHWIF DUNIAWI - Ancaman Allah di dunia. Apabila mereka ditimpa sedikit azab daripada Allah. Mereka berkata; Alangkah celakanya. Kami termasuk orang-orang yang selalu menzalimi diri sendiri. Celakanya kami... celakanya kami..."
"Azab di dunia mereka tidak mampu nak tanggung. Contoh azab Allah ketika Musyrikin Mekah kalah dalam Perang Badar."
"Perang Badar tu apa?" Zulaikha berusia 11 tahun bertanya.
"Kenapa dinamakan perang Badar?" Aqila berusia 9 tahun turut bertanya.
"Peperangan itu berlaku di satu tempat di luar Kota Madinah. Nama tempat itu Badar. Maka dinamakan Perang Badar." Amiru tolong memberi jawapan.
Aku juga menjelaskan, tentera Musyrikin Mekah yang ramai jumlahnya tewas di tangan tentera Islam yang sedikit. Kemenangan ini merupakan pertolongan daripada Allah SWT.
Musyrikin Mekah yang memulakan peperangan untuk menyekat dakwah Islam. Tetapi gagal. Allah SWT azab mereka dalam peperangan ini. Ramai pemimpin-pemimpin Musyrikin Mekah yang mati. Harta benda mereka dirampas dan ramai yang ditawan.
"Ayat 47: TAKWIF AKHIRAT - Ancaman Allah di Akhirat. Allah SWT berfirman; Di akhirat KAMI timbang segala amal dengan adil. Tidak menzalimi mana-mana manusia."
"Walaupun sedikit amal mereka baik @ jahat. Walaupun hanya sebesar biji sawi KAMI adakan balasan."
"Cukuplah KAMI menghisab segala amal. Hanya Allah yang buat keputusan kerana hanya DIA yang tahu segala amal manusia dan jin."
"Ayat 48: DALIL NAQLI - Kisah yang pertama"
"Dalil Naqli tu apa?" Afyan melontar tanya.
"Kisah Nabi-nabi yang Allah cerita dalam al Quran." Suamiku memberi jawapan.
"Ya betul." Aku membenarkan.
"Kisah yang pertama ini tentang Nabi Musa as dan abangnya Nabi Harun as."
"KAMI turunkan kepada Nabi Musa as dan Nabi Harun as kitab Taurat sebagai cahaya peringatan dan petunjuk."
"Kelebihan Nabi Musa as boleh berdialog terus dengan Allah SWT. Baginda menerima kitab Taurat sekali gus. Taurat bersifal FURQAN, pemisah antara yang haq dan bathil. Jalan hidayah dan jalan sesat."
"Ayat 49: Orang- orang yang bertaqwa, memiliki sifat takut kepada Allah SWT walaupun tidak melihat-NYA. Takut dan gerun kepada azab. Takut peristiwa hari kiamat."
"Ayat 50: Ayat ini untuk Nabi Muhammad saw. Allah SWT turunkan al Quran yang sangat berkah kepada baginda."
"Berkah macam mana ma?" Amla melontar tanya.
"Bertambah kebaikan apabila kita belajar Al Quran dan mengajarkan nya." Jawabku.
"Ia bukan sahaja memberi peringatan tetapi mempunyai barakah di dalamnya. Kita baca setiap huruf digandakan 10 pahala. Bayangkan banyaknya pahala."
Mereka mengangguk tanda faham.
"Dalam ayat ini juga Allah SWT bertanya; Maka adakah kamu mengingkari nya?"
"Maksudnya, adakah kita tidak percaya al Quran ini mampu memberi keberkatan kepada kita?" Aku bertanya sambil mengangkat al Quran.
"Percaya..." Jawab mereka.
"Oleh itu sentiasa bacalah Al-Quran dan belajar tafsirnya. Abah telah mengajar kamu membaca al Quran ketika kamu kanak-kanak. Ia sebagai ilmu yang bermanfaat daripada Abah." Nasihatku.
"Pahalanya tetap mengalir walaupun Abah telah tiada nanti. Sebaiknya ibu bapa mengajar sendiri anak- anak al Quran." Suamiku turut memberi nasihat.

PERKONGSIAN ILMU: SAMBUNGAN SURAH 21: AL ANBIYA'. Ayat 51 - 57.
Aku menjelaskan ayat 51 hingga 71 Merupakan DALIL NAQLI - Kisah yang kedua. Kisah Nabi Ibrahim. Aku ulangi maksud Dalil Naqli iaitu kisah nabi-nabi dalam al Quran.
"Tokma, best cerita Nabi Ibrahim." Zulaikha bersuara.
"Cerita nabi-nabi memang best." Aqila turut bersuara.
Aku hanya tersenyum melihat gelagat mereka. Mereka juga rajin menulis nota ketika aku menyampaikan tafsir.
"Ayat 51: Allah SWT memberi anugerah istimewa kepada Nabi Ibrahim as. Iaitu kebolehan memahami tuntutan aqidah. Kemahiran berfikir dan petunjuk sebelum baginda mendapat wahyu lagi."
"Ayat 52: Cara Nabi Ibrahim mentabligh wahyu sebelum baginda dilantik menjadi Nabi."
"Nabi Ibrahim as tegur ayah dan kaumnya di dalam kuil. Patung-patung apakah ini kamu tunduk dan beribadat kepada nya?"
"Ayat 53: Mereka menjawab; Mereka hanya mengikut amalan-amalan datuk, nenek moyang sahaja."
"Ayat 54: Lalu Nabi Ibrahim berkata kepada mereka; Sekiranya kamu hanya ikut-ikut amalan datuk nenek moyang maka kamu semua sesat!"
"Ayat 55: Mendengar kata-kata Nabi Ibrahim as, mereka sangat terkejut. Selama ini tiada siapa yang mempersoalkan bagaimana amalan mereka."
"Mereka bertanya; Wahai Ibrahim adakah kamu cakap betul-betul atau kamu cakap main-main.?"
"Ayat 56: Jawapan Nabi Ibrahim as; Patung-patung itu bukan pujaan. Pujaan ialah PENCIPTA yang mencipta kamu, mencipta langit dan bumi."
"Baginda juga menyatakan; Dia akan menjadi saksi kesalahan mereka menyembah patung- patung di hadapan Allah nanti."
"Nabi Ibrahim juga bersaksi dengan akidah tauhid baginda. Yakin dengan pegangan tauhid kerana baginda ada dalil dan bukti."
"Apa dalil Nabi Ibrahim?"
Aku bertanya.
"Kejadian langit dan bumi." Amla menjawab.
"Penciptaan manusia." Amiru turut menjawab
"Betul." Aku membenarkan.
"Kalau kita hendak berdakwah kena guna ayat-ayat Al-Quran. Nak guna ayat-ayat Al-Quran kena tahu tafsirnya." Aku menjelaskan lagi betapa pentingnya mempelajari tafsir Quran bersanad.
"Ayat 57: Ayat ini perancangan Nabi Ibrahim as di dalam hati. Baginda berkata-kata dalam hati di hadapan ayah dan kaumnya; Demi Allah aku akan hancurkan patung-patung itu ketika kamu meninggalkan kuil berhala ini."
Majlis ilmu berakhir dengan solat Isyak berjemaah. Afyan melaungkan azan. Nizam, suami Afya membaca iqamah. Suamiku mengimam kan solat keluarga besar kami.

MyBloglist