Sunday 13 August 2017

SAJAK SAJAK MERDEKA....

ASSALAMUALAIKUM...

SAJAK SAJAK MERDEKA



Sajak 1
BAHTERA MERDEKA ITU
Seruling buluh perindu
mengalun lagu merdu
penuh syahdu mendayu
mengiring pelayaran bahtera “MERDEKA”
menyonsong semilir angin.
Di tengah samudera tiada bertepi
ombak bergelora menggila
pasang surutnya berkala
sedang galau merenung destinasi berbalam kelam.
Gelita malam
sirna bintang harapan
namun pelayaran berterusan.
Bahtera “MERDEKA”
membawa muatan sarat
kargo hasrat
menolak gusar
ke pelabuhan dambaan
jangan tersasar.
Iltizam kemas
meluap semangat hijrah.

Sajak 2
KENANGAN WANGI
Gema laungan “MERDEKA”
di persada Dataran Merdeka
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Kalimat keramat laungan rakyat
cetusan suara bersama wira
Tunku Abd.Rahman Putera.
Memaktub risalah wadah perjuangan bangsa
dengan nyata.
Silam lalu telah melabuh tirai
namun kenangan wangi itu semerbak ruang negara
jelang 31 Ogos.
Lontaran laungan “MERDEKA”
terbit dari hati penuh cinta
moga lestari jelajahi masa.

Sajak 3
GEMALA MERDEKA
Sejernih mutiara putih
gemerlap bak butiran embun
bulat mahu cernaan minda
menyatu-padu gagasan arah tujuan
nan satu.
Milikinya
merasa merdeka
menikmati merdeka
kongkongan tiada
bebas sepenuhnya
benarkah?
Leka merdeka maksima
keliru akal budi
keterbatasan tetap hakiki.
Menjunjung merdeka diri
disanjung peribadi
mahkota mercu maruah.

Sajak 4

RENUNGAN MENJAUH

Merenung sekitar maya jernih
telah keruh dengan
haru biru yang geruh

Firasat berbaur antara realiti dan impi
manusiawi teradun dengan gelegak
semangat yang dicipta
keinginan rasa

Sang khalifah senget menanggung amanah
marhaen menadah harap

Demi hari berterusan
dengan doa israq
sempurna urusan
laksana sinar mentari
menyeluruhi alam ini

"Seandainya bukan kerana orang-orang tua yang sudah bongkok,
pemuda-pemuda yang khusyuk,
anak-anak yang masih menyusu,
binatang-binatang yang gemuk,
 nescaya aku jadikan langit itu dari besi,
bumi menjadi rata dan tanah menjadi pasir.
Nescaya tidak Aku turunkan setitis hujan pun kepadamu
dan tidak Aku tumbuhkan satu benih pun tumbuhan di bumi
dan Aku tumpahkan sehebat-hebat azab ke atasmu."
                          
 Hadis Qudsi.

Reda bersyukur
berhijrah jauh tinggalkan dungu
di perdu waktu semalam


Paridah Ishak
Selayang Utama
13/08/017

11 comments:

  1. Pilihan meriah meyambut merdeka tetap pada zaman kecil. Tak tahu kenapa roh dan semangat kemerdekaan tu masih tertinggal dizaman dulu. Sekarang ni rasa tawar hambar. Saya seorang ke rasa begitu...

    ReplyDelete
  2. TKSH WP...MERDEKA SUDAH USIA EMAS.

    ReplyDelete
  3. TKSH MALA...ZAMAN KECIL BERKOBR-KOBAR SEMANGAT MENYAMBUT MERDEKA...LA NI NTAHLAH

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum Wrmbth

    Selamat malam ahad & apa khabar dari Maznee puan paridah ishak

    Sebenarnya tak kisah berapa tahun dah merdeka

    yang penting tu pengisian kita pada kemerdekaan

    Sebab tanpa pengisian yang bermanfaat

    Yang mengisinya adalah perkara tak bermanfaat

    ReplyDelete
  5. Ulang tahun kemerdekaan semakin hampir.. semoga kita semua sentiasa menjadi golongan yg bersyukur atas anugerah kemerdakaan ini, in shaa Allah.

    ReplyDelete
  6. Assalam PI...indah nya bait2 ayat sajak Merdeka .Semoga negara kita tetap aman selamanya,

    ReplyDelete
  7. Dah 60 tahun merdeka...
    Apa manfaat yg kita berikan pada negera kita ni kan..

    ReplyDelete
  8. Moga Malaysia bertambah makmur..
    dan semoga kita menjadi orang-orang yang benar2 Merdeka...

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist