Monday, 13 July 2015

SELIRATAN CINTA BAB 39/40...

ASSALAMUALAIKUM...


Syaitan-syaitan sedang menari-nari mengipas api marahnya supaya semakin marak di sekelilingnya. Kejadian syaitan itu asalnya api. Allah subhanahu wataala yang menjadikannya. Subhanallah. Anita tidak menyedari itu. Dia terlupa.
Anita membuka lemari bajunya dan terus menyambarnya satu persatu baju-baju yang tergantung di dalamnya dan disumbatkan ke dalam beg pakaiannya. Dia bertekad akan meninggalkan pulau ini sekarang juga.

                                                     *    *    *

Di jeti Rizal sedang menyambut kedatangan mamanya. Pertemuan antara seorang ibu yang sangat merindui anak kesayangannya berlaku dalam suasana petang yang hampir meremang senja. Kedua-duanya berpelukan melampiaskan kerinduan yang membelenggu sekian lama.
“Jom kita ke chalet mama. Di sana nanti saya akan terangkan kepada mama apa yang akan berlaku. Mama jangan terkejut pula.” Majmin ingin bertanyakan banyak pertanyaan.
Tetapi mulutnya seakan terkunci kerana kelelahannya menaiki pesawat udara,  kemudiannya turun mengenderai kereta dan dengan menaiki bot pula melepasi ombak laut barulah dapat tiba di sini. Dia perlu berehat sebentar, mencari kekuatan minda dan tubuh sebelum berwacana apapun.
“Mama berehatlah dulu. Tapi jangan keluar ke mana-mana. Mama jangan biarkan sesiapa pun melihat mama ada di sini. Mama jangan tanya dulu apa sebabnya. Mama ikut saja apa anak mama ni cakap demi kebaikan kita bersama. Bila mama sudah lega sikit, mama pergi mandi dan bersiap cantik-cantik, kita akan hadir majlis yang sangat grand dan hebat.” Rizal bersuara dengan lembut tetapi ketara ketegasannya.
“Iyalah anak mama sayang. Mama ikut saja. Tapi buat masa ni mama nak berbaring sekejap. Kalau mama tertidur, Rizal kejutkan ya.” Tukas mamanya yang sudahpun membaringkan sekujur tubuhnya di atas sofa.
Matanya cuba dilelapkan untuk meleraikan semua kelelahan yang terperangkap di dalam tubuhnya.

                                                        * * *

Anita membawa begnya melepasi beberapa orang pekerja resort yang begitu tekun menghias bahagian pantai yang berhadapan dengan resort Sri Jelapang. Anita merasakan malam ini pasti ada majlis keraian yang akan diadakan di sini, tetapi dia tidak tahu majlisnya bersangkutan dengan apa.
Dan dia langsung tidak mahu ambil peduli. Buatlah apapun, hendak tunggang terbalik sekalipun dia tidak kisah. Yang difikirkan hanya bagaimana hendak melepasi ranjau yang kini mereba hendak memerangkapnya. 
Dia bergegas ke pantai tanpa disedari sesiapa. Dan ternampak sesaorang sedang berada di dalam botnya sebaik tiba di jeti. Anita segera meluru menghampiri bot itu. Dia berdoa agar bot ini mampu membawanya ke tanah besar dan meninggalkan pulau yang  membenamkannya dengan kerusuhan dan kekalutan itu.
“Abang hendak ke seberang ke? Boleh tumpangkan saya?” Cemas getar suaranya.
“Tak boleh dik. Bot ni sudah disewa.” Balas lelaki itu menolak permintaannya.
“Tolonglah bang! Saya merayu sungguh-sungguh ini soal hidup dan mati saya. Saya mesti tinggalkan pulau ni malam ni juga.” Anita memohon simpati lelaki itu agar memahami kesulitannya dan mahu menolongnya.
“Maaf dik…marah Encik Fareez nanti sebab dia kata saya kena bersedia di sini. Malam ni kan ada majlis pertunangan di sini.” Sebuah berita kejutan yang membuatnya terpinga-pinga.
“Majlis pertunangan? Siapa pula yang bertunang?,” pantas dia bertanya.
“Entahlah…katanya ada orang kaya dari KL. Dia nak buka cawangan baru.” Lelaki itu bercerita dengan sengihnya. Baginya seorang lelaki yang kaya raya sentiasa berpeluang menambah bilangan isteri kerana kemampuan kewangannya.
Kadang-kadang dia pun bermimpi ingin melakukan seperti orang kaya dari KL itu. Keinginannya itu hanya terpendam di dalam hatinya kerana dia metah bersyukur kerana memiliki seorang isteri yang baik, saling memahami dan pandai membahagiakannya.
Hidupnya kini amat menggembirakannya. Menurutnya di dalam meniti hidup yang singkat ini, kita tidak boleh terlalu tamak hendak mengejar dan meraih semua nikmat anugerahNya ke riba kita. Berpada-padalah.
Tetapi Anita tidak pedulikan cerita lelaki itu. Hendak buat majlis bertunangkah, berkahwinkah, lantaklah. Dia hanya fikirkan hasratnya ke seberang akan tertunai.
“Abang tolonglah hantar saya ke seberang. Berapa pun abang nak, saya sanggup bayar. Saya kena pergi juga malam ni. Lepas hantar saya, abang baliklah ke sini. Dia orang tu tak akan sedar abang pergi. Sekejap je kan.” Semakin lembut suara rayuannya. Biasanya seorang lelaki itu akan cair imannya kerana rayuan lunak seorang wanita. Dia mengharapkan lelaki itu walaupun tidak cair imannya tetapi bersimpati dengannya dan mahu menolongnya.
Tiba-tiba Anita ternampak kelibat Fareez dan Rizal menghampirinya. Anita menjadi histeria. Kesabarannya sudah sirna. Lelaki di dalam bot itu ditinggalkan. Dia meluru kearah Rizal. Lelaki itu hanya memandang perlakuan Anita.
“Bapak ayam! Kurang ajar kau Fareez. Sampai hati kau buat aku macam ni.” Anita ternampak sebatang ranting kayu kecil di sisinya. Dia mencapainya dan melangkah laju menghala Rizal. Memukul lelaki itu dengan ranting kayu yang dibawanya.
Rizal berusaha mengelak pukulan Anita yang bersungguh-sungguh itu. Fareez segera merebut ranting kayu itu daripada Anita.
Membuangnya jauh-jauh ke dalam laut. Ombak laut menyambarnya dan membawanya pergi entah ke mana. Anita melutut di atas pasir. Air matanya berjurai-jurai di pipinya.
Esakannya yang tersedu-sedu menyayukan hati yang memandangnya. Fareez mendapatkan Anita. Sedang Rizal hanya berdiri terkaku. Terkesima. Sayu hatinya melihat kedukaan Anita.
   “Bawa bertenang Nita. I can explain.” Anita membalas pandangan lirih Fareez dengan panahan sinar mata yang garang.
“Ah…awak pun sama dengan dia! Berapa juta awak berdua dapat dari orang tua tu hah.” Anita menempelak kasar. Retina matanya bergerak menerjah wajah Rizal yang layu, sayu. Kedukaan hati Anita begitu menyayat dan menyentuh hatinya. Dia tidak menyangka hati Anita begitu parah terluka demi kerana hendak merealisasikan matlamatnya.
“Kenapa diam Fareez?” sergahnya. Menjangkau pandangan ke anak mata Rizal yang tetap menatapnya..
Fareez turut mencangkung di tepi Anita. Menatap wajah Anita yang dibasahi air matanya. Pakaiannya juga sudah dilekati dengan pasir dan cemar.
“Nita, saya Fareez. Dia Rizal anak Datuk Shaari.” Anita terkejut. Matanya berkaca menatap bening kedua-dua bebola mata Fareez yang merenungnya lirih. Sukar baginya hendak menerima fakta dengan sekali lafaz sahaja. Masih menganggapnya hanya sebuah cerekarama.
“Hey, drama apa ni hah? Aku dah gila atau kau orang yang gila? Janganlah nak perbodohkan aku.” Dia meraung lagi seperti seorang anak kecil yang kehilangan sesuatu dan minta dipujuk.
Rizal menghampiri Anita.
“Nita, hari tu Nita kata kalau ada peluang Nita hendak bertemu dengan Datin. Sekarang mama saya ada di sini. Nita masih hendak jumpa dia? Nita boleh bertemu dengan penulis puisi yang Nita temui di pantai tempohari. Puisi tu memang milik mama saya.”
“Kita sudah tidak ada banyak masa Nita… ayah Rizal sedang tunggu Nita tu.”
“Awak langkah mayat saya dulu. Saya tak akan jumpa dengan orang tua tak berguna tu,” ujarnya garang. Matanya terbeliak. Membelalak.
“Dulu Nita pernah kata akan pilih saya jika ada pilihan. Sekarang pilihannya terpulang kepada Anita. Jika Nita rasa Nita sayangkan saya Nita ikutlah kami. Langkah mayat saya dulu jika ada sesiapa yang melakukan perkara buruk kepada Anita.” Anita terpinga-pinga. Terkesima. Mungkin dia telah melihat ada cahaya kebenaran di hujung terowong sempit yang sedang dilaluinya.

                                        

8 comments:

  1. Bagus sekali alur ceritanyaaaa..

    ReplyDelete
  2. lanjutkan mba kisahnya. sukses mba

    ReplyDelete
  3. insya Allah..dah nak tamat kisahnya ni...tq desa seibaru.

    ReplyDelete
  4. Bila hero bertemu heroin.. :D

    ReplyDelete
  5. Nnti kena baca ni sambung yg sblum ni... :)

    ReplyDelete
  6. Baca yang akhir baru baca yang ini...

    ReplyDelete
  7. Hari tu SB drop komen sini tapi line tenet tak mengizinkan. Tapi SB sempat jugak bc habis bab ni

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist