Kontrak perjanjian untuk berlakon di dalam sebuah drama terbaru
terbitan syarikat Drama Kita sedang ditandatangani Anita dan Sarina. Anita
begitu teruja bila membaca sekali imbas skrip drama yang mencatatkan lokasi
penggambarannya akan diadakan di sebuah pulau yang indah di Pahang.
“Bila kami semua hendak berangkat ke sana Encik Rosli?” Tanya Anita.
“Sehari dua lagi. Pengurus Produksi saya masih di sana
uruskan lokasi dan juga tempat penginapan semua yang terlibat di sana .” Anak matanya
membalas pandangan Anita sebentar berkalih pula melihat Sarina yang keterujaan
kerana kegembiraan yang dirasakan.
Sesekali melakukan penggambaran di lokasi yang agak jauh dari KL
tentu dapat bertukar angin dan sungguh menyeronokannya. Banyak berjalan luas
pandangan kata hati Sarina bertepatan dengan kesesuaian citarasanya.
“Wow shooting di pulau…seronoknya.” sela Sarina. Terseringai Sarina
dengan sengihnya yang memperlihatkan barisan giginya yang putih bersih.
“Encik Rosli pun ikut sekali juga?” Tanya Anita kepada produser
drama itu.
“Saya fikir tidak. Isteri saya tidak berapa sihat. Kenapa? Awak nak
saya ikut sama ke?” Lelaki itu melirik wajah Anita dengan senyum. Sebuah wajah
yang memiliki keperibadian yang sangat dikaguminya. Luhur dan ikhlas.
Jikalau dia belum lagi menikahi isterinya dia yakin cintanya akan berkalih
kepada Anita pula. Selama ini ramai artis wanita yang cantik molek keluar-masuk
produksinya tetapi langsung tidak diambil hirau. Kecuali yang ini. Tetapi
terlambat pula mengenalinya setelah status bertukar daripada bujang kepada
sudah berkahwin. Ralat juga hatinya. Namun pasrah pada ketentuan-Nya.
“Tidaklah. Kehadiran Encik Rosli di sisi isteri saya rasa lebih
penting. Puan sakit apa Encik Rosli?” Rosli tersenyum menerima pertanyaan itu.
Dia terkenangkan isterinya yang memesannya membeli buah-buahan yang masam untuk
mengatasi selera pahit yang menguasai tekaknya.
“Dia berbadan dua.” Perempuan yang hamil ini sangat banyak
tingkahnya sehingga sukar lelaki sepertinya hendak memahaminya. Isterinya itu
seorang yang indipenden. Tidak suka mengharapkan sesiapa membantunya dalam
melakukan apa-apa perkara. Tetapi semenjak dia disahkan mengandung dan sentiasa
loya-loya sikap ketidak-bergantungan kepada sesiapa telah berubah.
Dia sentiasa mengharapkan suaminya berada di sisinya selalu untuk
memenuhi segenap permintaannya. Walaupun untuk mengambil segelas minuman untuk
dirinya sendiri.
Kadang-kadang dia menganggapkan kerenah isterinya itu sengaja
mengada-ngada. Tetapi kaum keluarga dan sahabat-handainya mengatakan elok
diturutkan sahaja kehendak isteri yang hamil muda itu kerana biasanya bukan
sifat semulajadinya tapi pembawaan bayi yang dikandungnya.
“Oh… tahniah. Tak lama lagi nak jadi ayah. Tentu seronok hendak
menimang cahaya mata yang sulung.”
“Terima kasih.” Balasnya masih tersenyum manis. Wajah isteri yang
sering mengingatkannya jangan terlalu rapat berhubungan dengan artis-artis di
produksinya terbayang-bayang di kelopak matanya.
Cemburu seorang isteri yang menggambar cinta kasihnya yang terlalu,
sekukuh tugu terhadap suaminya yang meranapkan semua harapan lain
berpuing-puing menjadi debu-debu berterbangan. Hilang sudah ‘Anitanya’ dari
imiginasi kabur.
Johan masuk melepasi Lela yang tersenyum kepadanya. Dia menunjukan
kepada Lela majalah yang sedang ditatangnya. Lela ingin merebut majalah itu
dari tangannya kerana terpandangkan gadis manis yang dikenalinya menjadi
penghias muka hadapan kulitnya.
‘Nanti dulu. Aku hendak ke dalam menunjukannya pada produser dulu.’
Barangkali itu maksud kata isyarat mata yang diberikan pada tafsiran Lela.
‘Masuklah ke dalam, Encik Rosli pun ada tu.’ Demikian bisik hati
Lela.
“Amboi…hari tu bukan main banyak alasan awak, tidak mahu pergi sesi
penggambaran hari tu. Tapi Encik Rosli tengoklah gambar-gambar dia. Bukan main posing lagi. Mengancam habis.” Sarina
dan Anita segera menghampiri Johan, tidak sabar lagi hendak melihat wajah
kedua-duanya yang terpapar di majalah.
Sarina sibuk mengerling mencari wajahnya di ruangan itu. Tetapi
tidak ada. Dia berharap aksinya akan tertera di ruangan sebaliknya.
“Nita tidak mahu pose
begitu tapi jurugambar tu yang lebih-lebih. Itu pun banyak lagi pose yang Nita tolak.” Anita
menceritakan perihal sebenarnya.
“Ala
macam mana hendak himpun peminat kalau setakat posing macam ni pun takut. Dan terkial-kial. Tak bergaya langsung.
Tidak layak jadi artis kalau setakat posing biasa macam ni.” Sarina melepaskan
sindiran pedasnya.
Anita terasa darah menyirap ke muka. Wajahnya bera. Rosli dan Johan
saling pandang memandang. Kedua-duanya memang tidak hairan kerana pergeseran
sesama artis, bersinggit hati antara satu sama lain memang perkara lumrah.
Sentiasa saja berlaku di persada seni yang kecil ini.
Kadang-kadang sehingga sanggup membawanya ke mahkamah untuk mendapat
pengadilan. Dan diberi liputan besar-besaran seperti kes yang melibatkan S.
Aini dan S. Nurhaliza hanya kerana angkara mulut. Siapa yang salah, siapa yang
benar, mahkamahpun tidak dapat memutuskannya. Kesnya hanya tergantung disitu
dan akhirnya bakal dibuang dari fail ke dalam bakul sampah.
Rosli melirik ke arah Anita yang terdiam tidak membalas. Dia faham
hati Anita terguris. Dia dapat merasakan kedua-dua dramatis yang sering
membintangi drama terbitan syarikatnya memang memiliki dua personaliti yang
jauh berbeza.
Seorangnya begitu lepas laku dan seakan hanyut dengan dunia glamor
yang tidak berpijak di bumi nyata. Sentiasa berada di awang-awangan dan
merasakan dunia ini hanya statik di situ tidak berpusing-pusing membawa usia
mengikut masa.
Sementara seorang lagi sentiasa menjaga adab dan tata susila seorang
gadis yang tertib dan sopan walaupun berada di dalam dunia yang mengangap semua
itu tidak relevan lagi.
Tapi kedua-dua sifat itu adalah gandingan serasi yang sensasi untuk
menarik khalayak memilihnya. Ada
pro dan kontranya. Sifat negatif dan positif itu sentiasa mewarnai kehidupan
beriring-iringan seperti yang sering terpapar dalam setiap drama di TV. Ada
watak protogonis dan antagonis.
“Jo jangan lupa bawa kamera ya. Saya perlukan still photos penggambaran di pulau nanti untuk diedarkan kepada
media.”
“Jangan lupa gambar saya Encik Rosli.” Sarina tidak malu-malu
menuturkan pesanan. Dia mengharapkan juga gambar cantiknya akan terpapar di
merata media utama kerana pembambitannya dalam drama itu. Peranannya sebagai
pelakon pembantu pun besar juga peranannya.
“Sudah tentu.” Balas Johan bersahaja.
makin lama makin x sabar nak tahu next part of this cerita hehehe
ReplyDeletetq KA sabar...cite sdg up sikit2 to climax..
ReplyDelete