“Habis… sudah muktamat keputusan untuk balik kampung jadi graduan
pengurus kebun sawit?” Tanya Rizal kepada Fareez yang sudah menghabiskan suapan
terakhir mi goreng di pinggannya.
Dia meletakan garfu dan sudu di atas pinggan dan menyodorkan nya ke
tengah meja. Milo ais di dalam gelas tinggi dihirup pula sehingga tinggal
ketul-ketul ais di dasarnya yang bakal mencair sendiri.
“Nampaknya sudah tiada alternatif lain, terpaksalah ke situ. Seperti
ikan pulang ke lubuk. Sirih pulang ke gagang. Pinang pulang ke tampuk. Tak
gitu?” tersengih Rizal mendengarkan perumpamaan atau bidalan entah yang mana
satu kartegorinya ditutur teman itu.
Dia minat juga dengan subjek bahasa Melayu semasa bersekolah tetapi
baginya amat rumit memahami segenap perkara yang bersangkut-paut dengannya. Dia
amat keliru hendak membezakan antara perumpamaan, pepatah-petitih, peribahasa, bidalan,
simpulan bahasa atau kosa kata.
Baginya semua sama. Bahasa Melayu yang sangat indah itu sudah
menjadi sesuatu yang menyulitkan daya fikirnya pula. Dia lebih suka subjek
sejarah kerana hanya perlu mengingat fakta yang tetap.
Tidak perlu terlalu berfikir kreatif untuk menghasilkan pantun atau
syair. Lebih-lebih lagi gurindam atau puisi yang puitis. Biarlah mengkaji
sejarah yang restrospektif sifatnya. Dia suka. Dia merasa dia bukan dilahirkan
untuk menjadi seorang sasterawan.
“Aku ni sudah lama berada dalam suasana yang sama sejak lama dahulu.
Bila aku lahir saja, aku sudah nampak pokok sawit menghijau di hujung kampung.
Sentiasa bermain-main di ladang sawit, menolong ayah aku membersih ladang,
membaja, pruning, meracun semak dan berbagai kerja lagi. Macam kau kata
kerjanya berat dan perlukan kederat. Kalau boleh aku nak juga mencuba dan
merasai suasana yang baru selain berada di sekeliling pokok-pokok sawit. Kata
cikgu aku semasa aku sekolah dulu, luaskan sikit pandangan jangan hanya
berfikir di lengkongan mandala sawit saja.” Lirih sekali graduan Kejuruteraan
Alam Sekitar itu bersuara.
“Eh… begitu pula… kalau gitu apa kata kau ikut aku saja? Selesai
masalah kau.” Spontan saja saranan itu meluncur di bibirnya. Seakan jawapan
sebegitu memang ditunggu-tunggunya.
“Nak buat apa? Sepatutnya aku yang ajak kau ikut aku. Kau pun bukan
ada kerja. Kalau kau ikut aku kita boleh sama-sama menolong ayah aku
menguruskan kebun dan ternakan lembunya. Banyak juga lembu yang ayah aku bela.
Lebih dari 100 ekor rasanya. Ayah aku tu tidaklah kaya tapi hidup kami
sekeluarga tidak susah.
Bagaimana kalau kita buka perniagaan yang berasaskan tani? Kita buka
ladang ternak lembu secara besar-besaran. Sekarang ini permintaan untuk daging
lembu sentiasa meningkat. Terutama untuk musim perayaan dan musim kenduri
kahwin. Banyak lagi yang sedang aku fikir untuk majukan lagi usaha ternak ayah
aku tu. Apa kata kau join aku. ”Fareez membuat usulan yang amat meyakinkan
sambil merenung Rizal memohon kata putusnya.
“Soal perniagaan tu kita fikirkan kemudian. Aku memang nak beritahu
kau dari tadi tap…i,” ujar Rizal tersekat-sekat. Fareez tersenyum dan segera
mencelah.
“Kenapa? Apa dia? Kau tidak ada duit hendak bayar minuman dan
makanan ni? Tak ada hal..aku ada duit... tapi nampak gaya
dressing macam anak lord je.”
Fareez merenung Rizal dari hujung rambut hingga hujung kaki. Maknanya
menyeluruhi dari atas ke bawah. Sungguh segak bergaya.
Tetapi dia hairan kenapa penafsiran tentang teman barunya itu
bercanggah dari penilaiannya. Nampaknya keupayaan seseorang itu tidak boleh
diukur dari penampilan luarannya saja. Fareez memutuskannya begitu.
“Bukan begitu.” Sahut Rizal tersenyum melihat gelagat Fareez yang
memandangnya seperti seorang Pegawai Polis sedang menginterograsi seorang
pesalah berat. Dia pasti Fareez telah menanam benih prasangka serong
terhadapnya. Dia tidak menyalahkan Fareez kerana berpemikiran sebegitu.
“Nampak gayanya, aku terpaksa tukar cara aku berpakaian.” Sahut
Rizal tersengih dan serba tidak kena.
“Kenapa pulak. Okaylah tu apa.” Fareez semakin menyedari sikapnya
itu membuatkan temannya itu tidak senang duduk. Dia cuba untuk menjernihkan
suasana kembali. Tidak mahu menimbulkan ketegangan di tengah perkenalan yang
mula hendak terjalen dengan mesra.
“Apa pun aku hendak kau ikut aku. Nanti kita tengok apa yang boleh
kita sama-sama buat untuk mengubah penghidupan kita. Kau kata kau dah jemu
tinggal di kebun sawit kan ?
Kau nak pula rasa pengalaman baru?”
Fareez terangguk-angguk mengakuinya. Memang itupun pengharapannya.
Rizal mengangkat tangannya membawa ke hadapan mukanya memerhati
jarum jam yang berputar setiap detik.
“Aku rasa bas ke timur sudah hendak bertolak ni. Elok kita
cepat-cepat ke stesyen sana, nanti terlepas bas susah pula.”
Rizal membayar harga minuman dan makanan yang telah dimakan sebentar
tadi. Kedua-duanya melangkah meninggalkan restoran kecil itu menghala ke
setesyen bas yang terletak di bahagian bawah bangunan itu.
* * *
Rizal memandang keluar bas dari jendela yang dibiarkannya terbuka.
Menikmati panorama alam sekitar di sepanjang lebuhraya. Lembah Kelang sudah
ditinggalkan. Kini laluan bas sedang memasuki lebuhraya Karak arah ke timur.
Lebuhraya yang dibina dengan teknologi tinggi Korea itu melalui
banjaran Titiwangsa yang menjadi mangsa tarahannya.Di kiri-kanan jalannya
terserlah kehijauan hutan belantara yang di selangi di antaranya ladang sawit
dan getah juga dusun-dusun buah-buahan. Tidak ada sebarang bangunan yang tegak
berdiri di sepanjang lebuhraya kecuali plaza tol dan kawasan rehat dan rawat
berdekatan bandar Temerloh.
Di sisinya Fareez sedang
membelek-belek sebuah majalah hiburan yang dibelinya di kedai di Hentian Putra.
Wajah yang tertera di kulit
luarnya tersenyum kepadanya. Cantik dan manis orangnya pada pandangannya. Rizal
hanya mengerling gelagat temannya itu yang mula menyelak sehelai demi sehelai
lembaran majalah itu.
Ketika itu juga lantas ia terkenangkan mamanya. Mamanya yang gemar
membaca majalah seperti Fareez. Hatinya diserbu sayu mengenangkan kesedihan
mamanya yang ditinggalkan hanya kerana kepentingan dirinya ingin mencari
ketenangan jiwa. Menyesal pula rasanya. Tetapi langkah yang dibuat, pantang
undur baginya.
Dia cuba melelapkan matanya, cuba melupakan gangguan-gangguan yang
mengasak jiwanya. Bas terus melaju di lebuh raya pantai timur yang baru saja
siap pembinaannya.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”