Rizal masih tercegat. Memandang bangunan Hentian Putra yang akan di
masukinya sebentar lagi. Pandangannya merayau merata arah. Merayapi apa saja
yang melintasi pandangannya.
Rizal mula melangkah masuk ke dalam bangunan itu tanpa berfikir
panjang lagi. Sibuk sekali suasananya dengan kerenah manusia yang mengisinya
membawa tujuan hendak meneruskan perjalanan jauh dengan perkhidmatan bas yang
disediakan di sini.
Dia melihat ramai yang sedang beratur hendak membeli tiket di sebuah
kaunter untuk perjalanan ke timur. Dia turut beratur dan meletakan begnya di
tepi kakinya. Rencananya tidak berubah lagi di antara empat arah yang akan di
tujuinya.
Samaada ke selatan ke rumah datuk di sebelah ayah, ke utara ke rumah
nenek sebelah ibu, ke barat ke rumah seorang kawan rapatnya yang sama-sama
belajar dengannya di US. Hatinya menetapkan untuk ke timur.
Seorang lelaki mundar-mandir berdekatan dengannya. Rizal buat tidak
peduli saja. Barangkali lelaki itu sedang berfikir untuk menyelesaikan sebuah
masalah yang rumit. Sebab itulah lelaki itu mundar-mandir saja sambil wajahnya
menunduk ke bawah. Dia tidak menyangka yang lain selain itu. Dia ralit
menyaksikan petugas di kaunter menghulurkan tiket bas yang di beli kepada
seorang lepas seorang.
Tiba-tiba saja lelaki yang mundar-mandir itu menyambar beg Rizal.
Rizal terpana melihat begnya di bawa lari. Seorang lelaki yang kebetulan
melihat insiden itu bertindak berani dengan menampan lelaki itu dengan kaki
yang diangkatnya tinggi hingga lelaki yang tersadung kakinya itu jatuh
tersembam sewaktu dia melewatinya secara terburu-buru ingin melepaskan diri.
Beg itu segera disentaknya dari peragut itu. Lelaki itu terkaku
panik. Dia memandang lelaki yang menjatuhkannya itu dengan pandangan gamam dan
geram. Tidak menyangka sama-sekali bahawa strategi jenayahnya kali ini
tertewas, tidak menjadi.
Ramai yang datang mengerumuninya. Masing-masing hendak melihat rupa
sang penyangak yang kecundang itu dan juga rupa wira yang amat jarang boleh
ditemui di dalam era kebanyakannya bersikap individualistik masakini. Hanya
mementingkan kemaslahatan diri sendiri.
Rizal segera menerpa untuk mendapatkan begnya semula. Pengawal
keselamatan yang ditugaskan menjaga keselamatan bangunan dan isinya segera
bergegas menghampiri lelaki yang jatuh tersungkur dan kedua-dua tangannya
sedang dikilas seorang pemuda. Pengawal keselamatan itu mengambil alih tugas
pemuda itu.
Si peragut segera dibawa keluar dari bangunan itu diiring dua orang
lagi pengawal keselamatan kawan setugasnya.
“Terima kasih banyak saudara. Saya Rizalsyah. Saudara?” Rizal
bersalaman dengan seorang pemuda sebaya dengannya, berwajah manis berbudi
perkerti tinggi dan sanggup menolong sesaorang yang tidak dikenalinyapun.
Sungguh mulia peri-lakunya. Demikian Rizal meletakan kayu ukuranya di bahu
lelaki itu.
“Saya Fareez.” Dia memperkenalkan dirinya dengan gaya lembut
bersopan. Senyumnya terorak manis di bibir.
“Terima kasih banyak Fareez kerana sudi menolong saya. Jikalau beg
saya tu hilang tentunya saya akan tersadai di sini dan tidak akan ke
mana-mana.” Sekali lagi Rizal mengucapkan penghargaannya kepada kenalan
barunya.
“Sama-sama. Saya menolong pun kerana saya berupaya menolong. Jikalau
peragut tu lari ke arah lain tentu juga saya tidak terkejar dan berupaya
menolong.” Ujar Fareez lembut merendah diri. Dia tidakpun merasa dirinya adalah
wira sejati dan perlu menyombongkan diri.
“Jom lah saya belanja awak minum sebagai meraikan perkenalan kita
dan sedikit penghargaan dari saya.” Rizal bersuara seperti kata pepatah orang
berbudi kita berbahasa. Dan selari dengan kata pantun;
Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga.
Yang baik itu budi.
Yang indah itu bahasa.
“Gitu ke? Boleh saja. Tidak jadi masalah,” sahut Fareez mengatur
langkah untuk memenuhi pelawaan Rizal. Mereka berjalan beriringan memasuki
sebuah restoran kecil. Kali ini Rizal amat berhati-hati dengan beg yang
dibawanya. Dia perlu lebih berwaspada agar kejadian yang berlaku sebentar tadi
tidak berulang lagi. Begnya dipegang kemas dalam rangkulannya dan kejap.
Fareez dan Rizal sedang minum di medan selera Hentian Putra. Fareez
memberitahu tujuannya berada di sini. Dia ingin pulang ke kampungnya setelah
grad dari sebuah universiti awam di KL.
Sudah lama pula menumpang di rumah saudaranya menunggu peluang
perkerjaan untuk dijawat tetapi langsung tidak ada. Kebanyakan temuduga yang
dihadirinya di firma awam atau swasta menuntut pengalaman yang tiada padanya
sebagai syarat utama.
Sekian lama menumpang di rumah saudara tanpa sebarang perkerjaan
terasa juga tebal kulit mukanya. Hari ini dia bertekad untuk kembali ke
kampungnya. Sungguh tidak diduga suratan hari ini menemukannya dengan sesaorang
yang baik budi pada firasat hatinya ekoran insiden itu. Agaknya demikian yang
tertulis di loh Mahfuz.
“Bila kau grad?” Rizal bertanya sambil tangannya mengacau air sirap
bandung di dalam gelasnya agar sekata semua adunannya.
“Sudah lapan bulan. Aku tinggal dengan makcik aku di sini. Sudah
banyak kerja yang dipohon, haram nak dapat. Semua kata aku tiada pengalaman
kerja. Macam mana hendak ada pengalaman kerja kalau tidak pernah diberi
peluang.” Protes Fareez pada alasan penolakan yang sengaja diada-adakan itu.
Dia pernah mendengar cerita jawatan yang diiklan itu hanya sebagai
syarat semata-mata. Tetapi yang sebenarnya memang sudah ada pengganti.
Kebanyakannya kroni kerabat staf dalam jabatan itu sendiri.
Dia tidak pasti kebenarannya. Tetapi jika ramai yang berkata
demikian, susah juga hendak menyangkal wasangkanya. Memangpun dimaklumi setiap
jabatan kerajaan atau swasta kebanyakan penjawatnya mempunyai relasi antara
satu sama lain. Jikalau di dalam keluarga itu emak-ayahnya menjadi guru
anak-anaknya juga semuanya terdorong ke lorong itu.
Begitu juga dalam bidang ketenteraan, polis atau sebagainya.
Sedangkan dia yang dilahirkan sebagai anak petani di sebuah kampung pedalaman
ingin mengubah persepsinya. Tidak mahu menjadi petani. Waima moden atau
ortodok.
“Susah sangat ke dapat kerja?”
wajah teman di hadapannya direnung seluruhnya, tidak berkelip. Selama ini dia
tidak pernah terfikir sampai begitu sekali keadaannya. Baginya peluang kerja
sentiasa ada di syarikat milik bapanya.
Pokoknya samaada dia mahu berkerja dengan tidak saja. Bila-bila masa
saja dia boleh menjadi jurutera kanan di syarikat perkapalan ayahnya.
“Sebab susah sangatlah aku nak balik kampung. Malu juga setelah
merantau mencari kerja balik pula ke kampung dengan tangan kosong. Habuk pun
tarak. Tapi takkan hendak menumpang rumah orang selamanya. Baiklah balik kampung.
Boleh juga tolong ayah aku kait buah sawit. Sekarang ni peneroka tanah RKTP
(Rancangan Kemajuan Tanah Persekutuan) sedang menuai hasil yang lumayan kerana
harga BTS (Buah Tandan Segar) 520 RM bagi satu metrik tan. Jangkaannya harga
komuditi itu akan melonjak lebih tinggi lagi. Ayah aku sekarang ni tentu tidak
kisah sekiranya aku balik menolongnya di kebun. Ada juga hasil.”
“Lumayan juga hasilnya. Berapa luas kebun ayah kau?”
“Adalah lebih kurang 3.4 hektar atau dekat 10 ekar.”
“Tentu senang-senang boleh dapat 10 metrik tan buah sawit setiap
bulankan? Jika 520RM harga BTB satu tan metrik maknanya ayah kau akan dapat
5200 RM untuk sekali tuaian. Wow hebat tu. Kalah gaji pengarah syarikat. Betul
kata kau daripada jadi gelandangan di kota
baiklah kau balik kampung jadi pengurus kebun sawit ayah kau tu. Tetapi
kerjanya tentu sangat berat dan perlukan kudrat yang kuat.” Rizal
terangguk-angguk menyetujui saranan kawannya.
Di samping memberi komen sebagai seorang anak yang tidak pernah
merasa susah walau sedikit pun semenjak menjengah dunia..
“Kau jangan ingat pokok sawit tu akan sentiasa
mengeluarkan hasil 10 metrik tan setiap bulan. Atau kali tuaian.Pokok pun ada moodnya.
Kena musim buah sawit melawas melongolah peneroka macam ayah aku. Hasil yang ada pun cukup-cukup saja untuk sara-hidup.
Bagi yang sentiasa beringat menabung semasa mewah tentu tidak akan merasa sebarang masalah sekiranya
datang masa susah.” Rizal mendapat pengetahuan baru daripada satu sisi kehidupan yang tidak pernah dilaluinya.
suka2 best!
ReplyDeletewah KA memuji sokmo...tksh bnyak...
ReplyDelete