Jam di dinding sudah menunjukan angka sembilan pada jarum pendeknya.
Maknanya waktu pagi sudah berada di angka itu. Shaari turun ke ruang tamu. Riuh
suaranya berteriakan nama isterinya.
“Majmin..Majmin.”Serunya. Senyap. Tiada kedengaran balasan sahutan.
Mak Kiah bergegas mendapatkan tuannya. Bimbang tuannya itu
memerlukan sesuatu dan dia akan tolong mendapatkannya dengan seberapa segera.
“Kenapa Datuk?” Mak Kiah sudah berhadapan dengan Datuk Shaari. Di
tangannya ada sehelai tuala kecil kerana sebentar tadi dia sedang mengelap
pinggan-mangkuk di dapur. Kerja-kerja yang menuntut perhatiannya tidak pernah
diabaikannya.
“Datin ke mana ni? Puas saya panggil tadi.” Matanya melingas
sekeliling ke serata ruang. Kepalanya di toleh kanan dan kiri sedang tangan
mengikat tali leher yang berurna sepadan dengan kemejanya.
“Datin pergi supermarket Datuk.”Mak Kiah menjelaskan kalut.
“Rizal belum bangun lagi ke?” Beralih pula topik pertanyaannya. Soal
ketiadaan isterinya telah dilupakannya.
“Rizal pun sudah keluar. Saya tidak perasan pula bila dia keluar.
Selepas Datin keluar, saya naik ke atas hendak kejutkan Rizal sarapan.
Tengok-tengok dia sudah tidak ada.” Mak Kiah bercerita urutan peristiwanya satu
persatu..
Datuk Shaari merengus keras mendengarkan keterangan Mak Kiah.
Sepasang matanya bersinar menerjah pandangan Mak Kiah yang serba tidak kena jadinya.
“Macam manalah aku hendak lekat di rumah ni kalau pagi-pagi lagi
semua orang sudah tidak ada di rumah. Kalau selalu macam ni aku tidak balik
langsung baru tahu.” Di kala itu perasaannya sebal sungguh. Datuk Shaari
berjalan ke pintu membawa rasa dongkol hatinya. Mak Kiah menahannya dengan
pertanyaannya..
“Datuk tak nak sarapan ke?” dia sudah menyediakan di atas meja,
roti, telor separuh masak, mentega, jem dan satu teko air kopi panas. Itu
adalah menu kebiasaan sarapan pagi Datuk Shaari.
“Kau kan
tahu aku tidak pernah sarapan seorang diri di rumah.”
“Sesekali apa salahnya Datuk.” tukas Mak Kiah dengan sengihnya. Cuba
hendak mendinginkan kepanasan hati tuannya yang tiba-tiba saja mencanak
kemarahannya di pagi hari.
“Kau ni ada saja. Aku hendak ke pejabat ni. Kau bagi tahu Rizal,
malam ni dia jangan kemana-mana. Tunggu sampai aku balik.”ujarnya berbaur
arahan yang mesti dipatuhi pembantu rumahnya itu.
“Baik Datuk.” Balas Mak Kiah dengan nada suara yang perlahan, akur
menurut perintah. Di biarkan Datuk itu berlalu melepasinya hingga keluar dari
pintu masuk utama.
Shaari sudah menapak hingga keluar dari rumahnya. Drebarnya sedang
menunggunya. Lelaki itu menyambut briefcase yang dibawanya. Handphonenya berdengut. Dia menancap
nombor yang tertera. Kemudian menekan butangnya dan menjawabnya.
“Hah...apa kau nak ni?” Dia sudah tahu siapa yang memanggilnya
kerana itu dia menjawabnya halai-balai sahaja.
Dia terdiam memberi fokus kepada berita yang akan disampaikan
kepadanya.
“Oh Ya ke...kau memang cekap. Tunggu aku di sana .” Dia tersenyum lebar kerana berpuas
hati dengan apa yang masuk ke gegendang telinganya. Kabar yang sangat
menggembirakannya.
Drebar itu tidak menghiraukan apa yang diperkatakan tuannya dengan
komponen kecil yang boleh bersuara itu. Dia setia menunggu tuannya mengisi
perut kereta untuk membawanya ke pejabatnya di jalan Ipoh .
* * *
Di dalam pejabatnya, Datuk Shaari begitu asyik menatap lembar demi
lembar majalah terbitan terbaru yang dibawa Amin. Sebelum itu dia baru usai
menyemak dokumen perjanjian dengan sebuah agensi kerajaan berhubung dengan
pengekspotan minyak sawit yang separa proses dari pelabuhan Kelang ke
negara-negara Kuwait, Qatar, Syria dan Jordan yang perlukan perkhidmatan
kapal-kapal syarikatnya.
Kini dia sedang memberi penumpuan khusus pada hobi barunya.
“Mak oii..Amin. kau kontek artis ni cepat. Aii...tak sabar-sabar
hendak berjumpa dengan artis yang jelita sungguh ni.” Pandangannya terpaku pada
potret gadis yang menghiasi kulit majalah
yang keras licin itu.
Amin memandang majalah yang ada di tangan Datuk Shaari.
“Yang sebelah tu lagi cun Datuk. Saya ada nombor telefon dia. Lagi
mudah hendak kontek.” Amin membelek lembar di sebaliknya, cuba hendak menepis keinginan Datuk
Shaari dari hajat sebenarnya.
Barangkali dia tidak mahu berurusan dengan sesuatu yang sukar pada
jangkaannya kerana dia tidak mengenali artis yang dimaksudkan. Pada
perkiraannya gadis itu adalah artis baru yang serba-serbinya baru. Baru tersadai di persada seni.
“Yang sebelah ni? Tidak...tidak...tidak... bukan citarasa aku. Tapi
kalau kau ada nombor dia tentu dia tahu hendak cari si… apa nama dia?”
“Anita Datuk.” Balas Amin pantas. Nampaknya dia juga sudah
mengkaji-kaji maklumat siapa gerangan artis cantik yang sangat mempesona itu.
“Hah...Anita... kau memang cekap.” Amin mula terlambung dengan
pujian tuannya yang menghargai kredebilitinya. Mula menunjuk lagak dengan
bicaranya yang mendabik dada..
“Ala
..Datuk. kan
saya ni orang kuat Datuk. Datuk sebut je, mesti ada depan mata punya.” Pantang
dipuji segera menyerlah keegoan sifat pembantu peribadinya itu. Ini yang
membuat Datuk Shaari tidak berapa berkenan dengan perilaku Amin.
Datuk Shaari menyelak lembar yang lain. Niatnya hendak menduga dan
mengena pula.
“Yang ni boleh dapat juga ke?”
“Tidak payah hendak bermimpi di siang harilah Datuk.” Amin bagai
digeletek hatinya mendengarkannya, seronok tertawa terbahak-bahak. Potret Sitti
Nurhalliza yang tersenyum ayu, manis dan manja seakan menjeling dua karekter
manusia yang sangat menjengkelkannya.
* * *
Tengah hari yang mula menyebarkan bahang habanya. Di sebuah lokasi
penggambaran drama, Anita dan Sarina sedang melakonkan satu babak mengikut
skrip yang diberi sutradaranya. Johan selaku pengarahnya sedang serius dengan
kerja-kerja pengarahannya.
Handphone milik sesaorang berdengut, mengganggu konsenterasi sang sutradara.
Dia mula berang. Dipanaskan lagi dengan bahang panas hari yang menyerap ke
tubuhnya. Matanya mulai berpinar-pinar.
“Cut.” Jeritnya. Keras suaranya.
“Siapa punya handset pulak
tu. Kan dah
beribu kali aku cakap, kalau sedang shooting
offkan handset. Tak reti bahasa
Melayu ke?” kasar sekali nada yang terhambur dari bibirnya. Wajahnya yang merah
disambar bahang mentari turut menyumbang peningkatan digri kemarahannya. Dia
bangun dari kerusi yang didudukinya, berjalan mundar-mandir dengan wajah suram
bercampur geram.
Sarina berlari mendapatkan handsetnya. Kerana dia kenal dengan lagu
yang disetkan ke dalam memorinya. Lantas menjawab panggilan itu dari jarak yang
jauh.
Sarina melambai-lambaikan tangan ke arah Johan selaku memohon maaf.
Lelaki itu bertambah meluat dan menyampah kerana perangai artis yang langsung
tidak berdisiplin itu. Selalu sangat menimbulkan kerenah yang memeningkan
kepalanya.
Johan menghenyakan ponggongnya semula di atas kerusi ‘DIRECTOR’
dengan geram kerana tindakan artis yang memualkannya dan mengganggu kelancaran
tugasnya.
Anita berjalan perlahan-lahan mendekati Johan.
“Abang hendak air ke?” lirih suaranya ingin meredakan kepanasan
pengarah yang membara.
“Air sekolam pun tidak akan dapat redakan marah aku ni.” Tukasnya
sinis.
“Ala
bang...janganlah cakap macam tu. Nanti habis shooting, kita pergi makan ayam
‘tandoori’ kegemaran abang tu.” Lembut suara Anita berusaha memujuk sang
sutradara dengan umpanan habuan yang dijanjikan. Bagai memujuk menggula-gulakan
seorang anak kecil pula.
Sesaorang itu sentiasa ada sifat kelemahan dirinya. Kadang-kadang
mudah dipujuk dan suka dipujuk, menurut pertimbangan Anita. Dia tidak merasa
rugi melakukannya demi untuk kebaikan bersama.
“Kau pergi cepat panggil Sarina kesini sebelum aku jadikan dia
‘tandoori’ aku sekejap lagi.” Mencerlang matanya menujah anak mata Anita yang
bening berkaca.
Anita terus berlari mendapatkan Sarina. Sarina masih melekapkan handphone di telinganya. Selesai sudah
bual bicaranya dengan pemanggil di gelombang maya itu.
Sarina membisik sesuatu ke telinga Anita. Anita terdiam. Wajahnya
berubah warna. Sarina hanya tersenyum memerhati reaksi temannya itu.
Johan masih memandang gelagat kedua-dua artis itu dari jauh. Dia
menggaru-garu kepalanya yang mula kegatalan kerana jemu menanti kedua-duanya
memasuki set penggambaran semula.
Pandangannya teralih pada kru penggambaran yang juga masih ralit
tertonggok di sisi tugasan yang belum selesai disempurnakan. Jurugambarnya
sudah menentukan lensanya kemana hendak difokuskan dan hanya menanti objek
utamanya yang akan melintas di hadapan kameranya. Begitu juga dengan setiap kru
yang lain yang sentiasa bersedia menerima arahan daripada sang Pengarah.
Dia bangun dari kerusi yang
didudukinya. Tidak mahu lagi membuang masa berjeda hanya kerana tingkah
sesaorang yang sangat memualkan hatinya.
“Sudah. Kemas barang-barang semua. Kita berambus.” Jeritnya pada
kru-kru penggambaran. Masing-masing lintang-pukang mengemas berbagai peralatan
lampu, kamera dan prop memasukannya ke dalam van yang sedia ternganga pintunya.
Johan melangkah pantas meredah angin yang bertiup tiba-tiba menampar
wajahnya menuju ke keretanya yang diparkir di pinggir jalan di bawah rimbunan
pohon ketapang. Di sisi ketapang ada pohon dedap yang merah menyala bunganya
tapi tidak punya harumannya.
Dia mendongak sedikit melihat bunga-bunga dedap yang sedang galak
berbunga itu. Dan tersenyum sinis mengenangkan sesuatu dan memberi tamsil
sesuatu berlandaskan pada kecantikan bunga dedap itu.
Cantik bunganya tetapi tidak berbau wangi. Tinggi pula letaknya di
atas pohon di hujung daun. Ah! Lupakanlah. Usah difikir keterlaluan. Bisik
hatinya.
Penggambaran kali ini tertunda kerana olah seorang dramatisnya.
Situasi sebegini bukan sekali dua dialaminya. Sudah acap kali. Sangat hairan di
hatinya, sikap seseorang yang dibayar dengan tinggi untuk melaksanakan tugasan
yang disangkut ke bahunya tetapi melakukannya sambil lewa dan tidak ada
komitmen yang fokus. Sepatutnya seseorang itu menjayakan tugasan yang diberi
kepadanya dengan penuh tanggung-jawab.
* * *
Sarina sedang memandu Wira hitamnya. Anita di sebelahnya menemaninya
seperti selalu. Wajahnya kelat menggambarkan perasaannya yang suram, tidak
tenteram gara-gara perilaku Sarina. Tetapi Sarina langsung tidak mengambil
kisah. Selamba sahaja. Dia tahu Anita sedang memandangnya dengan sinis. Dia
tidak ambil pusing pun.
“Pasal kau lah shooting kensel hari ni. Kau tidak patut buat abang
Jo begitu.” Suara Anita tinggi sedikit tonasinya seakan hendak menempelak.
Tetapi dikawalnya agar tidak terlalu ketara.
“Apa pulak salah aku? Tiba-tiba saja dia angin satu badan, aku nak
buat macam mana?” Sarina membalas kata-kata Anita dengan sanggahan alasan yang
memenangkan dirinya. Apa pun dia tidak mahu kalah dan tidak merasa langsung
bahawa dirinya yang patut di persalahkan.
‘Johan tu yang tak reti nak bersabar. Salah kita sikit nampak je.
Nak tunjuk sangat kononnya dia tu berkuasa dan boleh marahkan orang ikut
suka…boleh belah. Ini Sarinalah.’ Dia menggumam dalam diamnya.
“Memang pun salah kau. Talipon kau tu asyik berbunyi je. Dahlah tu
budak ekstra tu asyik terlupa dialog je, manalah dia tidak berang.” Anita
melepaskan pandangannya ke jalan raya yang disesaki kereta berjejal-jejal
menghala arah yang tidak diketahuinya.
Di pinggiran jalan anak-anak sekolah beruniform lengkap sedang
berjalan ke pondok menunggu bas dan ada yang telah duduk di bangkunya menunggu
bas tiba. Dia terkenang-kenang melalui saat-saat itu bersama Sarina di
kampungnya suatu ketika dulu.
“Ah sudahlah. Elok juga tidak sambung shooting, kan kita ada janji hendak bertemu dengan
Datuk Shaari.” Ujar Sarina masih mempertahankan kewajaran sikapnya yang
mengambil mudah dalam menangani sesuatu perkara.
Hilang terbang memori itu di tepis suara Sarina yang mengawang di
ruang maya.. Dia kembali berhadapan dengan Sarina hari ini. Bukan Sarina
sepuluh tahun lalu. Wajah itu ditatapnya polos.
Anita terpinga-pinga mendengar tutur bicara Sarina dan sukar
menghadam-lumatkan maksudnyanya. Dia terkeliru dengan nawaitu itu. Apa pula
motifnya kali ini. Dia tertanya-tanya. Siapa pula agaknya watak terbaru yang
tiba-tiba berada di dalam drama hidup peribadi kawannya itu. bingung pula
dirinya memikirkan gelagat Sarina.
“Datuk Shaari mana pulak ni? Hari tu Datuk Shamsi. Hari ni Datuk
Shaari pulak. Sampai bila kau hendak berhenti kerat orang-orang tua tu hah?”
rasa jengkel hatinya yang tidak senang dengan tingkah temannya itu terhambur
juga.
Mudah-mudahan niat baiknya hendak menegur sikap kawannya yang
keterlaluan pada pandangannya tidak di salah-ertikan. Hatta Sarina mahu menerimanya
dengan baik. Seorang rakan yang baik wajar menegur rakannya sekiranya
tingkahnya itu semakin keterlewatan dari batas-batas hidup yang bernilai. Anita
memegang kepada prinsip itu.
“Kau cakap tu baik-baik sikit. Mulut kau tu ada insuran ke? Bila masa
pula aku kerat orang-orang tu. Datuk-datuk tu yang murah hati sangat. Sanggup
berhabis duit kerana aku. Dia orang bagi, aku ambil. Rezeki jatuh ke riba, buat
apa hendak ditolak. Membazir saja. Membazir tu bukankah kerja syaitan.” Dia
tersenyum senang.
Bijak pula mengutip firman yang terbiasa pada pendengarannya setiap
kali menjelang bulan Romadan. Alim ulama, ustaz, ustazah sering mengingatkan
muslimin-muslimat jangan menyediakan juadah secara berlebihan sewaktu hendak
berbuka puasa kerana tidak semuanya habis dimakan.
Bila tidak habis dimakan tentulah dibuang dan membazir. Janganlah
membazir kerana membazir itu kesukaan syaitan. Dan mencemari kesucian bulan
yang mulia. Pantas saja dia mengutip kalimat itu dan mengulangi menyebutnya di
hadapan kawannya yang terkedu. Terkesima.
Langsung tidak mempedulikan
ocehan temannya yang sentiasa dianggap hendak mengatur cara hidupnya. Dia
merasa dia jauh lebih berpengalaman dari Anita dalam mengharungi hidup sebagai
artis. Dia cukup arif. Dan Anita tidak perlu menegurnya begitu begini.
Sebaliknya Anitalah yang sepatutnya mendengar dan menuruti apapun katanya.
“Kau hantar aku balik dulu. Aku penat. Hendak berehat. Lagipun
banyak kerja yang hendak dibuat sebelum kita bertolak ke pulau. Kau hendak
pergi jumpa Datuk mana sekalipun kau pergi. Aku tidak akan ganggu urusan kau.
Dan jangan pandai-pandai nak libatkan aku pulak.” Anita tidak kuasa lagi hendak
bertegang leher dengan Sarina yang sukar dirubah sifat kebiasaannya itu.
“Ala Nita please…Ini kali
pertama aku jumpa Datuk tu. Kawan aku si Amin tu baik dengan Datuk tu. Dia jadi
pembantu Datuk tu. Kau ikutlah aku temankan aku. Aku tidaklah malu seorang
diri.” Dia menyentuh bahu Anita dengan tangan kirinya lunak. Sementara tangan
kanannya kemas memegang stereng keretanya, mengawal pergerakanya agar tidak
tersasar dari laluan sebenar..
“Selama ini bila kau keluar bertemu datuk-datuk, aku tidak pernah
pun temankan. Kau tidak pernah sebut pun kau malu hendak berjumpa datuk-datuk
yang kaya raya tu? Pelik sungguh. Kalau malu tidak payah jumpa. Lagipun kawan
kau Amin tu kan
ada. Tentulah dia boleh menjadi teman kau.”
Sarina sibuk mencari alasan untuk meyakinkan Anita agar mahu
menemaninya.
“Eh Amin. Amin kata dia tak
ada. Tolonglah aku. Bukankah kau ni satu-satunya kawan baik aku. Susah senang
kita sentiasa bersama.” Di matanya terawang-awang gelagatnya yang sentiasa
mengganggu Anita membuat kerja-kerja sekolah yang diberi gurunya dengan
mengajaknya mencari ikan di tengah sawah atau ronda-ronda di kuala melihat
nelayan pulang dari laut.
Sewaktu kecilnya dia tidak langsung memperhatikan tentang pencapaian
pembelajarannya di sekolah. Dia selesa dengan cara hidupnya yang sentiasa
bersenang-senang dan mengabaikan kepentingan pelajaran.
Tetapi sikap Anita berbeza. Meski dia berkawan baik dengan Sarina
tetapi sikap Sarina yang merugikan dirinya itu tidak mempengaruhinya.
“Ah itu bukan masalah aku.” Sarina terpana, menarik wajah masam
mencuka demi mendengar buah bicara temannya. Dia tidak gemarkan jawapan yang
singgah di cupingnya itu. Dia memecut keretanya dengan laju tanpa memperdulikan
Anita yang kecut perut dan beristigfar bertali-temali.
“ Astagsfirullah. Hati-hati sikit memandu tu Ina. Apa yang hendak
kau kejar. Datuk tu memang tak lari. Dia sedang tunggu kau tu. Dengan senyum manis
dan rezeki yang melimpah-limpah hendak dicurahkannya ke riba kau.” Anita merasa
kecut perutnya lantaran ketakutan bimbangkan aral yang akan menggangu kerana
sikap Sarina memandu dengan tidak berhati-hati itu.
Memandu dengan berwaspada untuk mengelakan kemalangan dari
terjadipun belum tentu terjamin keselamatannya, apa lagi jika memandu dengan
cuai. Seakan dengan sengaja hendak mengundang nahas. Anita ngeri sekali
memikirkan itu. Wajahnya pucat lesi. Kata orang ditoreh tidak berdarah. Hanya
sekadar kata.
Sarina tersenyum polos. ‘Rasakan kau Nita. Tahu kau kecut perut.’
Dia menarik kakinya dari menekan pedal minyak. Kelajuan kereta yang dipandunya
menurun normal.
Anita menghela nafas panjang dan mengurut dadanya.
aduhai, sgat suka membaca. Gaya penulisan yg baik for KA
ReplyDeletetq KA. kak tulis sesuka rasa je gaya penulisan org lama...
ReplyDelete