Monday 30 September 2019

SEBAB GAGAL MENULIS BUKU PERTAMA

ASSALAMUALAIKUM

Menulis tanpa bermula dari bab pertama

Mengapa selepas 11 tahun di sekolah dan 3 tahun di universiti kita belajar penulisan berformat tetapi masih tidak dapat menghasilkan buku pertama?

Ketika di sekolah kita diajar menulis kaedah linear.

Apakah itu proses garis linear?

Kaedah ini diamalkan dalam penulisan karangan di sekolah, iaitu susunan yang diajarkan seperti berikut.

Pendahuluan
Isi pertama
Isi kedua
Isi ketiga
Isi keempat
Kesimpulan atau pun penutup

Apabila kita menulis dalam kaedah linear, kita akan berfikir sama seperti di atas.

Mula-mula bab satu.
Kemudian bab dua.
Diikuti bab ketiga.
Disusuli bab keempat.

Seterusnya begitu.

Di sini perangkap garis linear berlaku.

Dalam menulis karangan.

Pendahuluan
Isi pertama dapat ditulis lengkap
Isi kedua sudah mula separuh jaya.
Isi ketiga semakin kabur.
Isi keempat tidak disentuh dibuat selagi di atas belum sempurna
Kesimpulan atau pun penutup tidak ada.

Dalam menulis buku, halangan menulis secara linear sangat jelas. Selagi bab pertama tidak selesai, bab kedua tidak muncul.

Apabila kita menggunakan pendekatan yang diadaptasi daripada kaedah Kawakita Jiro (diasaskan pada tahun 1960), kita mengasingkan proses menyimpan idea dan menyempurnakan idea.

Tiga perkara cuba dicapai dalam merancang buku menggunakan kaedah Kawakita Jiro.

Salah satunya, kita mencetuskan ilham buku pertama tanpa perangkap proses garis linear.

Dalam teknik ini kita berfikir secara rawak atau dipanggil buzz logic. Sesuai dengan sifat idea yang fleksibel tanpa aliran.

Susunan hanya muncul selepas itu.
Mahukah saudara belajar lebih lanjut cara menulis dua sehingga tiga buah buku serentak menggunakan kaedah Kawakita Jiro?
Alat kerja ini sudah digunakan oleh 200 penulis yang permah datang ke bengkel penulisan dan buku-buku mereka sudah pun diterbitkan.
Kali ini boleh belajar dari rumah sahaja.
Masuk ke waiting list jika mahukan panduan komprehensif ini.
Sekarang, klik pada link di bawah:

◾Klik di sini bit.ly/kjbuku
◾Klik di sini bit.ly/kjbuku

Friday 27 September 2019

IMPI JELITA

ASSALAMUALAIKUM


Cerpen
Oleh
Paridah Ishak

IMPI JELITA

Kusyuk aku menulis nota tugasan tanpa kupedulikan sahabatku menyoal begitu begini. Belum  mahu kuberikan jawapannya. Kubiarkan kan dulu sahabatku itu menunggu buah butir yang akan tersusun membentuk frasa yang diharapkannya.
            Dia mempersoalkan keputusanku menolak hasrat hati seorang lelaki ingin menjalinkan  hubungan lebih serius denganku. Padanya lelaki itu  sempurna serba-serbinya. Seorang yang kacak, bergaya, kaya   dan miliki firma guamannya sendiri. Telah berjaya dalam hidup. Pendapatnya, kelak tentunya aku akan hidup senang-lenang.
Dia bertanya lagi, mengapa tidak kuterima lamaran  lelaki jutawan seorang kontraktor binaan yang   pernah kuceritakam kepadanya. Sungguh aku menolak tuah kerana dengan bersuamikan seorang jutawan tentu akan hidup bermandikan wang ringgit yang menimbun banyaknya. Anggapannya begitulah.
            Sahabatku itu kujeling sekilas.Nota tugasan yang sedang kusiapkan arahan pensyarah Dr. Nordin kukesampingkan. Monologku menyusun frasa.
‘Kau tak payah nak susah-susah faham aku, Lin. Aku  sendiri pun kadang tak faham diri aku sendiri tapi bolehlah aku cerita sedikit setakat yang aku faham tentang diri aku ni.’
Aku pun tidak teragak mulai bercerita sedikit kisahku yang mana aku suka.
            Azalina menadah telinganya. Lagaknya seolah dapat membaca fikiranku. Deria dengarnya memang berfungsi dengan baik selama ini walau mendengar detakan jantungnya yang berdegup perlahan itu. Teruja hendak mendengar jawapan yang akan kuberikan.
Padanya penolakan lamaran Fadli tidak sewajarnya kulakukan. Selalunya siswi-siswi sepertinya dan kawan-kawanku yang sudah graduat atau bakal tamat pengajian akan segera memilih pasangan hidup kerana tidak mahu digelar andartu/anak dara tua atau andalusia/anak dara lanjut usia.
Sedang dia sendiri belum ada calon suaminya yang sanggup menantinya dengan sabar  menamatkan pengajian peringkat sarjana yang sedang diikutinya bersamaku, Fadli, Nurhani amira, Fatah, Linda syida dan ramai lagi yang lain. Itu merisaukannya juga memikirkannya luahnya kepadaku.Sedang aku sering ditaksir ramai lelaki yang meminatiku namun kuabaikan. Membuatnya sukar memahami pendirianku.
            Aku tidak pilih sidia-sidia yang kaya-raya tu bukan sebabnya aku tak suka jadi kaya-raya segera.Memang aku nak sangat hidup dilimpahi kesenangan. Cuma aku rasa  aku pun boleh cari kekayaan tu dengan usaha aku sendiri. Tak payah nak bergantung hidup dengan kekayaan orang lain. Lagipun aku tidak boleh terima kalau suami aku kata lepas berkahwin nanti  duduk saja di rumah.tidak usah nak berkerja.Sedangkan emak aku yang miskin tu dah melabur banyak duit untuk pengajianku.masakan tidak boleh  berkerja membantu emakku.Dibuatnya jodoh tidak panjang dengan sidia...ditinggalkannya kita, macamana kita nak hidup kalau tak bekerja.Susah nak hidup di zaman sekarang yang terlalu banyak dugaan dan cabarannya. Masa hadapan tidak dapat ditelah citranya
            Alasan aku berikutnya mudah saja. Sebab aku tidak cintakan mereka. Aku akan pilih seorang sidia yang baik, berbudi bahasa,bertanggungjawab, hormat orang tua. Walaupun tidak kaya, tidak mengapa..Kebaikan hati sangat penting bagiku. Lagipun aku dah ada si dia yang sangat cintakan aku!.
            Sedang kawan yang melayani bualanku  masih cuba menghadami kata-kataku. Mungkin apa yang kuperkatakan sedang dipertimbangkan kebenarannya. Tapi tersengih pula seraya bertanya cuba mengorek kebenaran yang disangsikan.
Dia menduga-duga siapakah calon pilihanku itu.
            ‘Adalah.Tak bolehlah nak heboh-heboh selagi belum dirasmikan apa-apa ikatan. ‘Sebenarnya akupun masih mencari-cari calon yang aku berkenan Lin.’  Tersenyum aku menatap wajahnya diserbu keliru.
            Moga apa yang kurencanakan menjadi kenyataan, sahabatku itu berdoa lirih.. Kadangkala memang amat payah menolak takdir Justeru jodoh pertemuan itu Allah yang atur., menurut Azalina.
            Dan kita tidak boleh semata-mata pasrah tanpa usaha walau sedikit Lin. Setelah kita berusaha barulah kita bertawakal kepada Allah. Tidak  hanya menyerah bulat-bulat..Allah penentu takdirnya.Tapi tidak salah juga untuk kita merancang apa yang kita kehendaki. Kata setuju hatiku. Aku tidak pula memaksa sahabatku itu atau sesiapa bersetuju   dengan fikiranku.

             Harap keputusan kuambil ini tepat. Tapi sahabatku itu kasihan kepada Fadli kelihatan, monyok saja selepas kutolak lamarannya.Sudah kurang bercakap seperti dulu.Kalau tidak  bukan main riuh lagi mulut dia bersembang dengan kami.
            Aku cuba fahami kondisi Fadli . Agaknya jodoh kami memang ttdak ada kot.Nak dibuat macam mana!.Kalau ada jodoh aku dengan peguam itu tentu tergerak hati aku untuk menerimanya. Fadli seorang lelaki budiman dan sering tolong aku dalam selesaikan tugasan kuliah. Tapi mengenangkan dia pernah kata isteri pilihannya hanya akan duduk di rumah saja melaksanakan tanggung-jawab sebagai suri rumah semata, Itu yang buat aku rasa berat hati. Aku rasa lelaki sebaik dia tidak susah nak pilih calon isteri menurut kriteria yang disukainya. Tapi bukan aku.
            Menjadi suri rumah sepenuh masa pun apa salahnya kalau suami mampu menyediakan apa saja keperluan isteri dan keluarganya. Tugas isteri tanggungjawabnya, menjaga suami dan anak-anaknya. Sudah fitrahnya begitu, tegas sahabatku. Fakta  hujahannya  tidakku ragu.
            Pendapat Azalina memang langsung tidak salah.Tapi sebagai isteri sepenuh masa kebergantungan kehidupan kita hanya kepada suami kita.Langit tu kata orang tidak selalu cerah.Ada tikanya mendung juga.Hidup pun ibarat roda.Kadang ke atas kadang ke bawah. Nasib masa depan,  tidak kita tahu coraknya. Dibuatnya suami  itu ditimpa musibah yang tak diingini, di mana lagi  nak bergantung.Hilang sudah tempat bersandar masalah. Mentelah pula masa tu anak-anak pula keliling pinggang. Kalau tidak bekerja siapa yang nak tolong kita sara kehidupan?          
Sambil mengenangkan wajah emakku yang berkabut disapa mendung  yang berarak di langit kehidupannya. Azamku ingin menyapu mendung itu segera. Sahabatku mengatakan aku terlalu berfikir jauh.
Padaku memang perlu berfikiran jauh Lin; hidup kita ni bukan untuk sehari dua walau ajal maut kita tidak tahu bila akan menjemput kita. Seperti kata alim ulama; beramal ibadat seolah kita akan mati esoknya dan berusaha seolah kita akan hidup selamanya. Dunia dan akhirat perlu seiring sejalan biar ada keseimbangannya.
            Azalina menyetujui fikiranku. Tidak usah terburu-buru hendak cari jodoh selepas tamat pengajian.Yang penting kerja dulu. Hidup selesa sikit dan bantu mak ayah kita. Begitu yang sepatutnya.Jangan terlalu memilih pekerjaan yang disukai semata.
            Sebenarnya akupun belajar dari pengalaman hidupku dan emakku Lin. Aku Nampak saja riang seolah tiada masalah yang mendepani lorong kehidupan yang kulalui namun menyimpan pelbagai rahsia kesukarannya yang tidak pernah kuceritakan kepada sesiapa. Rahsia kehidupan peribadi patut disimpan sebaiknya.
            Tapi aku suka pula bercerita kepadanya kenangan lampau cinta monyet ketika bersekolah menengah dulu.. Mengenangkannya membuat aku tersenyum sendiri. Aku berkawan baik dengan rakan sekelasku kerana    kami sering bersama menyertai acara sukan dan lain-lain kegiatan persekolahan. Dalam erti kata sebenarnya tidaklah bercinta pun. Cuma aku yang perasan, dilambung perasaan.                                                                                                                                                                                                                                                                 
            Emakku menyedari sikapku yang dilihatnya melamun sendiri dan sambil lewa mengulang kaji pelajaranku. Aku sepatutnya tidak wajar bersikap begitu kerana aku                                bercita-cita menjadi seorang doktor. Cita-cita memang tidak akan tercapai sekiranya aku hanya berangan  dan ralit melamun saja tanpa ada usahanya
Apa yang kita cita-citakan mesti dibentuk sejak awal lagi. Belajar  malas, Cita-cita bukan main tinggi lagi. Umur masih muda  tapi sudah pandai bercinta...mula tak ingat dunia...asyik berangankan boyfriend . Belajar pun main-main.Dibuatnya boyfriend awak tu  cemerlang dalam exam dan masuk universiti tinggallah awak, terkontang-kanting menyesal tidak sudah.Sebelum terlewat mulalah gigih belajar tolong diri sendiri mencapai kejayaan. Emak menyergahku.Membuatku terkapa-kapa.
Aku sedar diri; menjernihkan fikiran..Wajah seseorang yang mengawang di layar minda sirna bayangnya. Betul juga kata emak itu. Kalau aku gagal exam alangkah malunya.Sedangkan aku dan dia sering bersaing di dalam exam untuk mendapat tempat pertama di dalam kelas.Tapi bila aku tahu dia sukakan aku entah kenapa hatiku bagai terawang-awang kesukaan amat dan mulai mencuaikan komitmenku terhadap pelajaran.
            Bodohnyalah aku.Tak boleh jadi begini. Aku  mesti bangkit menggapai cita-cita impianku. Masakan membiarkan dia seorang ke universiti sedangkan aku tertinggal di sini kerana kebodohan kusendiri.Aku menegarkan semangatku yang mulai lumpuh kerana tekanan perasaan.Gangguan-gangguan yang melemahkan tumpuanku terhadap pelajaran berusahaku tepis.Kejayaan dalam peperiksaan penting kudamba.
            Ujar emakku,sebelum masuk dewan exam tu buatlah sunat israk dulu. Berdoalah semoga Allah permudahkan semua urusan sepertimana sinar mentari menyeluruhi alam ini. Solat hajat buatlah banyak kali. Setiap malam bangun solat tahajud, solat taubat, solat hajat akhiri dengan solat witir mohon agar Allah memperkenankan hajat yang diinginkan sebelum-sebelum tu. emakku juga akan bacakan yasin untukku dan mendoakan ketenanganku tika menjawab soalan. Dan perolehi kejayaan.
            Demikian kisah emak dan aku pada suatu musim peperiksaan.
Selesai peperiksaan tingkatan tiga dapat keputusannya cemerlang juga.Aku dapat sambung belajar di sekolah Teknik di Kuantan.Kononnya nak ikut saranan cikgu kelas aku agar berhijrah sikit untuk luaskan pandangan dan fikiran daripada suasana biasa di daerah pedalaman ke bandar pulak.
            Azalina masih mengorek kisah hubunganku dengan Syahrin rakan sekelasku seterusnya. Jadi kenangan sajalah Lin!.Dengar kabarnya dia berpindah ke Johor bersama keluarganya.Ayahnya seorang pegawai tinggi kerajaan.Bukan sebarangan orang juga. Sedang aku cuma orang kampung biasa. Tidak sekufu pipit bersama enggang kata emakku. Kena terima hakikat itu.                    
Aku dengar cakap emakku bahawa kalau nak capai cita mesti bersungguh-sungguh.Tidak boleh main-main sambil lewa. Dan sibuk nak bercinta di usia muda. Masih sekolah lagi pulak tu. Terbarailah semua cita-cita aku sudahnya.
            Tapi kenapa aku tidak ambil jurusan perubatan selepas matrikulasi dulu dan pilih Kejuruteraan sains kimia pula jadi persoalan kepada Azalina..Kalau aku bercita-cita hendak jadi doctor tentu bidang perubatan yang akan kupilih. Kalau  tidak tentu aku sudah jadi doktor bersama dengan Izzairi yang juga minati juga aku dulu.
            Wah!Kautahu juga Izzairi minat aku ya Lin! Tapi aku anggap dia tu kawan saja Lin! Dia lelaki kacak yang diminati ramai rakan sepengajian. Anak seorang tokoh korporat terkenal Malaysia. Sekali lagi aku berpegang dengan nasihat emakku bahawa pipit dan enggang tidak sekufu. Dan tidak boleh terbang seiringan. Realiti hidup tidak berlaku persis kisah dongeng Cinderella.
Mulanya memang semangatku berkobar-kobar nak jadi doktor.Paling tidakpun pharmasis.Tapi lepas matrikulasi kena pindah universiti pula. Sebab universiti tempat aku buat matrik tidak ada pula kursus itu. Aku pilihlah apa saja bidang ada kaitan dengan subjek yang aku belajar di matrikulasi. Malas nak menyusahkan diri pindah-randah universiti sehinggalah tamat ijazah pertama. Bila sambung buat sarjana dapat pula jumpa dengan kawan-kawan kita yang lain datangnya dari universiti berbeza. Macam Suna dari USM, Fatah dan Hani dari UMS
Azalina  menyeringai sengihnya. Masih seronok bercerita tentang Izzairi yang
di Mesir, sambung pengajian di sana. Tidak lama lagi akan tamat pengajin dengan gelaran pakar sakit puan. Mungkin aku akan mendapat pertolongan kala aku hendak melahirkan  bayiku kelak. Azalina menduga nakal. Aku tertawa sedikit.
            Tidak .ada maknanya aku nak bersalin dengan dia Lin! agaknya bersalin dengan bidan kampung saja kot. Itupun kalau ada rezeki nak bersalin.
Aku termenung memikirkan tuah Izzairi dapat belajar di luar negara? Ijazah yang dibawa balik tentu dipandang dan senang mendapat pekerjaan setelah graduat.
            Tapi kalau bidang pengajian yang hendak dituntut tu ada di universiti dalam negeri, buat apa nak susah payah ke sana. Buang masa saja.Besar kos pengajiannya. Apalagi duit yang ada sedikit saja.Ditambah pula dengan kedudukan ringgit kita yang jatuh merudum nilainya mutakhir ini.Menurut pakar ekonomi era kemelesetan setelah minyak di pasaran dunia turun harga.Itu kata yang pakar. Kadang yang mengaku pakar tu tak tahu manapun. Mengapalah aku susah payah memikirkan semua itu. Izzairi anak orang berada. Walau ekonomi negara merudum tidak akan memberi kesan kepada kewangan keluarganya. Lainlah aku yang marhaen dan papa kedana.
             Aku dulu dapat juga tawaran sambung buat sarjana di Korea tapi aku tolak.Sebab mengenangkan emakku yang tinggal seorang di sini.Sedang adik-adik aku juga masih belajar lagi. Emak akupun bukannya berapa sihat sangat.Kesian juga nak tinggalkan dia. Kalau di sini setiap minggu aku boleh pulang jenguk emak aku.
Aku memang seorang anak yang baik dan bertanggung-jawab terhadap keluarga. Puji sahabatku. Kalau aku ke Korea tentu dapat bermain salji dan sedap makan kimchi hingga terlupakan  gulai dan sambal tumis . Entahkan tersangkut pula dengan pakwe Korea yang jambu macam artis KPOP tu. Aku  tertawa sedikit dengan lelucon spontan Azalina itu.
            Aku kan anak sulung Lin! Hanya pada aku, emak dan adik-adik aku bergantung harap. Aku bukan macam kau dan kawan-kawan kita yang lain yang kebanyakannya datang dari keluarga yang berada. Macamkau ibubapa kerja guru.Sedang emak aku cuma petani biasa. Bukan petani yang kaya-raya macam kat Eropah tu. Petani kat Malaysia yang kais pagi makan pagi.
            Kalau malas nak mengais tak makanlah jawabnya. Sebab tu aku sanggup buat kerja tutor bantu Dr. Nordin semasa buat ijazah dulu. Lepas grad macam-macam kerja aku buat nak biayai belanja aku belajar.Sampai kerja kat supermarket pun aku buat. Kau cuma belajar saja kan Lin! Tak payah nak fikir apa-apa. Tiap bulan dapat wang saraan dari mama dan papa kau.Kadang-kadang abang dan kakak kau yang dah berjawatan besar semuanya turut menghulur belanja.
Sedang aku nak harap siapa kalau aku tidak tolong diri aku sendiri.Mujur juga ada PTPTN. Pandai-pandailah bajet apa yang perlu agar mencukupi. Tapi sesekali dapat juga harapkan pertolongan kau yang baik hati tak lokek membelanja makan selalu. Terima kasih banyak Lin!

TAMAT

Wednesday 25 September 2019

MUTAKHIR INI

ASSALAMUALAIKUM


MUTAKHIR INI

Kala senja membungkus sepi berdiri
rindu kesempurnaan menjolok rasa
 larut cerut  menjerut bolak balek atma
Kala kata putus mengusut hadam
Mengkelan tidak tercerna
Terpana dalam ghairah pesona
Yang mengelirukan sungguh
Yang ternyata sukar percaya
yang terlindung disenandung
Metafora menyelirat maksud
Rekayasa caca marba  rona roni rasa
Kepelbagaian saran pandang
Tidak menyatukan porak peranda
Geruh meluruh  lebat sekitar
Prasangka semata ragu
Menolak hasnudzon
Entah sampai bila
     
PARIDAH ISHAK
Desa Melor  Serendah
18/03/019                                                                                                         

Monday 23 September 2019

SEORANG SIFU...

ASSALAMUALAIKUM


                                                                                 PIC TABIR ALAM (C)


SEORANG SIFU

Jalanan maya banyak simpangnya
tersalah hala bimbang tersesat
Saniah Masri tunjuk arahnya
tidaklah lagi terpisat-pisat

Hasrat pertingkat ilmu sastera
media maya manfaat wadah
berguru dengan sifu bitara
mulanya sukar berakhir mudah

Genre puisi pelbagai jenis
sifu mengajar penuh teliti
bergolak rasa masam dan manis
kala ditegur tercuit hati

Sifuku Tabir Alam bestari
sarat ilmunya di dalam dada
daya ingatan di hujung jari
jawab soalan biar senada

Sempena ulang tahun sifuku
sihat afiat lestari hayat
panjang usia tulus doaku
karya kecilku menyusun ayat


PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
23/09/19

Sunday 22 September 2019

DUIT HANTARAN

ASSALAMUALAIKUM

SELAMAT BERHUJUNG MINGGU DENGAN GEMBIRA  BERSAMA KELUARGA SAMBIL MELAKUKAN AKTIVITI YANG DISENANGI....WALAU KETARA ALAM SEKITAR JEREBU DI SANA SINI NAMUN MAJLIS KENDURI KAHWIN YANG TELAH DIJADUALKAN TETAP JUGA DIADAKAN DAN TIDAK DITUNDA...ALHAMDULILLAH SEMOGA BERHATI-HATI MENJAGA DIRI SEKIRANYA TERLIBAT DALAM SEBARANG ACARA YANG MENDEDAHKAN DIRI KEPADA PENCEMARAN UDARA

SELAMAT PENGANTIN BARU KEPADA SEMUA MEMPELAI YANG MENAIKI JINJANG PELAMIN...TAHNIAH SEMOGA KEKAL BERSAMA SEHINGGA JANNAH


DUIT HANTARAN

Melamar perawan
riang gembira
ibu bapa
setuju

Jumlah ribu ringgit
duit hantaran
bilang jari
mengira

Menggaru kepala
pemuda pening
hendak cari
di mana?

Friday 20 September 2019

BERPADA DENGAN SEDIKIT...

ASSALAMUALALIKUM



SALAM JUMAAT MULIA

1. Berpadalah dengan yang sedikit kerana hatinya kaya. Pabila kita bersyukur dengan yang sedikit Allah akan tambah nikmatnya.

2. Tinggalkan olehmu rasa dengki nescaya akan bahagialah justeru sifat dengki dan iri itu adalah sifat iblis

3. Jauhkan olehmu segala yang haram Allah akan jadikanmu seorang yang cintakan agama.

4. Barang siapa yang kurang bercakap sempurnalah akalnya, bernas fikirannya.

5. Amalkanlah ilmu-Nya yang diketahui Allah akan tambah ilmu yang tidak terduga.

6. Berusahalah untuk dunia seolah hendak hidup selamanya. Beramallah seolah akan mati esoknya. Istiqomah dalam melakukannya.

7. Jadikanlah diri kamu  manis dan disenangi.

Wednesday 18 September 2019

ORKID RIMAU

  ASSALAMUALAIKUM

LAMA PI TIDAK MENULIS TENTANG ORKID SALAH SATU BUNGA KEGEMARAN PI ANTARA PELBAGAI JENIS BUNGA-BUNGA YANG CANTIK MEMPESONA.

ORKID HARIMAU PI INGAT TUMBUH DI TANAH...RUPANYA HABITAT ORKID INI WALAU AGAK BESAR DI ATAS POKOK DUDUKNYA..DI DALAM HUTAN PULA..SELALU PI TENGUK ORKID INI DITANAM DI TANAH SAJA...KALA BERBUNGA TAHAN BERBULAN LAMANYA SEBELUM GUGUR.

                                                        PIC FB MOHD AMMAR  YUSOF (C)
                                                                                   PIC GOOGLE (C)


 

Monday 16 September 2019

SELAMAT HARI MALAYSIA..

ASSALAMUALAIKUM
                                                                       PIC GOOGLE(C)


SELAMAT HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER

Mara melangkah menuju jaya meraih cita
Anganan dan impi realisasikan
Lambat berleka ketinggalan waktu
Andai ingin berdiri sama tinggi
Yakin asa kemas genggaman
Suci niat sudut nubari
Ilahi restui berkati insyaa-Allah
Amiinkan doa nusa sejahtera selama.

PARIDAH ISHAK
DMS
16/09/019

Sunday 15 September 2019

SKRIP PURBAWARA SRIKANDI MELAKA

ASSALAMUALAIKUM

ADA YANG BERMINAT NAK TULIS SKRIP PURBAWARA RADIO KLASIK...PI KONGSIKAN DI SINI FORMATNYA
https://drive.google.com/file/d/1bwvdV9e3DG6S7rE7M9HysTn_chGDHUb8/view?ts=5d65e734

RANCANGAN: PANGGUNG DI KLASIK
PENERBIT:        ZURAIDAH MOHD NOR.
TAJUK:               SRIKANDI  MELAKA.
PENULIS:          PARIDAH BINTI ISHAK.
ALAMAT:          

K/P:                 
HP/ E-MEL:        
AKAUN BANK:        

                           

PELAKON:        1. .…………………….....…........ sebagai TUN FATIMAH.
                            2. .………………………............. sebagai LELASARI.
                            3. ………………………….......... sebagai SULTAN.
                            4. ………………………….......... sebagai TUN BUSU.
                             5....................................................sebagai L.KHOJA   HASAN.                          
                           

EFEK:                 1. SUARA PERGADUHAN.
2. SUARA ORANG RIUH-RENDAH.

SINOPSIS:             
Ayahanda Tun Fatimah, bendahara Melaka, suaminya dan keluarga dititah bunuh oleh Sultan Melaka kerana dipercayai merancang merampas kuasa mentadbir negeri. Tun Fatimah amat bersedih kerana merasakan sultan bertindak tanpa menyiasat kebenarannya terlebih  dahulu. Lelasari sahabatnya cuba menaikkan semangatnya yang merudum dengan menasihatkannya agar menyiasat gara-gara siapakah yang menabur fitnah yang menyebabkan kejadian itu.. Tun Busu, sepupu mereka dan seperguruan dalam persilatan turut membantu.  Sultan memaksa Tun Fatimah menjadi isterinya. Pada mulanya Tun Fatimah enggan. Akhirnya Tun Fatimah  bersetuju setelah dipujuk Lelasari dan Tun Busu yang menerangkan rancangan mereka untuk membongkar rahsia pembunuhan bendahara dan keluarganya. Tentulah lebih mudah mereka melaksanakan siasatan mereka sekiranya Tun Fatimah berada dalam istana dan berdampingan dengan sultan.  Hasil siasatan mereka mengetahui, hukuman yang dikenakan sultan ke atas bendahara adalah kerana sultan percaya pendustaan Raja Mandaliar dan laksamana Khoja Hasan. RajaMandaliar dan laksamana Khoja Hasan menerima hukuman setimpal dijatuhkan sultan.


GRAM:              MUZIK PENGENALAN.
JURUHEBAH:   Wahana citra warisan bangsa, dipersembahkan dalam Purbawara. (PAUSE) Purbawara dengan kisah “SRIKANDI MELAKA” karya Paridah Ishak, Desa Melor Serendah. “SRIKANDI MELAKA”.
SYAIR:                   
.                            Syair dimadah kisah lagenda
                            Ceritera Tun Fatimah bangsawan muda,
    Dugaan besar datang melanda,
    Sedih hidupnya porak peranda.

                            Dirinya hiba hatinya luka,
                            Tidak tertahan menanggung duka,
                            Insan tersayang  tidak terjangka,
                            Semua dipancung sultan yang murka.
GRAM:                   MUZIK.
LELASARI :           Marilah makan Tun Fatimah! Sudah beberapa hari tuan hamba tidak makan.
T.FATIMAH:          (SEDIH) Biarlah hamba begini Lelasari. Selera makan hamba telah mati. Mati bersama kematian ayahanda dan kekanda Tun Ali suami hamba juga semua adinda dan kekanda hamba yang   hamba  kasihi. Hamba juga ingin turut bersama mereka ke alam sana. Kenapalah hamba tidak dipancung  sekali.                                                                                                      
LELASARI :           (MEMUJUK) Sabarlah Tun Fatimah! Setiap yang berlaku sudah takdir Yang Maha Esa. Terimalah ketentuan-Nya dengan reda.
T.FATIMAH:          Kenapalah ayahanda hamba, suami hamba dihukum pancung Sultan Melaka. Sedangkan ayahanda hamba adalah bendahara Melaka yang berkhidmat sepenuh jiwa raganya.   Hamba tidak mengerti apa puncanya.                                                    
LELASARI :           Kerana itulah tuan hamba tidak boleh berhiba menanggung duka semata. Kuatkan semangat. Kita sebagai warisnya mesti siasat. Apalagi tuan hamba sebagai warisnya terdekat. Kalau tiada angin masakan pohon  bergoyang Tun Fatimah. Tidak mungkin kita percaya bendahara menderhaka dan ingin merampas takhta.                                                                                    
T.FATIMAH:          (BERSEMANGAT) Hmm..Benar kata tuan hamba Lelasari. Hamba tidak boleh patah semangat dan cuma berdiam diri. Akan hamba cari sebabnya hingga akar umbi. Sia-sia  hamba sebagai anak bendahara memerhati saja. Angkara siapa menabur fitnah pesona akan hamba siasat.  Siapa yang menabur angin akan menuai badai.
LELASARI:            Hamba juga bersedia menolong tuan hamba. Bukankah kita ini bersaudara dan bersahabat sejak lama. Kesusahan tuan hamba, hamba turut rasainya.
T.FATIMAH:          Terima kasih Lelasari! Tuan hambalah sahabat hamba yang sejati.
LELASARI:            Sebelum kita memulakan langkah eloklah kita bersua dengan                               Tun Busu meminta pertolongan dan pendapatnya. Tun Busu  sahabat seperguruan silat kita. Tentu dia rela hati bersedia bantu kita.
T.FATIMAH:          Ya mudah-mudahan Tun Busu akan membantu kita.
LELASARI:            Esok kita ke rumahnya. Moga apa yang kita rancangkan dapat kita laksanakan.                                                                                                                                                                                                                   
GRAM:                   MUZIK.
LELASARI:            Tenguk tu Tun Fatimah...sebelum kita mengatur langkah sudah ada yang datang menghalang.                                                                                             
T.FATIMAH:          Nampaknya Tun Busu juga berada di belakang hulubalang-hulubalang itu. Apakah hajat mereka menuju ke mari.
EFEK SUARA KASAR:     (TANGKAP TUN FATIMAH...BAWA KE ISTANA SULTAN!)                   
TUN  FATIMAH:   (SUARA TINGGI) Kalau berani cubalah tangkap hamba. Tidak semudah itu hamba menyerah. Tidak puaskah lagi sultan membunuh semua keluarga hamba? Akan hamba amuk tuan hamba semua sehingga kehilangan nyawa.
EFEK PERGELUTAN:     
T.BUSU:                  (SUARA TINGGI) Usahlah bertarung bertumpah darah Tun Fatimah. Ikut sajalah pengawal ke istana agar kita tahu duduk perkara. Mungkin maksud sebenar sultan tidak seperti yang kita sangka.
T. FATIMAH:         (MARAH) Sungguh tidak hamba duga tuan hamba juga sudah berpaling kepada tingkah durjana sultan ya Tun Busu? Menghukum ayahanda hamba dengan tiada usul periksa.
T.BUSU:                  Usah dipersoalkan itu Tun Fatimah. Sudah adat kita Melayu pantang menderhaka kepada sultannya.(PAUSE) cepat bawa Tun Fatimah ke istana.                                                                       
LELASARI:            (MARAH) Memang tidak boleh diharap tuan hamba ini Tun Busu! Sanggup membiarkanTun Fatimah diperlakukan sebagai pesalah begitu.
T.BUSU:                  (SUARA PERLAHAN) Diam dahulu Lelasari, sebentar lagi kita bicarakan sesuat Jom kita ikuti mereka ke istana.                                                                                                                                                             
GRAM:                   MUZIK
SULTAN:                (SUARA TINGGI) Lepaskan Tun Fatimah. Tinggalkan Tun Fatimah bersama beta di sini.
T. FATIMAH:         (SUARA TINGGI) Kenapa patik dibawa ke sini  tuanku? Tuanku berhajat hendak membunuh patik? Silakan tuanku. Patik reda bersemadi bersama ayahanda, suami dan semua keluarga patik yang telah tuanku hukum. (MENANGIS)
SULTAN:                Usahlah menyangka yang bukan-bukan Tun Fatimah. (PAUSE) Sebenarnya beta hendak mengambil Tun Fatimah sebagai isteri beta dan menabalkan sebagai permaisuri Melaka ini.
T.FATIMAH:          Tidak sudi patik bersuamikan sultan kejam yang telah membunuh semua kesayangan patik. Biarlah patik dituduh menderhaka sekalipun.                       
SULTAN:                Heh… hendak dijadikan permaisuri Melaka pun tidak mahu! (PAUSE) (TERKEJUT) Kenapa keturunan bendahara ini berada di sini tanpa diundang. Berambus dari sini tuan hamba  berdua.
T.BUSU                   Ampun tuanku. Ampunkan  patik dan Lelasari kerana berada di sini. Patik berdua terlalu gembira tatkala mendapat khabar tuanku ingin memperisterikan Tun Fatimah dan ingin menyampaikan ucapan rasa bahagia kami kepada tuanku dan sepupu kami ini.
SULTAN:                Oh jadi tuan hamba berdua bersetuju beta memperisterikan Tun Fatimah( KETAWA)                                                                                                                T.BUSU:                  Benar tuanku! Biarlah patik berdua memujuknya dan menenangkannya
GRAM MUZIK
T. FATIMAH:         Rupanya tuan hamba berdualah selama ini menjadi gunting dalam lipatan yang tidak hamba sedari. Menyesal hamba bersaudara dengan tuan hamba berdua.   
LELASARI:            Usah bicara begitu Tun Fatimah. Niat suci hamba berdua usahlah diragui.                    
T.BUSU:                  Benar kata Lelasari. Tuan hamba harus menjadi permaisuri dan berada di dalam istana ini agar mudah kita mencari bukti dan merungkai masalah ini.                                                                                   .                                                                                                         
GRAM:                   MUZIK.
T.FATIMAH:          (MARAH) Hamba mendapat khabar yang diberitahu seorang dayang istana bahawa Raja Mandaliar menyampaikan kepada Laksamana Khoja Hasan bahawa ayahanda hamba telah menempah  cerek emas dan capal emas khasadnya hendak menaiki takhta. Dusta sekali semuanya. Tidak berguna sekali Raja Mandaliar itu.                        
T.BUSU:                  (TERKEJUT) Apa? Rupanya gara-gara fitnah pesona Raja Mandaliar. Biar hamba merisikinya sebelum hamba bertindak terhadapnya.
                                 Patut hamba pernah mendengar dia berkata setiap patah katanya Sultan percaya.
T.FATIMAH:          Hamba akan meminta tuanku menyiasat semula  akan hal ini.
LELASARI:            (SUARA LUNAK) Berhati-hatilah Tun Fatimah. Musuh kita banyak memperhati. Moga kita selamat dan tidak ditimpa celaka.                                       
SYAIR:                     Ayahandanya  dituduh persiap diri,
                                  hendak menjadi sultan negeri,
                                  merampas kuasa kabar diperi,
                                  barangan emas tempahan seri.

                                  Tun Fatimah usaha membongkar,
                                  mencari bukti hingga ke akar,
                                  segala punca cari selongkar,
                                  akhir terbukti fitnah membakar,
GRAM:                   MUZIK
T.FATIMAH:          (SUARA LEMBUT) Ampun tuanku adinda bertanya sepatah dua.
SULTAN:                Silakan adinda, bertanyalah apa saja, beta sedia menjawabnya.
T.FATIMAH:          Khabarnya berlaku pergaduhan di pelabuhan Melaka suatu ketika antara Nina Sura Dewana  dan Raja Mandaliar dalam urusan perdagangan mereka. (PAUSE)  Almarhum ayahanda bendahara telah menyelesaikan persengketaan mereka. Tapi Raja Mandaliar tidak berpuas hati kerana ayahanda memihak kepada Nina Sura Dewana pesaing dagangannya kerana kebenarannya,.apakah kekanda tuanku tahu soal itu?
SULTAN:                Tidak! Beta cuma diberitahu oleh laksamana Khoja Hasan bahawa Raja Mandaliar memberitahunya bendahara hendak menderhaka dengan khasadnya menaiki takhta  dan telah menempah cerek emas dan capal emas.  Lain-lainnya tidak pula diberitahu.               
T.FATIMAH:          Ampunkan adinda tuanku! Apakah tuanku telah menyiasat kebenaran semua itu?                                                                                                                                                         
SULTAN:                (SUARA TINGGI) Beta sudah memberi amanah kepada Laksamana Khoja Hasan syahbandar, tentulah dia telah menjalankan tugasnya dengan baik.
T.FATIMAH:          (SUARA LEMBUT) Ampun tuanku di luar istana orang-orang Melaka mendengar Raja Mandaliar bercerita tuanku mentadbir negara mengikut apa bicaranya.          
SULTAN::               (MARAH) Apa! Beta tidak boleh terima semua ini. Seolah selama ini beta diperbodohkan Raja Mandaliar dan laksamana Khoja Hasan..(PAUSE) (SUARA TINGGI) Pengawal bawakan Raja Mandaliar dan Khoja Hasan mengadap beta.  Beta ingin tahu perkara sebenarnya.               
T.FATIMAH:          Ampun tuanku. Adinda mohon diri ke taman  sebentar.
GRAM:                   MUZIK.
T.FATIMAH:           (SUARA PERLAHAN) Dayang panggilkan Lelasari dan Tun Busu ke sini!                   
LELASARI:            Kenapa Tun Fatimah memanggil hamba berdua?               
T.FATIMAH:          Kita harus bersedia kerana tuanku telah memanggil laksamana Khoja Hasan dan Raja Mandaliar ke istana. Hamba bimbang mereka melarikan diri kerana tembelang mereka telah diketahui. Ayuh kita semua ke sana.
LELASARI:            Ayuh jangan biarkan pesalah-pesalah itu tidak dihukum.
                                 Pesilat-pesillat seperguruan kita jua telah hamba bawa bersama.
T.BUSU:                  Ayuh segera kita ke sana kerana hamba bimbang kedua mereka belayar meninggalkan pelabuhan Melaka. Hamba sudah lama ketahui mereka berdua berpakat merancang semua angkara ini. Tapi hamba tidak berdaya menjelaskannya tanpa bantuan Tun Fatimah.
GRAM:                   MUZIK.
EFEK PERGELUTAN
T.FATIMAH:          Lihat itu! Mayat para pengawal yang dititahkan                                  tuanku membawa mereka mengadap baginda bergelimpangan. Sungguh kasihan                                                                                                                                
LELASARI:            (SUARA TINGGI) Tun Busu kawan-kawan semua, ayuh kita tangkap mereka! Petualang-petualang Melaka in kita hadapkan kepada sultan.                                 
EFEK PERGELUTAN
TUN BUSU:            Menyerahlah tuan hamba berdua. Tuan hamba berdua tidak akan menang berlawan dengan pahlawan-pahlawan Melaka ini. Berhentilah menentang kami.                             
LELASARI:            Cepat kita heret saja kedua-dua petualang ini ke hadapan sultan.
                                 (PAUSE) Tun Fatimah! Tuan hamba terlukakah? Biar hamba balut lukanya. Tahan sakitnya ya!  
GRAM:                   MUZIK.
T.BUSU:                  (SUARA TINGGI) Ampun tuanku! Patik membawa kedua-dua pacal ini mengadap tuanku. Pengawal-pengawal yang tuanku titahkan membawa mereka, habis mati dibunuh mereka.
K.HASAN:              (MERAYU) Ampun tuanku! Patik tidak bersalah tuanku.                                         
SULTAN  :            (SUARA TINGGI) Kalau tidak bersalah kenapa hendak larikan diri.
                                  Dan pengawal-pengawal beta habis dibunuh mati. Apakah  
                                 maksudnya semua ini? Terangkan kepada beta perkara sebenarnya.
K.HASAN:              Semua ini pesona fitnah Raja Mandaliar yang memaksa patik sampaikan kepada tuanku kisah penderhakaan bendahara kepada tuanku. Dan patik diberi imbalan sepuluh kati emas.
SULTAN:                (MARAH) Hanya kerana sepuluh kati emas kamu sanggup membiarkan nyawa bendahara dan keluarganya melayang kerana hukuman beta yang semata-mata mempercai bicara kamu. Sungguh kamu  ini tidak amanah. Beta akan hukum kamu dengan seberat-berat hukuman.                                                                  
K.HASAN:              (MERAYU) Ampuni patik tuanku! Sebenarnya Raja Mandaliar inilah yang khasad naik takhta dengan meminta bantuan bangsa benggali putih yang datang berdagang di pelabuhan Melaka                                               tuanku! Bendahara tidak khasad begitu.
SULTAN:                (MARAH) Sungguh tidak berguna kamu berdua. Sanggup kamu bersubhat dengan Raja Mandaliar melakukan petualangan ini. Dan mereka yang tidak bersalah menjadi mangsa. (PAUSE) Sudah! beta tidak mahu mendengar lagi semua ini. (PAUSE) (SUARA TINGGI) Pengawal! Heret kedua-dua penderhaka ini dan gantung mereka di pesara.
T.BUSU:                  Biarlah patik mengiring mereka bersama-sama kawan-kawan patik ini tuanku!
SULTAN:                (TERTANYA-TANYA) Tun Busu... tapi siapakah kawan-kawan kamu ini. Beta tidak pernah melihat mereka selama ini.
 T.BUSU:                 Ampun tuanku! Kesemua mereka adalah pesilat-pesilat seperguruan dengan patik tuanku. Merekalah yang turut membantu patik menangkap penderhaka ini tuanku.
SULTAN:                Oh begitu! (PAUSE) Bukalah hijab yang melindungi wajah kamu semua supaya beta dapat mengenali kamu semua. Jasa kamu semua kepada negeri Melaka amat besarnya. (PAUSE) (TERKEJUT) Apa adinda Tun Fatimah? Lelasari ?
T.FATIMAH:          (MERAYU) Ampuni patik tuanku! Patik terpaksa bertindak begini bersama sahabat-sahabat patik demi membongkar pendustaan mereka terhadap ayahanda patik tuanku. Patik tidak ada khasad lain yang  tersembunyi tuanku. Ampunilah kesalahan patik  tuanku!
SULTAN:                Adinda Tun Fatimah! Usahlah bicara begitu. Sebenarnya kandalah yang bersalah kerana menghukum ayahanda bendahara tanpa usul periksa. Hukumlah kanda. Kanda bersedia menerimanya (BERSEDIH MENANGIS)  Ampunilah  perbuatan kekanda duhai dinda. Kanda tidak mentadbir negeri dengan adil dan saksama.
T.FATIMAH:          Tidak mungkin dinda menghukum tuanku suami dinda. Dinda sebatang kara di dunia ini. Hanya kandalah tempat dinda menyandar nasib susah dan senang. Semoga kejadian yang berlaku ini dijadikan iktibar dan pengalaman. Walau amat perih dirasakan.
                                 
SYAIR:           Berakhir sudah syair digubah,
                        Hayati kisah usah gelabah,
                        semangat tegar tidak berubah,
                        musuh sebenar ditolak rebah..

                        Tun Fatimah berjiwa kersani,
                         hadapi ujian dengan berani,
                         srikandi Melaka dulu dan kini,
                         ingatan kekal ke  hari ini
GRAM:                   MUZIK PENUTUP.
JURUHEBAH:        Demikian Purbawara dengan kisah “SRIKANDI MELAKA” karya Paridah Ishak, Serendah, Selangor.
PELAKON:
                            1. ……………………………sebagai SULTAN
                            2. ……………………………sebagai TUN FATIMAH
                            3. ……………………………sebagai LELA SARI
                            4. ……………………………sebagai TUN BUSU
                             5.............................................sebagai L.KHOJA HASAN
.                          
                            PENYAIR: ………………………………………………………….
Purbawara khazanah seni warisan bangsa, diterbitkan oleh ZURAIDAH MOHD NOR.







MyBloglist