Monday, 14 November 2022

SUARA SARAWAK

 ASSALAMUALAIKUM


Alhamdulillah puisi PI disiar akhbar SUARA SARAWAK Ahad 13 Nov 2022. Terima kasih banyak editor Tn Haziq Kamal atas kesudian terbitkan karya PI seadanya saja.
Pic kiriman nanda Gabriel Kim Juan ...terima kasih banyak nanda.



Sunday, 13 November 2022

TAFSIR AL-FATIHAH

ASSALAMUALAIKUM 



"Assalamualaikum wrmbth" Emak saudaraku Siti Zainab memberi salam ketika Aku dapat masuk link google meet.

"Waalaikum Salam wrbth Cik Siti. Terima kasih tolong buatkan link malam ini." Balasku.
Alhamdulilah malam ini, Aku dapat menyampaikan tadabbur surah yang pertama: Al Fatihah sebagai ulangkaji. Ulangan ini perlu, kerana selepas Al Fatihah, surah kedua: Al Baqarah. Kedua-dua surah ini saling berkait..
Ayat terakhir surah Al Fatihah, Allah jelaskan dalam surah Al Baqarah.
PERKONGSIAN ILMU:
SURAH 1: AL FATIHAH.
Ayat 1 hingga 5.
PENGENALAN:
EMPAT PEMBAHAGIAN AL QURAN
Kandungan al Quran terbahagi 4 berdasarkan 4 perkara. Setiap bahagian bermula dengan.
‘Alhamdu Lillah’
1. Surah 1 al Fatihah – Surah 5 al Maidah . Hanya Allah Pencipta segala sesuatu
2. Surah 6 al An’am hingga Surah 17 al Israk. Hanya Allah yang Memelihara, Menjaga , Mengurus dan Mentadbir segala yang diciptanya
3. Surah 18 al Kahfi hingga Surah 33 al Ahzaab. Hanya Allah yang Mengurus dan Mentadbir, Mengolah dan Mengubah suai. Memberi rezeki dan menahan rezeki.
4. Surah 34 Saba hingga surah 114 An Nas – Allah Taala Yang Berkuasa Penuh pada Hari Akhirat / Pembalasan.
Kesemua 4 perkara dalam al Quran ini, terkandung dalam Surah al Fatihah .
Surah ini dinamakan al Fatihah kerana ia adalah pembukaan kitab bertulis. Dibuka bacaan dalam solat.
Surah ini turun di Mekah dan di Madinah. Surah teragung dalam al Quran. Dikenali sebagai
1. Ummul Kitab
2. Ash- Solah - syarat wajib sah solat.
3. Asy - Syifak - penyembuhan setiap racun
4. Ar Rukyah - penyembuhan disengat binatang bisa.
Ayat 1: Kehebatan lafaz *Bismillahir Rahmanir Rahim*
Aku mula membaca al Quran ini dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi.
ALLAH - nama teragung bagi Allah, merangkumi semua sifat-sifat Allah SWT.
Dengan lafaz ini mendekatkan diri kita kepada Allah. Memohon keberkatan. Memohon pertolongan kepada Allah.
AR-RAHMAN - ALLAH memiliki sifat penyayang. Sayang kepada semua makhluk . Yang taat atau yang derhaka. Yang mukmin atau yang kafir.
AR-RAHIM - ALLAH memiliki sifat pengasih. Sayang Allah SWT hanya kepada orang-orang mukmin di dunia dan akhirat.
Kepada orang-orang yang derhaka dan kufur tiada kasih sayang Allah SWT .
Ayat 2: Puji-pujian kepada Allah sebagai pencipta, memelihara dan mentadbir seluruh alam .
AL HAMDULILLAH - Allah sebagai Maha Pencipta
RABBIL AALAMIIN.
– Allah Yang Memelihara, Mengurus dan Mentadbir seluruh alam ini. Allah berkuasa penuh kepada kita sebagai hambaNYA.
Allah SWT mencipta, menjaga dan mengurus mentadbir alam ini bersendirian. Tak perlu pertolongan sesiapa.
Ayat 3: Selepas Allah SWT mengatakan diriNYA adalah TUAN
pemilik seluruh alam ini. Maka sekarang Allah sebut dua sifatnya iaitu:
*Ar- Rahmanir Rahim* Yang Maha Pemurah lagi Mengasihi. – Allah yang Memiliki, Mengurus dan Mentadbir makhluk yg dicipta. Allah Mempunyai sifat Pemaaf/ pengampun dan sifat Penyayang.
AR RAHMAN - sayang Allah seperti sayang seorang bapa kepada anaknya. Seorang ayah sanggup pukul anak supaya anak itu menjadi baik dan taat.
Allah mahu kita bersusah-payah dalam ibadat dan bersabar menghadapi ujian.
AR RAHIM - Sifat pengasih Allah SWT seperti seorang ibu sayang anaknya. Tak sanggup tengok anaknya bersusah- payah.
Kasih sayang Allah hanya kepada orang-orang Mukmin.
Ayat 4: *Maaliki Yawmi Din* – Allah yang menguasai Hari Pembalasan dan Yang Memiliki Safaat. Hanya Allah SWT yang akan memberi Safaat iaitu pertolongan kepada kita di akhirat kelak. Safaat hanya dengan izin Allah SWT.
Kefahaman tentang 4 perkara, dalam 4 ayat ini menyebabkan pergantungan hati sepenuhnya kepada Allah Taala.
Hayati keempat-empat sifat ini sebelum menyebut *Iyyaka Na’budu wa Iyya kanasta’in*.
AYAT 5: IYYKANA' BUDU - Ya Allah, hanya Engkau sahaja yang kami sembah. – Ia merupakan Tauhid fil ibadah –
Huraian ayat ini terdapat dalam surah 39 AZ-ZUMAR.
IYYA KANASTA'IN – Ya Allah, hanya kepada-MU kami memohon pertolongan . Minta tolong kepada Allah SWT ketika kita hidup. Huraian ayat ini terdapat dalam surah-surah yang dimulai dengan Haa Miim. Yang dikenali sebagai Hamim Tujuh.
SURAH-SURAH YANG DIMULAI DENGAN ‘HAA MIIM’
1. Surah 40 – Al Ghaafir
2. Surah 41 - Fussilat
3. Surah 42 - Ashshura
4. Surah 43 - Az- Zukruf
5. Surah 44 - Ad- Dukhaan
6. Surah 45 - Al- Jaathiya
7. Surah 46 – Al- Ahqaf.
Dalam surah-surah tersebut Allah SWT mengajar kepada kita, cara-cara mohon pertolongan kepada-NYA.

Saturday, 12 November 2022

ALAM KHAYAL

 ASSALAMUALAIKUM

SELAMAT BERHUJUNG MINGGU



ALAM KHAYAL

 

 Rayau rewang

sapu sawang

cari apa

sudah lupa

.

Mana hilang

lilau walang

nyata mimpi

hanya impi

.

Cuba ingat

sangat-sangat

ilham sirna

pudar rona

.

Terus khayal

kial-kial

tulis karya

ubah gaya


Wednesday, 9 November 2022

KELUARGA MALAYSIA

 ASSALAMUALAIKUM



KELUARGA MALAYSIA

 

 

Ubi keladi sebelah mayung,

niaga pagi di pasar pekan;

pergi mengundi bawalah payung,

menjaga diri usah abaikan

 

Mandak keladi jarangkan dulu,

jarak setara olah siapkan;

hendak mengundi bukan selalu,

hak negara wajiblah tunaikan

 

Mekar akasia celahan kekwa,

telah bersemi kala telusur;

Keluarga Malaysia sehati sejiwa,

saling memahami bertolak-ansur.

 

Buah  markisa puspa dahlia,

berikan dara kala kunjungan;

indah bahasa bangsa mulia,

sopan  bicara mesra hubungan.

 

Letakkan jering di sisi kendi,

galau terasa gundah dikejan;

jalan seiring pergi mengundi,

walau terpaksa meredah hujan

 

 

Menggetu  ranti alih mentalon,

diangkat tajur leta di tanah;

bersatu hati memilih calon

bersifat jujur serta amanah

 

Tabir separa ganjak selari,

raya menjelang agar meriah;

tadbir negara bijak bestari,

jaya gemilang sifar rasuah.

 

 

PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah

9/11/022


Tuesday, 8 November 2022

HADIAH

 ASSALAMUALAIKUM




HADIAH?

 

Hulur   

dengan ikhlas

kopi gula biskut

keperluan keluarga

kini

.

Anak

muda senyum

terima hadiah

lima puluh ringgit bagai

raya

.

Siswa

siswi jua

diberi bantuan

komputer riba peranti

canggih

.

Musim

kempen calon

raih undi rakyat

rezeki melimpah-ruah

syukur


Monday, 7 November 2022

SAJAK HUJAN OH HUJAN

 ASSALAMUALAIKUM


Alhamdulillah sajak PI, HUJAN OH HUJAN disiar dalam sanggar puisi Mingguan Malaysia, Ahad 6/11/022. Terima kasih banyak editor @sastera media mulia sudi siarkan sajak PI yang sederhana saja adanya.



Saturday, 5 November 2022

SENI TAKDIR

 

ASSALAMUALAIKUM



ULASAN BUKU

Judul: SENI TAKDIR

Genre : Novel

Penulis : Hamizun Shah

Penerbit : KOPEN/Public Press(Kedah) Sdn Bhd

ISBN 983-40055-0--04

Bilangan mukasurat : 277

Pengulas : Paridah Ishak

 

Novel SENI TAKDIR karya sasterawan terkenal dari Kedah ini diterbitkan pada tahun 1997. Membicarakan tema yang agak luar biasa berbanding usia penulisnya ketika itu masih muda. Tapi berjaya menyingkap tabir ruang pembaca menelusuri cerita yang terkandung dalam jeriji wad pesakit yang terperangkap dalam masalah kecelaruan fikiran atau gila.

Watak-watak utama dikemukakan penulis agak ramai disamping watak yang wujud menyebabkan watak utama yang dilahirkan normal menyantuni kehidupan dengan status berbeza, berubah menjadi gila. Dan sentiasa berhalusinasi. Mereka semuanya wanita pelbagai ras dan agama.

Penulis memperkenalkan Siti Hawa, Helna Nadira, Witri Amira, Wei Wei. Kemudian memunculkan Nurul Atikah, E Wang, Shammila, Rajamani, Azlina. Mas Idayu Rozililawati dimasukkan dalam bab pertengahan penceritaan.

Siti Hawa dinamakan adik Awang kerana berambut pendek dan usianya masih muda oleh penghuni kamar pesakit. Witri Amira disebut Tiri, Helna Nadira dipanggil Nira, Nurul Atikah menjadi Kah Kah, E-Wang digelar Duit, Shammila ditukar Sampai Bila, Azlina jadi Taulena, Rajamani pula King dan Rozililiwati sebagai Roti.

Masing-masing sentiasa berhalusinasi. Bergelut dalam emosi tidak menentu dan meriuhkan suasana ruang kamar mereka dengan pelbagai aksi. Kadangkala mereka bergaduh dan bertengkar. Setiap watak membawa kisahnya tersendiri. Adakala bermenung, bersendiri dan tiba-tiba  menangis mengenangkan pengalaman keperihan hidup yang menyebabkan terlantar di situ. Kemudian tertawa pula kala teringatkan sesuatu yang menggembirakan.

Kisah semua watak digambarkan penulisnya penuh tragis dan tiada kesudahannya. Membuat pembaca turut kusut memikirkan sebab kemurungan fikiran lantaran tekanan emosi mampu menjerumuskan ke dalam kurungan pesakit jiwa. Kecuali watak Mas Idayu yang dikatakan gila semula jadi.

Siti Hawa seorang anak yang didera ibu tirinya akhirnya hilang dari kamar pesakit dan tidak diketahui samaada dia meninggal dunia setelah dibawa keluar para jururawat dari kamar itu.

Witri Amira seorang datin yang menghilangkan diri dari keluarganya yang kaya raya jesteru petualangannya mencurangi suaminya menekan jiwanya. Nurul Atikah kehilangan suami kecintaannya kerana dikelilingi politikus yang tamak kuasa menyebabkan kecelekaan suaminya. E-Wang gadis keturunan Thai ditinggalkan kekasih yang menodai kesuciannya. Tapi memeluk Islam setelah melahirkan anaknya. Namun sentiasa keliru samaada dia Buddha atau Islam. Rozililawati seorang peguam yang suka bersajak terperangkap di situ akibat kes yang ditangani menyebabkan yang didakwa membunuh diri. Peminat puisi sajak boleh juga menikmati sajak Roti di sini. Shammila anak seorang tokoh politik terkenal  pula hilang kewarasannya akibat sihir dihantar musuh politiknya.

Shammila dan Rajamani berkawan rapat. Mereka sebangsa. Keturunan India.

Kisah Rajamani amat meruntun rasa. Suaminya mencuranginya. Tidak mempedulikan keperluan hidupnya.  Anak-anaknya menemui ajal sebab mencampurkan racun tikus dalam makanan mereka.   Rumahnya terpaksa dibakar kerana kekasih anaknya yang dibunuh penjahat menggantung dirinya di alang rumahnya.

Selain pembaca merasai semua pengalaman watak-watak pilihan penulis, pembaca juga dapat turut berfikir tajuk yang diberikan kepada watak-watak bagaimanakah cara penguburan mayat yang terbaik masakini demi maslahat dan tidak membazirkan tanah yang boleh dimanfaatkan sebagai penempatan manusia.

Cubalah fikir! Sambil membaca novel ini yang juga sarat dengan makrifat Islam murni terungkap bersahaja namun bermakna. Reda dengan takdir-Nya yang dijatuhkan di lorong hidup masing-masing bertaklik dengan nasib.

Bahagian akhir Penulis memasukkan watak seorang pesakit jiwa yang tertinjau-tinjau keriuhan yang berlaku sebalik jeriji pesakit jiwa wanita kerana Taulena tidak mahu dibawa pulang ke rumah sepupunya. Lelaki itu ditegur pesakit jiwa dan bertanyakan masalahnya. Tanpa sedar dia memberitahu tentang keretanya pancit sedangkan dia perlu memberi ceramah motivasi sebuah seminar. Hendak diganti dengan tayar baharu skru pula tiada. Pesakit jiwa itu menyelesaikan masalah lelaki waras dengan memberi pendapatnya iaitu hanya dengan tiga skru di roda tayar mampu menggerakkan kereta hingga destinasi. Lelaki itu kembali ke kereta dan mengarahkan pembantunya membuka skru roda dan memasang pada tayar baharu.

Lelaki waras itu memuji pesakit jiwa bahawa idenya berhasil.

Jawab pesakit jiwa itu, "aku gila tapi tidak bodoh."

Heh heh.. 

Tahniah sasterawan Hamizun Syah

Sekiranya berminat memiliki buku ini untuk mengetahui idea bernas yang dilontarkan watak-watak dalam diskusi yang berseli emosi yang meronai ruang kamar pesakit jiwa wanita ini hubungi novelis ini @facebook.

MyBloglist