Tuesday, 21 July 2020

PEMERHATI

ASSALAMUALAKUM

pic google images (c)



PEMERHATI

Terkejut memandang
sekitar ruang
dewan rakyat
bersidang

Lontaran suara
kumandang rasa
tanpa jemu
mencemuh

Sekadar ingatan
hakikat benar
bukan palsu
semata

Cuba pertegakkan
benang yang basah
rasa rimas
menjengkel

Selagi bernafas
hayat berdaya
masih tega
mengulas

Berdiri di sini
perhati laku
kata putus
menyusul

Lagak gaya diri
lakonan normal
tepu rasa
memendam

Monday, 20 July 2020

MUAFAKAT

ASSALAMUALAIKUM





Pantun D’Klasik
Radio Klasik RTM
Isnin ,   20/7/ 2020
Pantun penyertaan

Bekal bekerja sekeping pizza,
hendak menyemi padi disukat
lupakan saja apa berbeza,
saling fahami tentu sepakat.

Gelabah anak bertukar panik,
air katira tumpah disisih;
bahasa lunak budaya unik,
jalinan mesra mengikat kasih.

Berduka lara duduk di tangga,
si gadis sunti anak diangkat;
Rukun Negara amalan warga,
bersatu hati membawa berkat.

Cuba mendekat cadang memikat,
gadis bergaya disapa nama;
bermuafakat tanda sepakat,
beza budaya tetap bersama.

Senantiasa menulis karya,
rajin mengolah kurang ditambah;
beza bahasa juga budaya,
bukan masalah jalin mahabbah.

Sunday, 19 July 2020

TAHANAN PERANG COVID-19

ASSALAMUALAIKUM

Lama juga menunggu, buku hanya sampai dari tempat menjilid jam 4.00 petang. Dan sepanjang jalan pulang berlumba dengan hujan. Kereta pula tak ada aircond. Jenuh mengelap cermin. Sampai KKB terus cari roti canai.
#tahananperangcovid19 sebuah memoir 14 hari dalam rawatan di Maeps dan Hospital Sg Buloh. Siapa tidak gentar dengan Covid-19? Bagai telur di hujung tanduk. Untuk memiliki WA nombor tertera

PS: CATATAN PENULIS MOHAMED KHOLID

SEMUA PIC PENULIS MOHAMED KHOLID (C)



PENULIS INI TURUT TERLIBAT SEBAGAI PEGAWAI IMIGRISYEN FRONTLINER MENGAWAL PENDATANG TANPA IZIN DI MAEPS SERDANG TERPAKSA MENJALANI KUARANTIN DI HOSPITAL SUNGAI BULOH KERANA DIBIMBANGI TURUT DIJANGKITI PANDEMIK COVID 19...BELIAU MANFAATKAN MASANYA  DENGAN MENULIS PENGALAMANNYA MENGHADAPI SITUASI KRITIKAL INI DENGAN SANGAT GIGIH...CEPAT PULA MENYIAPKANNYA DALAM TEMPOH PKP PKB DAN KINI PKPP....HEBAT SEKALI KEMAMPUAN PENULIS INI BERKARYA DAN MENERBITKANNYA DALAM JANGKA MASA YANG AGAK CEPAT...KALAU PI TENTU AKAN MENGAMBIL MASA BERTAHUN-TAHUN UNTUK SIAPKAN SEBUAH BUKU HEH..HEH. TAHNIAH KEPADA PENULIS HEBAT INI...JIKA BERMINAT MILIKI BUKU INI HUBUNGI PENULISNYA...BUKU INI ADALAH CATATAN SEJARAH YANG TELAH KITA LALUI BERSAMA.

Saturday, 18 July 2020

NOVEL PERTAMA

ASSALAMUALAIKUM


PI SIARKAN SEDIKIT PETIKAN NOVEL PERTAMA PI KELARAI IMPIAN TERBITAN DBP YANG KINI BARU SAJA BEREDAR DI PASARAN...KALAU TERTARIK DENGAN KISAHNYA DAN INGIN TAHU APA YANG BERLAKU DALAM KEHIDUPAN WATAK=WATAK YANG TERLIBAT SETERUSNYA HINGGA AKHIR DAPATKANLAH NOVEL INI DI MANA KEDAI DBP...NAK BELI SECARA ONLINE KAT SHOPPEE PUN ADA SEBAGAI TANDA SOKONGAN KEPADA SEORANG BLOGGER OKU BERKARYA...HEH..HEH..

“Kasihan Aisyah tu…,” desisnya perlahan antara kedengaran dengan tidak.
Anaknya yang sedang membaca akhbar hari ini terpanggung mencari suaranya. Pandangannya meleret jatuh pada wajah emaknya yang tenang, sedang menyusun buku-buku di atas rak lemari.
Sudah berkali-kali rak buku itu dikemaskannya tetapi tetap berserak dengan buku-buku yang tidak teratur dengan susunannya. Dia tidak gemar melihat begitu. Menyemakkan matanya. Anaknya itulah yang menyebabkan susunan buku itu berserak.
Zahari hanya tahu membeli dan membacanya. Mengemas dan menyusunnya elok-elok dia tidak tahu. Jikalau dia tahu sekalipun dia malas hendak melakukannya. Ibunya itulah yang terbongkok-bongkok mengemasinya.  Tidak sesekali pernah merungut kepenatan atau jemu kerana seringkali mengulangi perlakuan yang serupa.
Apabila dilihatnya rak buku itu tidak teratur susunan bukunya dia akan segera mengemaskannya. Matanya tidak selesa melihat keadaan yang berserak, bersepah menyemakkan pandangannya.
“Apa yang mak cakap sorang-sorang tu? Apa pula yang tidak kenanya dengan Aisyah?” Anak lelakinya itu bertanya. Salina meletakan tuala kecil yang digunakan buat mengelap lemari buku itu di suatu sudut. Kerja yang dilakukannya tadi sudah selesai. Dia menghampiri anaknya, melabuhkan punggung di sisi anaknya.
“Mak kasihan tengok Aisyah tu. Kakinya penuh dengan kudis. Hendak pergi ke kelinik neneknya tidak benarkan! Hendak beli ubat di kedai tidak diberi pitihnya! Mak bimbang kalau dibiarkan buruk pula kaki budak tu. Kasihan sungguh dia. Emak ayahnya sudahlah jauh. Tak patut betul cik Munah tu buat begitu pada cucunya.”
Terasa sebak dada Salina menahan sedih yang hendak menjuraikan airmatanya. Sepasang kejora yang berkaca itu dibawa menyapa pohon-pohon nyiur yang melayut tinggi melewati jendela yang terbuka.
Angin lembut menerobos masuk dan menyamankan suasana yang hening seketika.
Zahari merayapi wajah ibunya yang berjiwa luhur, ikhlas dan mudah perasa itu. Ibunya yang mudah empati dengan kesusahan dan penderitaan orang lain.
“Susah-susah sangat biar saya saja yang bawa dia ke klinik!”
“Mak sudah kecek gitu tapi dia tak sir (mahu). Katanya takut neneknya marah,” balas ibunya sambil tangannya menyisipkan anak rambutnya yang terjurai ke sebalik telinga.
“Mak tidak usah risau, saya tahulah apa saya nak buat gak.” Ujar Zahari masih tidak mahu mengalah. Di mindanya tertayang kerangka perancangan yang sedang diaturnya. Dan dia yakin akan kejayaannya.
“Mak, esok kawan saya Faizal hendak datang ke rumah kita. Mak masaklah apa yang patut…” Tajuk perbualan anak beranak itu sudah berubah. Menyimpang dari perbincangan asalnya.
“Baguslah begitu. Mak pun sudah lama tidak berjumpa dengannya. Dia pun sudah lama tidak ke sini. Apahalnya?”
“Entahlah mak. Saya pun tidak tahu mengapa. Mungkin dia sibuk mengulangkaji pelajarannya kot. Dia mengambil peperiksaan HSC ( Sijil Tinggi Persekolahan ) tahun ini. Nanti bila dia datang mak tanyalah padanya.” Zahari menjelaskan serba sedikit apa yang dia tahu tentang kawannya itu. Kawan sekerjanya.
Dia memang tahu Faizal mampu melakukan apa saja kemahuannya kerana dia anak orang berada. Wang ringgit tidak pernah wujud menjadi masalah yang membebankan kepadanya.
      “Mak dah siapkan minuman petang. Mu pergilah minum. Mak sudah minum tadi. Mak hendak sembahyang semetar (sebentar).” Salina membawa sekujur tubuhnya menuruni tangga dari ruang tengah ke ruang dapur dan melangkah pula menuju bilik air.
Sebelum bersolat tentulah dia kena berwuduk terlebih dahulu. Tetapi dia terasa hendak mandi pula. Tubuhnya yang berpeluh membelengas di merata sudut tertentu merimaskannya. Apakala disirami air tentu kerengsaan yang tidak menyelesakan itu akan hapus. Dan kesegaran tubuh akan kembali pulih. Bermaya.
Itu yang didambakannya. Lagipun sebelum bersolat mengadap Yang Maha Esa eloklah membersih dan menyucikan diri daripada segala kekotoran sebaik-baiknya.

                                              ***

Aisyah mengepit separuh daripada buku-bukunya di celah ketiak. Separuh lagi terisi di dalam beg pelastik yang agak tebal dan dijinjingnya. Dia memaksa diri mengatur langkah dengan lebih pantas agar segera cepat tiba di rumah.
Panas terik mentari yang memanggang kulit tubuhnya yang putih bersih langsung tidak dihiraukannya. Tetapi tetap dirasakan bahang yang memijarkan itu. Perut kecilnya pun sudah berkeriut dan bukan sekadar berdondang-sayang atau berkeroncong minta diisi.
Memang pun tidak diisi sejak awal pagi melainkan hanya dialas dengan segelas air sejuk dan sekeping biskut kering. Begitulah kebiasaan yang sering dilaluinya kerana neneknya mengangap sarapan pagi itu tidak penting  Dan tidak pernah menyediakannya untuk dirinya, apa lagi untuk cucunya.
Sepanjang masa di sekolah tidak ada pula duit diberikan kepada cucunya buat berbelanja di kantin. Juga tidak ada bekalan makanan yang dibawanya. Aisyah terpaksa mengikat perut menahan kelaparan yang menyiksakan dan kadang-kadang amat mengganggu penumpuannya terhadap pembelajaran sehingga masa persekolahannya tamat. Tetapi tetap terpaksa dilakukannya demi minatnya yang utuh terhadap pelajaran.
Begitulah dia sehari-harian sehingga dia mangli dengan suasana yang dilaluinya. Dia sudah tidak kisah lagi tentang itu semua. ‘Jika lapar pun tanggunglah, kalau penat pun, penatlah,’ desis hatinya.
Langkah yang diatur semakin laju. Bila sampai di rumah pastinya belum boleh terus menyuap nasi ke mulut. Aisyah perlu memasaknya terlebih dahulu. Dia akan memasak apa saja yang ada di dapur rumah neneknya.
Biasanya dia akan memasak nasi, menggoreng ikan asin, menumbuk sambal belacan dan menumis sayur kangkung, asin-asin atau betik muda. Sayur-sayur kampung itu memang tumbuh subur di sekitar dapur rumah neneknya.
Proses hendak menyediakan masakan yang serba sederhana itu pun tidak terlalu mudah. Api dapur bertungku tiga perlu dinyalakan. Kadangkala tidak ada kayu kering yang telah tersedia.
Terpaksa pula terbongkok-bongkok mengutip kayu yang tersusun di pelenggar dan membawanya naik ke rumah. Hendak menghidupkan api dari kayu pun satu hal juga. Api yang dinyalakan tidak boleh terlalu besar. Takut pula menyambar dinding rumah. Dan menyebabkan kebakaran yang akan memusnahkan segala-galanya. Perlu sangat berhati-hati sekali. Hendak menjamah sepinggan nasi pun Aisyah terpaksa basah berpeluh terlebih dahulu.
 Dia menjamu selera seadanya tanpa banyak tingkah. Tidak peduli langsung dengan kandungan nutrisi makanan yang diambilnya akan memberi impak baik atau sebaliknya terhadap tubuhnya.
Sebuah kereta berhenti di sisinya. Derunya menghambat lamunannya bercempera.
“Hai baru balik sekolah?,” sapa Zahari yang tiba-tiba muncul dari kereta yang berhenti di pinggir jalan di sisi Aisyah. Aisyah kalut pada mulanya. Bimbang juga dia kalau-kalau ada yang berniat tidak baik dan hendak mengganggunya.
Orang-orang di kampungnya selalu bercerita berkenaan budak-budak perempuan yang pulang dari sekolah sendirian sering diperangkap dan dilarikan ke bandar-bandar besar untuk dijual. Dijadikan santapan manusia tahap binatang. Bimbang sungguh hati Aisyah. Bukan begitu nasib yang diingininya. Semoga diselisihkan malaikat 44. 
“Naiklah. Abe (abang) pun hendak balik ke rumah ni. Janganlah segan. Abe pun menumpang kereta orang. Naiklah cepat.” Pelawa Zahari. Lelaki yang berada di belakang stereng kereta itu memandang sekilas wajah Aisyah. Dia tersenyum polos. Pintu kereta dingangakannya luas.
“Tidak mengapalah abang Z. bukannya jauh sangat. Sekejap lagi sampailah.”
“Jauh ko! Dekat ko! Naik…,” balas Z tanpa tolak ansur lagi. Tona suaranya tegas. Alasan Aisyah tidak mahu diterimanya. Dia menarik tangan Aisyah. Memaksanya mengisi perut kereta.
Hendak atau tidak Aisyah akur juga dengan kehendak Zahari walaupun merasa sangat malu dan serba tidak kena terhadap lelaki yang memegang stereng itu yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini. Merasa pula gerak-gerinya sentiasa mencuri perhatian lelaki itu.
Meluncur deras kereta yang dipandu anak muda berpakaian kemas dan berkaca-mata hitam itu. Kereta Moris Minor itu lalu melepasi rumah nenek Aisyah tetapi tidak pula berhenti.
“Rumah nenek saya dah lepas tadi. Bakponya (kenapa) tak berhenti?” Aisyah bertanya kalut. Hatinya mulai risau dan menggelabah.
“Mu jangan risau sangat. Kita berdua ni bukannya nak makanmu. Muikut ja,” ujar Zahari separuh berlucu. Namun hati Aisyah tetap dilambung kerisauan yang merusuhkan. Pandangannya dilepasi melewati pohon-pohon nyiur yang tingginya tidak sekata dan rumah-rumah yang aneka bentuknya. Fikirannya bercelaru.
“Tapi kita ni nak gi mana?”
“Tak payahlahmu nak tanya, ikut ja…”Aisyah tambah keliru dengan jawapan Zahari yang membingungkannya itu.
 “Depan klinik Ravi nantimu tolong berhenti ya Faizal. Aku hendak ambil ubat sakit perut...” Zahari mengerutkan dahinya. Wajahnya menjadi herot-petot seakan menanggung kesakitan yang teramat sangat. Faizal memandangnya dengan hairan.
Dia tidak dapat menerima keadaan seorang kawannya yang tadinya sihat walafiat, segar bugar tiba-tiba boleh sakit perut serta-merta. Telatah Zahari membuatnya merasa aneh dan lucu. Dia tersenyum sumbing.
“Lepas pergi klinik nanti, kita baliklah. Tolong temankan abe yang sakit ni. Lambat sikit sampai ke rumah takkan nenekmu nak marah kot. Lagipun nenekmu itu sibuk berjualan di gerainya. Bilamu sampai di rumah sekejap lagi dia belum tentu sudah ada di rumah. Setahu abe selagi hari tidak senja nenekmu itu tidak akan menutup gerainya…”
Zahari menatap wajah Aisyah yang selamba mencuka. Dia sangat bimbang apabila dia pulang nanti ia akan disumpah-seranah neneknya kerana kelewatan yang tidak disengajakan dan bukan olahnya.
Sesuatu yang sedang berlaku kini bukan kehendaknya. Kelak akan berderailah air mata membasahi pipinya entah buat kali keberapa kerana menerima cemuhan dan nista yang menyakiti hatinya hamburan dari mulut neneknya yang garang itu.
“Masam sajamu! Senyumlah sikit.” Usik Zahari. Aisyah hanya mencebek. Tidak pun tersenyum. Kedongkolan hatinya tidak mampu menerbitkan senyuman manis di bibirnya. Hanya renungan polos meniti kewujudan keindahan alam semulajadi yang ditatapi dengan asyik.
Lebih kurang lima belas minit berkereta sampailah sudah kesemuanya ke destinasi yang ditentukan. Klinik Ravi yang dimaksudkan Zahari terletak sebangunan dan sederetan dengan kedai-kedai yang lain.
Faizal mencari-cari tempat meletak kereta yang sesuai dan disenanginya. Dan dia menemuinya sebuah petak kosong bersebelahan dengan Ford Cortina berwarna merah. Enjin keretanya segera dimatikan di situ.
 “Abang Z pergilah. Biar saya tunggu di dalam kereta ja.” Aisyah tidak berganjak daripada duduknya.
“Aisyah tidak boleh duduk seorang diri di sini. Di sini ramai orang yang tidak kita ketahui hati-budinya. Entahkan ada yang berniat jahat. Jika dibawanya lari Aisyah kami juga yang susah.Jom lah kita masuk…”
“Betul tu!” Faizal mengiyakan cakap kawannya dengan pameran wajah yang serius.
Aisyah terdesak dengan kata-kata itu. Hatinya tidak langsung berbelah-bahagi menanggapi kebenarannya. Yang bersarang difikirannya hanya kebenaran yang merungsingkan. Ia bangun perlahan-lahan meninggalkan beg dan buku-buku sekolahnya di atas kusyen kereta. Faizal segera mengunci keretanya.
“Jom lah. Nanti kalau lambat ramai pula orang lain yang mendahului.” Aisyah mengekori langkah Zahari yang berjalan beriringan dengan Faizal.
Tidak ramai yang mengunjungi klinik Ravi untuk mendapatkan rawatan kesihatan daripada doktor Ravi hari ini. Hanya kelihatan seorang lelaki tua Melayu dan dua orang  wanita Cina di ruang menunggu.

Friday, 17 July 2020

HARTA PALING BERNILAI

ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA

HARTA PALING BERNILAI MILIK KITA SEBAGAI HAMBA MILIK-NYA DI ALAM FANA INI TENTULAH KESIHATAN YANG SEMPURNA....KEHILANGANNYA AMAT MERUNGSINGKAN...HENDAK KEMBALI SIHAT SEDIAKALA AMAT SUKAR PROSESNYA...JIKALAU TIDAK SABAR TENTU MUDAH BERPUTUS ASA....JUSTERU SENTIASALAH MENJAGA KESIHATAN DIRI SENDIRI DAN MEREKA YANG TERSAYANG SEKITAR KITA.

MUSIM COVID-19 BELUM LAGI BERAKHIR DAN ANGKA YANG DIJANGKITI MENGIKUT STATISTIK YANG DIUMUMKAN KKM DALAM MEDIA MASSA SETIAP HARI ADAKALA MENURUN NAIK..TIDAK SEKATA.
SELAGI VAKSIN PENAWAR KEPADA PANDEMIK INI TIDAK DITEMUI SEHARUSNYA KITA BERHATI-HATI.
KKM TELAH MENGESYORKAN BEBERAPA JENIS SAYURAN SEBAGAI KOSUMSI MENAMBAH IMUN TUBUH.
ELOKLAH DIMAKAN SETIAP HARI SELAIN PATUHI SOP YANG DIANJURKAN

SAYANGI DIRI DAN NYAWA ITU IBADAH WAJIB.


Thursday, 16 July 2020

KOMENTOR EDITOR BATAS SUCI

ASSALAMUALAIKUM

PI MENYERTAI ANTOLOGI SAJAK BATAS SUCI SELENGGARAAN PENULIS ABD HAMID HALIM DAN ARIFF WACANA TERBITAN PENA PADU AWAL TAHUN 2020...TERIMA KASIH EDITOR SUDI SERTAKAN KARYA PI

BERIKUT DIBAWAH INI PETIKAN KOMENTAR EDITOR PENYELENGGARA SDR ABD HAMID HALIM TENTANG KARYA SAJAK YANG DISIAR DALAM ANTOLOGI BATAS SUCI.

Ungkapan kata-kata yang menari diruang fikir akan terus berlari dan kita tidak akan dapat mengejarnya kembali. Ianya akan hilang dalam gumpalan asap yang berserakan.
Begitulah kami tangkap ungkapan kata-kata itu sebelum ianya hilang lalu kami belai dan corakkannya menjadi sebuah kisah yang akan menjadi rujukan di suatu hari nanti.
Tuhan menemukan kami dengan sahabat-sahabat yang mengerti perasaan perlu dan pentingnya sebuah dokumentasi kata-kata untuk memenuhi ruang sastera di nusantara ini. Terima kasih teman-teman.
Bagaimana terhasilnya sebuah Antologi Batas Suci? Kata peribahasa, jauh berjalan banyak pengalaman. Benda yang baik apa salah kita jadikan ikutan. Benda yang tidak baik kita jadikan sempadan. Semasa saya bersolat di Musala Bandara Sultan Syarif Kasim II International Airport di Pekanbaru, antara tempat yang boleh berkasut dengan tidak berkasut di gariskan dengan satu sempadan. Sempadan ini pula dinamakan batas suci.
Dari sini tercetusnya idea untuk mengembangkan batas suci ke antologi puisi yang mana kita menceritakan tentang sempadan atau batas yang menjadi pemisah antara dua kawasan samada dari segi kemanusiaan, kenegaraan, perasaan dan darjat dalam masyarakat majmuk.
Puisi yang dihasilkan ini diharap dapat mengangkat nilai-nilai murni dalam kehidupan. Maka temanya menjadi cinta dan kerohanian.
49 orang penulis berkongsi rasa di dalam buku antologi ini. Akan saya perkenalkan setiap penulis di dalam buku ini pada posting yang lain. Apa yang boleh saya katakan adalah penulisnya dari pelbagai bidang pekerjaan dan juga dari gabungan penulis nusantara iaitu selain dari Malaysia terdapat juga penulis-penulis dari Singapura dan Indonesia.
Terima kasih pihak Pena Padu iaitu tuan Ayahandachik
Ayahanda Chik
dan juga tuan Zarir Ali
Zarir Ali
yang mempercayai saya dan Arifwacana
Jefri Zain
untuk menyelenggara Antologi Batas Suci ini.
Ya. Pembelajaran ilmu tuhan tidak akan pernah berakhir. Jangan kita pandang yang negatif kerana yang positif itulah yang akan buat kita berjaya. Belum cuba belum tahu hasilnya. Sudah cuba, nanti kita baiki kelemahannya.
Yang berminat, boleh PM saya atau penulis-penulis di dalam buku ini.

ADA APA DENGAN BATAS SUCI
*Cik Seri Pagi* seorang penulis yang berasal dari Pulau Pinang. Mula menulis sejak awal 90-an. Di dalam Batas suci dia memulakan dengan puisi Majnun. Majnun membawa kita ke suatu rasa kisah cinta yang diangkat dari hikayat lama.
Lalu aku pun menjadi
pemuja dia yang seakan Majnun
tanpa aku sedari
kini akulah Majnun itu.
Kasih Kekasih pula merupakan puisi Cik Seri Pagi yang membawa kita berserah diri kepada Allah.
Dalam puisi Hanya Bahagia dimulakan dengan luahan rindu.
Bicara kita dalam kawanan rindu
rindu yang tiada jemu
masa dan tika yang berlalu
membawa kita ke pelabuhan rindu.
Bahagia yang dimaksudkan adalah hanya untuk tuhan seperti dalam bait
Kerana engkaulah jantung dan juga nyawa
Yang menghidupkan jasad ini.
*Noor Izam Hj. Samin* penulis yang berasal dari Johor dan kini menetap di Merlimau, Melaka.
Dalam puisi Ketentuan Hidup, menceritakan tentang ujian yang menguji diri hanya kita yang dapat merasai. Namun penulis menyatakan dalam kembara kehidupan, kita akan kembali kepada pencipta kita dan yang penting menjaga amal kita dan reda di jiwa seperti dalam bait
Amal kebajikan teman abadi
Di jiwa reda merasai syukur.
Puisi Mari Membaca Al Quran menceritakan kenapa kita perlu membaca Al Quran.
Kelancaran di titian sirat
Destinasi abadi
Di hujung perhentian.
Dalam puisi Ya Rasulullah (S.A.W.) penulis menyarankan dan mengajak kita mengikut amalan sunnah Rasulullah yang akan membawa kita ke jannah.
*Paridah Ishak* penulis hebat yang berasal dari Yan Kedah mula giat menulis sejak 1980.
Puisi Membaca Lipatan Usia menyaran kita bermuhasabah diri dan melihat kembali apa yang pernah kita lakukan.
Air mata panas deras jatuh di pipi lisut
ingin dihapus noda hitam
cemar buram terlukis
Penulis mengajak kita kembali kepadanya untuk menyucikan dosa atas kesilapan lalu.
Puisi Mampukah Kehilangan? Menyatakan sekiranya kita tidak bersyukur dengan anugerah yang kita miliki maka akan menyesallah seperti dalam bait
Setelah ketiadaan
berjurai titis air mata darah
tidak akan mengembalikan
Jadi bersyukurlah dengan anugerah yang dimiliki.
Dalam puisi Denai Kehidupan pula penulis meminta kita bersyukur dengan nikmat tuhan di dalam dunia yang sementara ini dimana di dalamnya penuh liku dan onak berduri.
Saya tertarik dengan peelambangan makanan yang digunakan oleh penulis.
Rencahnya membubu rasa pelbagaian
resepinya adalah pilihan kita
menu jadi hidangan di meja kehidupan
maka santaplah
meski tidak berselera
berulam sabar.
Cukup untuk hari ini. Kita akan sambung lagi dengan penulis yang lain pula. Insya-Allah.
Lagi cerita mengenai Batas suci:

Wednesday, 15 July 2020

BACK TO SCHOOL...

ASSALAMUALAIKUM


Hari ini  anak-anak yang bersekolah rendah tahun 5 dan enam kembali semula ke sekolah setelah sekian lama mematuhi PKP berkurung di rumah saja untuk memutuskan rantaian virus covid-19 yang mula dikesan akhir Disember 019. Terlalu lama di rumah tentu menjemukan anak-anak dan yang dewasa juga jika tiada sebarang aktiviti meriangkan hati. Tapi masa cepat berlalu. Tanpa sedar kita sudah lewati situasi dilingkungi keberadaan virus corona di mana saja menghampiri akhir 2020. Dan pelbagai rencana yang diracang tergendala jadinya.

Fasa pemulihan PKPP memberi sedikit kelonggaran bernafas. Sudah boleh kembali bekerja mencari rezeki di ofis dan lain-lain sector ekonomi. Sekolah yang ditutup sekian lama mulai dibuka secara berperingkat. SOP KKM mesti diikuti demi menjaga keafiatan diri. Nampaknya semua mesti terima kehadiran virus corona di kalangan kita sambil tiasa curiga dan berhati-hati agar tidak dijangkiti. Bersama kita berdoa semoga tentera halus kiriman Langit untuk memerangi kezaliman, kealpaan dan kemunafikan hamba-hamba berdosa semoga segera dipanggil pulang kepada Pencipta setelah usai tugasan dilaksana..dan kehidupan yang singkat ini dapat dilalui sesempurna mungkin. Insaf bermuhasabah diri kerana tiap sesuatu yang dimiliki akan kehilangan sekelip mata.

Mengembalikan nikmat yang hilang mungkin boleh,mungkin tidak, mungkin mengambil masa.

Tuesday, 14 July 2020

AKAR SERUNTUN

ASSALAMUALAIKUM


"Kita ni bila dah berumur ni macam-macam sakitnya yang menyerang yer...darah tinggi, kencing manis, sakit jantung...yang paling takut tiba-tiba menjadi lumpuh pula...risau betul..."

"Sihat tentulah lawannya sakit...kan dah lama hidup sihat....bila diserang sakit sedikit janganlah merungut. Kalau dah sakit kenalah cari ubat. Kan Allah kata setiap penyakit itu ada ubatnya kecuali mati. Pabila dah mati dah tak boleh nak kata apa lagi..."

Zai dan Idah leka bertukar kata sambil menjeling aku yang terkedu di sisi mereka.

"Kak Pidah ni ok saja...tak pernah pulak kita dengar dia sakit teruk yer..."
"Ok apa...kau tak ingat dulu kak Pidah kena darah tinggi...masuk wad dekat sebulan...badannya menggelembong macam belon..."

"Betullah...tapi lepas tu kak Pidah dah tak ada darah tinggi lagi kan...apa yang kak Pidah makan yer?"
'Kau nak tahu ye Zai...biarku ceritakan...'
"Kak Pidah dulu lepas balik daripada hospital terus dia makan akar petawali yang pahit sangat tu...aku tahulah sebab aku yang tolong blendkan untuk dia...punyalah pahit akar tu sanggup dia minum..." Idah menolongku menjelaskan yang sepatutnya.

PETAWALI/AKAR SERUNTUN...PIC GOOGLE.

"Tapi pahit-pahitpun mujarab akar tu. Tengok sampai sekarang kak Pidah dah takde darah tinggi lagi."
Selain akar petawali banyak lagi herba2 alam yang boleh mengurangkan tekanan darah tinggi sekiranya diamalkan tanpa jemu seperti pokok akar cerita, daun rambutan, daun manggis yang gugur, daun sabung nyawa dan lain-lain lagi yang tidakku ketahui

TAPI SETELAH ITU KAKPIDAH KEMALANGAN DAN LUMPUH PULA...SAKIT DARAH TINGGI/HP SUDAH SEMBUH TAPI SAKIT LAIN PULA DIHIDAP...REDA SAJA UJIAN-NYA INSYAA-ALLAH

MyBloglist