Showing posts with label catatan noorlaila ghafar. Show all posts
Showing posts with label catatan noorlaila ghafar. Show all posts

Friday, 27 January 2023

SURAH 2: AL BAQARAH (LEMBU BETINA) AYAT: 43 - 48

ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA




 PONDOK DARUL ULOOM, KAMPUNG LAK LOK, JERTIH, BESUT.

Setiap tahun Daurah Tafsir akan diadakan mulai 1 Syaaban hingga 20 Ramadan, Selama 50 hari. Tahun ini Insya Allah akan diadakan pada 22 Febuari 2023 hingga 11 April 2023.
Melihat poster ini, aku bagai melihat kenangan ketika menghadiri Daurah Tafsir Al Quran Bersanad 30 juzuk. Sempat ikuti tiga tahun berturut-turut 2017, 2018 dan 2019. Syukur Alhamdulilah tiga kali khatam.
Serak-serak basah suara mudir pondok Maulana Abdul Hadi menyampaikan tafsir ayat demi ayat, wahyu Allah tergiang-giang di telinga.
Wajah-wajah sahabat syurga dalam kelas bergetayangan di ruang mata. Istimewa Sis Rahana Ab Rahim Kak Ani , Shuhailawati Ramli Wanrusliah Awang Rashidah Abd Rahim Kak Linda Ali dan lain-lain lagi.
Aku berusaha menyampaikan kembali ilmu yang kutadah dari Pondok Darul Uloom itu, sekadar mampu. Buat keluarga, jiran-jiranku, adik-beradik, saudara-mara dan sahabat-sahabat. Semoga terus mengalir jariah walaupun aku telah tiada nanti.
PERKONGSIAN ILMU:
SURAH 2: AL BAQARAH (LEMBU BETINA)
AYAT: 43 - 48
MUKA SURAT: 7
Ayat 43 – 45: Sifat-sifat terlalu cinta kepada pangkat dan harta benda dapat dirawat dengan solat dan sabar.
Ayat 43: Kalau rapat dengan Allah, tentu tidak berani untuk meninggalkan arahan-Nya. Caranya adalah dengan menghinakan diri di hadapan Allah dengan melakukan solat. Maka, falsafah solat itu adalah: meninggikan Allah dan menghinakan diri kita. Lihatlah kita merendahkan kepala kita dalam rukuk sama tinggi dengan binatang yang berkaki empat. Kemudian dalam sujud, kita merendahkan lagi kepala kita sehingga ke tanah, lagi rendah dari binatang. Seterusnya Allah perintahkan untuk keluarkan zakat. Ini termasuk dalam perkara adat – hubungan sesama manusia. Kalau solat tadi, hubungan dengan Allah ‎iaitu ibadat. Menunaikan zakat dapat mengurangkan rasa cinta kepada harta. Termasuk infak. Kita telah mengambil harta dari Allah ‎ dan kita kenalah memberikannya kepada orang lain, kerana ada bahagian orang lain di dalam harta kita. Ia bukan sepenuhnya harta kita. Allah ‎memberikan kita harta yang lebih supaya kita boleh salurkan kepada orang lain. Ayat ini juga mengajak ahli Kitab untuk bersama-sama mendirikan solat dengan orang Islam yang lain. Ini adalah rawatan kepada penyakit hasad dengki. Iaitu perasaan tidak suka ada orang yang lebih dari kita. Maka kenalah rukuk bersama-sama dengan orang lain. Supaya semasa berjemaah itu kita dapat merasakan yang diri kita sama dengan orang lain. Satu lagi pengajaran adalah sembahyang itu hendaklah dibuat di masjid atau surau bagi orang lelaki untuk mendapat 27 darjat. Kepada orang perempuan kalau solat di rumah sudah boleh dapat 27 darjat dengan solat sendiri di awal waktu. Mereka dapat pahala dengan membuat kerja rumah dan sebagainya. Sssungguhnya Allah itu Maha Adil.
Ayat 44: Celaan kepada sifat Pendeta Yahudi yang keempat. Iaitu Allah tegur mereka yang hanya pandai menyuruh orang lain belajar agama. Mereka mengaku yang Nabi Muhammad saw itu adalah seorang rasul dan membawa ajaran yang benar. Mereka suruh orang lain mengikut Nabi Muhammad saw tetapi mereka sendiri tidak mengikut Nabi Muhammad saw. Macam-macam alasan yang diberikan oleh mereka. Seseorang itu sepatutnya melakukan amar makruf dan nahi mungkar serta berusaha mengamalkan apa yang didakwahkan. llmu tafsir Al-Quran ini wajib dipelajari. Kalau hanya membaca sahaja Al-Quran tetapi tidak faham apakah yang hendak disampaikan oleh Al-Quran, kita tidak dapat beramal sebagaimana yang disarankan oleh Al-Quran.
Ayat 45: Sekarang Allah mengajar bagaimana cara berdoa. Pertamanya, kita kenalah bersabar dengan apa yang terjadi kepada kita. Kita kenalah sedar yang apa-apa sahaja yang terjadi kepada kita adalah dalam takdir Allah. Maka kita kenalah terima dengan redha dan rela. Ada satu lagi sabar yang penting, iaitu sabar dalam belajar. Kerana belajar itu bukanlah sesuatu yang mudah. Berapa ramai yang mulanya bersemangat untuk belajar tetapi lama kelamaan mereka tidak sanggup lagi hendak meneruskan. Ini memang dugaan dari syaitan yang tidak suka kita belajar. Jadi kita kena minta ilmu dengan Allah. Tetapi semasa kita meminta pertolongan itu, kita juga ada melakukan usaha kita sendiri. Bukanlah kita meminta pertolongan kepada seseorang, tetapi kita tidak melakukan apa-apa pun. Satu lagi sabar yang penting adalah sabar dari menceritakan kepada makhluk tentang masalah yang dihadapi. Jangan hendak cerita sangat masalah kepada manusia, sebaliknya hendaklah mengadu hal kita kepada Allah. Kerana Allah ‎ akan membantu kita, bukannya orang. Letakkan pengharapan sepenuhnya kepada Allah. Dalam ayat ini, Allah ‎mengajar kita cara untuk mendapatkan pertolongan, dan salah satunya adalah dengan melakukan solat. Dan sifat sabar dan solat ini adalah sangat berat untuk diamalkan. Kecuali kepada mereka yang ada sifat ‘khusyuk’. Khusyuk bermaksud orang yang takut dan patuh kepada Allah.
Ayat 46: Allah ‎memberitahu apakah definisi orang yang khusyuk. Orang yang khusyuk adalah mereka yang sentiasa yakin yang mereka akan bertemu dengan Tuhan mereka di akhirat. Mereka sentiasa sedar yang apa sahaja yang terjadi sekarang di dunia adalah bersifat sementara sahaja. Mereka yang ada sifat khusyuk itu tahu yang mereka akan dikembalikan kepada Tuhan untuk menerima balasan. Mereka akan menerima balasan baik dari kesabaran dan amalan mereka yang baik. Maka kita semua ada peluang untuk mendapat khusyuk di dalam solat. Asalkan kita ada pemahaman ini dan sentiasa latih diri kita untuk ingat tentangnya. Ketika solat, bukannya tidak dengar langsung apa berlaku, tetapi kita lebih mementingkan solat kita. Apa-apa sahaja yang berlaku di luar solat, kita buat tidak tahu.
Ayat 47: Allah ‎memperingatkan kepada Bani Israil zaman Nabi dan juga zaman sekarang, tentang segala nikmat yang telah diberikan kepada mereka. Allah ‎menyeru kepada semua sekali golongan bani Israil, dengan gelaran yang dihormati. Allah hendak beritahu dalam ayat ini bahawa Dialah yang memberikan segala nikmat dan kelebihan itu kepada mereka. Allah ‎ menekankan dalam ayat ini kerana bangsa Bani Israil sangka yang mereka dapat segala kelebihan itu kerana mereka bangsa terpilih. Allah ‎beritahu fahaman itu tidak benar. Bukan mereka mendapat kelebihan itu kerana diri mereka tetapi kerana Allah yang pilih. Dan Allah boleh sahaja mengambil balik kelebihan yang telah diberikan kepada mereka itu dan boleh diberikan kepada orang lain. Galakan ini diberikan supaya mereka cepat-cepat beriman dengan Nabi Muhammad SAW. Jangan berdolak-dalih lagi.
Allah beritahu dalam Surah Ali Imran, Ayat 110, yang bermaksud: "Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.”
Maka jangan kita sangka mereka itu mulia zaman berzaman. Kalau zaman sekarang mereka sudah menjadi hina.
Ayat 48: TAKHWIF / ANCAMAN UKHRAWI - Tiada syafaat qahriyah (syafaat kasih sayang) Ayat ini diberikan supaya mereka menjadi takut dan supaya mereka cepat-cepat beriman kepada Nabi Muhammad dan kepada Al-Qur’an. Setelah dipujuk namun masih degil lagi, maka ajakan telah menjadi sedikit keras dengan diberikan dengan ancaman. Allah ‎mengingatkan yang dunia ini sementara sahaja. Semua orang akan mati akhirnya. Sebelum ini Allah sudah memerintahkan untuk takut kepada-Nya. Tetapi mereka tidak takut kepada-Nya. Takutlah kepada Hari Kiamat nanti. Pada hari itu tidak ada sesiapa yang boleh menyelamatkan orang lain. Para Nabi mereka tidak akan dapat selamatkan mereka. Syafaat dalam ayat ini yang dimaksudkan adalah ‘syafaat kasih sayang’ (Syafaat Qahriyah). Maka, orang yang disayangi oleh Allah ‎seperti malaikat, Nabi dan wali-wali tidak boleh memohon kepada Allah ‎untuk menyelamatkan seseorang. Bani Israil sangka mereka akan diberikan syafaat kerana mereka sangka mereka adalah bangsa terpilih. Tetapi Allah ‎berkata, tidak . Begitu juga kita, umat Nabi Muhammad SAW, bukan semua akan mendapat syafaat. Tidak ada cara untuk melepaskan diri. Mereka yang berdosa akan menawarkan keluarga mereka nanti. Contohnya, mereka akan menawarkan supaya emak mereka dimasukkan ke dalam neraka asalkan mereka boleh masuk syurga. Begitu sekali mereka akan buat. Tidak ada harapan langsung pada waktu itu lagi. Melainkan kalau mendapat bantuan dari Allah ‎sendiri. Yang kita boleh harapkan hanya amalan kita semasa di dunia dan iman kita.

Thursday, 12 January 2023

PERKONGSIAN ILMU: SURAH 2: AL BAQARAH (LEMBU BETINA) AYAT: 38 – 41

 ASSALAMUALAIKUM




CERTOT: Sanah Helwah Adikku sayang.
Syukur Alhamdulillah, pagi ini menerima berita gembira certot karyaku, bertajuk “Sanah Helwah Adikku Sayang” menang Sayembara ESVA 20/2022. Certot yang bertemakan: Tahun Baharu.
Terima kasih Prof. Irwan Abu Bakar, admin E-sastera Vaganza Asean yang menganjurkan pertandingan ini. Tahniah sahabat-sahabatku Ida, Paridah Ishak , mendapat naib johan dan Along Sanggar Nurimas tempat ketiga.
Pasti semua peserta tergesa-gesa nak mengarang certot. Tarikh pertandingan 31/12/22. Tarikh tutup 1/1/23. Aduhlaaaa. Last minit dapat ilham: 1/1/23 Ulang tahun kelahiran adikku Norrafeah Tulip Putih Aku rakamkan secebis kisahnya
“Tahniah mama, dapat johan Certot. Eh.. Certot ini apalah ya..” Amla Mat Rawi puteri kedua, menulis dalam status muka bukunya.
“Ingatkan cetot..!” Aku senyum sendiri, membaca komen adiku Nor Azwanah dalam fb itu.
Bahasa Jawa “cetot” maknanya “cubit”. Aku hampir lupa perkataan Jawa ini. Hahaha
CERTOT daripada singkatan rangkai kata CERITA KONTOT! Lebih pendek daripada cerpen.
Malam ini aku bertemu dengan adik-adikku dalam majlis ilmu. Terima kasih sahabat-sahabat yang turut menyertai majlis ilmu dalam google meet ini.
PERKONGSIAN ILMU:
SURAH 2: AL BAQARAH (LEMBU BETINA)
AYAT: 38 – 41
MUKA SURAT: 7
Ayat 38: Hikmah diturun Nabi Adam as ke dunia, adalah untuk menjadi makhluk yang diuji. Golongan yang selamat adalah yang mengikuti petunjuk daripada Allah. Segala kejadian yang menyebabkan Nabi Adam dan Siti Hawa dikeluarkan dari syurga itu adalah sebagai alasan sahaja untuk menetapkan kita hidup di dunia. Semua anak Nabi Adam kena duduk di dunia dulu kerana dunia adalah tempat ujian. Allah kata dalam ayat ini bahawa petunjuk itu dari ‘Aku’. Maknanya, kena pastikan bahawa petunjuk itu dari Allah – dari Al-Qur’an dan dari sunnah Nabi. Bagi mereka yang ikut petunjuk dari Allah, tidak ada ketakutan untuk mereka itu, sama ada di dunia atau di akhirat. Dan di hari akhirat nanti, kita juga akan ada perasaan takut apabila berhadapan dengan Allah nanti di Mahsyar. Seorang yang beriman tidak akan sedih. Kerana mereka akan rasa tenang dan gembira sahaja dengan apa yang Allah berikan kepada mereka dan mereka redha dengan apa yang Allah suruh mereka lakukan. Dan mereka juga tidak akan berdukacita kerana kena tinggalkan dunia kerana dunia itu memang tempat sementara sahaja.
Ayat 39: Ancaman Ukhrawi bagi golongan yang mendustakan ayat-ayat Allah. Tentang manusia yang degil. Mereka ini engkar dengan hidayah. Dan apabila disampaikan dengan perkara yang benar, mereka kata ianya dusta. Mereka akan jadi pemegang geran neraka dan tidak akan masuk ke syurga. Bukan tinggal sekejap tapi kekal di neraka buat selama-lamanya. Iaitu mereka engkar dengan Al-Qur’an dan buat syirik kepada Allah. Mereka enggan untuk taat kepada arahan Allah dalam wahyu. Ada orang mukmin yang akan masuk neraka untuk sementara kerana mereka telah melakukan dosa. Tapi mereka akhirnya akan keluar dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Ada orang yang namanya Muslim tapi dia juga melakukan syirik kepada Allah. Mereka itu akan kekal dalam neraka. Mereka tidak akan dapat keluar dari neraka. Walaupun mereka dulu semasa di dunia mengaku Muslim. Apatah lagi kalau orang itu adalah orang kafir, memang akan terus tinggal di neraka.
Ayat 40 – 141: Menceritakan kedegilan dan kesombongan Yahudi. Ayat-ayat tentang perangai Yahudi ini diturunkan awal-awal lagi semasa Nabi baru tiba di Madinah. Supaya masyarakat Arab Madinah boleh mengenali sifat tipu, tamak dan mengubah kandungan kitab Taurat. Mereka juga golongan yang paling kuat makan riba kerana mereka yang mengamalkan sistem riba.
Ayat 40: Golongan Yahudi yang pertama. Mereka kufur dengan nikmat Allah. Bani Israil, yang juga dipanggil: golongan Ahli Kitab. Ayat ini berbentuk pujukan kepada Ahli Kitab untuk kembali kepada syariat. Dalam bahasa Yahudi, ‘isra’ bermaksud hamba dan ‘il’ bermaksud Allah. Maka, perkataan ‘Israil’, maksudnya ‘Hamba Allah’. Allah mengingatkan Bani Israil di zaman Nabi Muhammad saw tentang nikmat-nikmat yang pernah diberikan kepada mereka. Banyak juga yang disebut dalam Al-Qur’an sebagai contoh: mereka diselamatkan dari cengkaman Firaun; mereka diberi makan manna dan salwa; dan lain-lain lagi. Ajaran dalam Taurat adalah ajaran Tauhid. Mereka sudah lama tahu tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman itu. Maka bila Nabi sudah datang, hendaklah mereka taat dan mengikut baginda. Mereka diingatkan supaya takut kepada Allah ‎supaya mereka ikut mana yang benar. Jangan takut dengan manusia, tetapi takutlah dengan Allah.
Ayat 41: . Sifat kedua para pendeta Yahudi mengubah ayat-ayat Taurat yang asal untuk kepentingan dunia. Ayat ini sekarang, mengajak orang-orang Yahudi beriman kepada Al-Quran. Dan untuk beriman dengan Al-Quran, hendaklah mereka beriman dengan Nabi Muhammad saw, kerana Al-Quran itu diturunkan melalui Nabi Muhammad saw. Bagi golongan Yahudi dan Nasrani, mereka berkata mereka percaya kepada Allah. Tetapi mereka tidak mahu menerima Nabi Muhammad saw. Al-Quran itu membenarkan apa yang ada dalam Kitab Taurat. Orang Yahudi tidak boleh terima Nabi Muhammad saw kerana baginda datang dari bangsa Arab. Allah berpesan kepada mereka supaya jangan mereka menjadi yang mula-mula engkar dengan Al-Quran. Kerana bila mereka engkar, akibatnya pengikut-pengikut mereka akan menjadi kufur juga. Mereka bukan menanggung dosa diri mereka sahaja, tetapi dosa pengikut-pengikut mereka sekali. Allah melarang tukar agama dengan menolak ayat Al-Quran untuk upahan dan habuan dunia yang sedikit. Jual beli itu bermaksud ‘tukar’ atau ‘ubah’.
Ayat 42: Ini adalah sifat ketiga Pendeta Yahudi. Allah melarang campurkan yang benar dengan yang salah. Tetapi amalan mereka ada yang diambil dari Taurat, ada yang mereka reka sendiri. Contohnya, dalam masyarakat kita dalam upacara tahnik . Apa yang Nabi ajar adalah menggunakan buah kurma. Melakukan tahnik itu sudah betul, tetapi dicampur pula dengan perbuatan yang salah. Perbuatan ini dinamakan talbis. Iaitu mencampurkan yang benar dengan yang bathil. Pendeta Yahudi itu tahu yang apa yang mereka amalkan itu adalah salah. Ini menunjukkan mereka menyembunyikan kebenaran. Dalam Islam, tidak boleh sembunyikan ayat-ayat Al-Quran.

Thursday, 15 December 2022

SURAH 2: AL-BAQARAH MUKA SURAT: 4 . AYAT: 17 - 20

 ASSALAMUALAIKUM



“Summum bukmun ‘umyun fahum laayarji’uun…” Saat aku membaca ayat 18, surah Al-Baqarah ini kenangan mengimbau zaman remaja.

“Ayat ini dulu-dulu baca untuk halau anjing, hahaha…..”

“Ya, betul kak.” Adikku Nor Raudah Hj Siren dan Nor Azwanah serentak mencelah.

“Kalau nampak anjing cepat-cepat baca ayat ni. Takut anjing kejar. Hahaha…” Adikku Norsobah Siren turut ketawa.

Aku membaca tulisan CT Nurza di ruang sembang: Siti pun macam tu zaman budak-budak.

“Tak boleh ke baca ayat ni, kalau kita nampak anjing atau orang-orang yang mencurigakan, seperti peragut?” Puan Rosiah pula melontar tanya.

“Ayat-ayat Al-Quran tidak boleh digunakan sesuka hati. Boleh digunakan jika ada dalil daripada riwayat sahih. Cuba tengok makna ayat ini: Mereka tuli, bisu dan buta… Allah memberi tahu orang-orang yang degil tidak mahu terima Al-Quran sepenuhnya, mereka sebenarnya tidak mahu - mendengar, berkata dan melihat kebenaran. Jadi tak ada kaitan pun untuk halau anjing ...” Jawabku panjang lebar.

PERKONGSIAN ILMU:
SURAH 2: AL-BAQARAH
MUKA SURAT: 4 . AYAT: 17 - 20

Ayat 17 – 20: PERUMPAMAAN ORANG-ORANG MUNAFIK.

Ayat 17: Allah beri perbandingan dan contoh bagaimana keadaan orang yang ‘kafir degil’ itu. Allah banyak beri pengajaran dalam bentuk bandingan kerana kita lebih senang faham kalau ada bandingan. Orang yang menyalakan api itu adalah isyarat kepada Nabi Muhammad saw. ‘Api’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘ayat-ayat Al-Qur’an’ kerana sebagaimana api menerangi kegelapan, cahaya Al-Qur’an juga menerangi kegelapan syirik. Ianya juga mengandungi dalil-dalil Al-Qur’an tentang Islam. Maka Nabi Muhammad telah menyampaikan cahaya wahyu kepada manusia. Beberapa orang lelaki duduk mendengar dakwah Nabi. Dan kerana Surah Al-Baqarah ini adalah Surah Madaniyyah, maka ia juga merujuk kepada golongan kafir degil yang ada di Madinah: Golongan Yahudi. Sepatutnya mereka dapat cahaya itu, tapi Allah tarik daripada mereka disebabkan oleh kedegilan mereka. Apabila Allah tarik cahaya wahyu itu dari mereka, kesan kepada mereka adalah mereka terbiar dalam kegelapan. Dan kegelapan itu adalah syirik kufur. Mereka tidak dapat melihat bahawasanya mereka sedang duduk dalam syirik kufur.

Ayat 18: Mereka seolah-olah orang yang pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran). Telinga mereka masih boleh lagi mendengar, tapi mereka tidak boleh mendengar kebenaran.
Mereka ada mulut dan boleh bercakap tapi mereka tidak bercakap tentang kebenaran. Mata mereka masih boleh nampak lagi, tapi mereka tidak boleh nampak kebenaran. Walaupun kebenaran itu ditunjuk di hadapan mereka. Tapi mereka tidak mampu memahaminya dan menerimanya.
Ketiga-tiga cara (pendengaran, percakapan dan penglihatan) untuk mendapat ilmu telah dihilangkan dari mereka. Mereka tidak akan dapat kembali kepada jalan tauhid. Kerana mereka telah kehilangan tiga-tiga pancaindera itu, mereka tidak ada peluang. Allah sudah kunci mati hati mereka dari kebenaran.

Ayat 19: Dalam ayat ini, air hujan itu adalah isyarat kepada wahyu Allah. Awan yang tebal dan gelap menutup cahaya matahari. Apabila awan tebal, suasana pun jadi gelap. Yang dimaksudkan dengan ‘kegelapan’ adalah akidah syirik, amalan-amalan dan ilmu-ilmu salah yang mereka lakukan, diisyaratkan dalam ayat ini dalam bentuk kegelapan. Sebelum turun hujan, mula-mulanya suasana gelap, selepas itu bunyi guruh, dan kemudian petir. Lepas petir baru hujan. Guruh adalah ancaman-ancaman tentang syirik kepada Allah. Kilat adalah yang cahaya yang menerangi, iaitu dalil-dalil dari Allah tentang pentingnya beriman penuh kepada Dia. Cahaya itu yang boleh menunjukkan jalan. Ianya adalah ‘hujah’ dan ‘bukti’ dari Allah tentang betapa jelasnya kesalahan dalam perbuatan dan fahaman syirik itu dan betapa nikmatnya tauhid. Seperti cahaya kilat yang datang, semua akan cerah sahaja. Teta[I apabila mendengar guruh dan petir, mereka sangat takut sampai kalau boleh mereka nak masuk ‘semua’ jari-jari mereka ke dalam telinga. Ia adalah bahasa kiasan. Kerana mereka tidak mahu mendengar kebenaran yang disampaikan kepada mereka. Tapi ini bermakna, mata mereka sepatutnya masih nampak lagi. Tapi mereka buat tak nampak. Mata pun mereka akan tutup juga. Ini adalah isyaraat kepada mereka tak mahu dengar ancaman dan dalil-dalil dari Al-Qur’an dan Hadis. Dalam ayat ini, Allah memberitahu kita bahawa mereka itu kafir sebenarnya. Perkataan kafir yang digunakan oleh Allah dalam hujung ayat ini.

Ayat 20: Ayat ini bermaksud, hampir-hampir hujah Al-Qur’an itu menghairankan mereka dan memberi kesan kepada mereka. Hampir-hampir hujah itu mereka nak terima kerana hujah itu memang sudah benar dan tidak boleh ditolak oleh akal yang sihat. Tapi orang munafik walaupun jelas macam mana pun, mereka tak mahu terima juga.‘Menyinari’ itu bermaksud apabila mereka nampak keuntungan dunia, mereka akan ikut agama. Contohnya mereka boleh dapat duit zakat, harta ghanimah rampasan perang dan sebagainya. Mereka pergi solat berjemaah supaya mereka dilihat sebagai orang Islam sahaja. Sebab itu Nabi kata orang munafik berat untuk datang solat Subuh dan Isyak kerana waktu itu suasana gelap jadi tidak ada orang nampak. Jadi, bila suasana gelap, bolehlah mereka buat alasan tak datang, kerana mereka datang waktu boleh dilihat sahaja. Apabila ada kepentingan, terus mereka berlari untuk mendapatkannya. Jika ada hukum-hukum agama yang menguntungkan mereka, mereka akan ikut. Tapi apabila mereka lihat agama Islam itu menyusahkan mereka, mereka tak mahu ikut. Orang munafik, semasa terang sekejap itu yang mereka berlari. Allah boleh hilangkan pendengaran dan penglihatan mereka terus bagi mereka terus jadi pekak dan bisu semasa di dunia lagi. Tapi Allah biarkan mereka ada alat pancaindera yang lengkap supaya mereka tak boleh jadikan alasan yang mereka di dunia dulu kerana pancaindera mereka tidak lengkap. Golongan munafik, luaran mereka menunjukkan mereka Muslim, tapi dalaman mereka tidak


Thursday, 8 December 2022

SURAH 2: AL-BAQARAH MUKA SURAT: 3. AYAT: 6 - 10

 ASSALAMUALAIKUM



“Kak La, bolehkah ambil wuduk, celup air dalam gayong? Bukankah tidak cukup dua kolah?” Puan Rahimah Ismail melontar tanya, sebelum kelas taddabur dalam talian berakhir.
"Boleh, itulah wuduk Nabi Muhammad saw. Niatkan tangan kita sebagai pencedok. Air yang telah digunakan tidak menitik ke dalam air suci dalam gayong.” Aku menjawab soalan, yang pastinya ramai ingin tahu.
Puan Shuhailawati Ramli pula mencelah, “Saya selalu buat. Cikngah buat demo, tunjuk wuduk cara nabi…”
“Susah juga kelas dalam talian nak tunjuk wuduk cara nabi ni. Hehehe...Kita boleh cari dalam internet .” Jawabku.
Selesai kelas Aku menerima video, wuduk cara nabi dalam wasap. Masya Allah. Tabarakallah. Alhamdulillah. Terima kasih cucu saudaraku Shuhailawati. Aku segera kongsikan video tersebut dalam gruop wasap kelas tadabbur kami.
PERKONGSIAN ILMU;
SURAH 2: AL-BAQARAH
MUKA SURAT: 3. AYAT: 6 - 10
Ayat 6 – 7: Allah menyebut ciri-ciri orang kafir. Mereka itu adalah golongan yang Allah murkai, seperti dalam ayat Al-Fatihah. Ayat ini ditujukan kepada orang Yahudi dan Munafik. Surah Al-Baqarah merupakan surah pertama diturunkan di Madinah kerana terdapat kehadiran Yahudi di sekitar Madinah. Mereka golongan terpelajar dan kaya. Penduduk asal Madinah, jahil dan bekerja sebagai buruh atau kuli kepada orang Yahudi.
Ayat 6: Sesungguhnya orang-orang yang kafir engkar; Sama sahaja kalau beri peringatan atau tidak, kerana degil, mereka tidak akan beriman. Kerana orang degil tidak akan beriman. Mereka digelar ‘kafir’ kerana dalam hati mereka ada sifat tolak kebenaran. Banyak jenis kufur sebenarnya. Ada yang Syirik, ada yang tolak Nabi, ada yang tolak Al-Qur’an walaupun satu ayat. Sebagai contoh tolak hudud dan lain-lain. Dalam menjalankan kerja dakwah, kita kena sampaikan kepada semua orang, tidak kira sama ada mereka itu sahabat kita, ahli keluarga kita, sama ada orang kafir atau tidak. Tiada siapa yang boleh kata seseorang itu jenis kufur degil. Kita tidak boleh tahu kerana ianya adalah perkara dalam hati. Sesiapa yang pergi dakwah kepada mereka, mereka akan dapat faedah. Tentulah cara dakwah Nabi adalah yang paling baik. Tapi walaupun begitu, mereka masih tidak terima. Malah mereka menentang dan cuba untuk membunuh Nabi.
Ayat 7: Dengan sebab keingkaran mereka, Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar. Empat peringkat yang akhirnya dikunci hati; (1) Ragu-ragu dalam hati (2) Menolak dalam diam (3) Membantah dan menentang (4) Berterusan engkar dan akhirnya tertutup serta terkunci mati hatinya.
Ayat 8 hingga 20: Ciri-ciri orang Munafik. Ingatlah bahawa orang munafik ini solat sama dengan Nabi. Mereka tak tinggal solat berjemaah bersama Nabi, kecuali solat Subuh dan Isya’. Jihad pun kadang-kadang mereka pergi, zakat pun kadang-kadang mereka bayar. Mereka bersama Nabi dan para sahabat yang lain, tapi mereka tidak beriman sebenarnya. Tapi Allah masih lagi kata mereka kafir kerana mereka jahil dan mereka tidak menepati kehendak Islam dan kerana mereka itu ‘jahil akidah’.
Ayat 8: Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.
Mereka itu adalah golongan munafik. Mereka mengaku beriman dan menampakkan keislaman mereka dari segi zahir atau lahiriah. Dalam ayat ini, mereka mendakwa dengan lidah mereka yang mereka beriman. Dalam ayat ini, mereka mengatakan mereka beriman dengan dua rukun iman: ‘percaya kepada Allah’ dan ‘percaya kepada Hari Akhirat’. Disebut hanya dua rukun iman untuk merangkumi kesemua rukun iman yang lain. Tidak perlu disebut kesemua rukun iman. Tetapi, walaupun mereka mengaku dengan mulut mereka sendiri, Allah nafikan keimanan dalam hati mereka. Lafaz mereka benar, tapi hati mereka yang tidak benar. Mereka hanya dakwa dengan lidah sahaja sedangkan lidah bukan tempat iman. Iman yang duduk dalam hati.
Orang munafik memang akan mengaku yang mereka beriman. Allah sendiri beritahu yang mereka itu tidak beriman. Allah tahu apa yang dalam hati mereka dan kerana itu Allah boleh kata mereka itu munafik (kita tidak boleh nak menuduh orang lain).
Ayat 9: Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya. Mereka hendak menipu Allah, tentu tidak boleh. Maknanya, mereka menipu wakil Allah, iaitu Nabi Muhammad saw. Mereka hendak menipu para sahabat Nabi. Mereka cuba nak tipu orang beriman. Mereka hendak dilihat sebagai orang beriman juga. Kesan penipuan itu akan terkena kepada diri mereka kerana penipuan itu akan menyebabkan bahana kepada diri mereka. Penipuan mereka itu tidak akan memberi kesan bahaya kepada orang lain melainkan diri mereka sendiri sahaja. Malangnya, mereka sendiri pun tidak sedar. Kita sekarang sangka kita sudah Muslim. Tapi mungkin tanpa kita sedar, kita rupanya tergolong dalam golongan munafik juga.
Oleh itu, kita kenalah periksa diri kita dan bandingkan dengan kehendak dalam Al-Qur’an. Kalau duduk dengan Nabi pun boleh jadi salah faham, boleh keliru, lalu bagaimana agaknya dengan kita zaman sekarang? Ini amat menakutkan.
Kita harap dengan kita terus belajar Al-Qur’an ini akan dapat mengeluarkan kemunafikan jika ada dalam diri kita.
Ayat 10: Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran). Mereka itu digelar sebagai munafik kerana dalam hati mereka ada ‘penyakit’.
Penyakit dalam ayat ini bermaksud dengki, atau benci kepada kebenaran. Ia juga bermaksud dengki dengan orang yang membawa kebenaran. Ini adalah satu sifat yang amat bahaya dan perlu dikeluarkan. Kalau seseorang itu boleh buang perasaan itu, barulah boleh masuk iman dalam hati. Kalau tidak, sampai bila-bila pun iman tidak masuk. Satu lagi penyakit mereka adalah syak dan ragu-ragu tentang Allah. Mereka ragu dengan Tuhan sendiri. Ini disebabkan oleh kerana hawa nafsu. Penyakit itu telah mengakibatkan rosak akidah. Yang mereka ragukan itu adalah tentang agama. sendiri kata dalam ayat ini bahawa Munafik itu adalah satu jenis penyakit. Penyakit ragu-ragu mereka itu akan ditambah oleh Allah sampai akhirnya mereka akan berbuat syirik kepada Allah. Mereka akan rasa kalau mereka berdoa sendiri, doa mereka tidak diterima. Kerana mereka rasa mereka tidak layak didengar oleh Allah. Kerana mereka banyak dosa dan sebagainya. Allah itu Maha Mendengar rintihan hambaNya. Dan Allah suruh kita doa terus kepadaNya. Bukan melalui perantaraan. Mereka yang ada prasangka begitu adalah kerana mereka rasa sangsi dengan Allah.
Untuk orang munafik, diberikan ‘azab yang pedih’. Ini lagi teruk dari yang diberikan kepada orang kafir. Kerana azab yang pedih, adalah azab yang tidak berkurangan langsung. Mereka bohong kerana cakap apa yang bukan dalam hati mereka. Jadi mereka dikenakan azab itu adalah kesalahan mereka sendiri.
Jadi, ini adalah simptom pertama orang yang ada penyakit munafik – mereka suka menipu. Kita pun sudah tahu yang salah satu dari sifat munafik adalah menipu bila berkata.

Sunday, 13 November 2022

TAFSIR AL-FATIHAH

ASSALAMUALAIKUM 



"Assalamualaikum wrmbth" Emak saudaraku Siti Zainab memberi salam ketika Aku dapat masuk link google meet.

"Waalaikum Salam wrbth Cik Siti. Terima kasih tolong buatkan link malam ini." Balasku.
Alhamdulilah malam ini, Aku dapat menyampaikan tadabbur surah yang pertama: Al Fatihah sebagai ulangkaji. Ulangan ini perlu, kerana selepas Al Fatihah, surah kedua: Al Baqarah. Kedua-dua surah ini saling berkait..
Ayat terakhir surah Al Fatihah, Allah jelaskan dalam surah Al Baqarah.
PERKONGSIAN ILMU:
SURAH 1: AL FATIHAH.
Ayat 1 hingga 5.
PENGENALAN:
EMPAT PEMBAHAGIAN AL QURAN
Kandungan al Quran terbahagi 4 berdasarkan 4 perkara. Setiap bahagian bermula dengan.
‘Alhamdu Lillah’
1. Surah 1 al Fatihah – Surah 5 al Maidah . Hanya Allah Pencipta segala sesuatu
2. Surah 6 al An’am hingga Surah 17 al Israk. Hanya Allah yang Memelihara, Menjaga , Mengurus dan Mentadbir segala yang diciptanya
3. Surah 18 al Kahfi hingga Surah 33 al Ahzaab. Hanya Allah yang Mengurus dan Mentadbir, Mengolah dan Mengubah suai. Memberi rezeki dan menahan rezeki.
4. Surah 34 Saba hingga surah 114 An Nas – Allah Taala Yang Berkuasa Penuh pada Hari Akhirat / Pembalasan.
Kesemua 4 perkara dalam al Quran ini, terkandung dalam Surah al Fatihah .
Surah ini dinamakan al Fatihah kerana ia adalah pembukaan kitab bertulis. Dibuka bacaan dalam solat.
Surah ini turun di Mekah dan di Madinah. Surah teragung dalam al Quran. Dikenali sebagai
1. Ummul Kitab
2. Ash- Solah - syarat wajib sah solat.
3. Asy - Syifak - penyembuhan setiap racun
4. Ar Rukyah - penyembuhan disengat binatang bisa.
Ayat 1: Kehebatan lafaz *Bismillahir Rahmanir Rahim*
Aku mula membaca al Quran ini dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi.
ALLAH - nama teragung bagi Allah, merangkumi semua sifat-sifat Allah SWT.
Dengan lafaz ini mendekatkan diri kita kepada Allah. Memohon keberkatan. Memohon pertolongan kepada Allah.
AR-RAHMAN - ALLAH memiliki sifat penyayang. Sayang kepada semua makhluk . Yang taat atau yang derhaka. Yang mukmin atau yang kafir.
AR-RAHIM - ALLAH memiliki sifat pengasih. Sayang Allah SWT hanya kepada orang-orang mukmin di dunia dan akhirat.
Kepada orang-orang yang derhaka dan kufur tiada kasih sayang Allah SWT .
Ayat 2: Puji-pujian kepada Allah sebagai pencipta, memelihara dan mentadbir seluruh alam .
AL HAMDULILLAH - Allah sebagai Maha Pencipta
RABBIL AALAMIIN.
– Allah Yang Memelihara, Mengurus dan Mentadbir seluruh alam ini. Allah berkuasa penuh kepada kita sebagai hambaNYA.
Allah SWT mencipta, menjaga dan mengurus mentadbir alam ini bersendirian. Tak perlu pertolongan sesiapa.
Ayat 3: Selepas Allah SWT mengatakan diriNYA adalah TUAN
pemilik seluruh alam ini. Maka sekarang Allah sebut dua sifatnya iaitu:
*Ar- Rahmanir Rahim* Yang Maha Pemurah lagi Mengasihi. – Allah yang Memiliki, Mengurus dan Mentadbir makhluk yg dicipta. Allah Mempunyai sifat Pemaaf/ pengampun dan sifat Penyayang.
AR RAHMAN - sayang Allah seperti sayang seorang bapa kepada anaknya. Seorang ayah sanggup pukul anak supaya anak itu menjadi baik dan taat.
Allah mahu kita bersusah-payah dalam ibadat dan bersabar menghadapi ujian.
AR RAHIM - Sifat pengasih Allah SWT seperti seorang ibu sayang anaknya. Tak sanggup tengok anaknya bersusah- payah.
Kasih sayang Allah hanya kepada orang-orang Mukmin.
Ayat 4: *Maaliki Yawmi Din* – Allah yang menguasai Hari Pembalasan dan Yang Memiliki Safaat. Hanya Allah SWT yang akan memberi Safaat iaitu pertolongan kepada kita di akhirat kelak. Safaat hanya dengan izin Allah SWT.
Kefahaman tentang 4 perkara, dalam 4 ayat ini menyebabkan pergantungan hati sepenuhnya kepada Allah Taala.
Hayati keempat-empat sifat ini sebelum menyebut *Iyyaka Na’budu wa Iyya kanasta’in*.
AYAT 5: IYYKANA' BUDU - Ya Allah, hanya Engkau sahaja yang kami sembah. – Ia merupakan Tauhid fil ibadah –
Huraian ayat ini terdapat dalam surah 39 AZ-ZUMAR.
IYYA KANASTA'IN – Ya Allah, hanya kepada-MU kami memohon pertolongan . Minta tolong kepada Allah SWT ketika kita hidup. Huraian ayat ini terdapat dalam surah-surah yang dimulai dengan Haa Miim. Yang dikenali sebagai Hamim Tujuh.
SURAH-SURAH YANG DIMULAI DENGAN ‘HAA MIIM’
1. Surah 40 – Al Ghaafir
2. Surah 41 - Fussilat
3. Surah 42 - Ashshura
4. Surah 43 - Az- Zukruf
5. Surah 44 - Ad- Dukhaan
6. Surah 45 - Al- Jaathiya
7. Surah 46 – Al- Ahqaf.
Dalam surah-surah tersebut Allah SWT mengajar kepada kita, cara-cara mohon pertolongan kepada-NYA.

MyBloglist