ASSALAMUALAIKUM..
Oleh NURSYAMIMI SAIDI
brGambar Nasiruddin Yazid
Epal adalah satu-satu buah berkhasiat yang sarat dengan anti oksida semula jadi yang mampu memberikan pelbagai manfaat kepada tubuh badan.

Selain mampu membuatkan wajah awet muda agar, ia juga mengurangkan risiko pelbagai penyakit berkaitan usus dan jantung.
Dalam kepesatan hidup pada hari ini, kita sering kali dimanjakan dengan makanan-makanan ringan yang kononnya memudahkan dan menjimatkan masa khususnya bagi kaum wanita dan ibu yang memandang rendah segala nutrisi dalam pemakanan yang sihat untuk keluarga.
Perunding pakar diet, Indra Balaratnam berkata, wanita moden seharusnya mengimbangi antara keluarga dan kerjaya dengan membawa amalan baik nutrisi bermula dengan langkah-langkah asas.
Bagi mereka yang terlalu sibuk menguruskan keluarga dan kerjaya serta tercari-cari keseimbangan nutrisi yang mudah diikuti, epal merupakan jalan penyelesaian terbaik.
Ini kerana ia mengandungi nutrisi penting yang boleh memberi manfaat positif terhadap kesihatan dan kesejahteraan mereka sekeluarga," katanya ketika ditemui di majlis ramah mesra Apple of My Eye bersama wakil media anjuran Washington Apples Commision di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Malah, katanya, wanita sering dilanda kebimbangan terutama dalam mengawal diet seimbang untuk mendapatkan berat badan ideal, tetapi melakukan amalan diet yang salah dengan meninggalkan beberapa nutrisi penting semata-mata tidak mahu gemuk disebabkan pengambilan makanan.
Mereka juga cuba mencari makanan yang bukan sahaja kurang kalori tetapi juga bebas lemak dan kolesterol. Hakikatnya, apa yang dicari mereka ialah makanan yang dapat mengawal nafsu makan.
Kajian menunjukkan bahawa wanita yang mempunyai berat badan berlebihan yang memakan tiga biji epal setiap hari sebagai sebahagian daripada amalan diet kalori rendah harian mereka, boleh mencapai matlamat mengurangkan berat badan dengan lebih berkesan," kata Indra.
Epal turut mengandungi serat, potasium, serta vitamin A dan C yang merupakan nutrien penting untuk kesihatan jantung.
Buah bernutrisi tinggi yang mudah didapati pada harga berpatutan ini setanding dengan nilai buah-buahan superfruit seperti beri biru dan delima yang agak mahal di pasaran.
Ini menjadikan ia pilihan tepat bagi individu mahupun keluarga.
Sementara itu, bagi ibu-ibu yang agak sibuk menguruskan keluarga dan kerjaya, pada masa sama berusaha menerapkan amalan pemakanan yang seimbang kepada anak-anak, boleh mengikuti tip yang dilakukan selebriti, Sazzy Falak.
Sazzy yang mempunyai sepasang anak kembar, menekankan betapa pentingnya menyemai amalan pemakanan yang sihat dengan menggemari buah-buahan sejak usia kecil lagi.
Ibu bapa saya memang mengamalkan tradisi mengambil buah-buahan sebelum hidangan kerana memahami pentingnya khasiat buah-buahan untuk membesar dengan sihat.
Perkara ini saya turunkan kepada anak-anak saya supaya mereka dapat membesar sebagai kanak-kanak yang lincah dan bijak," katanya.
Bagi ibu-ibu yang menghadapi masalah menyediakan hidangan berkhasiat untuk anak-anak, Sazzy berkongsi beberapa petua berguna.
Saya amat bertuah kerana anak kembar saya sangat menyukai buah epal. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang cerewet makan, saya mencadangkan agar buah epal diberi sebagai hidangan pemula kerana mempunyai tekstur yang rangup selain mempunyai warna yang menarik perhatian kanak-kanak," jelasnya
Katanya, jika anak-anak tidak mahu menjamah langsung buah-buahan, ibu bapa boleh menyelindungkan dengan cara mencincang dadu atau kisar dan dicampurkan dengan makanan lain yang mereka gemari.
Epal juga boleh dijadikan sebagai bahan tambahan dalam hidangan yang sihat. Misalnya, saya akan menambahkan jus epal bagi menggantikan gula dalam masakan, atau menggantikan kerepek dengan hirisan epal sebagai snek. Hirisan epal yang disalut dengan mentega kacang adalah rahsia saya dan anak-anak amat menyukainya," tambahnya.
Dalam pada itu, Pegawai Pemasaran Suruhanjaya Epal Washington, Eddie Shaw berkata, epal Washington ditanam dalam keadaan paling sempurna dan menjadi snek kesihatan yang amat sesuai buat segenap lapisan umur.
Katanya, ia menjadi pilihan utama kaum ibu yang mahukan hanya terbaik untuk anak-anak mereka.
Kami menyediakan epal jenis Red Delicious, Granny Smith, Cameo, Fuji, dan banyak lagi," tambahnya

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my