Showing posts with label CORETAN ADILA. Show all posts
Showing posts with label CORETAN ADILA. Show all posts

Saturday, 23 May 2026

SECEBIS KENANGAN - ADILA RADIO KLASIK

 ASSALAMUALAIKUM





SECEBIS KENANGAN - ADILA RADIO KLASIK
.
Aku mengepit separuh daripada buku-buku sekolah di celah ketiak. Separuh lagi terisi di dalam beg pelastik yang agak tebal dijinjing. Panas terik mentari memanggang kulit tubuhku langsung tidak kuhiraukan. Tetapi tetap dirasakan bahang memijarkan itu. Perutku pun sudah berkeriut dan berkeroncong minta diisi.
.
Memang pun tidak diisi sejak awal pagi melainkan hanya dialas dengan segelas air sejuk dan sekeping biskut kering. Begitulah kebiasaan yang sering dilalui kerana nenekku mengangap sarapan pagi itu tidak penting Dan tidak pernah menyediakannya untuk dirinya, apa lagi untukku cucunya. Nenekku mungkin sibuk sekali menguruskan gerai jualan hasilan tani kampung di pinggir jalan besar. Aku tinggal bersama nenekku di pinggir Bandar KB setelah ibu bapaku berpindah ke alam abadi.
.
Kedua-duanya telah menyahut panggilan Ilahi dalam tragedi bot karam tika berusaha menyelamatkan diri dan kami sekeluarga dari bencana banjir. Hanya aku berjaya diselamatkan. Ibu bapa dan dua orang adikku hilang dibawa arus entah ke mana. Walau pasukan penyelamat berusaha mencarinya namun tidak ditemui. Tinggallah aku sebatang kara menumpang hidup dan ihsan nenekku. Tika itu aku masih menyambung persekolahan peringkat menengah rendah.
.
Sepanjang masa di sekolah tidak ada pula duit diberikan nenek kepadaku buat berbelanja di kantin. Dan juga tidak ada bekalan makanan dibawa. Aku terpaksa mengikat perut menahan kelaparan yang amat mengganggu penumpuan terhadap pembelajaran sehingga masa belajar tamat. Tetapi tetap dilakukan demi minatku yang utuh terhadap pelajaran.
.
Begitulah keadaanku sehari-harian sehingga mangli dengan suasana dilalui. Aku sudah tidak kisah lagi tentang itu semua. ‘Jika lapar pun tanggunglah, kalau penat pun, penatlah. Kulupakan semua kemusykilannya.
.
Langkah diatur perlahan. Kakiku pula merenyut sakit dan gatal kerana telah tumbuh kudis yang menjijikan. Seksa sungguh. Bila sampai di rumah pastinya belum boleh terus menyuap nasi ke mulut. Aku perlu memasaknya terlebih dahulu. Aku akan memasak apa saja yang ada di dapur rumah nenek.
.
Biasanya aku akan memasak nasi, menggoreng ikan asin, menumbuk sambal belacan dan menumis sayur kangkung, asin-asin atau betik muda. Sayur-sayur kampung itu memang tumbuh subur di sekitar belakang dapur rumah nenek.
.
Proses hendak menyediakan masakan yang serba sederhana itu pun tidak mudah. Api dapur bertungku tiga perlu dinyalakan. Kadangkala tidak ada kayu kering yang telah tersedia.Terpaksa pula aku terbongkok-bongkok mengutip kayu di pelenggar dan membawanya naik ke rumah. Hendak menghidupkan api dari kayu pun satu hal juga. Api yang dinyalakan tidak boleh terlalu besar.
.
Takut pula akan menyambar dinding rumah. Dan menyebabkan kebakaran yang akan memusnahkan segala-galanya. Aku perlu sangat berhati-hati.
Hendak menjamah sepinggan nasi pun aku terpaksa basah berpeluh terlebih dahulu. Aku menjamu selera seadanya tanpa banyak tingkah. Tidak peduli langsung dengan nutrisi makanan yang diambil akan memberi impak baik atau sebaliknya terhadap tubuhku. Asal kelaparanku terhindar sudah memadai. Alhamdulillah.
.
Sebuah kereta berhenti di sisiku. Derunya menghambat lamunanku bercempera merata. Aku terkejut. Bergemuruh dadaku. Berdebar-debar kencang.
“Hai baru balik sekolah?,” abang Zaini tiba-tiba muncul dari kereta yang berhenti di pinggir jalan menyapaku. Aku kalut pada mulanya. Bimbang juga kalau-kalau ada orang yang datang itu berniat tidak baik dan hendak menggangguku.
.
Orang-orang di kampungku selalu bercerita berkenaan budak-budak perempuan yang pulang dari sekolah sendirian sering diperangkap dan dilarikan ke bandar-bandar besar untuk dijual. Dan dijadikan santapan manusia bernafsu serakah. Bimbang sungguh hatiku. Bukan begitu nasib kuingini. Doaku semoga diselisihkan malaikat 44 maslahah malang itu menimpaku.
.
“Naiklah. Abang pun hendak balik ke rumah ni. Janganlah segan. Abang pun menumpang kereta orang. Naiklah cepat.” Pelawa abang Zaini. Lelaki yang berada di belakang stereng kereta itu memandang sekilas wajahku. Dia tersenyum polos. Pintu kereta dingangakannya luas. Abang Zaini ialah jiran nenekku. Dia tinggal bersama ibunya. Aku juga sering bertandang ke rumahnya untuk bersembang dengan makcik Lina ibunya, menghilangkan rasa sunyiku sendirian. Nenekku sering memarahiku kerana suka bertandang ke rumah orang. Tapi kalau nenek tiada di rumah aku akan ke situ.
.
“Tidak mengapalah abang Zaini. bukannya jauh sangat. Sekejap lagi sampailah.”
“Jauh ko! Dekat ko! Naik…,” balas abang Zaini. Tona suaranya tegas. Alasanku tidak mahu diterimanya. Dia menarik tanganku. Memaksaku mengisi perut kereta.
Aku akur dengan kehendak abang Zaini walaupun merasa malu dan serba tidak kena kala terpandang lelaki yang memegang stereng dan tidak pernah kukenali sebelum ini. Merasa pula gerak-geriku sentiasa mencuri perhatian lelaki itu.
.
Meluncur deras kereta yang dipandu anak muda berpakaian kemas dan berkaca-mata hitam itu. Kereta Moris Minor itu lalu melepasi rumah nenekku tetapi tidak pula berhenti.
“Rumah nenek saya dah lepas tadi. Kenapa tak berhenti?” tanyaku kalut kehairanan. Hatiku mulai risau dan menggelabah.
.
“Mu jangan risau sangat. Kita berdua ni bukannya nak makanmu. Muikut ja,” ujar abang Zaini separuh berlucu. Namun hatiku tetap dilambung kerisauan.
“Tapi kita ni nak gi mana?”
“Tak payahlahmu nak tanya, ikut ja…semeta ja pun.”Aku keliru.
.
“Depan klinik Ravi nantimu tolong berhenti ya Amar. Aku hendak ambil ubat sakit perut...” Abang Zaini mengerutkan dahinya. Wajahnya menjadi herot-petot seakan menanggung kesakitan teramat sangat. Amar memandangnya dengan hairan.
Telatah abang Zaini membuatnya tersenyum sumbing.
.
“Lepas pergi klinik nanti, kita baliklah. Tolong temankan abang yang sakit ni. Lambat sikit sampai ke rumah takkan nenekmu nak marah kot. Lagipun nenekmu itu sibuk berjualan di gerainya. Bilamu sampai di rumah sekejap lagi dia belum tentu dah balik. Setahu abang selagi hari tidak senja nenekmu itu tidak akan menutup gerainya…”
.
Aku bimbang kala pulang nanti akan dimarahi nenekku kerana kelewatan yang tidak kusengajakan. Bukan kemahuanku melakukannya.
Kelak akan berderailah air mata membasahi pipiku entah buat kali keberapa kerana menerima cemuhan dan nista yang menyakiti hatiku hamburan dari mulut nenekku yang garang itu.
.
“Masam sajamu! Senyumlah sikit.” Usik Zaini. Aku mencebek. Kedongkolan hatiku tidak mampu menerbitkan senyuman di bibirku.
Lebih kurang lima belas minit berkereta sampailah sudah ke destinasi yang ditentukan.
Amar mencari-cari tempat memakir keretanya. Dan dia menemui petak yang sesuai. Enjin keretanya segera dimatikan di situ.
.
“Abang Zaini pergilah. Biar saya tunggu di dalam kereta ja.” Kataku lirih.
“Mu tak boleh duduk seorang diri di sini. Di sini ramai orang yang tidak kita ketahui hati-budinya. Entahkan ada yang berniat jahat. Jika dibawanyamu lari kami juga yang susah.Jom lah kita masuk. Cepat!” abang Zaini menggesa.
“Betul tu!” Amar mengiyakan cakap kawannya dengan pameran wajah serius.
.
Aku terdesak dengan kata-kata itu. Hatiku tidak langsung berbelah-bahagi menanggapi kebenarannya. Bersarang difikiranku kebenaran yang merungsingkan.
“Jom lah. Nanti kalau lambat ramai pula orang lain yang mendahului.” Abang Zaini mendesak. Aku mengekori langkah Zaini yang berjalan beriringan dengan Amar.
.
Tidak ramai yang mengunjungi klinik Ravi untuk mendapatkan rawatan kesihatan daripada doktor Ravi hari ini. Hanya kelihatan seorang lelaki tua Melayu dan dua orang wanita Cina di ruang menunggu.
“Namamu misi dah panggil tu. Pergilah masuk jumpa doktor!”
Aku terpana mendengar arahan itu. Baruku sedari bahawa abang Zaini hendak mengubatkan sakit kudisku di klinik ini. Bukan abang Zaini yang sakit perut sebenarnya.
.
Aku kehairanan memikirkan bagaimana jiranku itu tahu bahawa aku sedang menderita sakit kudis di kakiku tapi tidak mampu mengubatinya lantaran nenekku berkira sangat..hendak melantingkan duitnya buat membeli ubat sakit kudisku. Mungkin mak cik Lina ibunya memberitahunya kerana aku pernah mengadu masalahku kepadanya. Aku terharu baik budi abang Zaini dan Amar padaku. Kisah ini berlaku ketika aku dalam tingkatan satu di awal 70-an.
.
Abang Zaini selamanya sebagai abang angkatku. Justeru aku anak angkat makcik Lina ibunya. Dan Amar pula meninggal dunia di London. Dia menderita sakit jantung tika sedang menyambung pengajian jurusan perubatan di sana. Aku sayu kehilangan seorang insan yang tiasa membantu persekolahan dan menyelesaikan masalah kehidupanku.
.
Dalam diam aku dan Amar menjalin cinta. Namun jodoh tidak kesampaian dihalang perpisahan. Sebenarnya percintaan yang terjadi itu tidak direstui ibu bapa Amar lantaran kami tidak sekufu dan berbeza status kehidupan. Macam cerita klise dalam drama dan filem itu. Keluarga Amar dalam kalangan berada sedangkan aku dan nenek amat miskin kehidupannya. Allah makbulkan hasrat ibu bapa Amar agar kami tidak bersama selamanya. Perpisahan abadi. Kuiringkan doa tiasa semoga arwah insan yang tulus mencintaiku itu dalam reda rahmat kasih sayang-Nya.
.
Lagu pilihan;
1. Memburu Impian - Kazar
2. Joget Kelantan - Nora
3. Salam Terakhir - Sudirman

Sunday, 12 April 2026

MENYAMBUT HARI RAYA DI MALAYSIA HALL, LONDON

 ASSALAMUALAIKUM






Prof Dr Salmah Amir
5.1 2025

Kulai, Johor

 

 

MENYAMBUT HARI RAYA DI MALAYSIA HALL, LONDON
(Sebuah Refleksi Perantauan dan Kesyukuran)

Menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa keluarga di sisi merupakan satu pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Perasaan sayu itu bukan sekadar hadir sebagai rindu biasa, tetapi menyelinap perlahan-lahan ke dalam jiwa, terutama apabila alunan lagu-lagu raya berkumandang di pagi Syawal. Lagu yang sepatutnya membangkitkan keceriaan tiba-tiba menjadi pemicu air mata. Sayu mendera hati. Saat itu, jarak ribuan batu antara diriku dan keluarga terasa terlalu jauh, Seolah-olah  tiada jambatan emosi yang mampu menghubungkan kerinduan yang menyeksa diri ini.
Namun, di sebalik kesedihan tersebut, aku menyaksikan satu kekuatan luar biasa yang terpancar dalam diri anak-anak remaja Malaysia yang berada di perantauan kerana menuntut ilmu. Mereka masih terlalu muda, baru melangkah keluar dari kepompong keluarga, namun terpaksa berdiri sendiri di bumi asing. Aku, sebagai pelajar dewasa, masih mampu mengawal emosi dan menahan sebak di dada. Tambahan pula, terdapat pelajar peringkat Doktor Falsafah yang membawa ahli keluarga bersama, maka kesunyian itu tidak terlalu menekan jiwa mereka. Keadaan ini sangat berbeza dengan pelajar-pelajar lepasan sekolah yang baru berusia sekitar lapan belas tahun. Mereka datang dengan harapan, impian dan keberanian, tetapi dalam diam menyimpan rasa takut dan sunyi. Dan menanggung rindu pada ayah ibu dan mereka yang dikasihi di kampung halaman.
Golongan muda inilah yang paling terasa kekosongan pada pagi raya. Ada antara mereka yang mencari keluarga angkat, sekurang-kurangnya agar tidak menyambut Hari Raya sendirian. Mereka ingin merasa bahawa masih ada bahu untuk bersandar, tangan untuk bersalaman, dan suara untuk mengucapkan takbir bersama. Aku dan rakan-rakan pernah menyambut Hari Raya bersama mereka, dan pengalaman itu membuka mataku tentang makna sebenar sebuah keluarga—bukan sekadar ikatan darah, tetapi hubungan kasih sayang yang dibina atas empati dan keprihatinan. Saling berkongsi merasai kehilangan yang sukar ditafsirkan.
Kami memasak rendang dengan penuh rasa cinta bersama-sama, menyediakan ketupat beras yang dibungkus ringkas menggunakan plastik dan diikat dengan getah, lengkap dengan lodeh serta sambal kacang. Walaupun jauh dari kesempurnaan hidangan di tanah air, setiap lauk itu sarat dengan niat untuk menghadirkan suasana Hari Raya yang sebenar. Bau rendang yang memenuhi ruang dapur kecil itu seakan-akan membawa kami pulang seketika ke rumah sendiri. Merasai suasana kemeriahan menyambut hari raya bersama keluarga yang jauh ditinggalkan di tanah air. Wajah-wajah muda yang menikmati juadah tersebut dengan senyuman dan mata yang bersinar menjadi ganjaran paling bermakna buat kami. Kelihatan mereka begitu berselera.
Pada pagi raya, aku mengenakan baju kurung batik yang dibawa khas dari Malaysia. Sebanyak  empat pasang semuanya dengan pilihan warna asas biru, merah, hijau dan kuning. Kebanyakannya batik sutera Terengganu, dijahit dalam gaya baju kurung Johor bersembat yang ditempah khas. Aku amat menyukainya. Setiap helai baju itu bukan sekadar pakaian, tetapi lambang jati diri dan kenangan kampung halaman. Saat menyarungnya, aku berasa seolah-olah membawa sebahagian tanah air ke bumi asing ini. Cantik belaka, dan dipakai dengan penuh rasa syukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan. Alhamdulillah.
Pada suatu tahun, aku benar-benar ingin merasai suasana Hari Raya yang sering diperkatakan sangat meriah di Malaysia Hall, London. Rakan-rakan pelajar mengajakku menempah bilik di Malaysia Hall yang terletak di Bryanston Square, dengan kadar sewaan pelajar yang murah. Namun, setelah berfikir panjang, aku memilih untuk memberi keutamaan tersebut kepada pelajar-pelajar remaja yang hidup bergantung sepenuhnya pada biasiswa. Ramai antara mereka datang dari keluarga kampung dengan pendapatan terhad. Mereka bergelut menempuh cabaran kehidupan di perantauan Ada yang terpaksa bekerja sambilan, mencuci pinggan di kedai makan demi menampung keperluan harian. Aku pula menerima elaun latihan dan gaji bulanan dari Malaysia, selain kiriman suami. Lega sedikit masalah sara hidupku. Ketika itu, aku benar-benar tersentuh dan bersyukur atas aturan Allah yang sempurna dalam perjalanan hidupku. Setiap rezeki datang bersama tanggungjawab untuk berkongsi.
Dua hari sebelum Hari Raya, aku dan sahabat menempah tiket kereta api ke London serta hotel berhampiran Malaysia Hall. Perjalanan selama tujuh jam dari Newcastle terasa agak memenatkan, namun penuh dengan debaran. Kami berbual tentang kenangan raya, tentang keluarga di tanah air, dan tentang harapan masa depan. Setibanya di London, kami memilih untuk berehat awal agar dapat bangun dengan segar dan bertenaga pada pagi Syawal. Walau jauh di sudut hati aku merindukan ayah ibu suami, anak dan adik-beradikku di sana. Aku membayangkan keriangan bersama kecintaanku itu. Memendam kerinduan membungkam.
Pagi itu, aku bersiap dengan penuh tertib, mengenakan baju kurung batik sutera Terengganu bercorak lukisan tangan yang halus. Aku memilih kombinasi warna hijau pucuk pisang dan kuning, dihiasi garisan emas yang sederhana tetapi anggun. Setiap helaian kain itu seakan-akan menyimpan cerita tangan-tangan seni dari tanah air. Dan menata-rias wajah dengan solekan tipis, menyembur pewangi mawar mengharumkan tubuh. Setelah itu aku dan kawan-kawanku  berjalan kaki menuju Malaysia Hall untuk menunaikan solat Hari Raya bersama Duta Malaysia, pegawai kedutaan, staf Malaysian Student Department (MSD), serta pelajar-pelajar dari seluruh United Kingdom. Ramai juga jumlahnya. Kawalan keselamatan Polis London mengiringi perhimpunan besar rakyat Malaysia di tengah kota metropolitan itu. Aku kagum sekali keprihatinan pihak berkuasa di situ. Pemandangan tersebut sungguh menyentuh hati. Sebuah  komuniti kecil yang bersatu atas nama negara dan agama, di tengah-tengah kesibukan kota asing bersama-sama di hari raya.
Selepas solat, ucapan Selamat Hari Raya disampaikan oleh Duta Malaysia. Kata-kata beliau sarat dengan semangat perpaduan dan harapan. Jamuan disediakan, diiringi alunan lagu-lagu raya yang menghidupkan suasana. Kami berkenalan, bertegur sapa, dan berbual mesra tanpa mengira siapa dan latar belakang atau peringkat pengajian. Pada saat itu, aku benar-benar merasakan seolah-olah berada bersama keluarga sendiri. Silaturahim yang terjalin terasa begitu ikhlas, malah berpanjangan sehingga kami pulang ke tanah air.
Hari itu diisi dengan kunjungan ke beberapa rumah terbuka. Termasuk juga ke rumah Duta Malaysia, rumah warden Malaysia Hall, dan kami turut menikmati juadah Hari Raya warga Indonesia di Directorate Matahari yang terletak di belakang Malaysia Hall. Tidak jauh pun dari situ. Kepelbagaian budaya dan persaudaraan serantau itu mengajar aku tentang erti kebersamaan yang melangkaui sempadan negara. Namun syariah Islam suci mulia menyatukan semua tanpa pedulikan perbezaan keturunan. Walaupun perut terasa kenyang dengan pelbagai hidangan, hati aku jauh lebih kenyang dengan rasa bahagia dan amat bersyukur anugerah-Nya.
Pengalaman menyambut Hari Raya di Malaysia Hall, London bersama ratusan pelajar Malaysia ini kekal sebagai kenangan indah yang tidak akan aku lupakan hingga akhir hayatku. Ia bukan sekadar sambutan perayaan, tetapi sebuah pelajaran pengalaman hidup tentang empati, pengorbanan dan kesyukuran. Di perantauan, aku belajar bahawa rumah bukan hanya sebuah tempat, tetapi binaan agamnya perasaan. Citra perasaan indah asbab diterima, dihargai dan disayangi. Alhamdulillah, pengalaman ini akan sentiasa tersemat kemas dalam lipatan memoriku sebagai satu anugerah yang tidak ternilai. Dan mungkin tidak mampu lagi untuk diulangi merasai suasananya. Abadi sebagai nostalgia menggamit kenangan.

Lagu pilihan;

1.    Dendang Perantau – P Ramlee

2.    Sesuci Lebaran - Siti Nurhaliza

3.    Bersabarlah sayang – Sanisah Huri

 



Tuesday, 7 April 2026

ADILFITRI DULU DAN KINI

 ASSALAMUALAIKUM



CORETAN ADILA: Russilawati

Nama Pena: Russ Assan
Alamat: 5B, Rumah Awam Sungai Selisek
44020 Kuala Kubu Baharu, Selangor
No. Tel: 

 

AIDILFITRI DULU DAN KINI

 

Aku menggenggam enam butir ubat selepas makan malam, merenungnya tajam. Seolah renunganku menembusi meja hingga ke bawahnya. Lalu menelannya satu persatu dengan penuh tertib. Begitulah setiaku pada ubat-ubatan demi kesinambungan hayat. Namun, kesetiaan itu seakan tidak berbalas, daripada kolesterol tinggi, bertambah pula darah tinggi, dan kini kencing manis. Terpaksalah mengawalnya agar tidak membawa mudarat. Dan menyusahkan kehidupanku.

Orang kata, jangan terlalu membiarkan diri dibelenggu stres kerana ia mengundang pelbagai penyakit. Entahlah. Tiada siapa yang menginginkan sakit. Setiap kali selepas solat, aku pasti berdoa, berbicara dengan Allah agar dikurniakan kehidupan yang baik, diangkat segala penyakit, dijauhkan daripada pelbagai masalah, bukan hanya untuk diriku, malah untuk anak-anakku, suamiku, adik-beradik, jiran tetangga, sahabat handai, saudara mara, serta seluruh umat Islam di dunia ini. Aku akhiri doa dengan penuh harap, Aamin ya Rabbal ‘Alamin.

Meniti kehidupan dengan rutin yang tidak pernah berpenghujung, kadangkala aku terlupa bahawa Ramadan kian menghampiri. Bulan  mulia penuh keberkatan. Rugi jika kehadirannya diabaikan. Seboleh-bolehnya akan beribadah sebanyak-banyaknya. Menjadi bekalan dibawa menghada-Nya kelak.

Rasa sayu menyelinap dalam ingatan; lebaran tiba bersilih ganti, dan aku bersyukur Allah masih mengizinkanku bertemu Ramadan yang seterusnya kerana Dia telah memanjangkan usiaku. Alhamdulillah. Rahmat-Nya tiada satu mampu kunafikan.

Jam di dinding menunjukkan pukul empat pagi. Nasi semalam masih berbaki, gulai tempoyak patin tinggal seketul, cukup untuk kami bersahur bertiga. Nanti ditambah telur dadar, bisik hatiku. Begitulah gambaran yang terbayang, ragam berpuasa tahun-tahun lalu. Akulah yang menyediakan sahur, mengejutkan anak-anak kecil dengan penuh kasih.

Masih jelas keletah mereka di ingatan. Anak lelakiku, Arshad, ketika itu berusia tujuh tahun, mula berkeluh kesah,
“Mak… kuih dalam peti ais tadi ada empat ketul, kenapa tinggal dua?” Aku hanya tersenyum. Anakku itu meluahkan kemusykilannya.
Dia memang suka bertanya. Sebagai ibu, aku menjawab seadanya agar tidak menimbulkan keraguan. Kini, Arshad sudah kembali ke rahmatullah pada usia 24 tahun. Kenangan itu mengusik jiwa, meruntun hati, apatah lagi saat Ramadan menjelang. Air mata bergenang dan menitis di pipi, itulah kenangan yang harus kuhadapi jua.

Kini, anak-anak sudah dewasa. Bab bersahur mereka ambil mudah. Cukup  sekadar minum air kosong. Sangat berbeza dengan dahulu, dan usiaku juga sudah melangkah ke alam warga emas. Dulu, hari pertama puasa kami sekeluarga pasti berada di kampung ibuku untuk bersahur dan berbuka puasa bersama-sama. Kini tidak lagi. Ibu tinggal bersama anak-anaknya secara bergilir. Ibu tidak lagi tinggal di rumah pusaka. Semua adik-beradik mengambil tanggungjawab menjaga kebajikan ibu tercinta.

Menjelang Syawal, kami tetap pulang ke kampung untuk meraikan Aidilfitri bersama ibu. Membakar lemang, menyediakan ketupat dan merendang ayam kampung sekawah dengan dapur kayu, itulah kenangan paling bahagia. Sehari sebelum Aidilfitri, kami bergotong-royong, riuh dengan suara anak-anak, adik-beradik, sepupu sepapat. Namun zaman berubah; yang tinggal kini hanyalah kenangan. Tenaga tidak lagi sekuat dahulu. Anak-anak pula sibuk dengan urusan dan keluarga masing-masing.

Hujan lebat di luar seolah-olah turut berkongsi duka di hatiku. Segalanya terimbau dalam layar kenangan. Antaranya tentang juadah menu hari raya. Juadah raya zaman kini sudah moden. Semuanya  di hujung jari, kata orang kuih “tunjuk-tunjuk”. Alangkah berbezanya dengan zaman dahulu. Lima puluh tahun lalu, setiap kali menjelang Syawal, ibu pasti membuat kuih bahulu, dibakar dengan api kayu, tempurung dan sabut kelapa. Jika tidak menangis, bukanlah membuat bahulu. Asap  sabut membuat mata pedih dan hidung berair. Bahulu dibuat berkilogram, disimpan dalam tin atau tong biskut.

Aku turut membantu membakar bahulu. Yang hangus itulah upahku, manakala yang elok disimpan untuk tetamu. Rempeyek kacang dan tumpi buatan ibu paling sedap. Ayahku, Apak, sering memuji,
“Terasa ketumbar, jintan manis, santan dan garamnya cukup,”
ibu tersenyum lebar mendengarnya. Hati ibu pasti amat gembira, aku mengagaknya.

Entah mengapa, segala kepandaian ibu tidak turun kepadaku, sebaliknya kepada kakak-kakakku. Kata mereka, aku ini pandai makan sahaja. Aku hanya tersenyum dan bersabar. Aku sekadar pandai membuat kerepek pisang. Mudah  bahannya, pisang tua, minyak dan pisau hiris. Mahu masin, ditambah air garam; mahu manis, air gula ketika menggoreng. Siap sudah kerjaku.

Mengacau dodol dan membakar lemang ialah tugas anak-anak lelaki. Menangkap ayam pula tugas Apak bersama anak-anak lelaki, riuh rendah suasananya. Kami yang perempuan membantu membersihkan ayam; selepas disembelih, bulu dicabut dan dibakar untuk membuang bulu halus sebelum dipotong kecil. Setelah itu dimasak rending dan pelbagai menu hari raya.

Ibu pula ligat menganyam sarung ketupat daripada daun kelapa untuk ketupat nasi dan ketupat pulut. Ibu serba boleh; baju raya kami dijahitnya sendiri, ada yang dijahit tangan, ada dengan mesin kayuh kaki. Langsir rumah juga ibu jahit, dan kamilah yang memasangnya. Selagi belum siap, selagi itulah tidak boleh tidur awal.

Malam tujuh likur, kanak-kanak bermain meriam buluh; semakin banyak belerang, semakin kuat dentumannya. Tidak ketinggalan juga anak-anak kecil bermain bunga api. Pelita minyak tanah diganti pelita buluh, menerangi desa sepanjang jalan. Jemaah masjid pulang dari tarawih saling bersalaman dan memberi salam. Sapa-menyapa antaranya dengan mesra.

Anak-anak bermain hingga ke hujung kampung. Riang sungguh mereka.
“Balik semua… malam dah larut!” jerit tok imam. Suara Tok Imam mengejutkan keasyikan mereka. Anak-anak itu pun segera berlari pulang ke rumah masing-masing.
Keesokan pagi, para ibu bergosip di pasar, “Cuaca hari ini panas tapi sepoi, mungkin malam tadi Lailatulqadar.” Masing-masing tentu mendoakan beroleh rahmat ganjaran pahala berganda telah beribadah pada malam itu. Akupun mengharapkan telah menemui malam Lailatulqadar selama aku berpuasa Ramadan semasa hidupku.

Ibuku seorang yang cantik dan gigih bekerja. Menjelang puasa dan raya tiasa ligat sediakan itu ini. Kini beliau semakin uzur. Baru-baru ini, ibu dijangkiti kuman di paru-paru. Walau nampak sihat, pergerakannya terbatas. Ibu cepat penat dan semakin pelupa. Penglihatannya kabur, namun beliau tetap membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap bulan. Puasa sunat Isnin dan Khamis tidak pernah ditinggalkan, begitu juga solat malam. Ibu sentiasa tersenyum; aku pun tersenyum. Bila ibu menangis, aku turut menangis.

Ibu gemar bercerita tentang zaman kecil dan gadisnya ketika perang Jepun. Aku berada di samping ibu, mendengarnya dengan asyik.  Kata ibu, jika tentera Jepun datang, orang perempuan semua lari masuk rumah kerana takut ditangkap. Mereka  sukakan gadis-gadis Melayu ketika itu. Terpaksa ibuku dan kawan-kawannya berlarian menyelamatkan diri. Dan bersembunyi.

Sambutan Aidilfitri tahun ini mungkin berbeza. Ibu semakin uzur. Ketika terlantar di wad, ibu menyuarakan hasrat untuk berhari raya di homestay agar anak-anak dan cucu dapat berkumpul. Kami cuba menyatukan sembilan orang anak ibu, walau terasa berat kerana masing-masing ada tanggungjawab. Dan mungkin juga sudah ada perancangan sendiri bersama keluarga masing-masing.

Aku pula seperti tahun lalu akan menziarahi pusara Apak dan anakku, Arshad. Dan mereka yang telah pergi mendahuluiku. Aku terpempan, menangis teresak-esak sambil membaca surah Yasin kerana terlalu rindu. Kini aku reda dan berdamai dengan takdir. Pergi yang tidak akan kembali.

Al-Fatihah.

 

Lagu Pilihan:

  1. Mawar Putih Untuk Mama – Dato’ Sharifah Aini
  2. Hati Rindu – Sudirman
  3. Kepulangan Yang Dinanti – Aman Shah


MyBloglist