Saturday, 18 April 2026

KEBAHAGIAAN

 ASSALAMUALAIKUM



Aku rasa lah kan, dalam banyak-banyak rezeki hidup, ada anak perempuan ni lain macam manis dia.
Sebab kehadiran dia tu boleh buat rumah yang penat jadi hidup semula. Hidup aku ni tiap hari memang sibuk.
Nak urus anak.
Nak urus haiwan.
Nak urus rumah.
Nak kerja cari duit.
Pendek kata kalau aku hilang sehari, sistem negara mungkin tak jatuh, tapi rumah aku confirm kelam-kabut.
Tapi sejak ada anak perempuan ni, walaupun baru umur 3 tahun, aku dah nampak potensi dia.
Pagi-pagi dia akan datang tanya aku dengan penuh semangat.
“Abah nak lipat baju? Nak mop lantai? Nak kemas rumah?”
Waktu tu hati aku cair.
Rasa macam akhirnya, pembantu rumah dah tiba. Tapi bila dia lipat baju, hasil dia macam origami Jepun lepas gempa bumi.
Baju yang asal elok, terus jadi bentuk aneh.
Kalau dia mop lantai pula, bukan lantai makin kering.
Dia simbah air satu rumah, lepas tu slide atas lantai macam peserta sukan musim sejuk.
Kalau dia kata nak kemas rumah, tu lagi seram. Dengan segala mainan keluar, bantal terbang, bakul baju berpindah lokasi.
Rumah nampak macam baru kena serbu.
Tapi aku redha je.
Sebab dia kecik lagi. Yang penting niat dia nak tolong tu ada.
Dan jujur aku cakap, niat budak kecik ni kadang lagi ikhlas dari orang dewasa.
Sejak ada baby pula, dia lah paling caring.
Hari-hari dia minta nak susukan adik. Sebelah tangan pegang botol susu, sebelah tangan tengok kartun kat phone.
Multitasking level ibu tunggal veteran.
Kadang aku lalu tengok, puting botol tu bukan masuk mulut baby.
Dia tekan kat dahi.
Sekali kat pipi.
Sekali kat telinga.
Baby tu pula tenang je, mungkin dah redha apa yang berlaku. Kadang aku tak sabar nak tengok dia besar.
Nak tengok dia jadi anak dara cantik, pandai, ada hidup sendiri.
Tapi kadang aku takut juga.
Takut satu hari nanti rumah ni sunyi.
Tak ada lagi suara dia panggil “Abahhh!”
Tak ada lagi rumah bersepah sebab projek bantuan dia.
Tak ada lagi botol susu tersasar ke kening adik dia.
Nanti dia masuk universiti, bila dia kerja, bila dia ada kehidupan sendiri.Balik rumah pun mungkin sesekali.
Aku tahu satu hari nanti, hujung hidup aku mungkin tinggal aku berdua je dengan isteri. Anak-anak semua dah terbang jauh bawa hidup masing-masing.
Tapi buat masa sekarang, biarlah rumah ni basah kena mop dia.
Biarlah baju aku jadi bentuk kapal layar.
Biarlah adik dia minum susu arah dahi.
Sebab benda-benda kecil macam ni lah, nanti yang paling mahal bila tinggal kenangan. Sebab aku risau juga kalau satu hari rumah sentiasa kemas.
Masa tu baru kita sedar, rumah yang sempurna rupa-rupanya lebih sunyi.
Sebab itu siapa yang ada anak perempuan akan faham. Hari ini kita penat layan kerenah dia.
Esok nanti kita penat menahan rindu.

1 comment:

  1. mcm kisah sy la tu. semua anak perempuan. masa kecik sentiasa berkepit dgn sy. skrg ni dok jauh sbb sambung belajar. semakin hari semakin jauh kaki mereka melangkah...

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist