ASSALAMUALAIKUM
BERITA DUNIA
.
Aku teringat suatu ketika dulu dalam tahun 70-an, emakku
amat gemar menonton Berita Dunia Jam 10 malam disiarkan TV 1 RTM. TV dihidupkan
menggunakan bateri besar yang terpaksa dicaj setiap minggu di kedai. Ketika itu
bekalan eletrik masih tiada. Hendak menonton TV terpaksa menggunakan kuasa
bateri. Aku menonton TV jika ada siaran kartun, drama, filem dan hiburan.
Maklum usia masih remaja. Tapi emakku minatnya berbeza denganku. Begitu asyik
sekali menonton siaran berita dunia mengikuti perkembangannya yang penuh
kemelut dan krisis. Kini aku pula mewarisi minat emakku mengikuti cerita dunia pelbagai
citra. Tapi sudah belasan tahun tidak menonton TV. Aku hanya mengikuti segala
berita melalui media sosial. Lebih mudah dan tiada gangguan iklan.
.
Hari Wanita –
bateri televisyen
berita dunia
SASTERAWAN
NEGARA
Aku menulis sekadar bermain-main menyusun aksara mengisi
masa. Tapi insya-Allah berpeluang juga bertemu dengan beberapa sasterawan terkenal
ketika turut sama berada dalam acara sastera walaupun sekadar memandang dari
jauh. Pernah bertemu Sasterawan Negara, Usman Awang ketika aku mengikuti kursus
penulisan anjuran DPMP di Temerloh. Sasterawan Negara A Samad Said dapat
kupandang wajahnya tika beliau turut hadir dalam majlis pelancaran antologi
penulis puisi Malaysia dan Russia di premis kebudayaan kedutaan itu.
Kini Sasterawan Negara yang pernah melintas pandanganku telah
mendahului langkah menemui-Nya. Dan meninggalkan timbunan karya bernilai sebagai
warisan khazanah negara. Kehilangan sosok
tokoh sasterawan terbilang itu amat dirasai ketiadaannya. Hanya doa dikirim
semoga kedua-dua Sasterawan Negara itu dicucuri rahmat kecintaan-Nya ganjaran
budi amal ibadahnya tidak terhingga.
.
kemboja putih -
Sasterawan Negara
hijrah abadi



No comments:
Post a Comment
Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”