ASSALAMUALAIKUM
KASIH BUAT IBU
Genre: Puisi Tradisi
Penulis: Nazim Mohd Subari
Penerbit: Nazim Mohd Subari
Nombor ISBN: 97896299 303015 (Sastera Puisi)
Bilangan halaman: 24
Harga: RM15.00
Tahun terbitan: 2026
Pengulas: Paridah Ishak
KASIH BUAT IBU merupakan sebuah naskhah puisi tradisi yang menghimpunkan 20 buah puisi khusus untuk kanak-kanak. Kumpulan puisi ini menampilkan karya yang indah, bermakna dan sarat dengan pelbagai mesej positif. Penulisnya menggunakan nama pena Nazim MS. Beliau merupakan seorang pesara guru yang berpengalaman menghasilkan karya dalam pelbagai genre sastera. Pengalaman dan sumbangan beliau dalam dunia penulisan turut mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Puisi Negeri Johor 2025. Karya puisi Cikgu Nazim Mohd Subari juga sering menjadi pilihan para deklamator untuk dipersembahkan dalam pelbagai acara dan majlis puisi.
Penulis memilih pelbagai tema yang dekat dengan kehidupan dan dunia kanak-kanak. Genre puisi tradisi yang diketengahkan merangkumi pantun, syair, gurindam, seloka dan sajak. Setiap karya digarap menggunakan diksi yang jelas serta susunan ayat yang mudah difahami. Penulis tidak terlalu bergantung pada metafora yang berlapis-lapis, simbol dan perlambangan yang rumit. Pendekatan ini bersesuaian dengan sasaran pembaca, khususnya golongan kanak-kanak, tanpa mengetepikan khalayak pembaca umum.
Walaupun menggunakan bahasa yang bersahaja, setiap puisi tetap menyerlahkan keindahan seni kata serta menyampaikan maksud dan pengajaran yang tersirat di sebalik tajuk dan keseluruhan isi karya. Kesederhanaan bahasa menjadi kekuatan naskhah ini kerana mampu mendekatkan puisi tradisi kepada pembaca muda.
Melalui naskhah ini, penulis mengetengahkan pengalaman dan kehidupan harian kanak-kanak dengan pendekatan yang santai, ceria serta mendidik. Buku yang diterbitkan dalam bentuk kulit keras ini menggunakan kertas berkualiti tinggi dan dihiasi ilustrasi berwarna-warni yang menarik perhatian pembaca cilik. Sebanyak 20 judul puisi dimuatkan dengan pelbagai mesej dan nilai murni yang sesuai dijadikan panduan dalam pembentukan sahsiah serta keperibadian kanak-kanak.
Penulis berjaya menarik minat pembaca, terutama kanak-kanak, untuk menikmati keindahan gubahan puisi daripada pelbagai bentuk dan genre. Usaha ini secara tidak langsung dapat menyemai minat mereka untuk mengenali, menghayati dan mencuba menghasilkan karya puisi tradisi yang mempunyai nilai estetika tersendiri. Keindahan kesusasteraan naskhah ini terserlah melalui pemilihan diksi, susunan frasa dan pengolahan idea yang teliti.
Dari sudut persembahan fizikal, naskhah ini diterbitkan dengan kemas dan menarik. Reka bentuk kulit buku yang cantik serta ilustrasi berwarna yang mengiringi setiap puisi menjadikan pembacaan lebih ceria dan tidak membosankan. Gabungan teks dan ilustrasi ini turut membantu kanak-kanak memahami kandungan puisi dengan lebih mudah.
Antara puisi yang menarik perhatian pengulas ialah sebuah karya berbentuk seloka berjudul “Seloka Kambing”. Puisi ini menggunakan unsur humor dan situasi kehidupan harian haiwan untuk menyampaikan teguran serta pengajaran secara bersahaja.
SELOKA KAMBING
Kambing berjalan berkawan-kawan,
Masuk kandang tahu peraturan,
Kambing haiwan takut hujan,
Awas beranda jadi tempat teduhan.
Mengembek kambing masuk ke rumah,
Salah sendiri biar pintu terdedah,
Kambing terlepas masuk pagar,
Tanaman diragut jadi tak segar.
— Bersambung —
No comments:
Post a Comment
Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”