ASSALAMUALAIKUM
SALAM JUMAAAT MULIA
SENJA DI BEKOR
Cuti sekolah baru bermula. Biasanya pada
percutian yang agak panjang, ibubapaku akan membawaku dan adikku pulang ke kampung
bapaku di Bekor. Sebuah kampung terpencil
berdekatan Manong di Perak. Balik ke kampung memang kesukaanku.
“Kita bertolak
petang Jumaat, setelah ayah pulang dari pejabat ya!” Kata ayahku.
Aku dan Aman menolong Ibu menyiapkan
semua keperluan yang hendak dibawa pulang ke kampung..
Bergulir
roda kereta dipandu ayahku dengan cermat melintasi bandar, pekan dan kampung
menuju destinasi. Aku terbayang-bayang keseronokan bermandi-manda di lata Ulu
Kenas dan merendam kaki di air panas Ara Panjang. Lebih teruja lagi aku hendak
mengutip durian di dusun arwah Datukku. Lagipun kini durian sedang bermusim.
Alangkah nikmatnya makan durian yang baru gugur di dusun,
Hari
meremang senja. Ayah tiba-tiba menghentikan kereta di pinggir jalan. Aku lihat
seseorang berada di situ.
“Yeop
hendak ke mana? Mari saya hantarkan.” Tanya ayahku.
“Saya
hendak ke Bekor.” Balas pemuda itu.
“Oh!
Samalah arah kita.” Aku menyalami pemuda yang duduk bersebelahanku. Kurasa
tangannya sejuk gedi. Dia tersenyum memandangku.
“Turunkan
saya di gelanggang silat di sana. Kawan-kawan saya belajar silat di sana. Tuk
ketua kampung, Haji Amin mengarahkan kami semua pemuda kampung dan penduduk
Bekor belajar seni mempertahankan diri.”
“Oh!”
ayahku bersuara sepatah. Perlahan amat. Seakan tersangkut di kerongkongannya.
Sebaik
tiba di gelanggang itu pemuda itu pun turun dari kereta seraya mengucapkan
terima kasih. Ayah meneruskan perjalanan ke rumah Opah.
Opah dan Datukku telah kembali pada-Nya
lama dahulu. Kini kakaknya yang tinggal di situ. Ayahku memanggil kakaknya
“Yong” tanda hormat adik pada kakaknya.
“Yong
sejak bila ada gelanggang silat dekat dengan rumah kita ni. Saya balik tahun
lepas tak nampak pun.”
“Gelanggang
silat? Entah. Yong pun tak tahu sejak
bila ada.” Mak Long Pauziah, kakak ayahku terpinga-pinga. Tapi tersenyum sekilas.
“Mungkin
gelanggang silat itu muncul semula setelah hilang dalam perang Bekor 1946 dulu
untuk bagi kamu lihat.”
“Isyh
Yong ni!”
“Kamu
tak ingatkah kata Opah dan Atuk kita ada gelanggang silat dibuka hujung jalan
dekat rumah kita sebab orang sini berperang mati-matian melawan komunis. Mereka
menggunakan parang panjang dan berselempang merah. Ramai juga yang syahid. Dan
dikebumikan sekitar tempat ditemui. Ketua kampung masa tu Haji Amin.”
“Haji
Amin?”
Mak Long Fauziah mengangguk.
“Yong
cerita apa Yong ingat ja.”
Sembang antara Ayah dan Mak Long aku dan
Aman mengikutinya. Ibu pula sibuk memasak di dapur. Pemuda yang duduk di
sebelahku dalam kereta tadi amat misteri. Dia berbaju hitam dan berseluar hitam
juga bersongkok hitam. Wajahnya putih. Keharuman tubuhnya semerbak.
Terngiang-ngiang dia menyebut Haji Amin
Ayah
memandangku. Tiba-tiba kulihat wajah ayahku seiras pemuda itu.
“Amir,
Aman, kamu dah solat?”
“Belum!”
balasku.
“Cepat
pergi mandi dan solat berjemaah dengan ayah.”
Aku
mengajak Aman menemaniku mandi dan berwuduk.
“Abang
takut ke?” adikku tersenyum sinis.
BEKOR SEJARAH TRAGIS
Perjuangan warga desa
Bekor
Sungai Perak alir
hikayat
arus mengusung tragedi
sejarah
saksi hayat maujud
zahir berpulang sudah
mengadap Kekasih
Perang Mac 1946
moyang bertarung nyawa
enggan kehilangan tanah
milik nan sejengkal
.
Berpadu satu
demi pertahan warisan pusaka
bermati-matian
berpencak silat
berparang panjang
mengejar musuh
mengajar penjarah
ditelan belantara
bertumpah darah
Al-Quran akidah iman
tawakal pasrah reda
kehendak-Nya jua
berlaku segala
kun faya kun
Genggam kemas asa
Bekor tercinta dibela
Melayu menggempur
pencerobohan hak
tinta menukil kenangan
perih
PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
12/12/023

No comments:
Post a Comment
Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”