ASSALAMUAAIKUM
SAHABAT
Anjing telah lama bersahabat
dengan Ayam Jantan. Mereka tinggal bersama Pak Amin
di sebuah kampung. Pak Amin
bekerja sebagai petani. Beliau memelihara Anjing dan
Ayam Jantan dengan baik.
Suatu hari Pak Amin terpaksa ke bandar untuk
melaksanakan urusannya.
“Aku akan ke bandar untuk
melakukan suatu urusan. Kamu berdua tinggal di sini
hingga aku pulang. Setelah
selesai urusanku di sana, aku akan segera pulang.
Makanan untuk kamu berdua
telah aku sediakan. Kamu berdua mesti saling menjaga
keselamatan antara satu sama
lain. Kamu berdua tinggal di sini dengan baik selama
ketiadaanku. ” Pak Amin
berpesan pada haiwan peliharaannya sebelum melangkah
meninggalkan mereka. Anjing
dan Ayam Jantan hanya terangguk-angguk. Mereka
memahami bahasa tuannya.
“Jom ikut aku ke hutan!”
anjing berkata pada Ayam Jantan. Dia mengajak
sahabatnya itu mengikutinya
ke dalam hutan untuk mencari makanan.
“Kenapa perlu ke hutan untuk
mencari makanan? Di dalam hutan itu ada
bahayanya perlu kita tempuh
untuk mendapatkan makanan. Aku bimbang akan
diserang haiwan liar tinggal
di situ. Aku takut! Tubuhku ini kecil sahaja. Tentu aku tidak
berdaya melawan musuh yang
menyerangku.” Ayam Jantan menyatakan
kebimbangannya.
“Bukankah kamu ini
sahabatku. Tentulah aku akan menjaga keselamatan kamu.
Aku akan melindungimu setiap
masa. Bukankah Tuan kita telah berpesan supaya kita
saling menjaga keselamatan
antara satu sama lain. Usahlah kamu bimbang. Lagipun
tiada apa lagi di sini boleh
kita makan. Tuan kita masih juga belum pulang. Mungkin
Tuan kita belum dapat
menyelesaikan urusannya di sana. Makanan disediakan untuk
kita pun telah habis. Aku
tidak mahu tinggalkan kamu sendirian di sini. Marilah ikut
bersamaku ke hutan. Jika
kita tidak makan, bagaimana kita hendak meneruskan
kehidupan?” Anjing berusaha
meyakinkan sahabatnya itu agar mahu bersamanya ke
hutan.
“Baiklah kalau begitu. Tapi
kita di hutan sebentar saja. Setelah kita mendapat
makanan, kita balik ke sini
lagi. Tuan kita tentu tidak lama berada di bandar. Setelah dia
pulang tentu dia akan marah
kalau mendapati kita tiada di sini.” Ayam Jantan memberi
persetujuan berserta
syaratnya.
Lalu kedua-duanya melangkah
menuju arah tujuan mereka. Setelah memasuki
hutan itu, Ayam Jantan
menemui banyak buah-buahan yang gugur dari pokok. Dia
memakannya hingga kenyang.
Anjing menyelak rumput tebal di situ kerana hidungnya
menghidu sesuatu. Lalu dia
menemui tulang haiwan yang telah mati berserakan di situ.
Dia pun makan tulang itu
dengan amat berselera. Mereka berdua telah kekenyangan
lalu duduk berehat di bawah
pokok ara yang tinggi merimbun.
Hari makin beransur senja.
Tapi mereka berdua masih berada di dalam hutan itu.
“Ayuhlah kita pulang! Hari
pun sudah semakin gelap.” Ayam Jantan bersuara
resah kerana kegelapan hari
akan menyukarkan mereka berjalan pulang.
“Aku rasa kita tidak usah
pulang dulu. Kita bermalam di dalam hutan ini. Esok
pagi kita kumpulkan makanan
sebagai bekalan untuk dibawa pulang. Jadi kita tidak
perlu lagi ke sini untuk
mencari makanan.”
“Aku takutlah! Tidak biasa
aku tidur dalam hutan. Suasananya amat gelap dan
menyeramkan. Tentu aku tidak
dapat tidur lena kerana risaukan keselamatanku.” Ayam
Jantan menjelaskan
alasannya.
“Kamu tidur saja di atas
pokok itu. Aku akan tidur di bawah pokok, menjaga
keselamatan kamu. Janganlah
risau. Tiada apa akan mengganggu. Jika kamu merasa
ada yang mengganggu, kamu
kejutkan aku. Kita akan selamat bermalam di sini.
Usahlah kamu terlalu risau
memikirkannya.” Anjing cuba meredakan kegusaran hati
sahabatnya. Ayam Jantan
merasa lega mendengar penjelasan Anjing.
“Baiklah kalau begitu kata
kamu. Aku tidak merasa bimbang lagi. Aku akan
menaiki pokok itu. Dan tidur
di celah dahannya.” Ayam Jantan mengepak dan terbang
ke atas pokok ara itu. Dia
memilih tempat selesa untuk merehatkan dirinya. Malam pun
menjelma. Kedua-dua sahabat
itu tidur lena di tempat pilihan masing-masing.
Ketika hari menjelang fajar,
ayam tersedar dari tidurnya. Dia pun berkokok.
Suara kokokannya bergema
seluruh hutan mengejutkan Serigala.
“Oh ada ayam rupanya di
sini! Baik aku cuba dapatkannya untuk dijadikan
makananku. Perutku pun
sedang kelaparan ni.” Serigala bersuara sendirian. Dia
bergerak pantas, berusaha
menjejaki arah suara kokokan ayam itu. Ayam Jantan masih
lagi berkokok ketika dia
sampai di situ. Dia melihat ayam itu berada di atas pokok.
Tentulah sukar dia hendak
menangkap ayam itu kerana dia tidak pandai memanjat
pokok.
Serigala ligat berfikir
bagaimana caranya hendak menyuruh ayam itu turun agar
memudahkannya menangkapnya.
“Apa khabar Ayam Jantan?”
Serigala memulakan perbualan dengan bertutur
lunak. Niatnya ingin
memerangkap mangsanya dengan budi bahasanya. Ayam Jantan
terkejut menyedari kehadiran
Serigala di bawah pokok ara itu. Dan menyapanya. Dia
mulai merasa bimbang
Serigala akan menyerangnya.
“Aku baik-baik saja. Terima
kasih kerana bertanya khabarku.” Balas Ayam
Jantan perlahan.
“Kamu tinggal di sinikah?
Aku tidak pernah lihat kamu selama ini?” Tanya
Serigala lunak.
“Aku tinggal di kampung
berhampiran sini. Baru semalam aku ke sini bersama
Anjing, sahabatku.” Serigala
menoleh memandang Anjing sedang tidur dengan
nyenyak.
“Wah kamu bersahabat dengan
Anjingkah? Aku juga ingin bersahabat dengan
kamu. Bolehkah?”
“Boleh! Apa salahnya.” Sahut
Ayam Jantan. Sekadar berbahasa.
“Kalau kamu sudi bersahabat
denganku, kamu turunlah ke bawah. Lebih mudah
kita hendak berbual-bual dan
berkenal-kenalan.” Ayam Jantan terdiam sejenak. Dia
keliru. Dan tertanya-tanya,
bolehkah dia bersahabat dengan Serigala yang selama ini
diketahui sebagai musuh
kaumnya.
Tapi kelihatan padanya
Serigala ini amat baik. Selama ini dia hanya bersahabat
dengan Anjing. Sekiranya dia
ingin bersahabat dengan Serigala, dia perlukan
persetujuan Anjing terlebih
dahulu. Dia juga merasa curiga hendak bersahabat dengan
Serigala. Dia tidak tahu
sama ada niat Serigala itu ikhlas atau ada maksud tertentu
tersembunyi disebaliknya.
“Segeralah kamu turun ke
bawah sebagai meraikan persahabatan kita.” Ujar
Serigala seakan mendesak.
“Aku sudah lama bersahabat
dengan Anjing. Sebelum kita bersahabat, aku ingin
memberitahu pada Anjing
terlebih dahulu. Tapi sahabatku itu sedang tidur dengan
nyenyak. Aku tidak sampai
hati hendak mengejutkannya.”
“Jika itu masalahnya, biar
aku menolong kamu. Aku akan kejutkan Anjing
sahabat kamu itu.” Serigala
menghampiri Anjing. Dia menyentuh badan Anjing untuk
mengejutkan daripada
tidurnya. Anjing terkejut. Dia sangat marah kerana tidurnya
diganggu. Anjing menyalak
kuat. Wajahnya yang garang menakutkan Serigala. Dia
pantas melarikan dirinya
kerana takut Anjing akan mencederakannya.
Ayam merasa lega kerana
Serigala telah tiada di situ. Dia berterima kasih pada
Anjing yang telah
menyelamatkannya daripada bahaya yang sedang menunggunya.
“Cepatlah kamu turun hai
Ayam Jantan! Setelah kita cari makanan untuk
dijadikan bekalan, kita
segera pulang ke kampung.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”