Tuesday, 19 August 2025

BELALANG YANG LALAI

 ASSALAMUALAIKUM

BELALANG YANG LALAI



Belalang sangat suka menyanyi dan menari. Pelbagai lagu yang digemari dinyanyikannya sambil menari-nari. Tingkahnya diperhatikan sekilas kawannya,Semut. Dia tidak pedulikan kawannya Semut yang bekerja setiap hari mencari makanan dan mengumpulkannya di dalam sarangnya.

Semut mengajak Belalang turut bersama dengannya bekerja mencari makanan dan menyimpannya kerana tidak lama lagi musim hujan akan tiba. Ketika itu mereka semua tentu tidak dapat keluar bekerja untuk mencari makanan. Sekiranya tidak ada makanan yang disimpan tentu mereka akan ditimpa masalah kelaparan.

          Mereka semua pasti akan berkurung di dalam sarang sahaja. Dalam tempoh itu mereka perlukan makanan yang telah disimpan untuk meneruskan kehidupan sehingga musim hujan telah reda. Tetapi Belalang langsung tidak pedulikan nasihat kawanya Semut.

“Apa aku nak hairan semua itu Semut! Sebab masih banyak makanan di dalam sarangku. Aku tidak perlu bekerja bersusah-payah seperti kamu setiap hari. Akan memenatkan aku saja. Baiklah aku bersuka-suka menghibur hatiku dengan menari dan menyanyi. ”  

“Kalau kau tidak bekerja dan asyik menyayi saja, lama kelamaan makanan yang ada akan habis juga kau makan. Jikalau kau tidak menambahkan semula tentu kau akan kelaparan kala musim hujan tiba nanti.”

“Sudahlah Semut! Tak usahlah kau nak risaukan aku.pergilah kau bekerja. Aku  hendak berseronok menghibur hatiku dengan menyanyi dan menari saja.”  Belalang pun terus menari dan menyanyi dengan asyiknya. Semut hanya menggeleng-gelengkan kepalanya melihat gelagat kawannya itu.

720a4d85-bb1f-438b-b4b4-f1b683c77334.png


“Degil sangat kamu ini.nasihat aku tidak kamu ambil peduli. Jangan kamu akan menyesal kemudian hari kelak.” Semut segera meninggalkan Belalang dan bergerak pantas menuju arah tempatnya bekerja. Dia dan kawan-kawannya berkerja keras sepanjang hari. Mereka bekerja-sama mengangkut bahan makanan untuk disimpan di dalam sarang mereka.

Setiap hari Semut dan kawan-kawannya bekerja dengan rajin.

Cuaca beransur gelap. Semut mengajak kawan-kawannya pulang ke sarang.

“Nampaknya musim hujan akan tiba. Kita semua tidak boleh keluar lagi mencari makanan.”

“Semua bahan makanan telah banyak kita kumpulkan  untuk keperluan kita semua sepanjang tempoh musim hujan nanti. Tidaklah kita semua akan kelaparan”, sahut kawan Semut yang berada di belakangnya.

“Ya. Kita telah bersedia membuat persiapan awal.”

Hujan turun kerana musimnya telah tiba. Pada mulanya cuma gerimis. Kemudian bertukar renyai-renyai. Kadangkala hujan turun dengan agak lebat.  Semut dan kawan-kawannya berlindung dari hujan dengan berkurung di dalam kediaman mereka yang dibina di tanah tinggi.

Mereka semua menikmati makanan yang telah dicari dan dikumpulkan selama ini. tanpa risau akan kehabisan kerana jumlahnya banyak.

Tiba-tiba muncul Belalang di hadapan kediaman Semut sambil memanggil Semut agar membuka pintu kediamannya.

“Kenapa kau ke sini dalam hujan begini,Belalang? Apa pula masalah kau? Sanggup kau basah berhujan ke rumah kami!”

“Sebenarnya aku lapar,Semut. Aku tidak tahan lagi menahan kelaparan. Semua makanan yang ada di sarangku telah kehabisan. Sedang hujan masih juga tidak berhenti turun. Aku tidak dapat keluar bekerja mencari makanan.”

0162757d-a61e-4390-8467-bc0758662472.png


Belalang terpaksa merayu kepada Semut agar memberinya sedikit makanan untuk mengisi perutnya yang kosong.

“Dulu lagi aku sudah katakan kepada kau agar bersedia hadapi musim hujan dengan bekerja mengumpul simpanan makanan keperluan kau. Tapi kau tidak hiraukan nasihatku itu. Sekarang kau rasalah akibatnya.”

“Maafkan aku kerana tidak mendengar nasihatmu.tapi berilah aku sedikit makanan kerana sudah dua hari aku tidak makan apa-apa. Aku merasa sangat lapar. Kasihanilah aku!”

Seekor semut membalas kata-kata Belalang itu.

“Kalau hendak makan kita hendaklah bekerja dahulu sebelum mendapatkannya.

Jadi kau mesti bekerja dahulu. Kau menyanyi dan menarilah menghibur hati kami sebelum  kau diberi makanan.”

Walau Belalang merasa amat lemah kerana kelaparan, dia terpaksa juga menyamyi dan menari demi mendapatkan makanan. Dia menyesali kesilapannya tidak menuruti nasihat Semut sebelum ini.     

 


No comments:

Post a Comment

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist