ASSALAMUALAIKUM
PERANGKAP TIKUS
.
Pada suatu ketika dahulu, seekor tikus sedang mengintai dari celahan dinding rumah. Dia melihat tuan rumah baru pulang dari pekan, membawa banyak barangan. Tikus itu berharap ada makanan kegemarannya antara belian itu. Seperti biasa, apabila tuan rumah dan isterinya tidur, dia akan menyelinap ke dapur mencari makanan. Itulah rutin malamnya.Tuan rumah meletakkan semua barangan di atas meja lalu memanggil isterinya yang sedang berehat di bilik. Isterinya segera datang.
“Apa yang abang beli?” tanya isterinya.
“Pelbagai jenis makanan,” jawab suaminya.
“Abang beli tak barang yang saya pesan?”
“Ada. Abang tak lupa. Tengok ini!”
Tuan rumah menunjukkan satu persatu barang yang dibelinya. Isterinya tersenyum gembira. Tikus yang mengintai dari balik dinding turut teruja.
“Lihat ini! Perangkap tikus yang awak pesan tu ada sekali. Nanti abang letakkan di sudut dapur. Tikus yang sering mengganggu waktu tidur setiap malam tu pasti akan tertangkap.”
“Ya, tikus itu selalu menyelongkar makanan. Bila dikejar, laju dia lari. Kali ini mesti dia takkan terlepas.”
Tikus terkejut besar. Dia panik dan segera melarikan diri untuk memberitahu kawan-kawan dan jiran tetangganya, haiwan peliharaan tuan rumah tentang ancaman yang bakal dihadapinya. Dia berlari ke reban ayam.
“Kamu kenapa, Tikus? Termengah-mengah macam dikejar musuh,” tanya Ayam sambil mengais tanah mencari ulat.
“Tuan rumah dah beli perangkap tikus! Sekarang ada perangkap di dalam rumah!” kata Tikus dengan suara cemas.
“Perangkap tikus? Itu tak ada kena-mengena dengan aku,” jawab Ayam tenang.
Tikus kecewa kerana Ayam tidak ambil peduli. Dia segera beredar dan pergi pula menemui Kambing.
“Perangkap itu memang bahaya, Tikus. Aku pun risaukan kamu,” kata Kambing setelah mendengar cerita Tikus.
“Tapi aku tak tahu bagaimana nak membantu. Aku hanya mampu nasihatkan kamu agar lebih berhati-hati.” Tikus mengangguk lemah, bersyukur sekurang-kurangnya Kambing sudi mendengar.
Dia kemudian pergi ke padang belakang rumah untuk bertemu Lembu.
“Lembu, tuan rumah beli perangkap tikus!”
“Hmm… perangkap tikus bukan ancaman buat aku. Kalau aku terpijak pun, pasti perangkap itu akan hancur,” jawab Lembu acuh tak acuh sambil terus meragut rumput.
Tikus makin sedih. Tiada siapa yang benar-benar mempedulikan masalahnya. Dengan perasaan kecewa, dia berlari ke dalam hutan dan bertemu Ular.
“Kenapa kamu muram, Tikus?” desis Ular.
Tikus pun menceritakan segalanya.
“Perangkap tikus itu kecil sahaja. Ia takkan membahayakan aku,” kata Ular dengan yakin. Jawapan itu mengecewakan Tikus. Dia pulang ke rumah dan kembali bersembunyi di celah dinding, menyedari bahawa dia harus menghadapi bahaya itu sendirian.
Malam itu, walaupun perutnya lapar, dia tidak berani keluar mencari makanan. Dia terlalu bimbang jika terperangkap.
Tiba-tiba, bunyi benda jatuh dari dapur mengejutkannya.
“Bunyi apa tu? Apa yang berlaku?” Tikus bertanya dalam hati.
Dia mengintai dari celahan dinding. Tuan rumah pula mengejutkan isterinya.
“Bangun cepat. Abang rasa perangkap tikus dah mengena. Mari kita tengok.”
Mereka berdua segera ke dapur. Namun, alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati seekor ular berbisa terperangkap dan sedang meronta untuk melepaskan diri.
Tuan rumah segera membawa isterinya ke hospital. Selepas menerima rawatan, isterinya dibenarkan pulang tetapi tetap mengalami demam berpanjangan. Dia meminta suaminya memasak sup ayam untuk memulihkan keadaannya. Maka tuan rumah menyembelih ayam peliharaannya.
Tikus berduka, jirannya Ayam telah tiada.
Namun sakit isterinya tidak juga reda. Seorang jiran mencadangkan agar diberi makan hati kambing sebagai penawar.
“Iya ke?” tanya tuan rumah kepada isterinya.
“Cubalah, bang. Saya tak tahan menanggung sakit ini.”
Tanpa berlengah, suaminya menyembelih kambing peliharaan untuk mendapatkan hatinya.
Tikus semakin sedih. Kambing juga mati kerana perangkap itu.
Namun, isterinya tetap tidak sembuh dan akhirnya meninggal dunia. Ramai jiran datang menziarahi dan membantu menguruskan jenazah. Setelah segalanya selesai, Tuan Rumah duduk termenung sendirian. Kini tiba pula masa untuk mengadakan kenduri arwah.
Dia hanya ada seekor lembu. Maka lembu itu juga disembelih.
Tikus hanya mampu memandang dari kejauhan, penuh kesedihan. Satu demi satu jiran-jirannya mati, semuanya berpunca daripada perangkap tikus yang dibeli untuk menangkapnya. Namun bukan dia yang menjadi mangsa, sebaliknya sahabat-sahabatnya yang tidak peduli bahayanya
.
Beberapa hari kemudian, perangkap tikus itu sudah tiada lagi di dapur.
TAMAT
No comments:
Post a Comment
Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”