Thursday, 3 October 2024

MENJUAL KHALIFAH

 ASSALAMUALAIKUM


MENJUAL KHALIFAH

 


Abu Nawas berjalan-jalan di sebuah kampung. Pemandanganya sangat indah. Dia melihat ramai orang berkumpul di luar sebuah bangunan sedang memasak sesuatu. Dia menghidu aroma lazat dibawa pawana. Sebab dia terlalu penat dia tidak berdaya lagi melangkah. Walaupun  dia teruja hendak mengetahui apakah itu, dan  dari manakah sumbernya. Lalu dia tertidur di bawah pohon di situ.

            Ketika dia sedar dia kehairanan berada di dalam kurungan berjeriji pula.

            “Kenapa aku dikurung di sini?” dia menjerit lantang.

Seorang lelaki menghampirinya dengan membawa semangkuk bubur.

            “Kamu tentu lapar. Makanlah bubur ini.”

            “Bubur apakah itu?”

            “Bubur ini amat sedap. Menjadi kesukaan penduduk kampung ini. Bukan selalu kami di sini dapat makan bubur lazat ini kecuali mendapat bahannya yang utama.”

            “Apakah bahan itu?”

            “Orang!” Abu Nawas terkejut mendengarnya.

            “Setiap orang yang tersesat di sini akan dimasak menjadi bubur. Kamu makanlah bubur ini sebelum kamu dijadikan bubur keesokannya.” Abu Nawas ketakutan. Tapi masih berfikir dengan tenang.

            ‘Khalifah harus tahu ada rakyatnya yang mengamalkan cara hidup jelek dan luar biasa begini dan segera membenterasnya’, Abu Nawas bermonolog.

            “Hamba ini kurus saja. Kamu tidak mendapat bubur yang banyak kalau memasak hamba. Bebaskanlah hamba. Nanti hamba bawakan seorang yang gemuk berisi untuk kamu jadikan bubur.”

            “Baiklah kalau begitu. Tapi kamu mesti menepati janji. Kalau kamu menipu, orang kami akan mencari kamu untuk kami jadikan bubur.” Sebaik dibebaskan Abu Nawas bergegas pulang ke Baghdad. Dia menghadap khalifah Harun al-Rashid dan mengajak baginda melawat suatu tempat.

            “Tempat itu sangat indah paduka. Tentu paduka menyukainya. Sebab paduka tidak pernah lagi ke sana.” Khalifah teruja mendengarnya.

            “Baik. Beta akan ikut kamu melawat tempat itu.”   

            “Tapi paduka berpakaianlah seperti rakyat biasa tanpa membawa hulubalang pengiring bersama, agar rakyat tidak sedar kehadiran paduka.” Khalifah bersetuju. Baginda  mengikuti Abu Nawas menuju tempat yang dimaksudkannya.

            “Paduka duduk di sini. Hamba hendak pergi membuang hajat di sungai.”

Sekian lama Khalifah menunggu,  Abu Nawas masih juga belum pulang. Khalifah merasa gusar. Beberapa orang lelaki menghampirinya. Dan menangkapnya. Lalu dibawa masuk ke dalam kurungan berjeriji.

            “Kamu tentu lapar, makanlah bubur ini.” Ujar seorang lelaki.

            “Kenapa kamu menangkap hamba?”

            “Kamu telah dijual pada kami oleh Abu Nawas untuk dijadikan bubur makanan kesukaan kami.” Khalifah terlopong.

            “Oh begitu! Hamba akan memberi kamu sejumlah wang yang banyak untuk kamu membeli pelbagai barangan keperluan kamu sekiranya kamu menjual tarbus ini pada seorang menteri di istana.” Lelaki itu bersetuju. Dia segera menemui menteri yang dimaksudkanitu di istana.

            Sebaik Perdana Menteri menerima tarbus daripada lelaki itu dia menyedari bahawa Khalifah dalam kesusahan kerana mengenali tanda kerajaan di dalamnya. Dia membiarkan lelaki pulang dengan memberinya dirham yang banyak. Setelah itu Perdana Menteri membawa angkatan hulubalang mengikuti lelaki itu. Dan membebaskan Khalifah. Lelaki itu dan kawan-kawannya ditangkap kerana kesalahan mereka.

Abu Nawas pula diburu kerana tindakannya menjual khalifah Harun al-Rashid  


5 comments:

  1. Hahahahha kali ini abunawas salah langkah yaa 🤣. Selalu sukaaa baca cerita2 abunawas ini kak PI.

    ReplyDelete
    Replies
    1. heh heh tksh fanny lucu tapi berilmu kisah abu nawas ni

      Delete
  2. menarik sungguh cerita abu nawas ini. boleh dibuat antologi nanti..

    ReplyDelete
    Replies
    1. tksh cikgu sokongannya nanti kak cuba usahakan

      Delete
  3. hahahhahaha silap langkah daaa abu nawas ni

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist