Monday 16 September 2024

MAULIDUR RASUL HARI MALAYSIA

ASSALAMUALAIKUM


 





MAULIDUR RASUL

HARI MALAYSIA

 

Maulidur Rasul Nabi Muhammad

sambut sama Hari Malaysia

terjatuh tarikh tetap muktamad

 

Berganda tuah usah persia

terasa nikmat beroleh berkat

kekal selama iring usia

.

Bersatu padu bermasyarakat

amal ibadah mengikut sunah

budi mulia rakyat sepakat

.

Sabah, Sarawak sepanjang tanah

lengkap Wilayah Persekutuan

ukhuwah mesra mencita jannah

.

Selawat salam lafaz duluan

rai bersama seikhlas hati

kerana Allah niat tujuan

.

Maulidur Rasul sanjungan umat

Hari  Malaysia limpah rahmat

Sunday 15 September 2024

KEBERANIAN

 ASSALAMUALAIKUM



 

KEBERANIAN

 

Laut

ruang luas

nelayan berdayung

memukat ikan pelbagai

hasil

.

Tegar

tempuh ombak

gelora membadai

musim tengkujuh jelang

tiba

.

Demi

nafas hayat

bersambung cerita

sambil berkongsi rezeki

Allah

.

Jasa

budi khidmat

wirawan sejati

keberaniannya serlah

jiwa

 


Friday 13 September 2024

CORETAN ADILA

 ASSALAMUALAIKUM



CORETAN ADILA

 

Tersentuh hatiku kala mendengar coretan penulis  Graha, Zalina Amat Rosman dibacakan Dj Anisma @Radio Klasik dalam slot ADILA. Beliau menulis pengalamannya sebagai guru di sebuah sekolah kebangsaan di Johor. Sebagai guru beliau amat dekat dengan murid-muridnya. Dan mengambil tahu masalah kehidupan mereka. Beliau akan melawat rumah murid-muridnya untuk meninjau permasalahannya untuk diberi bantuan sewajarnya. Dua orang muridnya dijadikan sebagai anak angkat dengan menanggung perbelanjaan untuk meringankan beban tanggungan keluarga murid-murid tersebut. Keperihatinannya menggambarkan betapa mulia dan baik budi menjalankan tugas seorang guru. Tapi pengalamanku menerima dua orang guru  lelaki bertamu ke rumahku bukan begitu pula tujuannya. Mereka datang semata memberitahuku, anakku akan dibuang dari sekolahnya kerana terlibat dengan kawan-kawannya bergaduh dengan seorang murid keturunan Cina. Aku diam saja. Masakan boleh menyoal begitu begini kerana aku kehilangan suara. Bagiku pergaduhan pelajar sekolah berlainan kaum, perkara biasa saja. Tentulah tidak sampai mencetuskan rusuhan.  Mungkin guru itu berfikir sejauh itu. Sebelum risiko buruk berlaku bertindak bijak dengan membuang saja murid yang bermasalah itu dari sekolah. Tahniah Zalina Amat Rosman sebagai seorang guru prihatin yang empati menjalankan tanggungjawab penuh amanah demi mendidik anak bangsa meraih jaya kehidupan masa hadapan.

 

Radio KLasik -

sempena Hari Guru

sisi sentuhan


Thursday 12 September 2024

CITRA 12 SEPTEMBER 024

  ASSALAMUALAIKUM






Alhamdulillah menerima Sijil Penghargaan setelah selesai menggikuti projek puisi Rondel @Akademi SPTA....terima kasih banyak Sifu Tabir Alam memberi ilmu dan bimbingannya.
SANAH HELWAH SIFU TABIR ALAM
.
(c)graha karya
Berserta doa untaian salam
sanah helwah Sifu Tabir Alam
tiasa sihat dan sejahtera
limpah rezeki tiada tara
.
Dua belas September tarikhnya
lahir sempurna dengan takdir-Nya
giat membimbing murid menulis
bidang sastera jadi penulis
.
Manfaat masa berkongsi ilmu
amat teliti tiada jemu
asuh pemula menggilap bakat
titisan hikmah rahmat-Nya berkat
.
Hidup berbudi menabur jasa
baik pekerti bertimbang rasa
rohani murni semata ikhlas
luhur niatnya citranya jelas
.
Hari sejarah berulang lagi
indah nuansa seawal pagi
puisi kecil diksi hadiah
moga berseri detik meriah


Tuesday 10 September 2024

TAKLIK KUASA

 ASSALAMUALAIKUM

TAKLIK KUASA

 

 


berat ujian amanah tanggungan pundak

lelah reda

pegang cokmar kuasa dengan izin-Nya

khalifah pilihan

memandang langit mengait sinar kejora

selimut bahagia

terpesona indahnya semesta  raih impi

azam milik

alpa rumput dipijak layu relai

tanah merekah

kesombongan melonjak manipulasi kelemahan naif

tidur lena

kesedaran tiba saing arus waktu

saat akhir

insaf asal tanah pulang ke tanah

fasa hijrah

 


Monday 9 September 2024

MERPATI DUA SEJOLI

 ASSALAMUALAIKUM


GRAFIK SIFU TA (C)

 

 

MERPATI DUA SEJOLI

 

Uda dan Dara pasangan cinta

bagai merpati dua sejoli

terbang bersama ke pinggir kali

duri meranjau menusuk cita

.

Gelora rasa rindu tercipta

hajat bersua berulang kali

Uda dan Dara pasangan cinta

bagai merpati dua sejoli

 

Angkara fitnah melontar dusta

gara durjana berulang kali

ikatan cinta terputus tali

hancur impian berserak rata

Uda dan Dara pasangan cinta

bagai merpati dua sejoli



Saturday 7 September 2024

ANUGERAH

 ASSALAMUALAIKUM


 


 

ANUGERAH

(Pancalarik)

Allah

anugerah

alam tanah air

wangsa berjejak setempat

hidup

 

Harga

nilai tinggi

milik asli benar

pusaka warisan nenek

moyang

 

Andai

telah hilang

tiada pegangan

di mana hendak berpijak

kaki

 

Tentu

gelandangan

cempera tersisih

mencari tempat menumpang

teduh


Friday 6 September 2024

AMAL ILMU

 ASSALAMUALAIKUM




AMAL ILMU

 

Tanpa jemu

amal ilmu

ulang ulang

tanpa selang

.

Kekal ingat

lekat sangat

bagai nota

hafal kata

 

Andai alpa

tentu lupa

ingat balik

jenuh tilik

.

Rujuk rata

lilau mata

puas renung

mula menung


Thursday 5 September 2024

HARI MALAYSIA

 ASSALAMUALAIKUM


TABIR ALAM (C)


HARI MALAYSIA

 

Sabah Negeri Di bawah Bayu dipilih lokasi sambutan sempena Hari Malaysia pada 16 September 2024. Tentulah aku tidak dapat ke sana untuk turut sama meraikannya. Cuma aku terkenangkan sahabat sepersekolahanku yang berada di sana. Yayasan Sabah suatu ketika dulu menghantar beberapa orang pelajar dari sana ke SMART, Kuantan. Antara yang rapat denganku ialah Jaminggu Imbun dan Irene Enson. Mereka berdua daripada suku kaum Kadazan. Selain pelajar dari Sabah ada juga pelajar dari Sarawak turut belajar di situ.  Mereka adalah perantau muda sanggup merentas lautan yang memisahkan demi menimba ilmu untuk kehidupan masa hadapan. Keberadaan pelajar-pelajar ini dalam usia muda tentu sebagai pendedahan pada tanah Semenanjung untuk menerapkan ukhuwah kebersamaan Malaysia.

 

pelajar Sabah –

16 September

  kebersamaan


Wednesday 4 September 2024

Tuesday 3 September 2024

TANAH JERLUS

 ASSALAMUALAIKUM


TANAH JERLUS

(Saduka)

 

Kota raya

penuh gaya

objek tinggi

bina ranggi

.

Kaki langkah

aspal rekah

jaga gerak

jauh jarak

.

Mula runsing

pening pusing

renung fikir

apa mungkir

.

Sedang jalan

bumi telan

tanah jerlus

kaki perlus



Sunday 1 September 2024

31 OGOS

 ASSALAMUALAIKUM



31 OGOS

 

Anak-anak remaja di kampungku suka bermotorsikal membawa bendera Jalur Gemilang beramai-ramai sempena meraikan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos. Insiden tragis pernah berlaku dulu tika anak-anak remaja lelaki berseronok dengan aktiviti itu. Motorsikal  dipandu dengan laju dinaiki mereka berlanggar sesama sendiri ketika melintasi selekoh tajam. Dan masing-masing mengalami kecederaan. Seorangnya adalah anak jiranku. Kecederaannya begitu parah sehingga terlantar lama di hospital. Setelah sembuh, Amir anak jiranku itu mengalami masalah hilang ingatan dan kemurungan pula.

 

Hari Merdeka –

penunggang 

MyBloglist