Tuesday 13 February 2024

 ASSALLAMUALAIKUM

AIR PANAS

 


“Beta mahu kamu minum air panas yang menggelegak hai Abu Nawas.” Abu Nawas terpana mendengarnya.

“Minum air panas yang menggelegak akan merosakkan organ dalaman dan boleh menyebabkan kematian paduka.” Khalifah termangu. Baginda hanya bergurau. Tapi setiap kata yang dilafazkan merupakan titah. Dan Abu Nawas menyedarinya.

“Baiklah paduka. Hamba menurut perintah. Tapi izinkan hamba pulang ke rumah hamba dulu untuk bertemu isteri dan anak-anak hamba.” Khalifah mengizinkannya.

“Adakah makanan yang kamu sediakan untuk hamba hai isteriku?” Tanya Abu Nawas pada isterinya sebaik tiba di rumahnya.

“Hamba telah sediakan makanan yang panas semuanya tadi untukmu suamiku. Tapi kerana suamiku terlambat pulang, semua makanan itu telah menjadi sejuk.” Balas isterinya.

Abu Nawas mulai berfikir dan merencanakan sesuatu demi kebaikannya tanpa mengelakkan perintah Khalifah.

Ketika waktu ditentukan untuk minum air panas yang telah disediakan penjawat di istana Khalifah, Abu Nawas menghadirkan diri bersama anak-anaknya, isterinya dan seluruh jiran tetangganya.

“Kenapa ramai sekali orang yang kamu bawa ke istana, Abu Nawas?” Tanya Khalifah kehairanan dengan tindakan Abu Nawas.

“Mereka semua sahabat handai dan jiran tetangga hamba, paduka. Mereka ingin melihat hamba minum air panas. Mungkin hamba akan mati setelah minum air panas itu. Jadi hamba ingin bersalam dan meminta maaf akan kesalahan hamba pada mereka. Jadi hamba mohon izin paduka membenarkan hamba melakukannya sebelum hamba minum air panas itu.”

“Baiklah! Beta izinkannya.” Sahut Khalifah.

Abu Nawas mula menyalami isterinya, anak-anaknya sambil berpelukan, bertangis-tangisan. Kemudian bersalam pula dengan sahabat handainya dan jiran tetangganya seorang demi seorang hingga selesai akhirnya. Setelah itu dia segera minum air panas yang disediakan dalam periuk hingga habis. Tiada kesan air panas yang telah suam itu kerana terbiar lama pada dirinya.


4 comments:

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist