Friday, 1 December 2023

MENJUAL MATAHARI

ASSALAMUALAIKUM 

 

MENJUAL MATAHARI

 


Baghdad ditimpa kemarau. Penduduknya kekurangan bekalan air. Tapi ada seorang di situ memilki sebuah telaga yang sentiasa penuh airnya hingga terpaksa dialirkan ke sungai. Penduduk Baghdad yang ingin mengambil air daripada telaganya dia akan menjualnya. Bertambah kaya pemilik telaga itu. Penduduk Baghdad merasa musykil kerana air telaga itu melimpah sahaja ke sungai tapi tidak dibenarkan mengambilnya. Terpaksa pula membayar harga air jika ingin mengambilnya.

Abu Nawas bertemu gabenur Baghdad mengemukakan masalah itu.

“Hamba tidak boleh berbuat apa-apa. Sebab dia berhak menjual air daripada telaganya. Dia tidak berbuat salah.”

“Tapi dia telah menyusahkan penduduk Baghdad yang tidak mampu membelinya. Tapi amat memerlukan air untuk kegunaan seharian.” Gabenur terdiam. Dia ternyata tidak dapat menyelesaikannya.

Abu Nawas mengadap khalifah pula. Dia mengadukan masalah yang sama. Khalifah Harun al-Rashid juga tidak boleh berbuat apa-apa kerana menjual air tidak menyalahi hukum.

“Kalau begitu hamba mohon paduka melantik hamba sebagai gabenur.” Ujar Abu Nawas tiba-tiba.

“Benarkah kamu mahu menjadi gabenur? Sebab kamu selalu menolak kala beta menawarkan kamu jawatan menteri.” Khalifah kehairanan.

“Sementara saja paduka. Setelah hamba selesaikan masalah ini, jawatan itu dikembalikan pada gabenur asal.”

“Baiklah.” Khalifah bersetuju.

“Hamba adalah gabenur Baghdad kini. Hamba menetapkan cahaya matahari yang mengenai rumah penduduk mesti dibayar harganya.”

Penduduk Baghdad mempersoalkannya kerana cahaya matahari milik semua anugerah daripada Pencipta. Mereka merasakan   khalifah telah tersalah memilih gabenur Baghdad. Pemilik telaga juga menentang tindakan gabenur baru.

“Hamba adalah gabenur Baghdad. Jadi ketetapan hamba mesti dipatuhi. Kamu mesti membenarkan penduduk Baghdad mengambil air daripada telaga kamu tanpa bayaran. Jika kamu enggan, hamba akan menutup saliran air telaga ke sungai. Dan air akan melimpah membanjiri kawasan kamu. Sebagai gabenur hamba berkuasa memutuskan keputusan untuk maslahat masyarakat Baghdad.” Ujar Abu Nawas dengan tegas.

            Maka pemilik telaga pun terpaksa mematuhi arahan gabenur baru itu. Sebaik menyelesaikan tugasnya, Abu Nawas pun mengembalikan jawatan gabenur pada penjawat asal.


5 comments:

  1. Abu Nawas selalu bisa mencari jalan keluar tiap masalah. Nasib baik dia berpihak kepada rakyat kan 👍😄

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist