ASSALAMUALAIKUM
CITRA PERTAMA
Aku
anak sulung kedua ibubapaku. Bermakna aku yang pertama dilahirkan ibuku ke
dunia setelah sekian lama berkahwin dengan bapaku. Perkahwinan pertama kali
berlaku antara kedua-duanya dan berkekalan sehingga penghujung hayat.
Setelah berusia 7 tahun aku ke
sekolah pertama kali. Sebelum bersekolah aku sudah boleh membaca. Ibuku yang
mengajarku membaca rumi dan jawi. Aku pula memang suka membaca buku. Di sekolah
rendah Dulang Kecil kala ujian akhir diadakan aku mendapat tempat pertama. Terukir kejayaan pertamaku di sini.
Tika
usiaku sembilan tahun aku meninggalkan sekolah dan kampungku mengikuti
ibubapaku berhijrah ke Pahang menyertai skim LKTP. Pertama kali menaiki bas
bersama beberapa keluarga secara rombongan menuju pertempatan baru. Pengalaman
baru mengujakan menaiki bas melalui jalan raya melintasi negeri Pulau Pinang,
Perak dan Selangor sebelum tiba di Maran, Pahang. Tika itu baru menyingsing
fajar subuh. Tempat yang ditujui masih jauh. Bas yang dinaiki berlenggang-lenggok
meneruskan perjalanan melaui jalan bengkang-bengkok bagai ular dipalu. Keletihan
terasa. Kepala berpinar pening. Sudah termuntah-muntah berkali-kali. Di kiri
kanan jalan kelihatan hanya hutan tebal. Mentari pagi mulai bersinar. Siang
menyerlah.
Tibalah ke destinasi. Bas
meninggalkan semua penumpangnya di sebuah bangunan sederhana yang diperbuat
daripada kayu. Tertulis pada papan tanda
iaitu PEJABAT LKTP ULU JEMPOL. Di hadapan pejabat itu kelihatan tanah yang
bersambung dengan paya yang luas. Sekitarnya terdiri beberapa rumah peneroka
yang menempatinya lebih awal.
Seorang
pegawai membawa keluargaku menuju ke rumah yang bakal dihuni. Kelihatan sebuah
rumah kayu dikelilingi semak samun sekitarnya. Inilah kediaman disediakan pihak
LKTP untuk keluargaku di sini. Tiada
kemudahan api eletrik. Tapi paip air untuk kegunaan seharian terletak di
pinggir jalan utama. Sebuah paip digunakan secara berkongsi beberapa keluarga
di situ. Anak-anak kecil bermandi-manda
di situ. Bapaku membeli getah paip yang menyalurkan air ke rumah dan diisi di
dalam bekas untuk keperluan keluarga. Setelah penuh semua bekas maka kepala
paip ditutup untuk memberi peluang pada yang lain pula menyalut getah paip yang
menyalurkan air ke rumah mereka.
Ibubapaku memanfaatkan tanah sekitar
rumah kecil kami dengan pelbagai tanaman kontan dan kekal. Antaranya pelbagai
sayuran, kacang tanah, jagung, betik, ubi kayu, ubi keledek dll.
Bermulalah rutin kehidupanku bersama
ibubapaku dan adik-adikku di sini. Aku menyambung persekolahan di sekolah
kebangsaan Ulu Jempol. Guru Besarnya ialah cikgu Mutalib. Seorang anaknya juga
sekelas denganku. Rosmiah menyapaku. Kami
berkawan baik.
Aku akan ke sekolah setiap hari berjalan
kaki. Jarak antara sekolah dan rumahku tidaklah jauh. Dalam perjalanan, aku
akan melalui lorong kecil yang ditumbuhi rumpun teberau. Sebalik rumpun teberau
ada tanah paya agak luas dipenuhi kangkung liar menghijau. Ralit juga aku memerhati
kesuburannya. Burung wak wak berlari bersama anak-anaknya menarik minatku
mengejarnya. Membuang masa saja. Memanglah tak akan dapat aku menangkapnya.
Hanya melambatkan masaku sampai di sekolah. Dan mengotorkan kasut sekolahku
yang putih.
Kangkung di paya itu selalu juga kukutip
untuk dimasak sayur goreng campur belacan. Memang enak masakan ibuku.
Bertambah-tambah nasi yang dimakan bersama ibubapa dan adik-adikku. Lauknya
cuma ikan pelata kering yang digoreng. Dan sambal belacan berserta ulam-ulaman
yang dipetik hasil tanaman ibubapaku sekitar rumah.
Ketika peperiksaan akhir persekolahan
aku hanya mendapat tempat kedua saja. Selalu di belakang Othman yang mendahului
pada tempat pertama. Tapi aku sangat gembira pabila cikgu Kamarudin yang
mengajar subjek Bahasa Melayu memuji karanganku berjudul “Kemalangan Jalanraya.”
Aku menulisnya berdasarkan kisah yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia hasil
pembacaanku. Sebab aku selalu mendapat
tempat kedua dalam peperiksaan maka guru kelas melantikku sebagai penolong
ketua darjah. Ketua darjah tentulah Othman. Jawatan pertamaku di sekolah
tercatat dalam sejarah hidupku.
Sekolah kebangsan Ulu Jempol akan
mengadakan malam pementasan kebudayaan. Berpeluang aku menjadi artis pertama
kali bergandingan dengan rakan-rakanku Pazilah dan Salmiah. Trio menyanyikan
lagu Telok Bayour yang dipopularkan Ernie Djohan. Malam pementasan dihadiri
ramai ibubapa murid sekolah itu. Meriah sekali. Pelbagai acara hiburan diadakan
termasuk dikir barat.
Akhir
April 1968, ibuku melahirkan adik lelakiku yang pertama. Adik-adikku yang kedua
dan ketiga perempuan. Aku cadangkan pada ibubapaku agar menamakannya Pazeli
untuk menyamakan nama awalku dan adik-adikku yang bermula dengan huruf P. Usiaku
tika itu menghampiri sepuluh tahun. Tapi
sudah berani memberi nama pada adik kecilku. Ibubapaku pula menyetujuinya.
Terdaftarlah nama adikku dalam surat beranak dan kad pengenalannya. Adik
kesayanganku sentiasa kudukung ke mana sahaja. Dan kuperhatikan kebajikannya.
Cuti sekolah penggal akhir 1969 bapa
membawaku dan adikku Patimah pulang ke kampung kelahiranku di Dulang Kechil.
Setelah seminggu di rumah tokwanku, bapa pulang bersama adikku Patimah ke
Pahang. Tapi meninggalkan aku di rumah
tokwanku. Sekolah akan dibuka tidak lama lagi. Terpaksalah aku menebalkan muka
berjumpa dengan Guru Besar Sekolah Dulang Kechil agar menerimaku menumpang
belajar di sekolah ini sementara aku pulang ke Pahang semula menyambung
persekolahanku. Kawan baikku berulang-alik ke sekolah sejauh sebatu setiap pagi
ialah Sofiah. Kelas kami berbeza. Murid-murid dalam kelas ini bersaing
menunjukan prestasi cemerlang. Antaranya Zaki, Rosli, Aisyah, Mahani, Mutiah,
Solehah. Aku pernah juga mendapat tempat pertama dalam ujian peperiksaan akhir.
Minatku dalam karang-mengarang disedari cikgu Zakaria, guru kelasku. Cikgu
Zakaria berusaha mengirimkan karanganku pada majalah Utusan Pelajar yang baru
diterbitkan pada awal 1970. Aku tidak pasti sama ada karyaku disiarkan atau
tidak. Tapi usaha cikgu mengenengahkan bakatku ke ruangan sastera bercetak amat
kuhargai. Baik budinya kusanjung tinggi. Tidak terlupakan.
Genap usia 12 tahun terpaksa pula
membuat kad pengenalan. Tokwanku menghantarku ke pejabat pendaftaran di Yan.
Jauh juga jaraknya. Dari kuala Dulang Kechil kampungku akan menempuhi kampung Dulang
Besar, pekan Sungai Yan Kechil, kampung Sungai Udang barulah sampai ke bandar
Yan. Tapi tukwanku mengayuh basikalnya mengendongku di pelantar basikalnya
dengan kudrat tuanya. Mengenangkan baik budi tokwanku hatiku pilu terharu.
1970 muncul persona sejarah negara
mengejutkan semua. Aku turut membaca kisah pahlawan Mat Kilau yang disiarkan
akhbar Utusan Malaysia tika aku singgah di kedai Pak Mat. Aku pun
tidak tahu apa yang dijual Pak Mat dalam kedainya itu. Mungkin kedainya
dijadikan tempatnya berehat saja. Setiap
pagi aku nampak dia akan membaca akhbar Utusan Malaysia sambil duduk di kerusi
malas.
Aku menyapanya ramah. Sempat pula
mengerling baca tajuk utama akhbar Utusan Malaysia itu. “Sah: Pahlawan Mat
Kilau Maseh Hidup.” Terkejut sungguh aku. Selama ini aku hanya membaca dalam
buku tawarikh darjah iv kisah perjuangannya menentang keterlibatan Brtish dalam
pemerintahan Pahang. Akhbar British The Free Press di Singapura menyiarkan
berita bahawa pejuang Mat Kilau telah terbunuh ketika berlawan dengan askar
British. Aku kehairanan. Tapi kuasa Allah menentukan segalanya.
Aku menyelesaikan persekolahan
peringkat rendahku di sini. Menyambung pelajaran ke tingkatan satu di sekolah
menengah Yan. Guru-guru yang mengajar di kelasku semuanya perempuan.
Murid-murid dalam kelas ini tinggal sekitar daerah Yan. Kawanku Hasnah tinggal
di bandar Yan. Rumahnya terletak bersebelahan sekolah Langkasuka.
Aku bercerita padanya bahawa ibuku
pernah juga bersekolah di situ. Hasnah pula bercerita pada cikgu Pazidah, cikgu
Hanesah dan cikgu Rabiatul yang mengajar di kelasku. Rupanya cikgu-cikgu ini
juga sekelas dengan ibuku dan mereka mengenalinya.
Pencapaianku dalam pelajaran di sini
sederhana saja. Tapi cikgu Hanesah pernah memuji karanganku. Aku berulang-alik
ke sekolah di sini dengan menaiki bas.
. Aku kalut bersiap ke sekolah sebaik kawanku Cik Romah memanggilku
di tangga rumah. Rumah kawanku itu di tepi laut. Dan dia akan berjalan melalui
batas bendang ke rumah tokwanku. Kemudian kami akan mengatur langkah susuri ban
tali air hingga sampai ke jalan besar, untuk menunggu bas yang akan
membawa ke bandar Yan. Jarak antara rumah tokwanku ke jalan besar melebihi dua
kilometer. Jauh juga. Memang penatlah berjalan pada awal pagi
walaupun panas mentari tidak terasa sangat bahangnya..
Bas yang dinanti telah tiba. Aku dan kawanku bergegas menaikinya.
Sebaik duduk di atas seat, konduktor bas menghampiri, meminta duit tambang
sambil menghulur tiket yang siap diketip nilai sekupang destinasi kami. Aku pun
membuka kotak gometri Oxford hendak mengambil duit diberi tokwanku. Biasanya
tokwanku beri tiga kupang untuk belanja ke sekolah. Sekupang untuk bayar
tambang bas hala pergi. Sekupang untuk bayar tambang bas hala balik. Sekupang
lagi untuk beli makanan.
Aku terkejut mendapati duit yang dicari tiada di situ. Rupanya aku
terlupa mengambil duit tiga kupang yang diberi tokwanku. Perasaanku kacau.
Serba salah sungguh. Malu pula. Apa aku nak buat ni? Cik Romah selamba saja
membayarkan tambangku. Aku berterima kasih kepadanya sudi menolongku saat
terdesak begitu. Dan akan membayar hutangku sebaik tiba di rumah balik dari
sekolah nanti.
Di sekolah kala loceng rehat berdering aku tidak keluar
kelas ke kantin. Sendirian saja di dalam kelas menikmati keriuhan ritma
keroncong orkestra perut kosong. Kelaparan. Kebiasaannya memang begitu pun.
Makanan yang dijual di kantin sekolah mahal harganya. Tidak cukup duit sekupang
untuk membelinya. Kalau tidak terlupa tadi dapatlah kugunakan duit sekupang
untuk membeli makanan buat mengalas perut tika balik sekolah di gerai
perhentian bas. Lima duit biasanya kubeli ais kepal dan lima duit lagi kubeli
mihun goreng.
Risauku
berkecamuk lagi. Bagaimana nak balik nanti sedangkan duit tambang basku tiada.
Takkan aku nak harapkan pada kawanku lagi membayarkannya. Aku tawakal saja
menaiki bas buat muka sekupang. Mustahil aku nak bermalam di
sekolah.
Tika konduktor bas menghampiriku, seorang rakan sekolah
bersebelahanku tolong membayar tambangku. Mungkin dia perasan aku tidak berduit
lantaran tidak menghulurkan duit yang diminta. Siew Ming sekampung denganku.
Tapi aku tidak meng enalinya dengan rapat kerana dia dalam tingkatan lima
aliran Inggeris sedangkan aku baru tingkatan satu aliran kebangsaan.
Alhamdulillah Allah menghantar bidadari-Nya menolong kesusahanku.
Ibu
Siew Ming dikenali sebagai nyonya keturunan baba peranakan seorang peramah dan
disenangi masyarakat kampungku.
Terima
kasih Cik Romah, terima kasih Siew Ming kerana tiga kupang, menggunung budi
ukhuwah kenangan abadi.didoakan kalian dalam rahmat perlindungan Allah…amiin..
Aku masuk belajar di sekolah menengah Maran setelah permohonan
untuk tinggal di asrama dibenarkan Guru Besar SMKM. Lama juga aku tidak
bersekolah setelah aku bertukar sekolah dari sekolah menengah Yan kerana
masalah penempatan di asrama.
Tingkatan 2C menjadi kelasku. Kawan-kawan sekelas menerimaku dengan
baik. Jalilah antara paling rapat denganku. Beliau tidak tinggal di asrama. Tapi tinggal bersama
keluarganya di kampung Bintang, berhampiran bandar
Maran setiap hari beliau berjalan kaki sahaja ke sekolah.
Pihak perbandaran Maran mengadakan acara pementasan pada suatu
malam dengan mengundang penyanyi terkenal iaitu Datin Rafeah Buang. Guru Besar
SMKM memberi izin penghuni asrama untuk turut menyaksikan pementasan itu.
Memang seronok tak terkata kami penghuni asrama dapat keluar asrama pada malam
hari pula. Apalagi dapat menyaksikan acara hiburan walau masanya dihadkan.
Semua penghuni asrama mesti kembali ke asrama sebelum pukul 10.00 malam.
Sempatlah juga menikmati kemerduan suara Datin Rafeah Buang
mengalunkan beberapa lagunya yang disukai ramai tahun 72. Terpegun mengagumi
kejelitaan wajah biduanita itu. Putih selepuk. Lain-lain acara yang
dipersembahkan selepas itu tidak kuketahui.
Keesokannya
hari Isnin. Ada perhimpunan sebelah pagi semua murid-murid SMKM. Aku berdiri
belakang Jalilah. Guru Besar berucap dengan tegas menekan disiplin pelajar dan
melarang pelajar-pelajar SMKM terlibat dengan sebarang acara budaya di luar
sekolah.
Sekali Jalilah jatuh terjelepuk. Terkejut aku. “Ko ni dah kenape
Lilah?.” Aku cuba mengangkatnya. Mujur dia mampu berdiri. Aku
mengiringnya ke asrama. Dia berbaring di katilku sebentar sebelum kesegaran
tubuhnya kembali pulih. Aku tidak bertanya apa-apa pun. Mungkin panas pagi
menyebabkannya keletihan berdiri lama.
Jalilllah
kembali ke rumahnya selepas itu dengan izin guru kelas. Kawan-kawanku di kelas
bercerita bahawa ucapan Guru Besar tadi ditujukan pada Jalilah kerana beliau
mengambil bahagian dalam acara malam tadi dan telah dimahkotakan
sebagai Ratu Kebaya mengalahkan peserta lain termasuk kakaknya.
Terlopong aku mendengarnya. Tapi Jalillah memang seorang gadis sunti yang
cantik. Aku berbangga dengan kejayaannya. Walau baru berusia 14 tahun tapi
sudah bergelar ratu.
Keputusan peperiksaan akhir tingkatan 1, 2 dan 3, SMKM telah
ditampal di papan kenyataan yang tergantung di luar dewan sekolah.
Pelajar-pelajar berpusu-pusu memerhati sambil memberi reaksi riang dan muram.
Atau biasa-biasa saja.
Keputusan peperiksaan
tahun akhir akan menentukan tingkatan seterusnya akan dimasuki menurut markah
keseluruhan yang diperolehi. Aku memanglah teruja hendak mengetahuinya. Selepas
berpindah sekolah dari SMY ke SMKM aku ditempatkan di kelas 2C. Semasa di SMY
aku di kelas 1E. Tentunya ada peningkatannya. Tapi di SMY cuma ada dua kelas
untuk pelajar perempuan iaitu 1E dan 1F. Tingkatan 1A B, C, D untuk pelajar
lelaki. Kelas memisahkan gender.
Di SMKM tidak berlaku begitu. Tapi tatkala keputusan peperiksaan
menentukan kelas tahun hadapan, berlaku begitu juga. Hanya 3 pelajar perempuan
terpilih memasuki tingkatan 3A iaitu Nab, Idah dan aku. Menjadi masalah besar
kepada guru-guru kerana murid perempuan ada kelas Ekonomi Rumah Tangga
sedangkan pelajar lelaki belajar Seni Perusahaan. Agaknya guru berfikir tidak
berbaloi mengadakan kelas ERT untuk kami bertiga saja.
Aku tidak kisah dalam
kelas mana pun akan diletakkan asalkan dapat belajar dengan selesa. Kami
bertiga dimasukkan dalan kelas 3B. Tapi kesian pula pada kawan-kawan seperti
Nab, Timah, Idah dll yang turun kelas dari A kepada B. Di dalam kelas 3B,
pabila setiap kali keputusan peperiksaan bulanan atau penggal diumumkan, aku,
Nab dan Idah selari saja. Nab teratas selalu. Kedua Idah. Ketiga memang aku
selalu. Nab sangat rapat denganku.
SMKM adalah sebuah
sekolah menengah yang terdiri di bandar Maran dengan kemudahan asrama untuk
penginapan pelajar pelajarnya yang tinggal di persekitarannya seperti Chenor,
Luit, Paya Bungor dan kampung-kampung felda dari Sg.Tekam, Ulu Jempol, Bukit
Tajau, Jengka . Terimbau nostalgia
tinggal di asrama di kaki bukit berhampiran hutan kecil.
Masa dahulu tiada
kemudahan api letrik dan pelajar-pelajar terpaksa menggunakan pelita sebagai
sumber cahaya menerangi kegelapan pada malam hari untuk belajar dan lain lain
urusan. Mungkin kerana keadaan itu timbul idea redaksi majalah sekolah untuk
memilih KUNANG-KUNANG sebagai judulnya. Simbolik kepada aspirasi guru-guru
menginspirasi pelajar-pelajarnya seperti kunang-kunang yang mencerahi malam
dengan kerlipan cahayanya yang indah menuju impian.
Aku juga bernasib baik
terpilih menjadi redaksi majalah KUNANG-KUNANG 1973 dibawah bimbingan cikgu
Hamid, cikgu Sulaiman. Sebagai redaksi tugasku ialah mengumpul karya
kawan-kawanku dan disampaikan kepada guru editor. Lucu mengenangkannya kerana
karya kawan-kawanku itu aku yang tulis tapi diterbitkan atas nama mereka.
Sedangkan karyaku satupun tidak disiar. Tapi cikgu Hamid menulis esei disiar
atas namaku.
Tika aku mula belajar di
sini dan tinggal di asrama pada tahun 72, sumber api untuk cahaya di malam hari
diperolehi daripada generator yang dihidupkan setiap petang. Tidak payah lagi
gunakan pelita.
Hubungan antara guru
guru dan murid terjalin erat mentelah dengan murid yang tinggal di asrama walau
ada antara guru guru itu bukan guru yang mengajar di kelas.
Setelah lulus SRP dengan
aggregate yang sederhana aku, Nab dan kawan-kawanku meneruskan persekolahan di
SMART Kuantan pula dalam tahun 74 dan 75.
Mulanya terpaksa tinggal di asrama Sekolah Berasrama Penuh Air Putih sebelum
berpindah memasuki asrama puteri SMART. Asrama yang baru disiapkan ini akulah
antara penghuni yang merasmikannya.
Aku belajar dalam aliran sastera. Guru subjek sastera;
cikgu Sarwan. Guru-guru yang mengajarku dan kawan-kawan sekelas di sini ialah Cikgu
Roslan, Cikgu Ghafar, Cikgu Laili, Cikgu Normah Teh, Cikgu Miss Yit, Cikgu Mr.Loo,
Dr Sugioto dll. Dilantik sebagai ketua kelas tahun 74 hingga 75. Sebab aku
minat sastera dan semua subjek berkaitannya aku memperolehi markah tinggi
kecuali matematik dan sains. Aku hanya berikan tumpuan pada sastera. Selalu
mendapat tempat pertama setiap kali ujian. Gred satu dengan aggregate 17
selalu. Pada hari penyampaian hadiah akhir tahun aku menerima hadiah markah
tertinggi subjek sastera. Hadiahnya disampaikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad Mohammad
ketika itu menteri pelajaran. Tapi takdir tidak membenarkan aku bertemu dengan
mantan Perdana Menteri Malaysia itu kerana aku terpaksa pulang ke Kedah untuk
menghantar tukwanku ke pelabuhan Pulau Pinang menaiki kapal belayar ke tanah
suci Mekah menunaikan fardu haji.
Semoga semua guru-guru
yang hadir atau tidak dalam kehidupanku dilindungi Allah sihat sejahtera
menjalani kehidupan sambil berbakti mendidik anak bangsa, berbahagia tiasa
dunia dan akhirat....halalkan dan reda budi murni ilmu yang dicurah kepadaku selama
ini .
Kebanyakan insan yang
mengenalkan pengalaman pertama dalam kehidupanku telah berpulang pada Ilahi.
Innalillahiwainnailaihirojiun. Al-fatihah.
Saya saluuuut, kak PI masih mengingat cerita di saat kecil hingga zaman sekolah dengan detil begini 😍👍👍. Saya kalau ditanya masa2 kecil, jujur tak ingat.
ReplyDeleteSaya browsing juga siapa Datin rafeah buang, dan ternyata sedap juga lagunya. Khas lagu 70an. 👍
Sayang tak dapat bertemu Tun Mahathir saat itu ya kak.