Friday, 3 November 2023

TABIB PALSU

 ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA



TABIB PALSU

.

Abu Nawas membawa anaknya yang sakit untuk berubat dengan seorang tabib. Bayaran yang dikenakan tabib itu amat mahal. Sejumlah seribu dirham perlu dibayar untuk berubat.

Setelah tiga kali Abu Nawas berulang membawa anaknya berubat dengan tabib itu anaknya masih juga tidak sembuh. Abu Nawas telah kehabisan tiga ribu dirham. Tapi keadaan anaknya tidak juga berubah.

Dia merasa tabib itu seorang penipu. Bukan  tabib sebenar. Abu Nawas merancang sesuatu. Dia membuka tempat mengubat pesakit dengan tawaran sesiapa yang tidak sembuh setelah berubat dengannya akan dikembalikan wangnya sebanyak satu juta dirham.

Pesakit yang selama ini hanya bertumpu pada tempat tabib itu untuk berubat telah beralih ke tempat berubat Abu Nawas. Tabib kehairanan kerana tiada siapa lagi mengunjunginya untuk berubat. Pembantunya memberitahu perihal Abu Nawas padanya.

Tabib itu merancang menipu Abu Nawas untuk mendapatkan wang satu juta dirham dengan andaian hanya dirinya yang tahu sama ada dia sakit atau tidak. Dia pun ke tempat berubat Abu Nawas.

“Kenapa pula Tuan ke sini hendak berubat? Bukankah Tuan seorang tabib?”

“Sebenarnya tidak ada ubat untuk sakitku ini padaku. Sebab itu aku hendak cuba berubat dengan kamu.”

“Oh begitu! Beritahu hamba, apa sakit Tuan.”

“Lidahku ini seperti mati rasa.  Makanan yang dimakan tidak terasa nikmatnya. Cubalah kamu mengubati sakitku ini.”

“Baiklah.” Abu Nawas pun memerah limau nipis ke dalam gelas lalu diberikan pada tabib itu.

“Minumlah.”

“Ubat apakah ini? Cuma jus limau yang sangat masam.”

“Alhamdulillah. Sakit Tuan sudah sembuh. Tuan tidak mati rasa lagi. Bayaran ubatnya seribu dirham.” Tabib terpaksa membayarnya walau terasa dongkol tidak dapat menipu Abu Nawas.

Keesokannya dia datang lagi menemui Abu Nawas menceritakan bahawa mengalami masalah hilang ingatan pula.

Sekali lagi Abu Nawas memberinya jus perahan limau nipis.

“Ubat apa ini? Aku tidak mahu minum jus masam ini.”

“Alhamdulillah. Sakit Tuan telah sembuh.”

“Apa maksudnya?”

“Tuan telah ingat ubat yang hamba berikan semalam. Bayaran ubatnya seribu dirham.” Ternyata tabib itu tidak berjaya menipu Abu Nawas.

Dia masih tidak serik hendak menipu Abu Nawas. Dengan bertongkat dia berjalan menemui Abu Nawas pada suatu pagi.

“Kenapa pula Tuan bertongkat ke sini?”

“Aku sudah kehilangan penglihatan, Abu Nawas.” Katanya kesedihan.

Abu Nawas memerhati dengan teliti. Dia memahami tingkah tabib itu hanya berpura-pura.

“Penyakit Tuan ini sudah sangat tenat. Hamba tidak dapat merawatnya. Jadi hamba sudah sediakan wang satu juta dirham untuk Tuan. Sebentar hamba ambil wang itu.”

“Tuan hamba memang seorang tabib yang jujur.”

“Benarlah itu. Hamba tidak suka menipu kerana perbuatan itu berdosa dan dimurkai Allah. Tuan kiralah dulu jumlahnya.”

Setelah mengira semua wang di dalam kampit pemberian Abu Nawas dia bersuara lantang.

“Cuma ada sepuluh ribu dirham. Bukan sejuta dirham. Kamu fikir aku buta?”

“Alhamdulillah. Tuan telah sembuh. Tidak lagi buta matanya. Bayarannya seribu dirham.” Akhirnya Abu Nawas beroleh kembali wang tiga ribu dirham yang diberi pada tabib itu setelah tiga kali tabib itu berulang-alik berubat dengannya.

 

5 comments:

  1. 🤣🤣🤣🤣. Bukan abunawas kalo tak bisa membalas dengan pintar 😄👍licik sungguh tabib itu yaa 😄

    ReplyDelete
    Replies
    1. tksh fanny Abu Nawas mmg seorang yg bijak

      Delete
  2. Assalamualaikum kak PI, saya singgah sini :)

    Moga akak sihat2 selalu.

    ReplyDelete
  3. hahahhahhaha ada je akal dia ni hahhahaha

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist