ASSALAMUALAIKUM
TANGKAI JERING
“Firdaus, tolong bagi
Abang pinjam getah pemadam sekejap!” Aku bersuara lembut.
“Pemadam Abang kan ada. Kenapa abang nak pemadam yang
Daus punya pulak. Tak boleh! Daus tak nak bagi. Abang kalau meminjam
barang-barang Daus, selalu Abang tak pulangkan.” Sahut adikku tanpa berpaling
kepadaku. Dia asyik sekali menulis dan memadam kerja sekolahnya yang tersilap.
Aku terdiam. Hanya memerhati sahaja gelagat adikku itu.
“Kedekutnya. Bagilah sekejap saja. Getah pemadam abang
ada dalam bekas pensel. Abang malas nak pergi ambil di dalam beg sekolah. Beg
sekolah abang di dalam bilik di tingkat atas. Jauh abang nak pergi ambil.
Bagilah abang pinjam sekejap.” Aku mengharapkan Firdaus akan meminjamkan getah
pemadamnya padaku dengan alasanku berikan itu.
“Tak boleh!” balas Firdaus, tegas. Dia tidak mempedulikan
aku yang tercokoh di sisinya mengharapkan pertolongannya.
“Apa yang bising-bising tu! Tak malukah didengar orang
keliling-kelalang. Kamu berdua beradik asyik bergaduh saja. Kedudukan rumah
kita ini berdekatan saja dengan rumah jiran kita yang lain. Apa yang kamu
gaduhkan orang lain boleh dengar.” Mama bersuara nyaring dari dapur. Mama sedang memasak makanan menu untuk kami
sekeluarga tengah hari nanti.
“Adik ni Mama, Abang nak pinjam getah pemadam sekejap pun
tak boleh Ma! Dia tak mahu bagi. ” Aku memberitahu Mama apa yang sebenarnya
berlaku. Mama segera meninggalkan ruang dapur bersama sudip kayu di tangannya.
Langkahnya menghampiri aku dan Firdaus.
“Siap kau Daus. Mama datang bawa sudip tu. Kalau Mama
ketuk kepala kau dengan sudip kayu tu, mahu kau bertukar jadi kera, hihi hih.” Kataku
mengusik adikku itu. Sebenarnya aku teringat nenek pernah bercerita kisah
dulukala tentang seorang anak yang degil menurut kata emaknya telah bertukar
menjadi kera kerana kepalanya diketuk oleh emaknya dengan sudip kayu.
“Abang ni! Menakutkan Daus saja. Itu semua cerita dongeng
saja. Mengarut semua tu. Mama tu baik. Selama ini Mama tak pernah pukul adik
atau abang. Apalagi dengan sudip kayu.” Balas Firdaus selamba. Mama semakin
menghampiri kami.
“Tidak boleh bersikap seperti ‘tangkai jering’ Firdaus.”
Mama bersuara lembut. Firdaus terpinga-pinga. Matanya bulat merenung Mama.
“Apa pula ‘tangkai jering’ tu Mama?” Tanya Firdaus. Dia
begitu berminat ingin mengetahuinya.
“Tangkai jering itu, simpulan bahasa Melayu untuk orang
yang sangat kedekut macam adiklah.” Aku segera menjawab pertanyaan adikku itu. Adikku
mengerutkan dahinya seolah tidak menerima kenyataanku.
“Tangkai jering tu sangat kuat dan sukar hendak dipetik
buahnya kalau tidak berusaha bersungguh-sungguh mengambilnya daripada
tangkainya.” Mama menjelaskannya.
“Adik kan pernah tengok bagaimana susahnya nenek hendak
mengait jering kala kita balik kampung cuti sekolah dulu.”
“Tapi adik tak suka makan jering. Kuat baunya payah nak
hilang.”
“Sebab Adik tak suka makan jering jadi lekatlah perangai ‘tangkai
jering tu pada Adik,” sahutku mengusik Firdaus lagi.
“Sikap begitu tak elok diamalkan sesama adik-beradik atau
sesiapa saja. Kita mesti saling berkongsi sesuatu apa yang kita ada untuk
mengeratkan hubungan kasih sayang berkeluarga. Allah sayang dan beri pahala
kalau kita saling tolong-menolong.” Tambah Mama lagi.
“Oh itu maknanya ya Mama. Baiklah Daus tak mahulah jadi
‘tangkai jering’. Abang ambillah getah pemadam Daus. Tapi kalau Daus nak pinjam
apa-apa barang daripada abang, janganlah abang jadi ‘tangkai jering’ pula.
Banyak pula alasan diberi. Kan mama!” Aku
tersengih mendengarnya. Mama terseringai. Pandai sungguh Firdaus mengenakan aku. Memang selalu
pun tidakku beri barang-barang kepunyaanku kalau dia meminta hendak
menggunakannya.
menarik certot ini...memamg menghiburkan ...tulislah selalau akak hehehe
ReplyDeletehahaha Daus takut laa tu๐
ReplyDelete