Saturday, 3 June 2023

TANGKAI JERING

 ASSALAMUALAIKUM



TANGKAI JERING

 

            “Firdaus, tolong bagi Abang pinjam getah pemadam sekejap!” Aku bersuara lembut.

            “Pemadam Abang kan ada. Kenapa abang nak pemadam yang Daus punya pulak. Tak boleh! Daus tak nak bagi. Abang kalau meminjam barang-barang Daus, selalu Abang tak pulangkan.” Sahut adikku tanpa berpaling kepadaku. Dia asyik sekali menulis dan memadam kerja sekolahnya yang tersilap. Aku terdiam. Hanya memerhati sahaja gelagat adikku itu.

            “Kedekutnya. Bagilah sekejap saja. Getah pemadam abang ada dalam bekas pensel. Abang malas nak pergi ambil di dalam beg sekolah. Beg sekolah abang di dalam bilik di tingkat atas. Jauh abang nak pergi ambil. Bagilah abang pinjam sekejap.” Aku mengharapkan Firdaus akan meminjamkan getah pemadamnya padaku dengan alasanku berikan itu.

            “Tak boleh!” balas Firdaus, tegas. Dia tidak mempedulikan aku yang tercokoh di sisinya mengharapkan pertolongannya.

            “Apa yang bising-bising tu! Tak malukah didengar orang keliling-kelalang. Kamu berdua beradik asyik bergaduh saja. Kedudukan rumah kita ini berdekatan saja dengan rumah jiran kita yang lain. Apa yang kamu gaduhkan orang lain boleh dengar.” Mama bersuara nyaring dari dapur. Mama  sedang memasak makanan menu untuk kami sekeluarga tengah hari nanti.

            “Adik ni Mama, Abang nak pinjam getah pemadam sekejap pun tak boleh Ma! Dia tak mahu bagi. ” Aku memberitahu Mama apa yang sebenarnya berlaku. Mama segera meninggalkan ruang dapur bersama sudip kayu di tangannya. Langkahnya menghampiri aku dan Firdaus.

            “Siap kau Daus. Mama datang bawa sudip tu. Kalau Mama ketuk kepala kau dengan sudip kayu tu, mahu kau bertukar jadi kera, hihi hih.” Kataku mengusik adikku itu. Sebenarnya aku teringat nenek pernah bercerita kisah dulukala tentang seorang anak yang degil menurut kata emaknya telah bertukar menjadi kera kerana kepalanya diketuk oleh emaknya dengan sudip kayu.

            “Abang ni! Menakutkan Daus saja. Itu semua cerita dongeng saja. Mengarut semua tu. Mama tu baik. Selama ini Mama tak pernah pukul adik atau abang. Apalagi dengan sudip kayu.” Balas Firdaus selamba. Mama semakin menghampiri kami.  

            “Tidak boleh bersikap seperti ‘tangkai jering’ Firdaus.” Mama bersuara lembut. Firdaus terpinga-pinga. Matanya bulat merenung Mama.

            “Apa pula ‘tangkai jering’ tu Mama?” Tanya Firdaus. Dia begitu berminat ingin mengetahuinya.

            “Tangkai jering itu, simpulan bahasa Melayu untuk orang yang sangat kedekut macam adiklah.” Aku segera menjawab pertanyaan adikku itu. Adikku mengerutkan dahinya seolah tidak menerima kenyataanku.

            “Tangkai jering tu sangat kuat dan sukar hendak dipetik buahnya kalau tidak berusaha bersungguh-sungguh mengambilnya daripada tangkainya.” Mama menjelaskannya.

            “Adik kan pernah tengok bagaimana susahnya nenek hendak mengait jering kala kita balik kampung cuti sekolah dulu.”

            “Tapi adik tak suka makan jering. Kuat baunya payah nak hilang.”

            “Sebab Adik tak suka makan jering jadi lekatlah perangai ‘tangkai jering tu pada Adik,” sahutku mengusik Firdaus lagi.

            “Sikap begitu tak elok diamalkan sesama adik-beradik atau sesiapa saja. Kita mesti saling berkongsi sesuatu apa yang kita ada untuk mengeratkan hubungan kasih sayang berkeluarga. Allah sayang dan beri pahala kalau kita saling tolong-menolong.” Tambah Mama lagi.

            “Oh itu maknanya ya Mama. Baiklah Daus tak mahulah jadi ‘tangkai jering’. Abang ambillah getah pemadam Daus. Tapi kalau Daus nak pinjam apa-apa barang daripada abang, janganlah abang jadi ‘tangkai jering’ pula. Banyak pula alasan diberi. Kan mama!”  Aku tersengih mendengarnya. Mama terseringai. Pandai  sungguh Firdaus mengenakan aku. Memang selalu pun tidakku beri barang-barang kepunyaanku kalau dia meminta hendak menggunakannya.


2 comments:

  1. menarik certot ini...memamg menghiburkan ...tulislah selalau akak hehehe

    ReplyDelete
  2. hahaha Daus takut laa tu😁

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”