Wednesday, 6 April 2022

SURAH AN NISA (WANITA)

 ASSALAMUALAIKUM



PERKONGSIAN ILMU
SURAH AN NISA (WANITA)
Muka surat: 94
Ayat 97 – 101.
Ayat 97: Hukum 9: Wajib meninggalkan negara kafir harbi jika tidak dapat mengamalkan agama Islam dengan sepenuhnya. Asbabul Nuzul ayat ini adalah tentang orang Islam di Mekah yang mampu berhijrah ke Madinah tetapi tidak mahu berhijrah. Mereka sayang meninggalkan rezeki dan harta mereka yang banyak di Mekah. Mereka menzalimi diri sendiri, rela ditindas oleh kaum kafir. Ketika malaikat cabut nyawa mereka, mereka ditanya; Apakah agama mereka, sebab banyak hukum Allah tak buat. Mereka menjawab; Mereka dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi kafir. Sebab itu mereka tidak dapat jalankan hukum Islam dengan sempurna. Malaikat tanya balik; Bukankah bumi Allah itu luas? Kamu bukan kena tinggal di situ sahaja. Pergilah ke negara Islam supaya kamu dapat mengamalkan agama dengan mudah.
Mereka tetap dihukum kerana tidak mengamalkan hukum Islam dengan sempurna, disebabkan mereka sendiri yang enggan berhijrah. Alasan mereka dihalang, tidak boleh diterima. Sama juga dengan melakukan ibadah yang tiada dalil sahih, dengan alasan ramai yang buat. Alasan ini Allah tidak terima. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka Jahannam, iaitu seburuk-buruk tempat kembali. Semoga Allah melindungi kita.
Ayat 98: Mereka yang tidak dapat berhijrah kerana lemah dari segi fizikal dimaafkan. Antaranya kaum lelaki yang uzur, kaum perempuan dan kanak-kanak. Mereka tidak mampu meloloskan diri keluar dari negara kafir. Tidak ada orang yang bawa mereka berhijrah ke negara Islam. Maka mereka ada alasan yang diterima oleh Allah SWT.
Ayat 99: Mudah-mudahan Allah akan mengampunkan mereka. Perkataan ‘Asaa’ dalam al-Quran membawa makna yakin. Yakinlah Allah akan memberi keampunan. Allah ingatkan kita dengan Sifat-Nya; ‘AFUWWAN, Allah Yang Maha Pemaaf dan GHOFUURAN, Allah Yang Maha Pengampun.
Ayat 100: Allah beritahu kelebihan berhijrah kerana agama. Allah akan beri kemudahan dan kebaikan. Hijrah kerana agama lebih baik daripada hijrah kerana dunia seperti mencari rezeki. Mereka berhijrah untuk menyelamatkan agama kerana tidak dapat mengamalkan cara hidup Islam dengan sempurna di negara asal. Dibolehkan tinggal di negara kafir dengan tujuan untuk berdakwah, seperti yang dilakukan oleh para Rasul dan pengikut mereka. Mereka berusaha untuk mengislamkan negara kafir tersebut. Orang-orang yang berhijrah kerana menjaga Allah, pasti Allah akan bantu. Nescaya mereka akan jumpa tempat tinggal yang luas dan kelapangan rezeki. Sekiranya mereka meninggal dunia sebelum sampai ke tempat hijrah, dia tetap mendapat pahala kerana usahanya. Allah ampunkan semua dosanya dan beri rahmat kepadanya. Ini adalah sifat Allah GHOFUURAN Yang Maha Pengampun dan RAHIIMAN Yang Maha Penyayang.
Ayat 101: Hukum 10: Kewajipan megerjakan solat dalam semua keadaan. Solat ketika dalam musafir iaitu Solat Qasar. Jihad dan Hijrah, melibatkan perjalanan yang jauh. Terutamanya ketika dalam peperangan, musuh boleh menyerang bila-bila masa. Ada keringanan dalam ibadat. Dalam keadaan apapun ibadat solat tidak boleh ditinggalkan tetapi boleh diringankan. Dalam musafir, kita boleh memendekkan solat. Empat rakaat jadi dua rakaat. Dalam peperangan, jika takut diserang musuh, dibenarkan Solat Qasar dan boleh solat sambil bergerak. Allah menjelaskan orang-orang kafir yang jelas menunjukkan permusuhan dengan orang-orang Islam, wajib diperangi.

8 comments:

  1. Terima kasih perkongsian ini kak.

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah. Terima kasih KakPI atas ilmu yang dikongsi. Semoga KakPI sihat, ceria dan dimurahkan rezeki sentiasa 🌼✨

    ReplyDelete
  3. surah ini menunjukkan betapa tinggi kedudukan wanita dalam Islam

    ReplyDelete
  4. Perkongsian yang bermanfaat.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum kak, moga sentiasa diberikan kesihatan yang baik.
    Dalam kitab Shafwatut Tafasir menyebut surah An-Nisa disebut An-Nisa karena di dalamnya terdapat banyak hukum-hukum yang berhubungan dengan perempuan yang tidak ditemukan yang sama dengan surah-surah lainnya. Oleh karena itu, ia disebut dengan surah An-Nisa Al-Kubra manakala surah At-Thalaq disebut dengan surah An-Nisa As-Shughra.

    ReplyDelete
  6. bagus ni tafsiran surah An-Nisa. Kita kena baca Al-Quran beserta tafsirannya agar mudah faham...

    ReplyDelete
  7. Terima kasih Kak PI, kongsi ilmu Allah.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist