Tuesday, 20 April 2021

AKAR SERUNTUN

 ASSALAMUALAIKUM



AKAR SERUNTUN

"Kita ni bila dah berumur ni macam-macam sakitnya yang menyerang yer...darah tinggi, kencing manis, sakit jantung...yang paling takut tiba-tiba menjadi lumpuh pula...risau betul" Zai berbahasa meluncur bicara meluah rasa.
"Sihat tentulah lawannya sakit...kan dah lama hidup sihat....bila diserang sakit sedikit janganlah merungut. Kalau dah sakit kenalah cari ubat. Kan Allah kata setiap penyakit itu ada ubatnya kecuali mati. Pabila dah mati dah tak boleh nak kata apa lagi." Balas Idah dengan selamba. Zai dan Idah leka bertukar kata sambil menjeling aku yang terkedu di sisi mereka.
"Kak Pidah ni okey saja...tak pernah pulak kita dengar dia sakit teruk yer." Ujar Zai seraya memandang aku. Pandangannya kubalas dengan segaris senyuman.
"Okey apa...kau tak ingat dulu kak Pidah kena darah tinggi...masuk wad dekat sebulan...badannya menggelembong macam belon..." Idah bercerita mengingatkan kejadian yang telah kulalui suatu ketika dulu.
"Betullah...tapi lepas tu kak Pidah dah tak ada darah tinggi lagi kan...apa yang kak Pidah makan yer?" Tanya Zai inginkan kepastian.
“Kau nak tahu ye Zai...biarku ceritakan. Kak Pidah dulu lepas balik daripada hospital terus dia makan akar seruntun yang pahit sangat tu...aku tahulah sebab aku yang tolong blendkan untuk dia...punyalah pahit akar tu sanggup dia minum...itulah yang diamalkannya setiap hari…kan Kak Pidah?" Idah menolongku menjelaskan yang sepatutnya. Aku mengangguk saja mengakui kebenaran apa yang diperkatakannya.
"Tapi pahit-pahitpun mujarab akar tu. Tengok sampai sekarang kak Pidah dah takde darah tinggi lagi."
Selain akar seruntun banyak lagi herba-herba alam semula jadi yang boleh mengurangkan tekanan darah tinggi sekiranya diamalkan tanpa jemu seperti pokok akar cerita, daun rambutan, daun manggis yang gugur, daun sabung nyawa dan lain-lain lagi yang tidakku ketahui. Tapi terpulang juga kepada keserasian dan keyakinan diri.
Hipertensi atau tekanan darah tinggi boleh dialami sesiapa tidak mengira jantina dan usia. Tanpa sedar aku mengidap darah tinggi tika mengandungkan anakku yang ketiga. Tiada apa-apa masalah tika usia awal kandungannya. Tekanan darah yang diambil di klinik ante- natal biasa saja.
Masuk saja masa kandungan pada bulan ke lapan, aku terasa angin yang terlalu banyak di dalam tubuh. Suamiku menghantar aku ke pusat kesihatan berdekatan. untuk membuat pemeriksaan. Jiranku kak Fauziah turut menemaniku.
Doktor di pusat kesihatan itu mengesahkan aku mengalami tekanan darah yang amat tinggi. Aku dirujuk ke hospital Mentakab pula. Suamiku membawaku ke sana. Dan ditahan di wad.. Anakku yang masih kecil, Along dan Angah ditinggalkan kepada ayah, emak dan adik-adikku menjaganya sepanjang ketiadaanku kerana suamiku sibuk dengan urusan perniagaannya sebagai pengedar barangan runcit di daerah kami.
Di dalam wad, drip dimasukan ke tanganku setiap masa sebagai cara rawatannya. Aku merasa rimas kerana terpaksa mengusung tiang drip setiap kali hendak ke bilik air. Dan suamiku berulang alik sejauh 50 km setiap hari menjengukku di wad hospital setelah usai pekerjaannya. Aku amat terhutang akan baik budi suamiku itu. Terasa bertuah diriku bersuamikannya yang prihatin diriku dan amat bertanggung-jawab. Pengorbanannya kepadaku tidak mampu kubalas.
Perubahan tahap kesihatanku masih merudum, sakit, lemah tidak berdaya. Tapi tubuhku menjadi teramat gemuk seperti belon berisi angin. Aku bukanlah jenis yang sangat suka makan apa saja. Kalau makan pun sekadar mengalas perut saja. Kenapa diriku jadi begini tidak kuketahui puncanya.
Suami dan seorang bapa saudaraku berusaha merawatku dengan bantuan seorang perawat alternatif. Beliau didatangkan dari Kuantan. Perawat itu dikenali dengan panggilan Pak Teh. Anak Pak Teh juga khabarnya seorang jururawat di hospital Kuantan.
Pak Teh memberiku air minuman yang dibacakan ayat suci dan minta aku minum segera. Hatiku teruja untuk sembuh sediakala, lalu kuhabiskan segelas air minuman itu. Kata Pak Teh dalam pukul dua aku akan melahirkan bayiku insyaa-Allah. Terkejut aku mendengar kata Pak Teh dengan begitu yakin. Betulkah? Suamiku menderma darahnya sekiranya aku berkemungkinan memerlukannya kerana doktor menjangka aku terpaksa dibedah sebelum itu.
Benar sekali kata Pak Teh itu, Pelik tapi benar. Sekitar pukul dua petang aku sudah terasa kontraksi hendak melahirkan. Jururawat mendorong katilku ke bilik bersalin kerana ketika itu aku sudah tidak larat untuk berjalan.
Aku melahirkan seorang bayi lelaki yang comel. Aku namakannya Firdaus. Sayangnya Firdaus telah kehilangan denyutan nadinya ketika dalam kandunganku. . Alangkah pilunya hatiku. Firdaus yang menemaniku seketika telah kembali ke syurga.
Emakku datang membawa anak-anakku Along dan Angah melawatku. Anak-anakku memanggilku, aku menjawabnya perlahan “Mak tak Nampak!” Entah kenapa saat itu penglihatanku begitu kabur. Emakku terkedu mendengarnya. Jenazah anakku Firdaus dibawa pulang emakku ke kampung untuk mengebumikannya setelah aku menciumi dan mengoles pipinya beberapa kali.
Aku masih lagi ditahan di wad. Badan terasa ringan sedikit dan sudah boleh berjalan perlahan. Perubahan ketara kerana berat badanku berkurang 1kg setiap hari. Aku membuang air kecil begitu banyak sekali. Seolah selama ini air drip yang mengalir ke dalam tubuhku telah bertakung dan kini keluar sebagai urin. Berat tubuhku kembali kepada 45 kg. Alhamdulillah akhirnya kesihatanku pulih sediakala dan dibenarkan discaj. Bersyukur sangat kepada Allah ya Safi.
Di rumah, aku merawat hipertensi dengan mengamalkan minum air akar seruntun yang dijadikan jus. Ternyata tekanan darahku kembali normal. Sebulan kemudian aku ke hospital Mentakab lagi membuat rawatan susulan di gynea klinik. Doktor yang pernah merawat aku terkejut melihat perubahan diriku dan segera memanggil rakannya, doktor yang juga turut menangani kes sakitku. Teruja dengan perubahan diriku yang kononnya cantik. Entahlah . Kebiasaan sekiranya kita sihat wajah akan cantik berseri. Tapi jikalau sakit wajah berubah pucat lesi, tidak bermaya.
Oleh itu jagalah kesihatan diri sebelum kehilangannya. Terutama wanita yang sedang mengandung kerana penyakit darah tinggi dan diabetis kadang menyerang tiba-tiba tanpa sebarang gejala.. Dan risikonya membawa masalah kesihatan kronik tidak tertanggung.

7 comments:

  1. Terima kasih Kak kongsi info akar seruntun. Nanti saya google nak tengok rupa herba itu.

    ReplyDelete
  2. Oh! Rupanya pokok bakawali!

    ReplyDelete
  3. Kalau tak silap mertua PC ada tanam. Memang pahit tak boleh bawa bincang.

    ReplyDelete
  4. Bila baca teringat masa nak bersalin normal dulu. Ya Allah sakitnya rasa nak mati.. uwaaa.. BTW salam kenal sama ramadan dari saya buat akak, saya dari Sabah.

    ReplyDelete
  5. tak dpt nak imagine ni kak pi

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist