Thursday 18 February 2021

GURINDAM JIWA

 ASSALAMUALAIKUM

PIC GOOGLE IMAGES (C)




PANTUN GURINDAM JIWA

Lagu Gurindam Jiwa, liriknya ditulis oleh Almarhum Hamzah Hussien dan lagunya dicipta oleh Almarhum Pak Wandly Yazid. Senikatanya indah mendayu dan jalan cerita filemnya dilakonkan oleh Seniman Nordin Ahmad dan Seniwati Latifah Omar yang memegang watak utama sebagai Dahlan dan Dahlia. Filem yang mengisahkan tentang seorang pujangga iaitu Dahlan yang gemar mengarang pantun dan gurindam di desanya menempuh cabaran hidup sebagai pujangga di dalam istana setelah bakatnya disenangi sultan. Dahlan terpaksa meninggalkan Dahlia isterinya di kampung demi tugasnya sebagai Pujangga Diraja. Dan kisah berakhir dengan tragedy pilu Dahlia yang cuba membunuh diri lantaran sangat kecewa kerana suaminya telah berkahwin lagi dengan anak bendahara. 

Gurindam jiwa sangat istimewa kerana separuh dari dialognya adalah berupa pantun yang menjadi akar sendi filem ini. Menerusi rangkaian pantun yg dimuatkan dalam filem ini, ia mencerminkan masyarakat Melayu kita yang kaya dengan susun kata bahasa yang tinggi nilainya dipenuhi dengan kata kias dan kata makna dalam setiap bait pantun,

Lagu Gurindam Jiwa yang menjadi tajuk filem Gurindam Jiwa arahan M.Amin 1965 senikatanya mengandungi lima rangkap pantun nyanyian  biduan R,.Ismail dan biduanita  Rafeah Buang. 

Rangkap 1

 

Tuai padi antara masak

esok jangan layu layuan;

intai kami antara nampak,

esok jangan rindu-rinduan

Rangkap 2

Anak cina memasang lukah,
lukah dipasang di Tanjung Jati;
di dalam hati tidak ku lupa,
bagaikan rambut bersimpul mati.

Rangkap 3

Batang selasih permainan budak,

daun sehelai di makan kuda;

bercerai kasih bertalak tidak,

seribu tahun kembali juga.

Rangkap 4

Burung merpati terbang seribu,

hinggap seekor di tengah laman;

hendak mati di hujung kuku,

hendak berkubur di tapak tangan.

 

Rangkap 5


Kalau tuan mudik ke hulu,

carikan saya bunga kemboja;

kalau Tuan mati dahulu,

nantikan saya di pintu syurga.

Sedikit huraian tentag rangkap satu;

Rangkap 1

 

Tuai padi antara masak

esok jangan layu-layuan;

intai kami antara nampak,

esok jangan rindu-rinduan

 

Sampiran baris satu dan dua rima a b a b untuk digandingkan dengan maksud pada baris tiga dan empat mempunyai ciri kadensa yang bersesuaian dengan sembilan  sukukata setiap baris . Sampiran pantun menggunakan unsur alam yang harmoni sinonim dengan suasana latar filem tersebut. Dan maksud pantun sebagai stanza pembuka yang puitis untuk menyatakan kesinambungan maksud pantun dalam lagu GURINDAM JIWA sehingga akhir lagu. 


7 comments:

  1. Nordin Ahmad ... Aktor kegemaran dulu hingga kini...

    ReplyDelete
  2. Mengimbau kenangan masa dulu Kan kak PI..
    Teringat dulu masa sekolah , kelas Bahasa melayu cikgu suruh bergurindam.. saya lah seorg yg kena bergurindam..😁

    ReplyDelete
  3. PC sangat suka dengan bait-baitnya.

    ReplyDelete
  4. lagu ni malar segar. sedih weh tgok filem ni. lakonan mantap arwah nordin ahmad n latifah omar...

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist