Monday, 14 September 2020

JARUM EMAS

 ASSALAMUALAIKUM




AYAM JANTAN DAN JARUM EMAS

 

PIC GOOGLE IMAGES (C)




Pada suatu masa dahulu seekor ayam jantan sedang mencari makan di tepi hutan. Tiba-tiba seekor musang muncul di situ. Musang cuba menangkap ayam jantan itu untuk dimakannya kerana  dia sedang kelaparan. Ayam jantan berlari  untuk menyelamatkan dirinya daripada ditangkap musang. Dia amat takut menjadi habuan makanan musang.

            Lariannya yang tidak begitu pantas itu menyebabkan musang semakin menghampirinya. Dan cuba menangkapnya. Seekor helang yang sedang terbang melihat kejadian itu. Helang cuba menolong sahabatnya Ayam Jantan  daripada ditangkap Musang. Dia menggunakan jari-jari kaki dan paruhnya yang tajam untuk mencederakan Musang.

            Musang yang merasa kesakitan terus berlari dari situ.  Ayam Jantan mengucapkan terima kasih kepada sahabatnya Helang kerana telah menyelamatkannya daripada menjadi mangsa Musang.

            “Kenapakah kamu berjalan sehingga ke tepi hutan ini sahabatku? Di sini tempat kediaman Musang dan pelbagai jenis hidupan liar yang buas. Kau tidak takutkah diserang seperti tadi? Mujur  aku sempat menolong kau. Jikalau tidak tentu kau sudah dimakan Musang dan berada dalam  perutnya. Cepatlah  kau balik ke reban kau!“ ujar Helang dengan tegas.

            “Tapi kalau aku boleh terbang seperti kau, tentu aku boleh terbang menyelamatkan diri aku sekiranya Musang atau siapa saja hendak menyerang aku.” Ayam Jantan menyatakan kekesalan hatinya kepada sahabatnya itu.

            “Tentu kau boleh tolong ajar aku terbang sahabatku! Ajarlah aku terbang sahabatku, supaya aku boleh menjaga keselamatan diriku di mana saja aku berada.” Ujar Ayam Jantan kepada Helang. Dia bersungguh-sungguh meminta  sahabatnya itu mengajarnya terbang.  

            “Asal-usul keturunan  aku memang sudah boleh terbang sejak kami kecil lagi. Aku pun tidak tahu bagaimana hendak mengajar kau terbang sahabatku.” Beritahu Helang kepada Ayam. Dia terdiam dan berfikir sejenak.

            “Tapi Raja Burung Helang  miliki jarum emas hikmat yang membolehkan sesiapa saja yang menggunakannya boleh terbang.” Helang menyambung kata.

            “Cubalah kau pinjam daripada Raja Burung Helang,  jarum emas itu dan berikan kepadaku. Kalau aku dapat gunakannya tentu aku boleh terbang bersama dengan kau kemana sahaja.” Ayam memujuk Helang agar membantunya. Dia teringin sekali hendak terbang seperti helang.

            “Baiklah Ayam Jantan! Nanti aku cuba meminjam jarum emas hikmat itu daripada Raja Burung Helang. Kau tunggu di sini! Aku akan terbang bertemu dengan Raja Burung Helang untuk meminjam jarum emas hikmat daripadanya.”

            Sebentar kemudian kelihatan Helang sedang melayang mendekati Ayam.

            “Raja Burung Helang telah setuju memberi kau pinjam jarum emas miliknya untuk kau gunakan.  Tapi kau mesti menjaga amanah yang aku berikan ini.  Dan tidak sesekali menghilangkannya. “ Ujar Helang,  berpesan kepada sahabatnya itu.

            “Baiklah! Aku berjanji akan menjaganya dengan baik. Tapi kau terangkanlah bagaimana caranya hendak menggunakan jarum emas ini.”

“Kau sela-selakannya dicelah bulu kau. Setelah itu kau cubalah terbang.” Helang menerangkan  cara menggunakan jarum emas itu.

            “Begitukah? Baiklah aku cuba melakukannya seperti apa kau katakan itu! Terima kasih sahabatku kerana menolong aku mencapai cita-citaku selama ini!

            “Ya sama-sama! Ingat!  kau mesti menjaga jarum emas itu dengan sebaiknya. Aku akan kembali keesokannya untuk mengambil jarum emas ini. Dan memulangkannya kepada Raja Burung Helang.”  Setelah berpesan begitu kepada Ayam Jantan, maka Helang pun terbang dari situ..

            Ayam sangat teruja hendak terbang seperti Helang. Segera disela-sela bulunya dengan jarum emas itu. Setelah berbuat begitu dia meletakkan jarum itu di atas tunggul kayu di situ. Dia pun cuba terbang. Dan percubaannya berjaya.  Dia  sudah boleh terbang ke atas pagar di tepi rebannya

            “Wah aku sudah boleh terbang!” ujarnya dengan  gembira.  Dia berkokok nyaring memanggil kawannya Ayam Betina.

            “Eh bagaimana kau boleh berada di atas pagar itu, Ayam Jantan?” Tanya Ayam Betina kehairanan.

            “Aku terbang. Dan hinggap di sini.”

            “Begitukah? Bagaimana boleh terjadi begitu?” Ayam Betina bertanya lagi.

            “Aku gunakan jarum emas yang dipinjamkan Raja Burung Helang kepada aku. Jarum emas itu dibawa Helang sahabat aku.”

            “Aku juga ingin terbang seperti kau! Dapatlah aku bertengger di atas pagar bersama dengan kau.”

            “Kau ambillah jarum emas yang aku letakkan di atas tunggul kayu itu. Dan kau sela-selakan di celah bulu-bulu kau. Tentu kau akan boleh terbang. Dan dapat bertengger bersama aku di atas pagar ini.” Ayam Betina tidak bertangguh lagi menuruti apa yang dikatakan Ayam Jantan kepadanya.

            Dia sangat gembira dapat terbang ke atas pagar. Dan bertengger bersebelahan Ayam Jantan.

            “Mungkin kita boleh terbang lebih tinggi, sekiranya kita sela-selakan semua bulu-bulu kita dengan jarum emas itu.” Ayam Jantan mengatakan pendapatnya.

            “Iya mungkin juga! Ayuh kita turun ke bawah, melakukannya!”  sahut Ayam Betina menyetujui pendapat Ayam Jantan. Lalu mereka berdua pun terbang turun ke tempat jarum emas diletakkan

            “Eh di mana jarum emas ini?” Ayam Betina tertanya-tanya.

            “Di mana kau letakkannya?” Tanya Ayam Jantan agak gusar. Hatinya merasa bimbang jarum emas itu telah hilang.

            “Tadi setelah gunakannya, aku letakkannya di atas tunggul kayu ini.”

            “Cepat segera kita mencarinya kerana jarum emas itu hendak aku beri kepada Helang. Dan dia akan memulangkannya kepada Raja Burung Helang. Bagaimanalah aku hendak berhadapan dengan Helang sekiranya jarum emas itu tidak ditemui. Tentu Helang akan memarahi aku!”

            “Kita bukan sengaja hendak hilangkannya! Helang tentu faham dan tidak salahkan kita.” balas Ayam Betina cuba menenangkan perasaan hati Ayam Jantan yang kerisauan.

            “Cepat kita cari. Usah berlengah-lengah lagi. Jarum emas itu amanah Helang kepada aku agar aku menjaganya. Dan aku tidak boleh mencuaikannya.”

Maka Ayam Betina dan Ayam Jantan pun mencarilah merata tempat. Mereka mengais tanah kerana menyangka jarum emas itu telah jatuh dari atas tunggul kayu dan termasuk ke dalam tanah. Semua ayam di situ turut sama membantu mengcakar tanah mencari-cari jarum emas itu.

            Helang melayang dan hinggap di atap reban. Dia kehairanan melihat semua ayam di situ mengais-ngais tanah.

            “Apa yang kamu semua sedang cari?” Ayam Jantan merasa serba salah hendak menjawabnya.

            “Maafkan aku Helang! Disebabkan kelalaian aku, jarum emas yang kau pinjamkan kepada aku telah hilang. Dan kami semua sedang berusaha mencarinya.”

            “Apa! Kau ini memang tidak boleh diharap Ayam Jantan. Bagaimanakah aku hendak memberitahu Raja Burung Helang bahawa jarum emas miliknya telah hilang!”  Helang memarahi Ayam Jantan.

            “’Maafkan kesalahanku sahabatku. Aku dan kaumku akan berusaha mencarinya sehingga berjumpa.”

            “Mulai sekarang kau dan kaum ayam bukan lagi sahabatku. Bersedialah kau dan kaum ayam kerana aku dan kaum aku kini musuhmu selagi jarum emas itu tidak ditemui.” Helang memberi kata amaran kepada Ayam Jantan sebelum terbang entah kemana.   


9 comments:

  1. kisahnya kenapa bermusuh..tak amanah

    ReplyDelete
  2. TKSH SYAZ HEH..HEH..GITULAH KISAHNYA

    ReplyDelete
  3. Sekarang raja musang dah jadi durian
    jarum emas dah jadi rambutan

    ReplyDelete
  4. teringat kartun kisah zaman dahulu pun ada kisah ini, hehehe si aiyan suka tengok kita pun sampai ingat

    ReplyDelete
  5. Saya masa masih mengajar tadika dulu, inilah antara cerita yg saya dok ceritakan kpd anak2 tadika tu,kisah teladan kan

    ReplyDelete
  6. dulu dulu suka cerita mcm ni, sama persis cerita merak dan gagak :) kan kan

    ReplyDelete
  7. Dah hampir lupa kisah ni Kak PI sebab kenapa ayam suka kais-kais dan bermusuh dengan burung Helang heheheee..terima kasih kongsi cerita.

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum kak, moga sentiasa diberikan kesihatan yang baik.
    Allahu.. teringat semula cerita zaman budak-budak dulu.. masa memang percaya sangat, sampai buat andaian sendiri.. "kalaulah ayam tu tak hilangkan jarum emas tersebut, tentu mereka berbaik-baik..hehehe.. kisah tauladan ni kalau tanya kat anak-anak sekarang taknye mereka tahu..

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist