Tuesday, 9 February 2016

PULANG...

ASSALAMUALAIKUM...

CERPEN:
 PULANG
OLEH PARIDAH ISHAK.


LELAKI itu melongo di depan pintu. Menjuntai kaki di anak tangga berubin marmar. Renungannya menjauh. Melepasi rumah rumah, pohon pohon, gunung gunung serta awan gemawan. Seraut wajahnya telah lama sirna cerianya kembali cerah berkaca. Ada senyum kecil tersungging di sudut bibir. Dia berdiri. Tegap dan gagah. Di sinilah! Dia angguk menyetujui,
Kepalanya tunduk menjenguk lopak air yang semakin kering kontang. Dari dalam lopak yang pekat berselut terjengul janggut janggut yang sangat dikenalinya pasti. Serasi sebati dengan kehidupannya. Sekian lama. Sejak dulu dulu. Kain pelikat digulung tinggi, sebentar lagi sesuatu mahu diraihnya. Selipar jepun yang lusuh sudah ditinggal di atas batas. Kaki yang tidak berlapik tidak lagi malu menerjah lumpur.
“Banyaknya ikan.” Bibirnya mendesis perlahan. Dengan sangat berhati-hati tangannya dicelupkan ke lumpur dan memegang kemas seekor keli hitam berkilat. Dia perlu berwaspada kerana kalau tersilap cara duri keli pasti menyengat. Bisanya tetap terasa walau tidak seteruk sengatan semilang. Sakit tetap sakit. Keli dan semilang rupanya seakan walau berbeza latar kehidupan. Keli di air tawar sedang semilang di muara laut berair masin.
Namun semangat tidak harus patah. Kalau takut disengat keli alamat tidak merasalah berlaukan ikan yang sangat nikmat ini. Apalagi ianya adalah anugerah alam yang percuma. Hanya perlu sedikit usaha sahaja. Sepasang tangannya ligat menggagau. Satu persatu isi lumpur dikeluarkan. Dicampak di kawasan tanah kering yang mulai merekah kerana musim kemarau sedang berterusan kini.
Pak Hamid tersentak. Melihat pasti apa yang digenggam kedua-dua tangannya. Dia memegangnya kuat dan erat. Matanya bulat merenung. “Besarnya!” haruan sebesar pehanya itu membuatkannya terhenti seketika daripada aktivitinya.
“Ah! Cukuplah.” Putus hatinya mungkin. Sudah lebih memadai untuk dijadikan lauk hari ini. Selebihnya bolehlah dikeringkan. Dia mencapai sebatang jerami kering. Satu persatu ikan ikan itu dicucuk dengan batang jerami. Kini serangkaian ikan ikan yang pelbagai jenisnya tergantung di situ. Ada sepat benua, keli, puyu, belida. Ikan haruan yang paling besar diasingkan daripada yang lain. Alangkah sedapnya kalau berlaukan haruan ‘bantut’ hari ini. Isterinyalah yang akan memasak resepi kesukaannya seperti selalu itu.
Haruan besar itu akan disiang, dibuang sisik; dibelah perutnya dan dikeluarkan segala kotoran di dalamnya. Kemudian dibersihkan hingga hilang hanyirnya dengan mengisar perlahan bersama asam gelugur, garam dan daun serai. Setelah diyakini kebersihannya isterinya itu  akan menyediakan bumbu yang akan disumbat ke dalam belahan ikan haruan itu. Segalanya teradun daripada campuran serai, kunyit, cili kering, bawang merah, bawang putih, lengkuas, jintan manis, jintan putih yang digiling halus bersalut dengan kelapa tua yang dikukur. Diikat kemas dengan kulit pelepah kelapa muda yang halus dijadikan tali sebelum dipanggang di atas bara api tempurung kering. Harum sungguh  aroma ‘ikan haruan bantut’ yang sedang menanti saat diangkat untuk dihidangkan sebagai santapan tengahari. Dia berkira-kira sambil menelan liurnya sendiri.
Pak Hamid menapak pulang. Lopak berlumpur yang masih banyak ikannya ditinggalkan. Biarkan rezeki Allah yang banyak itu dikongsi yang lain pula. Tidak perlu tamak mengaut semua rezeki-Nya sebagai milik seorang. Demikian prinsip pak hamid selalu.
Dalam keadaan cuaca yang sangat panas kini tanah lopak berselut  yang terbentang di bawah sinar terik mentari itu pasti akan kering juga seperti tanah bendang sekelilingnya. Retak merekah di sana sini. Ikan di dalamnya tentu akan terus membenamkan dirinya lebih jauh ke dalam tanah. Andaian Pak Hamid begitulah. Jika tidak dari mana pula datangnya ikan yang banyak aneka jenisnya kala air hujan memenuhinya kalau ikan ikan itu turut mati bersama kering kontangnya bendang.   Tentu tidak ada lagi ikan ikannya. Tapi menjadi sebaliknya pula. Begitu yang bermain di fikiran Pak Hamid. Langkah pulangnya diatur tenang, riang, berbahagia.
Hujan rintik halus. Sebentar kemudian telah riuh gemanya berjatuhan menimpa bumbung rumah. Di halaman, Saerah berlari-lari anak menarik kain jemuran di ampaian. Fenomena yang sering dilihatnya. Bukanlah ganjil. Pak Hamid melingas sekelilingnya. Gobek sirih berima sekata menyapa sunyinya. Senyumnya yang tadi terorak kini hilang. Wajahnya kembali pekat tidak beraura. Tapi redup sayu. Imbauannya yang sekilas itu telah terpadam suasananya.
“Kita ni dah lama di sini. Bila agaknya Saerah tu nak hantar kita balik?” ulangnya bertanya entah untuk kali yang keberapa. Mak Inah mendengarnya. Walau ucapan itu kerap terbit daripada mulut suaminya dia tetap member i perhatian. Dia sangat faham apa yang ada di hati suaminya itu. Tidak pernah dia berkata, “Hanya itu saja yang tahu disebut.” Suaminya itu pastinya tersangat rindu pada kampung halaman yang lama telah ditinggalkan. Dia juga sama. Sentiasa terkenangkan rumah kayu usangnya yang bertiang dan bertangga walau tidaklah secantik rumah batu Saerah yang dibina di atas tanah.
Dusun buah-buahannya di kaki gunung Jerai seakan menggamitnya pulang. Tanah bendangnya di hulu sedang apa agaknya sekarang? Kalau musim mengerat padi sudah selesai tentu  senang menangkap ikan di petak bendang yang masih berair. Rindunya dia hendak melakukan itu, ‘Sukar sangatkah hendak memahami perasaan, keperluan dan kesukaan orang tua persis ayah dan emakmu ini Saerah? Ayahmu pun telah selalu mengulangi kata hatinya. Hantarlah ayah dan emak ni pulang aduhai Saerah!’ Keinginan Mak Inah itu terbenam diam di dalam hatinya saja. Tidak pula diluah suaranya. Walau hakikatnya serupa. Dia tetap tersenyum riang melayani kerenah anak menantu. Kadangkala ada anak cucu cicit yang datang bertandang.
Pada Mak Inah dia tidak perlu mengulang lagi apa yang disuarakan jelas suaminya itu. Saerah juga pasti faham dan tahu. Dia pun bukan muda lagi. ‘Cuma aku ini emak. Aku dan ayahmu juga ada rumah tangga yang hendak kami pertahankan. Kami ke sini hanya memenuhi undangan meraikan majlis perkahwinan Ani. Bukan datang ke sini untuk menetap bersamamu dan mati di bumi sebelah sini. Di kaki gunung Jerai aku dan ayahmu dilahirkan, di situ juga aku dan ayahmu ingin disemadikan. Di sanalah dunia kami, impian kami, kebahagian kami. Tolonglah hantar kami balik. Kami sudah jemu di sini walau bagimu ianya adalah syurga kehidupan duniamu. Tapi syurga dunia  kami di sana. Di sebuah rumah tua di sebalik pohon pohon kayu yang rimbun di mana gunung Jerai terpacak megah.
Sesekali dalam keuzuran ini boleh juga menunggu durian gugur di pondok di dusun. Atau kadangkala menumpang motor anak cucu ke hulu melihat bendang. Dapat melihat saja pun sudah puas rasanya walau tidak berkudrah lagi mengusahakannya. Anak cucu di sana juga baik-baik semuanya. Selalu dapat merasa beras baru dan ikan ikan dari bendang. Juga yang baru naik dari laut dihantar anak cucu.
Aku dan ayahmu memang uzur. Sering sakit. Maklum kami sudah tua. Tapi kami tidak mahu menyusahkan sesiapa. Birlah kami hidup dengan cara kami sendiri. Setakat untuk memasak makanan dan mengurus diri sendiri kami masih mampu.’ Mak Inah bermonolog panjang mewakili fikiran suaminya. Penamatnya di situ. Namun tidak berdaya diterjermah bahasa bibirnya. Hanya beku di situ. Di hatinya.
Saerah bersimpuh di sisi suaminya. Mak Inah dan Pak Hamid juga berserta. Masing-masing mengadap sajian petang di serambi. Sentuhan angin mulus nyaman dan dedaunan pun berayun.
“Saya dah janji dengan Ani, bila cuti dia akan hantar mak dan ayah balik ke kampung.”
“Bila tu?” Tanya Mak Inah pendek.
“Cuti sekolah nanti.”
“Lambat lagi tu.” Pak Hamid menghitung, ‘aku di sini sudah lima bulan. Cuti sekolah hujung bulan sebelas. Maknanya kena tunggu sebulan lagi. Lamanya.’
“Balik dengan bas sudahlah. Tak payah nak tunggu Ani. Menyusahkan dia saja.” Mak Inah memandang suaminya. Usulannya itu hanyalah untuk melegakan kegelisahan yang ketara di wajah suaminya.
“Tak boleh, mak, ayah! Tak boleh balik dengan bas. Mak dah tak larat. Ayah pun bukan kuat sangat. Kalau apahal berlaku, siapa yang nak tolong.” Larang Saerah. Sedang suami Saerah hanya diam membatu. Tidak membantah, tidak juga mengiakan.
Tercuit juga hati kecil Pak Hamid mendengar apa yang dikatakan anaknya. ‘Aku sedar siapa diriku. Juga setakat mana keupayaan yang aku ada.susahnya kalau sudah tua begini. Apa yang hendak dibuat lebih banyak menyusahkan orang keliling. Allah menganugerahiku usia yang panjang dan aku perlu reda dengan takdir-Nya tanpa perlu berkelus kesah walau dugaan-Nya membuatku selalu resah. Astaghfirullah.’
Saerah juga sedih melihatkan keadaan ayahnya yang tidak seceria awal kehadirannya ke rumahnya dahulu. Hajatnya dia ingin menjaga kedua emak dan ayahnya meniti akhir usia mereka. Bilakah lagi jasa, budi baik keduan-duanya dapat dibalas. Itupun kalau boleh. Rasanya payah pula. Dia sangat mengasehi ayah dan emaknya itu. Melepaskan kedua-duanya pulang serasa lompong jiwa raganya. Namun kehendaknya tidak mampu mengatasi keinginan emak ayahnya yang ternyata kuat.  Apalah dayanya lagi.
Sambil minum sambil bercerita lewat sebuah wira biru metalik yang membelok dan berhenti tiba-tiba. Enjinnya yang menderum mencemarkan sunyi alam. Menarik perhatian untuk dipandang. Tersenyum Saerah dan suaminya. Kepulangan Ani dan suaminya Adi menggembirakan yang menyambutnya.
“Kata cuti sekolah baru nak balik?” ucap Saerah.
Ani dan Adi tersenyum sambil melirik pandang Pak Hamid. Tenang saja kelihatan wajah tokwan mereka kepada kedua-duanya.
“Esok kita balik Kedah tokwan, tok.” Ani memegang tangan tokwannya dan mencuit pipi toknya.
“Ya ka?” tanyanya berserta senyum yang terorak lebar. Girang sungguh hatinya. Matanya bersinar. Wajahnya cerah berseri. Inilah khabar yang sangat dinantinya. Dia bingkas bangun.
“Cepatlah bersiap apa yang patut. Esok tak kalut sangat.” Mak Inah bingkas segera daripada duduknya, mengekori langkah suaminya dengan akur. ‘Apalah yang ada yang hendak disiapkan pun.’ Getusnya dalam diam. Gelagat kedua-duanya mengundang senyum di bibir dua pasang suami isteri itu.
“Abang Adi ada kursu di Langkawi. Kebetulan nak ke sana bolehlah bawa tok dan tokwan balik.” Pengurus firma swasta itu mengangguk membenarkan kata-kata isterinya.
“Ani pun ikut sekali.” Jelas Ani tergelak. Seronoknya dia. Anganannya selama ini untuk menjengah pulau Mahsuri itu akan termakbul. Impian indah seorang perempuan yang baru bergelar isteri. Kebahgiaan yang sentiasa marak meriah berbunga sepanjang usia perkahwinan yang sangat baru itu.  Saerah dan suaminya juga dapat menelah apa yang beriak di wajah Ani, namun Saerah juga tumpang gembira dengan kegirangan di wajah emak ayahnya. Mujur juga cerita kebetulan itu berlaku. Kalau tidak mendung akan terus menutupi wajah Pak Hamid ayahnya.
Pagi masih terlalu awal dan dingin. Pak Hamid bergaya dengan sepasang baju Melayu cekak musang merah jambu. Senyumnya terukir manis menyalami anak menantunya. Lega sungguh perasaannya. Sebentar lagi dia past sudah berada di lebuhraya lebar penghubung destinasinya.
‘Tinggallah bak-baik anak menantu.  Aku ingin menghabiskan sisa sisa keriangan hidup yang jujecapi dengan nikmat di tanah kelahiranku. Jiwa ragaku sudah sebati dengan apa yang ada di sana. Seperti kau juga Saerah yang sangat mesra dengan alam kehidupanmu bersama suami dan anak-anakmu di sini. Ayahmu ini akan sentiasa mengirimkan doa kesejahteraan agar anak menantu dan cucu cicit yang disayangi berbahagia selalu.’
Pak Hamid menjeling isterinya yang terlena di sisi. Berbalam di selimuti kabus puncak Jerai mulai menyerlah. Nafasnya ditarik puas. Melepaskannya perlahan. ‘Aku pulang padamu kampung halaman.’


Tamat.

14 comments:

  1. jangan lupa kalau kembali lagi setelah Pulang, bawa oleh-oleh untuk saya dong kak

    ReplyDelete
  2. Ke kampung pulang
    Bersambut senang
    Kebahagiaan datang
    Sekeluarga tenang rasa riang

    ReplyDelete
  3. insyaAllah ada ol2 utk CT..sabar ya...tksh.

    ReplyDelete
  4. pulang kampung mmg mmbhgiakan rasa di hati anisayu..tksh.

    ReplyDelete
  5. Lama tak pulang ke kampung Pi, sebab emak bapa pun pindah ke negeri orang, pilihan berada di mana mereka berada dulu kan..dah masa pulang ke rumah pula :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. YEKE...KAMPUNG LAMAN KITA DIMANA KITA TINGGAL JER BP..TQ

      Delete
  6. selamat petang P
    wah ada cerpen lgi ni
    dah pulang kekampong ke ni?

    ReplyDelete
  7. SELAMAT PETABG NOOR..HEH..HEH..SENTASA DI KAMPUNG NOOR...TQ

    ReplyDelete
  8. Setiap mereka yang semakin menginjak usia pasti akan terkenang dari mana asal-usul mereka.

    ReplyDelete
  9. hmm setuju dgn faarihin ..org yg dh tua ni sgt halus jiwa mrk...tq.

    ReplyDelete
  10. YEKE..TKSH CIKGU ETUZA INSYA ALLAH.

    ReplyDelete
  11. Suasana kampung pasti ada akan sentiasa melambai jalan pulang... syahdu...

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist