CERPEN:
PULANG
OLEH PARIDAH ISHAK.
LELAKI itu melongo di
depan pintu. Menjuntai kaki di anak tangga berubin marmar. Renungannya menjauh.
Melepasi rumah rumah, pohon pohon, gunung gunung serta awan gemawan. Seraut
wajahnya telah lama sirna cerianya kembali cerah berkaca. Ada senyum kecil
tersungging di sudut bibir. Dia berdiri. Tegap dan gagah. Di sinilah! Dia
angguk menyetujui,
Kepalanya tunduk
menjenguk lopak air yang semakin kering kontang. Dari dalam lopak yang pekat
berselut terjengul janggut janggut yang sangat dikenalinya pasti. Serasi sebati
dengan kehidupannya. Sekian lama. Sejak dulu dulu. Kain pelikat digulung
tinggi, sebentar lagi sesuatu mahu diraihnya. Selipar jepun yang lusuh sudah
ditinggal di atas batas. Kaki yang tidak berlapik tidak lagi malu menerjah
lumpur.
“Banyaknya ikan.”
Bibirnya mendesis perlahan. Dengan sangat berhati-hati tangannya dicelupkan ke
lumpur dan memegang kemas seekor keli hitam berkilat. Dia perlu berwaspada
kerana kalau tersilap cara duri keli pasti menyengat. Bisanya tetap terasa
walau tidak seteruk sengatan semilang. Sakit tetap sakit. Keli dan semilang
rupanya seakan walau berbeza latar kehidupan. Keli di air tawar sedang semilang
di muara laut berair masin.
Namun semangat tidak
harus patah. Kalau takut disengat keli alamat tidak merasalah berlaukan ikan
yang sangat nikmat ini. Apalagi ianya adalah anugerah alam yang percuma. Hanya
perlu sedikit usaha sahaja. Sepasang tangannya ligat menggagau. Satu persatu
isi lumpur dikeluarkan. Dicampak di kawasan tanah kering yang mulai merekah
kerana musim kemarau sedang berterusan kini.
Pak Hamid tersentak.
Melihat pasti apa yang digenggam kedua-dua tangannya. Dia memegangnya kuat dan
erat. Matanya bulat merenung. “Besarnya!” haruan sebesar pehanya itu
membuatkannya terhenti seketika daripada aktivitinya.
“Ah! Cukuplah.” Putus
hatinya mungkin. Sudah lebih memadai untuk dijadikan lauk hari ini. Selebihnya
bolehlah dikeringkan. Dia mencapai sebatang jerami kering. Satu persatu ikan
ikan itu dicucuk dengan batang jerami. Kini serangkaian ikan ikan yang pelbagai
jenisnya tergantung di situ. Ada sepat benua, keli, puyu, belida. Ikan haruan
yang paling besar diasingkan daripada yang lain. Alangkah sedapnya kalau
berlaukan haruan ‘bantut’ hari ini. Isterinyalah yang akan memasak resepi
kesukaannya seperti selalu itu.
Haruan besar itu akan
disiang, dibuang sisik; dibelah perutnya dan dikeluarkan segala kotoran di
dalamnya. Kemudian dibersihkan hingga hilang hanyirnya dengan mengisar perlahan
bersama asam gelugur, garam dan daun serai. Setelah diyakini kebersihannya
isterinya itu akan menyediakan bumbu
yang akan disumbat ke dalam belahan ikan haruan itu. Segalanya teradun daripada
campuran serai, kunyit, cili kering, bawang merah, bawang putih, lengkuas,
jintan manis, jintan putih yang digiling halus bersalut dengan kelapa tua yang
dikukur. Diikat kemas dengan kulit pelepah kelapa muda yang halus dijadikan
tali sebelum dipanggang di atas bara api tempurung kering. Harum sungguh aroma ‘ikan haruan bantut’ yang sedang menanti
saat diangkat untuk dihidangkan sebagai santapan tengahari. Dia berkira-kira
sambil menelan liurnya sendiri.
Pak Hamid menapak
pulang. Lopak berlumpur yang masih banyak ikannya ditinggalkan. Biarkan rezeki
Allah yang banyak itu dikongsi yang lain pula. Tidak perlu tamak mengaut semua
rezeki-Nya sebagai milik seorang. Demikian prinsip pak hamid selalu.
Dalam keadaan cuaca
yang sangat panas kini tanah lopak berselut
yang terbentang di bawah sinar terik mentari itu pasti akan kering juga
seperti tanah bendang sekelilingnya. Retak merekah di sana sini. Ikan di
dalamnya tentu akan terus membenamkan dirinya lebih jauh ke dalam tanah. Andaian
Pak Hamid begitulah. Jika tidak dari mana pula datangnya ikan yang banyak aneka
jenisnya kala air hujan memenuhinya kalau ikan ikan itu turut mati bersama
kering kontangnya bendang. Tentu tidak ada lagi ikan ikannya. Tapi
menjadi sebaliknya pula. Begitu yang bermain di fikiran Pak Hamid. Langkah
pulangnya diatur tenang, riang, berbahagia.
Hujan rintik halus.
Sebentar kemudian telah riuh gemanya berjatuhan menimpa bumbung rumah. Di
halaman, Saerah berlari-lari anak menarik kain jemuran di ampaian. Fenomena
yang sering dilihatnya. Bukanlah ganjil. Pak Hamid melingas sekelilingnya.
Gobek sirih berima sekata menyapa sunyinya. Senyumnya yang tadi terorak kini
hilang. Wajahnya kembali pekat tidak beraura. Tapi redup sayu. Imbauannya yang
sekilas itu telah terpadam suasananya.
“Kita ni dah lama di
sini. Bila agaknya Saerah tu nak hantar kita balik?” ulangnya bertanya entah
untuk kali yang keberapa. Mak Inah mendengarnya. Walau ucapan itu kerap terbit
daripada mulut suaminya dia tetap member i perhatian. Dia sangat faham apa yang
ada di hati suaminya itu. Tidak pernah dia berkata, “Hanya itu saja yang tahu
disebut.” Suaminya itu pastinya tersangat rindu pada kampung halaman yang lama
telah ditinggalkan. Dia juga sama. Sentiasa terkenangkan rumah kayu usangnya
yang bertiang dan bertangga walau tidaklah secantik rumah batu Saerah yang
dibina di atas tanah.
Dusun buah-buahannya di
kaki gunung Jerai seakan menggamitnya pulang. Tanah bendangnya di hulu sedang
apa agaknya sekarang? Kalau musim mengerat padi sudah selesai tentu senang menangkap ikan di petak bendang yang masih
berair. Rindunya dia hendak melakukan itu, ‘Sukar sangatkah hendak memahami
perasaan, keperluan dan kesukaan orang tua persis ayah dan emakmu ini Saerah?
Ayahmu pun telah selalu mengulangi kata hatinya. Hantarlah ayah dan emak ni
pulang aduhai Saerah!’ Keinginan Mak Inah itu terbenam diam di dalam hatinya
saja. Tidak pula diluah suaranya. Walau hakikatnya serupa. Dia tetap tersenyum
riang melayani kerenah anak menantu. Kadangkala ada anak cucu cicit yang datang
bertandang.
Pada Mak Inah dia tidak
perlu mengulang lagi apa yang disuarakan jelas suaminya itu. Saerah juga pasti
faham dan tahu. Dia pun bukan muda lagi. ‘Cuma aku ini emak. Aku dan ayahmu
juga ada rumah tangga yang hendak kami pertahankan. Kami ke sini hanya memenuhi
undangan meraikan majlis perkahwinan Ani. Bukan datang ke sini untuk menetap
bersamamu dan mati di bumi sebelah sini. Di kaki gunung Jerai aku dan ayahmu
dilahirkan, di situ juga aku dan ayahmu ingin disemadikan. Di sanalah dunia
kami, impian kami, kebahagian kami. Tolonglah hantar kami balik. Kami sudah
jemu di sini walau bagimu ianya adalah syurga kehidupan duniamu. Tapi syurga dunia kami di sana. Di sebuah rumah tua di sebalik
pohon pohon kayu yang rimbun di mana gunung Jerai terpacak megah.
Sesekali dalam keuzuran
ini boleh juga menunggu durian gugur di pondok di dusun. Atau kadangkala menumpang
motor anak cucu ke hulu melihat bendang. Dapat melihat saja pun sudah puas
rasanya walau tidak berkudrah lagi mengusahakannya. Anak cucu di sana juga
baik-baik semuanya. Selalu dapat merasa beras baru dan ikan ikan dari bendang.
Juga yang baru naik dari laut dihantar anak cucu.
Aku dan ayahmu memang
uzur. Sering sakit. Maklum kami sudah tua. Tapi kami tidak mahu menyusahkan
sesiapa. Birlah kami hidup dengan cara kami sendiri. Setakat untuk memasak
makanan dan mengurus diri sendiri kami masih mampu.’ Mak Inah bermonolog
panjang mewakili fikiran suaminya. Penamatnya di situ. Namun tidak berdaya
diterjermah bahasa bibirnya. Hanya beku di situ. Di hatinya.
Saerah bersimpuh di
sisi suaminya. Mak Inah dan Pak Hamid juga berserta. Masing-masing mengadap
sajian petang di serambi. Sentuhan angin mulus nyaman dan dedaunan pun berayun.
“Saya dah janji dengan
Ani, bila cuti dia akan hantar mak dan ayah balik ke kampung.”
“Bila tu?” Tanya Mak
Inah pendek.
“Cuti sekolah nanti.”
“Lambat lagi tu.” Pak
Hamid menghitung, ‘aku di sini sudah lima bulan. Cuti sekolah hujung bulan
sebelas. Maknanya kena tunggu sebulan lagi. Lamanya.’
“Balik dengan bas
sudahlah. Tak payah nak tunggu Ani. Menyusahkan dia saja.” Mak Inah memandang
suaminya. Usulannya itu hanyalah untuk melegakan kegelisahan yang ketara di
wajah suaminya.
“Tak boleh, mak, ayah!
Tak boleh balik dengan bas. Mak dah tak larat. Ayah pun bukan kuat sangat.
Kalau apahal berlaku, siapa yang nak tolong.” Larang Saerah. Sedang suami
Saerah hanya diam membatu. Tidak membantah, tidak juga mengiakan.
Tercuit juga hati kecil
Pak Hamid mendengar apa yang dikatakan anaknya. ‘Aku sedar siapa diriku. Juga
setakat mana keupayaan yang aku ada.susahnya kalau sudah tua begini. Apa yang
hendak dibuat lebih banyak menyusahkan orang keliling. Allah menganugerahiku
usia yang panjang dan aku perlu reda dengan takdir-Nya tanpa perlu berkelus
kesah walau dugaan-Nya membuatku selalu resah. Astaghfirullah.’
Saerah juga sedih
melihatkan keadaan ayahnya yang tidak seceria awal kehadirannya ke rumahnya
dahulu. Hajatnya dia ingin menjaga kedua emak dan ayahnya meniti akhir usia
mereka. Bilakah lagi jasa, budi baik keduan-duanya dapat dibalas. Itupun kalau
boleh. Rasanya payah pula. Dia sangat mengasehi ayah dan emaknya itu.
Melepaskan kedua-duanya pulang serasa lompong jiwa raganya. Namun kehendaknya
tidak mampu mengatasi keinginan emak ayahnya yang ternyata kuat. Apalah dayanya lagi.
Sambil minum sambil
bercerita lewat sebuah wira biru metalik yang membelok dan berhenti tiba-tiba.
Enjinnya yang menderum mencemarkan sunyi alam. Menarik perhatian untuk
dipandang. Tersenyum Saerah dan suaminya. Kepulangan Ani dan suaminya Adi
menggembirakan yang menyambutnya.
“Kata cuti sekolah baru
nak balik?” ucap Saerah.
Ani dan Adi tersenyum
sambil melirik pandang Pak Hamid. Tenang saja kelihatan wajah tokwan mereka
kepada kedua-duanya.
“Esok kita balik Kedah
tokwan, tok.” Ani memegang tangan tokwannya dan mencuit pipi toknya.
“Ya ka?” tanyanya
berserta senyum yang terorak lebar. Girang sungguh hatinya. Matanya bersinar.
Wajahnya cerah berseri. Inilah khabar yang sangat dinantinya. Dia bingkas
bangun.
“Cepatlah bersiap apa
yang patut. Esok tak kalut sangat.” Mak Inah bingkas segera daripada duduknya,
mengekori langkah suaminya dengan akur. ‘Apalah yang ada yang hendak disiapkan
pun.’ Getusnya dalam diam. Gelagat kedua-duanya mengundang senyum di bibir dua
pasang suami isteri itu.
“Abang Adi ada kursu di
Langkawi. Kebetulan nak ke sana bolehlah bawa tok dan tokwan balik.” Pengurus
firma swasta itu mengangguk membenarkan kata-kata isterinya.
“Ani pun ikut sekali.”
Jelas Ani tergelak. Seronoknya dia. Anganannya selama ini untuk menjengah pulau
Mahsuri itu akan termakbul. Impian indah seorang perempuan yang baru bergelar
isteri. Kebahgiaan yang sentiasa marak meriah berbunga sepanjang usia
perkahwinan yang sangat baru itu. Saerah
dan suaminya juga dapat menelah apa yang beriak di wajah Ani, namun Saerah juga
tumpang gembira dengan kegirangan di wajah emak ayahnya. Mujur juga cerita
kebetulan itu berlaku. Kalau tidak mendung akan terus menutupi wajah Pak Hamid
ayahnya.
Pagi masih terlalu awal
dan dingin. Pak Hamid bergaya dengan sepasang baju Melayu cekak musang merah
jambu. Senyumnya terukir manis menyalami anak menantunya. Lega sungguh
perasaannya. Sebentar lagi dia past sudah berada di lebuhraya lebar penghubung
destinasinya.
‘Tinggallah bak-baik
anak menantu. Aku ingin menghabiskan
sisa sisa keriangan hidup yang jujecapi dengan nikmat di tanah kelahiranku.
Jiwa ragaku sudah sebati dengan apa yang ada di sana. Seperti kau juga Saerah
yang sangat mesra dengan alam kehidupanmu bersama suami dan anak-anakmu di
sini. Ayahmu ini akan sentiasa mengirimkan doa kesejahteraan agar anak menantu
dan cucu cicit yang disayangi berbahagia selalu.’
Pak Hamid menjeling
isterinya yang terlena di sisi. Berbalam di selimuti kabus puncak Jerai mulai
menyerlah. Nafasnya ditarik puas. Melepaskannya perlahan. ‘Aku pulang padamu kampung
halaman.’
Tamat.
jangan lupa kalau kembali lagi setelah Pulang, bawa oleh-oleh untuk saya dong kak
ReplyDeleteKe kampung pulang
ReplyDeleteBersambut senang
Kebahagiaan datang
Sekeluarga tenang rasa riang
insyaAllah ada ol2 utk CT..sabar ya...tksh.
ReplyDeletepulang kampung mmg mmbhgiakan rasa di hati anisayu..tksh.
ReplyDeleteLama tak pulang ke kampung Pi, sebab emak bapa pun pindah ke negeri orang, pilihan berada di mana mereka berada dulu kan..dah masa pulang ke rumah pula :)
ReplyDeleteYEKE...KAMPUNG LAMAN KITA DIMANA KITA TINGGAL JER BP..TQ
Deleteselamat petang P
ReplyDeletewah ada cerpen lgi ni
dah pulang kekampong ke ni?
SELAMAT PETABG NOOR..HEH..HEH..SENTASA DI KAMPUNG NOOR...TQ
ReplyDeleteSetiap mereka yang semakin menginjak usia pasti akan terkenang dari mana asal-usul mereka.
ReplyDeletehmm setuju dgn faarihin ..org yg dh tua ni sgt halus jiwa mrk...tq.
ReplyDeletemenarik..Pulang..
ReplyDeleteYEKE..TKSH CIKGU ETUZA INSYA ALLAH.
ReplyDeleteSuasana kampung pasti ada akan sentiasa melambai jalan pulang... syahdu...
ReplyDeleteBahasa yg indah. Suka.
ReplyDelete