Tuesday, 30 October 2012

UJIAN ALLAH TIDAK PERNAH HABIS....

AKU PERNAH NASIHATKAN SAHABATKU LELA YANG MENGHANTAR MSG MENGATAKAN BELIAU TERJATUH TERPIJAK KULIT TEMBIKAI DI SURAU ASRAMA SEKOLAHNYA AGAR BERHATI-HATI TIKA MELANGKAH JANGAN BIARKAN DIRI TERJATUH SELALU SEBAB DI USIA YANG TELAH BANYAK INI TULANG SEMAKIN REPUT DAN MUDAH PATAH.

SEKALI LELA TAK APA-APA AKU PULA YANG DITIMPA UJIAN-NYA. ITULAH PANDAI-PANDAI SANGAT NAK MENASIHAT ORANG SIHAT SEDANG AWAK TU OKU SAJA DAH TERIMA PADAHNYA.

SELEPAS SOLAT SUBUH AKU BERMSG DULU DENGAN LELA MEMBERITAHUNYA HENDAK KE DAPUR BERSARAPAN SEBELUM MEMULAKAN RUTINKU MENGEMAS RUMAH DAN LAIN-LAIN MAKLUM ESOKNYA  DAH NAK RAYA HAJI.

KATA LELA BELIAU BELUM BERSARAPAN DAN TERINGAT PULA HARI NI HARI TASYRIK DAN SUNAT BERPUASA. MSG LELA MASUK SELEPAS AKU DAH TERSUNGKUR TEPI LEMARI DAPUR DENGAN DAHI PECAH BERDARAH DAN KAKI KIRI TERUS TEGANG DAN  SAKIT SANGAT. TAK TERBANGUN SENDIRI DAH... MACAM SELALU TU. MEMANG AKU KERAP JATUH TAPI BIASANYA AKU BOLEH BERUSAHA BANGUN.

ANAK YANG SEDANG TIDUR LAMBAT PULA BANGUNNYA WALAU DIJERIT BERKALI-KALI DENGAN SUARAKU YANG HALUS TIDAK MAMPU MEMBERI RIAK APA-APA. JADI TERSADAILAH AKU DI SITU SEBELUM PERTOLONGAN TIBA MENAHAN KESAKITAN TERAMAT.

ADIKKU DAN ANAKNYA SONI TIBA SETELAH DIBERITAHU DAN SONI MENGCEMPONGKU KE KERATA AYIE ANAK JIRAN SEBELAH MENGHANTARKU KE HOSPITAL JENGKA. SETELAH DI XRAY KATANYA DISLOCATE. AMBULAN SEGERA PULA MENGHANTARKU KE HOSPITAL TEMERLOH.

XRAY LAGI. DOKTOR KAT SINI KATA TULANG KIRI PATAH. DAH TAK BOLEH NAK DITOLONG LAGI KENA TUNGGU SEMBUH SENDIRI. DAN SELAMA TIGA HARI AKU BERAYA DI SINI BERSAMA RAMAI DOKTOR-DOKTOR DAN MISI-MISI YANG MELAYANIKU SANGAT RAMAH DAN BAIK.

SETELAH PULANG ADIK DAN ANAK MENANTU MEMBAWA PULA BERTEMU BOMOH PATAH DI GELANGGI. KATA BOMOH NI SENDI TERKELUAR. BERDERAK BUNYI SENDI YANG DIMASUKAN KE TEMPAT ASALNYA...AKUPUN MENGADOI KESAKITAN...

TERIMA KASIH BANYAK KEPADA ADIK-KU TMH, ILAH, TAN ANAK SAUDARAKU SONI, JIRAN-JIRANKU PETUGAS HOSPITAL JENGKA DAN TEMERLOH  YANG BERUSAHA MEMBANTUKU DI SAAT KRITIKALKU...JUGA JEE YANG PRIHATIN MENGINFORM KAWAN-KAWAN FB/BLOG TENTANG TAHAP KESIHATANKU. DOA KALIAN SEMUA BERMAKNA SEKALI DAN SANGAT-SANGAT DIHARGAI....

Monday, 22 October 2012

SALAM IDUL ADHA YANG BAROKAH MULIA...

IDUL ADHA/HARI RAYA KORBAN BAKAL DIRAIKAN SELAZIMNYA DENGAN SANGAT ISTIMEWA SETELAH SEMPURNA IBADAH HAJI DILAKSANAKAN DI TANAH SUCI MEKAH UMAT ISLAM YANG TERPILIH MENYAHUT SERUAN-NYA. SELAMAT MENYAMBUT IDUL ADHA BUAT SEMUA RAKAN BLOG/FB, PELAYAR-PELAYAR YANG SINGGAH SEKEJAP JUGA MUSLIMIN MUSLIMAT . HIDUP INI MEMANG PERLU BERSEDIA DENGAN PENGORBANAN YANG TIDAK SEDIKIT...

RELASI DENGAN CERITA MUSIM HAJI SEKARANG KUCATATKAN IMBAUAN LALU KENANGAN MENGENAINYA.

SEDIKIT CERITA TOKWAN

Kami anak-beranak suku-sakat dan kaum kerabat tokwan berbondond-bondong ke pelabuhan Pulau Pinang untuk menyambut kepulangan tokwan dari tanah suci Mekah. Tidak sabar hendak melihat dan bertemu tokwan. Aku nampak tokwan turun dari kapal dan menuju kepada paklang memeluknya dan datang pula memelukku. Berbangga sungguh hatiku dipeluk tokwanku yangku sayangi itu. tokwanku ini sifatnya yang unik. pendiam. cakapnya boleh dikira. Langsung tidak pernah marah kepadaku atau sesiapa saja. semua anak cucu menyayanginya.

Namun pasti bertanya sayangkah tokwan kepada kami anak cucunya dengan sikapnya yang selamba tidak kisah itu. Melihat cara tokwan terkini aku yakin tokwan sayangkan kami anakcucunya. Lebih-lebih lagi aku cucunya yang sulung ini. cucunya yang pernah dibawanya menaiki basikal ke bandar Yan untuk mendapatkan kad pengenalan. Bayangkan betapa penatnya tokwan mengayuh basikal sejauh 20km membawa beban berat di pelantarnya pergi dan balik.

 Memori yang tak mungkin kulupa. Tokwan yangku sayangi itu membawa beberapa hadiah yang dibelinya di Mekah dan memberinya kepadaku. bertambah-tambah kasihku kepada tokwanku itu. 
Kesihatan tokwan agak merosot setelah pulang dari menunaikan ibadat haji. dan jatuh sakit pula. Sedih melihatkan keadaan diri tokwan yang kurus kering dengan perutnya bengkak. 

Sakit apakah itu? Entahlah. Aku hanya mendoakan Allah memulihkan kesihatan dan memberikan kesejahteraan kepadanya. Doa anak cucu dimakbulkan Allah. tokwan sihat semula dan merancang menziarahi keluargaku di Pahang. Bapa pulang menaiki keretanya untuk mengambl tokwan dan tok. Hajat bapa untuk membawa tokwan pulang ke Pahang tidak kesampaian. Tokwan terlebih dulu dibawa pulang ke rahmatullah...innalillah. kesedihan kerana kehilangannya dirasakan hingga kini.

Sunday, 21 October 2012

SELIRATAN CINTA BAB 20


Majmin meneruskan kebiasaannya setiap hari. Selesai solat isyak dia akan berbaring di depan TV. Sambil menonton sempat juga membaca majalah  apabila siaran iklan memenuhi slot. Sering juga menulis diari yang dicatat tentang beberapa peristiwa besar yang berlaku di dalam mahupun di luar negara. Dan yang menyangkut kehidupannya seharian.
17 Jun 01, Ahad.
Pramoudiya Anantatoer, penulis yang dianggap setanding dengan penulis terkemuka dunia memberi komen yang positif tentang ekonomi, sosial dan sikap mandiri rakyat Malaysia di bawah pucuk pimpinan PMnya berjaya menangani tangan-tangan asing yang amat berminat hendak mencampuri urusan negara dan membentuknya mengikut acuan ciptaan mereka.
 Beliau membandingkan nasib sebaliknya yang menggeluti Indonesia sendiri yang  di sifatkan sudah hilang kewibawaan dan keterlaluan lemah jati diri dari segenap aspek. Penulis Pro Sukarno dan aktif era Sukarno ini membandingkan tindakan Dr. M menyamai tindak-tanduk Sukarno yang telah berjaya memerdekakan Indonesia dari penjajahan Belanda dengan pelbagai cara. Dan memakmurkan negara itu setelahnya.
Semua akhbar arus perdana hari ini memetik pandangannya hasil temuramah RTM (Radio Televisyen Malaysia) di Bogor. Novelnya Keluarga Gerilya memang ketara nilai sasteranya. Namun aku tidak berminat untuk menghabiskan pembacaannya. Lebih selesa pula membaca novel hasil novelis tempatan seperti Abdullah Hussain atau Azizi Hj. Abdullah.
17 Dis 02, Selasa;
Berita TV menyatakan keputusan penghakiman di The Hague. Belanda berkenaan kedudukan Pulau Ligitan dan Sipadan yang direbutkan Malaysia dan Indonesia, rupanya memihak kepada Malaysia. Agaknya lega sungguh hati Dr. M kerana sebelum persaraannya dari jawatan PM dia telah mengembalikan banyak harta Malaysia yang telah diambil dan hendak diambil orang. Itulah kebijaksanaannya dengan izinNya jua.
 Tetapi dia tidak rajin menulis setiap hari. Diarinya juga sarat dengan pantun pantun karyanya. Baginya seni pantun Melayu sangat indah dan halus.
Kelapa sebatang tepi perigi
Kudup mengkudu di hujung dahan
Kenapa datang kenapa pergi
Menyimpul rindu tak berkesudahan.

Riang ria ke sana sini
Patah rusuk apa jadinya.
Riang ria hari ini
Entah esok apa jadinya.

Hendak dilurut duri selasih
Dulang jati di atas alang
Hendakku turut hati sedih
Walang hati bukan kepalang.

 Shaari berada di sisinya dan menghenyakan ponggongnya di atas sofa. Majmin terkejut melihat suaminya hanya berbaju Melayu Telok Belanga dan berkain pelikat tenun tangan yang dibelinya dari pusat Karyaneka.
Kata gadis yang menjualnya kain pelikat itu hasil tenunan tangan perusahaan orang-orang kampung di Pulau Keladi, Pekan Pahang.
‘Orang tua ni sudah buang tabiat ke?’ getus hatinya. Pena ditangannya diletakan di dalam diari yang berkulit tebal itu. 
“Abang tidak keluar ke malam ni?”
“Tak. Saya tunggu Rizal balik.” Ujarnya bersahaja.
“Tunggu Rizal? Oh ya…baru saja dia telefon beritahu saya tadi, sekarang ni dia berada di resort RSJ.” Wajah Shaari segera terpanggung. Terkejut sungguh. Mencerlang sinar matanya menerjah wajah lembut isterinya.
Majmin sudah bersedia hendak menerima sergahan yang menyakitkan telinganya. Sekaligus menjentik tangkai hatinya. Tapi dia hanya akan bersabar menjadi seorang isteri yang disenangi suami. Isteri mithali.
“Hah! Dia buat apa di sana?” Tanya Shaari dengan tona yang keras.
“Kata Rizal dia hendak uruskan resort tu sebab Azmi pun sudah berhenti.” Dia membalasnya dengan lirih lunak kerana tidak mahu mewujudkan suasana yang tegang dan tidak terkawal.
 Shaari tenggelam dalam kekalutannya. Dia memegang dahinya. Memicit-micitnya. Tentulah tidak wajar sekiranya dia memarahi isterinya kerana perilaku anaknya yang seorang itu.
Dia juga ingin menjadi seorang suami yang sentiasa dianggap baik oleh isterinya. Sentiasa bersopan santun dan menjaga adab sebagai lelaki budiman di dalam keadaan apapun.
“Berapa lama tu?” suaranya lirih lunak perlahan tapi kehampaan.
“Entahlah bang. Kenapa bang? Bukankah elok dia di situ. Senanglah saya kalau hendak bercuti ke sana. Abang pun sentiasa sibuk. Sehari dua lagi kabarnya abang hendak ke Tokyo selama beberapa minggu menguruskan kontrak pengangkutan cip komputer dengan kapal-kapal syarikat kita. Kalau saya rasa bosan di rumah bolehlah saya ke sana.” Tukas isterinya lirih dan jughus. Di benaknya tidak ada maksud yang bersimpang perenang. Lurus dan tulus. Jujur dan ikhlas.
“Kenapalah dia ke sana pula!” dia mendesis perlahan.
“Apa dia bang? Min tak dengar.” Serba salah Shaari menatap wajah polos isterinya dengan anak mata yang bening merenungnya.
“Hah? Oh aku kata kenapalah dia degil sangat hendak pergi berkerja ke pulau terpencil tempat jin bertendang tu. Di sini pun apa kurangnya.” Shaari mengatur rekayasanya dengan teliti dan meyakinkan.
“Dia sudah bosan dengan hiruk-pikuk New York agaknya. Pulang ke sini hendak mencari ketenangan jiwa. Sebab tulah dia ke RSJ.” Majmin menguap beberapa kali. Barangkali seluruh tubuhnya mulai diresapi keletihan kerana petang tadi dia dan Datin Maimon juga beberapa rakannya yang lain berlenggeng tangan bermandi peluh di gelanggang tennis.
 Usianya yang hampir menjejaki 50-an itu barangkali tidak melayakannya untuk beraktiviti lasak seperti bermain tennis. Walaupun itulah sukan kegemaranya suatu ketika dulu. Sukan itu pernah menjulang namanya sebagai pemain terbaik kolejnya. Dan sentiasa mewakili kolej hingga ke peringkat kejohanan tennis antara kolej ternama se Asia. Cerita yang telah berkubur puluhan tahun dahulu.
“Min dah mengantuk ni…Min masuk tidur dulu bang.”
Datuk Shaari tercongok sendirian di ruang yang kelam dan hanya disinari pantulan cahaya TV. Menjadi pengganti Majmin pula melayani kerusuhan hatinya. Dia berteleku memandang skrin TV yang memaparkan berita pergolakan dunia semasa.
Berita tentang kemusnahan dunia angkara kekejaman manusia Israel di Pelastin dan Lebanon hanya berlalu ditatapan matanya. Tidak mencuit jiwa kemanusiaannya. Dia leka memikirkan hatinya yang ralat kerana Rizal.
“Hai…rosak program aku! Dua hari lagi Anita ke sana. Sebulan pulak tu. Aku di sini melopong gigit jarilah nampaknya.” Kesal sungguh hatinya kerana rancangan yang diaturnya untuk menemani Anita membuat penggambaran di Pulau Sioman tergendala.
Dia sibuk memerah mindanya supaya diberi ilham untuk merencana sesuatu yang akan memuaskan hatinya. Nampaknya sia-sia. Tidak ada lorong yang terang dilihat boleh dilaluinya. Tidak ada cahaya di hujung terowong. Dia buntu dan bungkam. Menahan geram. 

Friday, 19 October 2012

WAYANG

KILAU KEMILAU EMAS PERAK
TERPANA TANPA SUARA MENATANGNYA KAGUM
TAMBAH DIBUAI INDAH BAHASA LUNAK BERSAJAK.

LENA PUN MENCUMBUI
MENGAJAK BERADU DAN ALPA PADA SEKITARNYA
PADA REALITINYA.

SAYANGNYA TIDAK KEMANA SUDAHNYA
AKHIRNYA TAMATLAH SEMUA BICARA
SALAM PERPISAHAN YANG DIUCAPKAN
TIDAK RELA MASIH ENGGAN.

MELAMBAI PULA JENGAH PERTEMUAN BARU
MENGHULUR JANJI MANIS KALA KALI PERTAMA BERSUA
MEMETERAI SESUNGGUH HATI
TANPA RAGU TANPA SANGSI

SAYANG TERAMAT WALANG
KEMILAU EMAS PERAK YANG MEMUKAU HANYA PESONA
LEMBUT LIDAH BERBAHASA MENGUKIR KATA JUGA PESONA
HANYA LAKONAN
HANYA WAYANG....

Thursday, 18 October 2012

HYBRID DENDROBIUM LAGI...

Orkid-orkid ni baru saja mengorak kelopaknya. Memang cantik dipandang mata. Masih banyak orkid-orkid jenis ini. vanda, cataleya, butterfly yang sedang berkudup. Pabila dah kembang nanti akan upload lagi.

Monday, 15 October 2012

SEDIKIT CITRA KEHIDUPAN

Ibunya menyebut namanya perlahan sekali dan amat lemah getarannya. Wajahnya tidak senang dan meriak marah. Hatinya mungkin berkata, mengapalah orang yang hodoh ini dan hanya terbujur di tilam ini seringkali memanggil-manggil namanya. Dia langsung tidak kenal siapa orang ini. Dan langsung tidak faham kenapa ramai pula orang turun naik rumah atoknya kemudiannya mengelilingi orang yang terbaring itu.

Setelah beberapa lama di rumah atok, abahnya membawanya dan orang sakit itu pulang ke rumah mereka pula. Sesampai di rumah barulah dia menyedari bahawa orang yang dimarahi kerana sering menyebut namanya itu adalah ibunya. Ibunya yang terlantar tidak berdaya akibat kecederaan teruk kemalangan jalanraya. Dia, kakaknya, abangnya dan adiknya yang baru berusia 50 hari turut terlibat sama.

Alhamdulillah kesemua mereka selamat dan cuma mengalami kecederaan kecil. Sebab atok terpaksa merawat ibunya yang sakit, abahnya terpaksa menyerahkan adiknya kepada makngahnya yang tinggal di KL untuk diasuh.

Kini hanya dia peneman ibunya kala atoknya dan abahnya berkerja. Dia akan berusaha menyuapkan nasi ke mulut ibunya dan memberinya minuman. Lebih banyak makanan yang tumpah daripada yang masuk ke mulut ibunya.

Sikap anak kecil yang baru berusia tiga tahun berusaha menolong ibunya yang sakit berat itu mengait rasa hiba setiap yang memandangnya.

Anak itu sentiasa di sisi ibunya hingga setelah ibunya bermaya sedikit dan mengurusinya pula masa demi masa.
"Kalau saya masuk universiti nanti sapalah nak teman mak ya..."
"Mak duk soranglah..."
"Tak takut?"
"Mati pun sorang jugak..."
Ibunya tersengih kegembiraan kerana anaknya yang baru bersekolah tahun tiga sudah bercita-cita memasuki menara gading.

Dan anak ibu yang seorang itu berjaya merealitikan impiannya sebagai graduan. Ibunya pula yang kesunyian kerana kehilangan peneman setianya kala meniti dukanya yang panjang. Dia tidak mengharapkan apa-apa lagi kecuali kebahagian anak-anak permata jiwanya. Kesendirian dan kesepian membuatnya mangli.

Saturday, 13 October 2012

SELIRATAN CINTA BAB 19


Sebaik turun dari bas ekspsres Purnama, Rizal dan Fareez berehat sejenak di atas bangku panjang yang tersedia di stesyen bas. Kedua-duanya melepaskan kelelahan yang dirasakan merangkum seluruh tubuh. Perjalanan yang lama dari KL hingga ke sini memang sangat-sangat meletihkan kedua-duanya. Sudahlah keletihannya terlalu ditambah pula dengan rasa mengantuk yang memberat kelopak mata. Amat menyiksakan sekali.
Dari stesyen bas Kuantan ini kedua-duanya menaiki teksi pula untuk ke jeti yang menempatkan feri, pengangkutan yang akan membawanya ke pulau yang menjadi destinasi.
Sesampai saja di jeti, Rizal begitu hampa. Feri yang diharapkan masih berada di pengkalannya telah membongkar sauh berlayar menuju pulau nun di sana. Tidak kelihatan pun di muka laut.
Fareez ternampak sebuah bot bersama pengemudinya. Dia pergi mendapatkan lelaki yang sedang mengemaskan keadaan botnya itu bertanyakan samada dia sanggup menghantarnya dan Rizal ke pulau itu.
Lelaki itu bersetuju dan memberikan harga tambang yang tidak munasabah pada perhitungan Fareez. Tersangat tinggi. Dia tidak terfikir Rizal mampu membayarnya. Dan mahu membayarnya.
“Gila...pakcik tu...dia minta 250.00RM. Selalunya 15.00 RM je seorang. Kau tengok senarai harga yang tertulis untuk pengangkutan feri dan bot yang diletakan di papan kenyataan tu. Kan jauh sangat beza larinya. Hai mencekik darah betul. Nampaknya kita bermalam sajalah di sini Rizal.” Ujar Fareez lemah diikuti dengan saranannya.
Walau hatinya tidak mengharapkan berlaku begitu tetapi di dalam keadaan begini nampaknya terpaksa juga diharungi. Menyesal dengan tindakannya mengikuti seorang teman yang baru dikenalinya sehingga menyusahkannya terpaksa melalui situasi sebegini tidak perlu lagi. Redha dan pasrah semata.
“Tak apa…aku bayar!” Fareez menentang bebola mata Rizal. Dia kehairanan amat.
“Hei…kau ni biar betul Rizal. Bayar tambang dah begitu mahal, kita hendak makan apa nanti. Jangan bazirkan duit Rizal. Simpan sikit untuk keperluan mendesak.” Rizal tidak memperdulikan temannya yang menceceh itu.
Dia mengeluarkan dompetnya dan menarik keluar not 50RM  5 helai dengan nilai wang 250RM. Fareez memerhati dengan takjub kerana dia tidak menyangka kawannya itu sanggup berhabis duit yang banyak kerana itu.
“Kau berikan wang ni kepada orang bot tu. Aku hendak ke sana malam ini juga.” Fareez tersentak. Terkedu seketika. Tidak tahu lagi apa yang hendak dikatakannya. Rupanya temannya itu bukan seperti yang disangkanya. Tidak sesengkek dirinya.
Dia tidak membuang masa lagi terus saja menghampiri lelaki pengemudi bot itu dan duit yang dipegangnya telah beralih tangan. Malam semakin dingin. Embunnya mulai menitis satu satu.

                                                     * * *

Majmin membelek-belek novel ‘Anugerah’ hasil karya penulis tanah air yang terkenal. Novel yang sangat tebal isi kandungannya. Tentunya penulisnya Zaharah Nawawi terpaksa membuat kajian yang begitu lama untuk menghasilkan sebuah karya yang sangat bernilai tinggi.
Bukan senang hendak menulis novel setebal ini jika tidak ada minat, kesungguhan dan kegigihan tegar untuk melakukannya. Sebuah karya yang menyebabkan penulisnya menerima S.E.A Write Award 1996 dari kerajaan Thailand.
Membaca karya-karya sastera sering juga dilakukan selain menelaah kitab-kitab agama. Karya-karya kreatif adalah dihasilkan penulis-penulis yang ligat berfikir. Buah pemikiran itu dicernakan di dalam tulisan pelbagai media.
Perlu diteliti corak pemikiran ini kerana kadangkala ia sangat membantu sesaorang mencari sesuatu solusi yang diingini.
Dia pernah berkenalan dengan seorang penulis yang gemar bergendang menyanyikan lagi Walinong Sari sebuah lagu rakyat Pahang yang indah dan unik. Ketika itu dia masih gadis kolej. Kadang-kadang mengikuti juga teman-temannya yang mengambil jurusan ijazah pengajian sastera bertemu penulis-penulis terkemuka tanah air.
 Dia amat mengkagumi tulisan cerpen yang dihasilkannya. Dan pernah bertanya penulis itu bagaimana dia mempunyai idea menulis cerpen dengan begitu baik. Jawabnya, “bila semakin berusia, kita akan semakin matang. Kematangan hidup akan memudahkan kita menggarap idea yang tercerna.” Tetapi dia tidak berminat menulis cerpen. Dan tidak pernah menulisnya.
Dia gemar sekali menulis pantun dan puisi. Puisi dan pantun yang ditulis buat tatapannya sendiri. Mengisi hari sunyi dan lapang bila sendirian.
Kini dia tidak pernah lagi menemui penulis Aripin Said dan jarang sekali menemui cerpennya yang tersiar di media arus perdana. Kemanakah dia agaknya? Pertanyaan yang mengganggu mindanya tidak ada jawapannya.
Dia terhenti dari menyelak lembarnya yang pertama nostalgia awal 80-an itu apabila tiba-tiba saja sesaorang terdiri di sisinya. Novel Anugerah yang ada di tangannya tidak jadi hendak dibuka. Sekeping kertas terjatuh dari bawah novel yang sedang diletak di atas sebuah meja kecil. Dia menunduk. Mengutipnya dan mendongak mengadap wajah dan tubuh yang terpacak di sisinya.
“Mana Rizal? Belum balik lagi ke?” terpacul suara menerjah deria dengarnya.
“Belum lagi. Abang dah makan?” Tanya seorang isteri yang sangat perihatin terhadap kesejahteraan suami yang dikasihinya. Apapun perlakuan lelaki itu yang mendera jiwanya dia tetap mengatakan bahawa suaminya masih amat menyayanginya.
Persis pantun yang ditulisnya;
Baju Kedah pakai ke Kota
Bunga melati oles ke pipi.
Tidak semudah bagai dikata
Kerana realiti bukan mimpi.

Buat rimpi padi muda
Bakar setanggi harum baunya.
Biar mimpi menjadi nyata
Biar pelangi warna-warninya.

“Mak Kiah tak masak malam ni. Min ingat abang lambat balik macam selalu jadi Min suruh Mak Kiah panaskan saja lauk yang ada. Kami dah makan tadi. Biarlah Min tengok apa yang ada untuk dimasak kalau abang hendak makan.” Majmin berusaha bangun dari duduknya.
“Saya tu tak kisah. Saya masih kenyang lagi. Tadi dah makan di restoran dekat opis tu. Hah! kalau Rizal balik nanti macam mana. Kesian dia tidak ada apa yang hendak dimakan.” Majmin termangu. Tidak jadi hendak melangkah ke dapur. Ingatannya melayang-layang mencari anaknya yang entah berada di sudut mana.
 .  “Rizal…dia tu bukan suka sangat makan malam. Hendak diet jaga badan katanya.” Majmin mereka-cipta alasan yang kukuh. Sukar hendak dipersoalkan lagi.
“Saya hendak naik ke atas mandi. Kalau Rizal balik beritahu dia saya hendak berjumpa dengannya.” Dia sudah melangkah menaiki tangga satu-persatu membawa tubuhnya yang tegap tinggi itu.
“Apa hal penting sangat ni?” Tanya Majmin lunak.
“Eh tak boleh ke saya hendak berbual-bual dengan anak saya sendiri?” Dia bertanya balas membuatkan Majmin memandangnya terkulat-kulat.
“Malam tadi bukan ke abang sudah ajak dia keluar bersama-sama, tidak puas lagi berbual, bercerita?” pertanyaan yang tidak disambut dengan jawapan sebaliknya dengan sebuah arahan.
“Ingat tu. Saya hendak bercakap dengan dia. Jangan biar dia terus masuk tidur.” Arahan dan pesanan Shaari membuat Majmin mengulum senyum sendirian. Shaari terus melangkah memasuki bilik tanpa menyedari sesuatu yang diinginkannya tidak mungkin terjadi.
Majmin melihat sehelai kertas di bawah novel itu. Dia membaca tulisan cantik yang dinukil di atasnya. Tulisan tangannya sendiri.

Sekuntum momen

Sekuntum momen
persis mimpi gelisah di hujung ranting malam.
Gerimis luruh di kelopak misteri.
Berlabuh di pengkalan tandatanya yang mengelirukan.
Siapakah itu yang mengisi sepi seorang Sita.
Yang berladung titis sedihnya sepanjang usia.
Hanya momen nostalgia yang membeku sebagai tugu.

12 Dis 03
                                                                            * * *
                                                      

Malam yang sangat tenang. Bintang-bintang bergemerlapan di dada langit. Keadaan laut tidak terlalu bergelombang. Angin sentiasa berpuput nyaman. Belum lagi membawa monsun Timur Laut yang akan menggelorakan Laut China Selatan ini dan merumitkan penghidupan di persisir perairannya dengan musim tengkujuh.
Ketika ini nelayan-nelayan pantai yang menaiki bot kecil dan peralatan penangkapan ikan yang minima tidak berani turun ke laut untuk mengait sedikit rezeki.
Kini masih di bulan Ogos. Cuacanya masih berseri dan metah sesuai berwisata di tempat peranginan di tepi laut. Dan aktiviti nelayan-nelayan berterusan sebagaimana biasa. Di kejauhan kelihatan cahaya bergerak di tengah samudera. Ada kapal yang sedang belayar merentas lautan.
Rizal berdiri di tepi bot memerhati alam sekeliling yang sunyi. Yang  kedengaran hanya lagu ombak yang berdebur menampar bot dan suara enjin bot yang tidak putus. Dia menilai situasi laut yang melengkonginya. Berdasarkan dari sedikit pengetahuan yang diperolehi tentang kejuruteraan laut yang di pejajarinya dari universiti di Amerika.
Pelayarannya bersama bot yang dinaiki ini pasti sangat lancar ke destinasinya kerana tiupan angin yang lembut tidak akan menyebabkan tekanan ombak yang menggelora.
Ketenangan suasananya melekakannya menikmati keindahan laut Cina Selatan yang terbentang dan tidak tercapai hujung pandangannya.
Bot sudah tiba di jeti. Rizal masih alpa, termenung seketika. Dia tidak melangkah turun dari bot lagi. Fareez segera mencapai begnya dan beg temannya itu untuk dibawa bersamanya. Rizal tersedar dari lamunannya yang melayang jauh. Dicapainya begnya daripada genggaman Fareez. Langkah Fareez dituruti.
Di hadapannya terpampang papan tanda Resort Sri Jelapang. Fareez kagum sekali melihat persekitaran resort yang cantik dengan rekaan chalet yang unik bentuknya walaupun hanya kelihatan samar diterangi lampu jalan.
Fareez terus melangkah mendekati kaunter pertanyaan resort yang masih terang benderang. Ada sesaorang yang kelihatan mundar-mandir di dalamnya. Seakan sedang menanti kehadiran sesaorang.
Langkahnya terhenti bila terasa tangan Rizal menyentuhi bahunya. Dia segera berpaling. Dia menanti buah bicara temannya itu. Hatinya merasa gusar, tidak enak.
“Fareez..”
“Kenapa Rizal? Kan aku dah kata kita datang esok saja. Tidaklah kena bayar tambang bot mahal-mahal. Sekarang kau takut nak masuk ke situ sebab sudah tidak ada duit?” Tanya Fareez yang terpinga-pinga dengan gelagat temannya itu. Di hatinya timbul dugaan yang tidak disenanginya.
“Bukan begitu…” pendek saja ayatnya.
“Habis tu…jomlah. kau kata kau ada kawan yang berkerja di sini. Lambat-lambat sangat nanti bila dia sudah tidur, kita pula yang susah.” Tangan Rizal di tariknya. Rizal terpana kebingungan. Tetapi langkah Fareez dituruti juga. Tidak teragak-agak lagi.
Kedua-duanya sudah berada di lobi resort. Sesaorang datang menyongsong dan memperkenalkan dirinya sebagai pengurus Resort Sri Jelapang. Yakin sekali bahawa orang-orang ini memang yang dinantikannya berjam-jam lalu.
“Saya Azmi. Datin Majmin ada telefon saya siang tadi. Katanya anaknya Encik Rizal hendak datang...maafkan saya…yang mana satu Encik Rizal. Maklumlah saya tidak kenal Encik Rizal sebab dia tidak pernah datang ke sini.”
“Saya Fareez. Ini Rizal anak Datuk Shaari.” Rizal memintas pantas. Membiarkan Fareez diserbu kebingungan yang mengelirukan. Renungan mata berbaur pertanyaan menujah anak mata Rizal. Dia terkapa-kapa dibungkus tandatanya.
Rizal menarik Fareez berpaling menghadapnya. Membelakangi Azmi. Dua jarinya di letakan di bibir. Matanya disaluti renungan bermakna.
“Kenapa ada yang tidak kena ke?” Tanya Azmi yang mulai berprasangka kerana telatah kedua-dua pemuda itu. Dia perlu berwaspada juga kerana ramai yang menyamar seperti umang-umang yang suka membawa sarang siput yang cantik sebagai pelindung dirinya.
Dia sangat berharap keputusannya terhadap kedua-dua pemuda ini tidak silap. Risiko kerana kesilapan menentukan Rizal anak Datuk Shaari yang sebenar amat berat. Tidak terdaya hendak dipikulnya kelak.
“Tidak...tak.” Azmi merasa yakin dengan instink dalamannya dan tidak ragu-ragu dia menyalami Fareez selayaknya di antara seorang perkerja dengan majikannya. Sangat menunjukan rasa hormatnya. Fareez merasa amat kekok diperlakukan sebegitu.
Dia melihat Rizal tersenyum membalas pandangannya yang mengandung pelbagai persoalan yang tidak terjangkau jawapannya. Untuk mengelakan sebarang persoalan yang bakal menambah kerumitannya, dia hanya menurut arusnya.
‘Apalah yang tidak kenanya dengan Rizal ni. Rupanya dia anak Datuk Shaari saudagar besar yang kaya raya tu. Sudah jadi anak Datuk tak nak mengaku pulak. Seperti cerita Mark Twain, Anak Raja dengan Anak Papa le pulak kisahnya. Tapi aku ni bukannya papa kedanapun. Susah benar nak faham keletah orang-orang kaya ni.’ Fareez diselubungi pelbagai persoalan yang membingungkan.
“Eloklah Encik Rizal datang di ketika ni. Sebab esok saya akan pergi dari sini.”
“Kenapa?” Tanya Fareez. Seolahnya dia sudah mengikut rentak Rizal yang mahukannya menjadi Rizal anak Datuk Shaari. Rizal tersenyum di sisinya.
“Saya akan berkerja di Mauritius. Saya sudah beri notis berhenti kerja sebulan lalu. Hari ni sebenarnya hari terakhir saya di sini. Tetapi saya masih boleh lanjutkan sehari lagi kerana hendak kenalkan Encik Rizal dengan pengurusan di sini. Tentu Encik Rizal tidak kenal perkerja yang sentiasa bertukar ganti sepanjang Encik Rizal berada di US.” Wajah Rizal yang tersenyum dengan mata kuyunya ditatapnya sambil mengulum bibirnya.
‘Wah lulusan luar negara rupanya ‘mamat’ ni. Bijak sungguh kau menyamar ya Rizal.’ Fareez menggeleng-gelengkan kepala melirik arah Rizal yang tersenyum lebar.
“Mulai esok kaulah bos di sini.” Tukas Rizal. Fareez semakin menggelabah. Mahu saja dilukunya kepala teman itu yang tersengih sentiasa kepadanya. Tiba-tiba saja dia terpaksa menjadi pengurus sebuah resort terkenal tanpa mengetahui suatu apapun yang berkaitan dengannya.
‘Agaknya boleh ke aku jadi pengurus ni?’ Fareez termangu. Dahinya dipicitnya buat melegakan kebengangannya. Rasa pening berputar-putar di kepalanya.
‘Apalah motif sebenar kau Rizal? Kalau aku rasa kau hanya hendak mengenakan aku, esok aku cabut. Jika tidak ada bot atau feri, berenang pun aku sanggup. Tapi tidak mungkin Rizal yang baik budi bahasanya sanggup hendak menganiaya aku kot.’ Fareez berusaha menenangkan perasaan haru birunya yang berkecamuk tidak menentu. ‘Bagaimana pun aku nak tengok dulu rentaknya. Aku pun bukan mudah hendak dikelentong, lulusan U lagi.Walau U tempatan tidak kalah juga dengan U luar negara.’
 “Tentu tidak jadi masalahkan. Lagi pun ramai yang akan membantu. Datuk Shaari pun selalu datang ke sini.” Rizal tersentak. Fareez melihat gaya temannya yang kalut dan gawat itu. Wajahnya kelat.
“Oh ya ke. Datang dengan Datin Majmin ke?” Rizal bersuara. Azmi agak kehairanan kerana Fareez yang bertanya, bukan Rizal seperti yang sepatutnya tetapi dia menjawabnya juga sebagai menghormati kawan kepada Rizal anak kepada bosnya.
“Tidak. Selalunya dengan klien perniagaannya.”
 “Kami dah penat ni, di mana kami hendak tidur malam ni?” Fareez mencelah,
setelah melihat Rizal dengan gaya bahasa isyarat menurut pemahamannya tidak mahu lagi berpanjang lebar bercerita.
“Oh itu sudah saya uruskan awal-awal sebaik saja Datin telefon. Tapi Datin tidak sebut pula hendak datang berdua.” Pandangannya terlontar ke wajah kedua-duanya.
“Tulah kau…aku dah kata dah, mama kau mesti marah kalau aku ikut sama.” Sela Rizal sambil mengerut-ngerutkan dahinya. Fareez mulai berfikir untuk ikut bertandak selari dengan gaya nada temannya itu. Beriya-iya menyusun skrip yang spontan.
“Apa pula dia hendak marah, kalau aku bawa perempuan lainlah.” Fareez bertukar senyum dengan Rizal. Tersengih sedikit kemudiannya. Saling faham memahami. Rizal mengangkat jari telunjuknya dengan maksud lakonan Fareez memang bagus.
“Marilah...saya tunjukan chalet Encik Rizal dan Encik Fareez.” Ketiga-tiganya sedang mengatur langkah kearah sebuah bangunan yang lebih besar untuk kediaman seorang majikan berbanding dengan chalet untuk kediaman pekerja. Terletak di bahagian sipi pejabat pengurusan.
“Lupa pula saya hendak beritahu, tempat ni memang popular di kalangan artis. Setiap bulan pasti ada yang datang shooting di sini. Kadang tu untuk produksi filem. Kadang pula untuk drama.” Azmi menerangkan serba sedikit tentang keistimewaan resort itu.
“Wow  hebat, hebat.” Balas Fareez teruja.
“Buat masa ini tidak ada shooting, tetapi dua hari lagi akan datang satu grup buat shooting selama sebulan.” Rizal tidak gembira mendengar penerangan Azmi itu. Wajahnya selamba polos..
Dibiarkan saja Azmi dan Fareez bercerita tentang pelbagai info mengenai resort itu di sepanjang perjalanan yang singkat menghala ke chalet tanpa mencelah sedikitpun.
               





                                               

Thursday, 11 October 2012

SKETSA SENJA

SKETSA SENJA


SENJA DI KALI
AIR MENGALIR LESU
KIAMBANG BERTAUT KEMBALI

SENJA DI TASEK
TERATAI LAYU
SEPI MERINDU

SENJA DI SUNGAI
RAJA UDANG TERBANG PULANG
REZEKI ESOK CARINYA ESOK

SENJA DI LAUT
BURUNG CAMAR PATAH SAYAP
MELAYAH DI BAWAH AWAN JINGGA

SENJA DI KOTA
MERDUNYA AZAN
ORANG ORANG BERJALAN DI JALAN
TIDAK KETAHUAN TUJUAN

SENJA DI KAKI GUNUNG
CEMARA DISAPA BAYU
ANGGERIK PUDAR WARNA

SENJA DI DESA
TIADA LAGI BICARA

SENJA DI KUBUR
KEMBOJA PUTIH GUGUR SENDIRI
WANGINYA NGERI

SENJA DATANG DAN MENGHILANG

26 SEPT.89

Tuesday, 9 October 2012

HYBRID DENDROBIUM YANG PELBAGAI WARNA










Kebanyakan orkid yangku miliki adalah jenis hybrid dendrobium yang rajin berbunga. Sesetengahnya sangat harum dan mengundang serangga perosak mendekatinya. Puas pula nak menyembur racun perosak orkid. Selalunya yang gemar sangat memakan kelopaknya adalah ulat-ulat lembik yang putih. Mesti diawasi selalu takut habis togel bunga dan daun dikerjakannya. Jikalau orkidku terkena serangan ulat-ulat ini aku akan memotong bahgian itu dan memusnahkannya. Tak berani nak sembur racun sembarangan takut orkid pula yang mapus keras

Monday, 8 October 2012

INGIN JADI PENULIS TERKENAL...BUAT DUIT DENGAN MENULIS...

Kalau sudah jadi penulis terkenal tentulah senang hendak buat duit dengan menulis. Sebelum terkenal dan ada nama susahlah sikit. Sebab itulah kita mendapati setiap tahun nama-nama penulis yang sama menaiki podium menerima anugerah penulisan.

Tentu tidak wajar mempertikaikan kemenangan penulis-penulis ini dalam genre yang mereka sertai samaada sajak, cerpen atau novel kerana mereka tentunya mempraktikan ajaran sifu penulisan masing-masing iaitu:

1.  Menulis setiap hari...bukan tulis nota pendek tapi tulislah berkajang-kajang.
2.  Setelah siap edit semua jangan ada sedikit kesalahan ejaan dan tata bahasa.
3.  Hantar kepada mana-mana penerbitan yang dipilih. Jikalau tidak disiar hantar lagi dan lagi jangan jemu.
4.  Apabila karya pertama disiar teruslah berkarya dengan rajin dan menghantarnya kepada penerbit kerana editor yang sudah biasa dengan karya kita tidak susah nak mengedit semula kerana percaya dengan kebolehan kita.

Ilmu yang sedikit ini diberi sifu penulisan sdra Zaharah Nawawi tika aku mengikuti kursus penulisan DBP beberapa tahun lalu. Tapi kursus penulisan ini tidak menjadikan aku penulis terkenal pun. Sebab aku bukannya rajin menulis walau sepanjang hidupku ini banyak kali juga menghadiri kursus-kursus penulisan.

Sunday, 7 October 2012

SELIRATAN CINTA BAB 18/3


Mahu saja ditutupnya mulut Sarina dengan kedua-dua telapak tangannya. ‘Kau ni menyusahkan aku je Sarina. Becok sangat mulutnya.’ Amin merenung Sarina yang terkapa-kapa tidak faham dengan bahasa matanya.  
“Oh jadi awak telefon Amin beritahu dia  balik sudah boleh datang pulak ya. Hmp..begitu ya Amin.” Ucap Datuk Shaari sinis. ‘Berani kau temberang aku ya Amin. Nanti kau.’ Wajah pucat Amin yang gelabah ditenungnya tidak berkedip.
Amin mengesat peluh dingin yang bermanik di dahinya.
Anita pula semakin resah. Dia tidak menduga sama-sekali Sarina bertekad jua membawanya bertemu dengan Datuk Shaari. Walaupun pelbagai alasan yang diberikan untuk menolaknya. Sarina merayu-rayu agar permintaannya untuk menemankannya bertemu Datuk Shaari dipenuhi. “Hanya untuk kali ini saja.” Kata Sarina.
Demi menjaga hati seorang kawan sekampung, dituruti juga kehendak Sarina walaupun hatinya berat hendak melakukannya. Mungkin sebagai tanda terima kasihnya kerana Sarina yang mencari peluang perkerjaan kepadanya di bidang ini. Tanpa Sarina mungkin dia bukan siapa-siapa. Dia mesti tahu mengenang budi kawan.
“Berapa hari lagi shooting ni?” Tanya Datuk Shaari.
“Tinggal dua hari lagi di KL. Lepas tu kami berpindah sambung shooting di sebuah resort.”
“Resort, dimana tu?” Tanya Shaari tertarik. Sarina menoleh  kepada Anita. Bertanyakan tentangnya. Anita hanya angkat bahu. Dia langsung tidak kisah dengan bualan itu.
Dan dia tidak mahu terlibat sedikitpun. Dia hanya berharap peristiwa yang sedang dilaluinya ini akan cepat selesai.
“Datuk tak nak ikut kami ke sana ke. Sambil bercuti boleh tengok kami shooting.”
“Datuk ni sibuk memanjang Sarina. Maklumlah seorang ahli korporat. Banyak perkara penting yang perlu diuruskannya.” Tingkah Amin.
“Eh. Apa pulak sibuknya. Pandai-pandai saja kau ni Amin. Pasal Sarina dan Anita saya sanggup ketepikan kerja. Cakap saja resort di mana. Banyak lagi resort yang cantik di Malaysia ni, saya belum jejakan kaki.” Tukas Shaari sambil membeliakan matanya memandang Amin.
Amin kehairanan. Selalunya begitulah alasan penolakan pelawaan sesiapa saja yang dirasakannya hendak meningkatkan hubungan yang lebih jauh. Datuk Shaari sentiasa menyetujuinya. Kali ini lain pula jadinya.
Sarina teringat sesuatu. Cepat-cepat begnya dicapai dan dibuka. Isinya diselongkar. Dia mencari-cari di sebalik lambakan isi beg yang tercurah  di atas meja itu.
“Saya ada tulis dalam organizer saya ni. Hah..resort Sri Jelapang!” Mencerlang anak matanya menerima kabar itu. Dia langsung tidak menduga. Hatinya bernyanyi riang.
“Hmm…Sri Jelapang di Pulau Sioman kan. Eloklah tu… Cantik...” Datuk Shaari tersenyum dan mengenyit matanya pada Amin Amin terbangun dari kemuramannya kerana sindiran tuannya yang memedihkan hatinya itu.
Dia turut tumpang merasai kegembiraan Datuk Shaari. Terasa pula kepercayaan tuannya yang sirna kembali sediakala. Lega sungguh perasaannya.
Anita menjeling Sarina. Dia tidak berkenan langsung perbuatan Sarina mempelawa Datuk itu untuk turut bersama ke pulau peranginan itu. Memanglah dia tidak patut menegah kemahuan sesaorang untuk membelanjakan wangnya di mana saja tetapi untuk sewaktu dengannya di lokasi yang sama ia sangat menjelekan. Sungguh menjengkelkan penerimaannya.
‘Pergilah ke tempat lain kalau terasa hendak bercuti sangat. Kenapa di situ pula?’
                                                      
                                 

Friday, 5 October 2012

SALAMKU KEPADA OMBAK

JANGAN MENGHEMPAS DIRIKU
KERNA AKU SUDAH LETIH
BIARKAN AKU DI SINI

IZINKAN AKU MERIHATKAN DIRI
DI PANTAIMU
MENIKMATI URUTAN HEMPASANMU

WAHAI OMBAK
BAWALAH DAMAIMU
KESELURUH ALAM


NORADABI ROSDI
Mahligaiimpian.com


Monday, 1 October 2012

abil4fauziah...indahnya cinta dan kasih sayang...

Tersentuh sekali hati mendengarkan perkisahan Abil melayani permaisurinya yang sakit akibat serangan strok    dalam slot TANYA WANITA TV AL-HIJRAH.

Abil sanggup berhenti kerja sebagai PERUNDING KEWANGAN semata-mata lantaran cinta dan kasih sayangnya terhadap Fauziah isterinya demi memberi perhatiannya yang bersungguh-sungguh.

Sifat suami yang tulus mencintai isteri dan menerima isterinya seadanya amatlah menjadi idaman setiap wanita. Hanya kasih sayang yang menjadi penyelesai setiap masalah. Jangan setelah bahtera rumahtangga belayar dipukul gelombang dan karam, yang basah, yang tenggelam hanya isteri seorang.

Di tempatku ada dua pasang suami isteri yang hidup berbahagia walau isteri masing-masing punyai kekurangan diri. Seorang tu isterinya lumpuh setelah melahirkan anaknya namun suaminya tidak kisah dengan kelumpuhannya tetap melayani isterinya yang tercinta sebaiknya. Semua keperluan isteri dan rumah tangganya suaminya yang urus.

Sementara seorang suami lagi memiliki isteri yang berpenyakit murung.Dan kemurungannya menyebabkannya menyepikan diri dari persekitarannya dan hanya berada di dalam dunia ciptaannya. Namun suami yang penyayang kekal di sisinya sehingga suaminya dijemput Allah Yang Esa.

Kisah cinta dan kasih sayang antara suami dan isteri yang sesekali menjengah minda kita menggambarkan kepada kita bahawa keseluruhan kita ini mengagumi sifat pengasih yang ditunjuki seseorang kerna kita merasakannya kasih sayang di hati masing-masing semakin berkurangan.

Alangkah indahnya kehidupan kita sekiranya suami sayangkan isterinya seadanya, sanggup berkorban apa saja, tak kira waktu susah atau senang, sihat mahupun sakit. Sebab takdir hidup hari esok tidak siapa tahu. Tak siapa yang nak sakit bib...

Sudah lama tidak ikuti blog abil4fauziah dan baru-baru ini ada sedikit cerita TV3 mengenai pasangan itu...rupanya setelah dua tahun Abil menjaga Fauziah yang sakit kerna serangan strok itu, isteri kesayangannya itu telah kembali ke Rahmatullah di satu subuh hening....innallillah...alfatihah.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya dan menempatkannya di kalangan mereka yang soleh lagi beriman.

Dan Abil pasti bertemu isteri kecintaannya Fauziah di syurga kelak...inn sya Allah.....

MyBloglist