Monday, 15 October 2012

SEDIKIT CITRA KEHIDUPAN

Ibunya menyebut namanya perlahan sekali dan amat lemah getarannya. Wajahnya tidak senang dan meriak marah. Hatinya mungkin berkata, mengapalah orang yang hodoh ini dan hanya terbujur di tilam ini seringkali memanggil-manggil namanya. Dia langsung tidak kenal siapa orang ini. Dan langsung tidak faham kenapa ramai pula orang turun naik rumah atoknya kemudiannya mengelilingi orang yang terbaring itu.

Setelah beberapa lama di rumah atok, abahnya membawanya dan orang sakit itu pulang ke rumah mereka pula. Sesampai di rumah barulah dia menyedari bahawa orang yang dimarahi kerana sering menyebut namanya itu adalah ibunya. Ibunya yang terlantar tidak berdaya akibat kecederaan teruk kemalangan jalanraya. Dia, kakaknya, abangnya dan adiknya yang baru berusia 50 hari turut terlibat sama.

Alhamdulillah kesemua mereka selamat dan cuma mengalami kecederaan kecil. Sebab atok terpaksa merawat ibunya yang sakit, abahnya terpaksa menyerahkan adiknya kepada makngahnya yang tinggal di KL untuk diasuh.

Kini hanya dia peneman ibunya kala atoknya dan abahnya berkerja. Dia akan berusaha menyuapkan nasi ke mulut ibunya dan memberinya minuman. Lebih banyak makanan yang tumpah daripada yang masuk ke mulut ibunya.

Sikap anak kecil yang baru berusia tiga tahun berusaha menolong ibunya yang sakit berat itu mengait rasa hiba setiap yang memandangnya.

Anak itu sentiasa di sisi ibunya hingga setelah ibunya bermaya sedikit dan mengurusinya pula masa demi masa.
"Kalau saya masuk universiti nanti sapalah nak teman mak ya..."
"Mak duk soranglah..."
"Tak takut?"
"Mati pun sorang jugak..."
Ibunya tersengih kegembiraan kerana anaknya yang baru bersekolah tahun tiga sudah bercita-cita memasuki menara gading.

Dan anak ibu yang seorang itu berjaya merealitikan impiannya sebagai graduan. Ibunya pula yang kesunyian kerana kehilangan peneman setianya kala meniti dukanya yang panjang. Dia tidak mengharapkan apa-apa lagi kecuali kebahagian anak-anak permata jiwanya. Kesendirian dan kesepian membuatnya mangli.

2 comments:

  1. kisah benar ke ni kak, terharu KA baca !

    ReplyDelete
  2. tq KA cerita benar di celah-celah kehidupan yg dilalui...

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist